SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Apsal nak berbanner-banner nih?

Sudah seminggu teater Jun 22PWTC berlalu yang jelas tergamam , tercengang dan terharu adalah 2000 Perwakilan Umno yang di sekitaran Dewan berserta beberapa kelompok yang selama ini Mahathir adalah talian hayat mereka. Rakyat seluruh negara tidak pun merasa terharu, pilu atau gundah gulana sepertimana yang digambar oleh sekumpulan manusia pendek akal dari ahli Umno itu. Usah melihat jauh, di Kuala Lumpur sendiri tiada langsung tanda-tanda negara akan lumpoh atau terbantut aktiviti seharian kerana pengumuman Mahathir yang penuh berhelah itu. Kita merantau selama dua hari melihat kalau-kalau ada rakyat yang makan pasir atau jatuh dhaif hidupnya dengan pengunduran Mahathir itu. Anihnya kedhaifan itu juga adalah hasil dari pemerintahan dua dekad si Raja Kelentong itu.

Liputan akhbar dengan susulan wawancara yang telah diatur oleh para jongos Mahathir selepas Jun 22 itu memang sudah diduga. Segenap lapisan masyarakat cuba dijajahi minda betapa Mahathir adalah kunci segala. Tanpa Mahathir habis punahlah negara dan bangsa. Mahathir dikaitkan sebagai satu kuasa atau isma yang memaju dan meningkatkan status orang Melayu dan negara. Pendek kata Mahathir didewakan semahunya sedangkan hakikat yang menjolok mata adalah kemusnahan system dan semakin terhimpit Melayu di bawah pemerintahannya!!!

Jongos upahan bersilih ganti dan mengambil giliran dalam merebut peluang untuk berkata yang baik dan molek-molek tentang Mahathir. Mahathir dikatakan arkitek Malaysia moden, pemikir ulung, penjana kemajuan dan pelindung kepada orang Melayu. Lalu diketengahkan atau dikitar semula segala yang marhaen katakan projek Mega Gajah Putih sebagai hujahnya. KLIA, Menara Kembar Petronas, Putarjaya, LRT dan sebagainya dimekap rapi dengan orang tua itu pengaut untungnya. Malah kontroversi Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Ilmu dan isu Ketuanan Melayu mereka pendamkan seolah-olah malu untuk diperdebatkan.

Pada hari yang sama Mahathir meninggalkan negara untuk berlibur sekian kalinya, Presiden PAS Dato Fadzil Noor meninggalkan dunia yang fana menyahut panggilan Illahi. Keadaan beliau kritikal sejak malam harinya lagi. Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berjiwa rakyat, Mahathir tidak sepatutnya meninggalkan Malaysia secepat itu. Ia wajar menghormati jenazah Ketua Pembangkang dan juga sebagai rakan Parlimen. Nasib baik juga pemimpin Umno lain hadhir di Lapangan Terbang Sungai Besi memberi penghormatan terakhir.

Mahathir tidak menggunakan pendekatan dan adat biasa bagi menyatakan Perletakan jawatannya seperti Hussein Onn, malah ia menimbulkan kegawatan dan suasana kekecohan yang disiarkan secara langsung oleh media tempatan dan juga terpancar ke seluruh dunia. Apa sangat ketokohan Mahathir sehinggakan ia tak mampu memberikan sidang akhbar selepas kekecohan yang beliau sendiri buat? Apakah political mileage yang cuba disauknya dengan drama Jun 22 PWTC itu??

Apakah itu merupakan kaedah terbaru bagi menyingkirkan seorang lagi Timbalan? 16 bulan suatu masa yang panjang apatah lagi dengan kuasa prerogatif PM yang masih dalam genggaman. Tidak mungkinkah Mahathir berdrama lagi dengan alasan demi kebaikan orang Melayu dan Umno dengan seorang lagi Timbalan menjadi korban??? Siapa tahu difitnahnya Abdullah membela pondan?

Khabar yang bertiup sekarang menunjukkan betapa jentera Politburo Umno sedang giat menabur wang dan persediaan untuk menyambut kepulangan Mahathir dari bercuti ke Mediterranean dengan menggunakan Yatch Ananda Krishnan. Berbagai placard dan banner telah siap ditempah dengan kata-kata aluan, pujaan, madah, seloka dan hasrat hati segala sayap Umno terhadap ketuanya. Ini adalah kesinambungan dari acara pendewaan terhadap Mahathir yang ditaja Sanusi di Langkawi tempohari. Berbas-bas ahli parti akan diangkut dengan diberi wang saku dan bekalan nasi bungkus dengan tamban tergeliat. Itu belum termasuk dengan kerahan siswa terutama UiTM dan juga bebudak sekolah. Apa sajalah asalkan ramai- kalau boleh biar sejuta orang!!(Mat Bangla dan Indon pun boleh menyelit sekali!)

Khabar yang kita terima dari Perlis hingga ke Johor, beberapa banner siap terpasang yang sebenarnya mampu meloyakan setiap mata yang memandang. Alangkah…..alangkah sekiranya mereka membuka minda pasti mereka malu dengan apa yang mereka kerjakan sekarang ini!!!

Ada banner yang tertulis umpama lagu Allahyarham P. Ramlee, ‘ Jangan tinggalkan kami, kami masih memerlukan khidmatmu’. Ada pula yang berbunyi, ‘We begged for you to stay’. Ada yang lebih loghat, siap dengan berayahanda merayu merafak sembah Mahathir supaya terus memimpin mereka sehingga menongkat langit. Bagi mereka tanpa Mahathir, punah ranah dan berakhirlah kegemilangan.

Alangkah hodohnya budaya ahli-ahli Umno berbanding PAS yang sabar dan redha dengan ketentuan Illahi. Inilah budaya mental subsidi yang sudah seperti burung patah sayap apabila Mahathir umumkan persaraannya. Kalau ikut pepatah, ahlinya patut bertongkat paruh mengharungi perjuangan bukan dengan meracau dan merintih macam perangai Tionghua kematian saudara!!

Cuba luaskan pandangan dan tajamkan akal untuk berfikir tentang jasa-jasa Mahathir selama ini. Buat satu jadual masa dengan jasanya untuk rakyat marhaen. Catatkan dengan terang mengikut aliran masa dan bandingkan dengan nasib marhaen yang kita nampak. Kita pernah minta 5 Dasar Mahathir yang menguntungkan negara dan rakyat terutamanya orang Melayu. Mahathir pernah menjawabnya dalam sidang media akan tetapi hanya memberi 3, itupun penuh dengan penyelewengan dan rasuah serta penipuan terhadap rakyat.

Kita perlu soal Mahathir kenapa dia iri hati dan dengki sangat dengan Keistimewaan orang Melayu dan rosakkan kontrak sosial Fasal 153 Perlembagaan. Mahathir hanya mampu membebek bercerita tentang Putarjaya, Menara Kembar dan KLIA sebagai hujah betapa kita maju dan setanding Barat. Akan tetapi ia mengelak untuk bercerita tentang kenapa Pendidikan tidak boleh diberi percuma, kenapa Perkhidmatan Kesihatan masih menjadi agenda berniaga. Mahathir akan terus terdiam sekiranya kita tumpukan lagi soalan kenapa biasiswa dikurangkan, tanah rizab mengecut, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan sebagainya.

Cuba kita hitungkan betapa ruginya rakyat dengan dasar-dasar yang pernah Mahathir tonjolkan sebagai kejayaan peribadinya. Proton, PERWAJA, PLUS adalah antaranya. Cuba kita bayangkan tanpa Proton, berapa agaknya harga Toyota Corolla Altis? Nissan Sentra? Honda Accord? Kenapa pula kita perlu membayar subsidi bagi setiap kereta yang dijual ke UK? Apa jadi dengan eksport ke Turki?

Kenapakah pula kadar tol Lebuhraya PLUS yang sentiasa meningkat saban tahun sedangkan keadaan jalannya banyak yang merbahaya dengan selekoh Rothman, permukaan tidak rata dan menjadi tempat PDRM menyaman pemandu laju yang kadangkalanya mereka sengaja letakkan kon dan tanda hadlaju seperti di Lebuhraya Kemunting-Taiping?

Cuba nilai semula perbezaan harga barangan berbanding sebelum Mahathir mencengkam kuasa. Bayangkan juga berapa beza kedudukan gaji berbanding dahulu. Kita akan menyedari betapa Daya membeli kita jauh berkurangan berbanding dahulu. Kita akan nampak trenda betapa kerajaan tidak menjaga kebajikan pengguna. Regim Mahathir hanya mesra-peniaga terutamanya golongan korporat. Lihat juga bagaimana Mahthir mengeringkan tabung rakyat seperti KWSP,KWAP dan yang lebih teruk adalah Tabung Haji pun mereka korek dan selewengkan.

Apakah ahli Umno senaif itu tidak menyedari betapa rosaknya negara sekarang sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri? Apakah cukup bagi mereka dengan RM 50 dan sehelai kain pelikat untuk tempoh lima tahun? Apakah sudah seronok dengan tinggal 2-3 hari dalam bilik hotel yang dikongsi beramai-ramai? Atau pemimpinnya merasa puas menipu Perwakilan dengan Mercedes Mata Belalang atau biji kacang yang dipinjam dari Subcontractor?

Mana satukah yang akan meningkatkan daya saing Melayu antara pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau menyediakan seluas-luasnya peluang ke IPT dengan biasiswa yang terjamin?? Mana satukah yang akan memperkasakan rakyat Malaysia antara Pendidikan percuma atau Istana Putarjaya??? Bagaimana pula dengan Perkhidmatan Kesihatan yang wajar selamanya percuma??

Sekiranya anda menyedari betapa onar dan serakahnya Mahathir semasa berkuasa penuh dalam Negara dengan tidak menghiraukan nasib rakyat kecil yang hanya diperkudakan tatkala Pilihanraya menjelang tiba, untuk apa pula beberapa orang yang bertindak di luar kewarasan merentangkan banner dengan berbagai madah dan slogan yang tidak wajar langsung ditujukan kepada orang itu. Bukankah selama ini ia telah mengkhianati rakyat marhaen Negara kita??

Dr Nologareng







______________________
Terbitan : 30 Jun 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com