Saya berasa perlu untuk turut sama berkongsi maklumat dan pengetahuan setelah membaca beberapa tulisan (latahan) di Laman Kelab Maya UMNO berhubung isu Kelab-Kelab UMNO di United Kingdom dan pergerakan pelajar Al-Hizbul Islami UK & Eire (HIZBI).
Dengan tidak semena-mena, hasil beberapa artikel yang disiarkan di HarakahDaily susulan program Sidang Video yang diadakan di antara pimpinan PAS di tanahair dengan wakil pimpinan gerakan Islam di UK dan wakil pelajar HIZBI, telah menyebabkan budak-budak UMNO di UK melatah. Yang paling menarik perhatian saya ialah apabila diteliti senarai budak-budak UMNO yang melatah itu - adalah yang tiga empat kerat itulah. Maksudnya mereka yang memang amat dikenali sebagai 'barua' UMNO di UK dan yang memang dimaklumi karenah mereka.
Kelab UMNO yang Anti-Islam
Saya teringat beberapa tulisan yang pernah tersiar di laman reformasi berhubung perangai ke-komunis-an ahli-ahli Kelab UMNO. Komunis ini adalah satu fahaman dan satu kumpulan yang tidak mengiktiraf hak berugama. Mengapa sampai tahap dilabelkan Kelab UMNO di UK ini Anti-Islam walhal pada masa yang sama mereka beriya-iya menegaskan bahawa mereka juga menganjurkan aktiviti-aktiviti berunsur keagamaan ?
Seorang teman menceritakan bagaimana salah seorang barua Kelab UMNO UK, Nizam namanya, khabarnya masih budak hingusan tapi kelihatan mempunyai cita-cita politik yang tinggi. Berjawatan tinggi dalam Kelab UMNO UK, Orang No 2 selepas Kamarul Rashdan katanya. Ceritanya waktu dalam satu sessi soal jawab pernah beliau bertanya: "Dapat apa dengan Solat Hajat ….. ?" Satu kenyataan yang mengejutkan hadirin yang lain dan menyebabkan beliau sendiri akhirnya malu keseorangan. Cuba kita semua fikir sama-sama, apa jenis akidah kah yang ditanam menerusi program-program keagamaan Kelab UMNO sehingga yang 'hard core' macam si Nizam ini pun masih boleh mempertikaikan satu bentuk ibadah yang sah di sisi Islam ?
Dalam beberapa mailing list yang saya ikuti, sejak timbul isu gambar dan kelakuan sumbang pelajar IPTA, didedahkan juga bahawa masalah sosial yang berlaku dikalangan pelajar kita juga adalah tidak terhad kepada yang di dalam negara sahaja. Malah di luar negara dan di UK pun ada. Yang menariknya, dalam salah satu email yang dihantar, telah didedahkan bagaimana bersempena satu pertemuan dengan Dr Adham Baba, pelajar-pelajar Kelab UMNO di Coventry berkumpul pelajar lelaki dan perempuan satu rumah dan bersilaturahim sampai ke pagi. Bukan setakat itu sahaja dan bukan masyarakat buta mata dan tidak nampak skandal-skandal khalwat dan bersekedudukan budak-budak Kelab UMNO UK. Juga siapa di kalangan ahli Kelab UMNO ini yang kaki disko dan kaki pub. Memang yang menjadi dalang program-program maksiat di UK adalah Kelab-Kelab UMNO dan yang paling menyedihkan ialah apabila 'mazhab' mereka seolah-olah mengajar bahawa yang maksiat itu ibadah dan yang katanya ibadah tu, aktiviti parti politik pembangkang yang mesti ditentang.
Tengok Duit Kelabu Mata
Kalau nak dibongkar masalah-masalah maksiat Kelab UMNO UK ini, rasanya boleh dibuat satu buku khusus tentangnya.
Budak-budak suruhan UMNO di UK ini pun sebenarnya bukanlah betul-betul ikhlas untuk memperjuangkan UMNO. Teringat kenyataan Fuad Zakashi yang juga merupakan bekas Presiden Kelab UMNO UK di satu sessi forum yang dianjurkan oleh HIZBI beberapa tahun dahulu. Beliau berkata bahawa kedatangan beliau ke forum tersebut bukanlah untuk meyakinkan dan mengajak para hadirin untuk menyertai UMNO kerana katanya: "Saudara dan saudari telah berada dengan kumpulan yang baik dan yang sepatutnya". Boleh rujuk kepada Ustaz Abu Bakar Chik (sekarang exco kerajaan Negeri Terengganu) yang turut menjadi saksi kenyataan beliau itu.
Habis ? Kenapa Fuad Zakashi menyertai UMNO (dan masih berada di lubuk tersebut)? Jawapannya sama seperti sebab kenapa dan mengapa Kamarul Rashdan, Nizam dan lain-lain budak Kelab UMNO UK berada dalam Kelab UMNO UK - iaitu untuk mengampu dan menyapu duit Kelab UMNO UK.
Kebetulan seorang rakan bertemu saudaranya di London, dan kebetulan juga saudara beliau itu ahli dan exco Kelab UMNO juga, dapatlah cerita bagaimana beribu duit Kelab UMNO UK lesap di sapu orang-orang tertentu. Kamarul Rashdan (Haji) tentu ada jawapan kepada ke mana hilangnya beberapa ribu duit tersebut. Belajar songlap dari Annuar Musa kah ? Sudahlah duit yang mana ada kena sapu, yang tinggal pula diguna untuk program Kelab Golf dan buat bayar duit tuntutan perjalanan ketua-ketua Kelab UMNO pula. Tentu pening kepala budak perempuan yang menjaga akaun Kelab UMNO di London. Mazhab mana pula dalam Kelab UMNO yang mengatakan boleh makan duit secara 'haram' ? Mungkin Haji Kamarul Rashdan boleh menjawabnya.
Mengapa HIZBI ?
Sekarang barulah masuk tajuk penulisan ini, Mengapa HIZBI yang seolah menjadi sasaran UMNO dan kerajaan Barisan Nasional sekarang? Jawapan yang mudah ialah sebagai memuaskan hati pemimpin Parti UMNO yang kecut perut dan takut terketar-ketar dengan berterusan meningkatnya sokongan golongan berpendidikan dan professional kepada PAS dan Barisan Alternatif. Di tambah pula dengan dendam peribadi budak-budak Kelab UMNO yang tidak suka kepada dakwah dan program keagamaan yang dianjurkan samada oleh HIZBI atau mana-mana kumpulan lain.
Dan yang sebenarnya menjadi mangsa (dan akan menjadi mangsa) kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Kelab UMNO kepada Kera-jaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan (ingat, Bapak Konspirator di sana !) bukanlah sebenarnya kepimpinan dan ahli 'hard core' HIZBI sahaja. Malah ahli-ahli Majlis Syura Muslimun, MISG-ABIM, pelajar-pelajar biasa yang berminat kepada program-program keagamaan telah dan akan turut menjadi mangsa kepada laporan yang dibuat. Ingatkan di UK yang mana mengamalkan kebebasan memilih maka bolehlah diikuti pelbagai program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, tapi malangnya muncul Kelab UMNO yang menghalang golongan pelajar daripada mempunyai pemikiran yang kritis dan terbuka dan memaksa mereka tunduk patuh kepada Kelab UMNO atas alasan - 'Pelajar Tajaan'.
Ada khabar yang mengatakan bahawa Kelab UMNO UK telah mula berbaik-baik dengan pihak MISG-ABIM dan mempunyai beberapa agenda tersembunyi untuk memperalatkan MISG-ABIM bagi berhadapan dengan HIZBI, MSM dan lain-lain kumpulan pelajar yang pro-reformasi. Ingatlah wahai rakan-rakan dalam ABIM, jangan termasuk perangkap yang telah dipasang !!! Jangan kerana MISG-ABIM tampak lemah maka dengan berbaik-baik dengan Kelab UMNO diingat dapat ditambahkan bilangan ahli. Kalau setakat itu yang dikejar, apalah sangat pulangannya nanti. Jangan sampai MISG-ABIM ditakluk oleh Kelab UMNO pula !!!
Kelab UMNO UK ibarat budak-budak main guli lalu kalah, terus menangis dan mengadu kepada bapaknya mengatakan si polan si polan telah menewaskan mereka. Minta tolong bapaknya ambilkan tindakan. Cuma seorang bapa yang tidak menyiasat hujung pangkalnya sahaja akan tergopoh gapah mengenakan tindakan ke atas budak yang satu lagi. Kelab UMNO UK yang telah kalah hujah dan tidak mampu berdepan dengan HIZBI dan kumpulan-kumpulan Islam dan Pro-Reformasi lain UK kini mengadu dan meminta tolong si bapaknya untuk mengenakan tindakan ke atas lawannya. Aci atau tak aci ? Senonoh atau tak senonoh perangai sebegini ? Jantan atau betina berperangai begini ? Kalau betul Kelab UMNO UK benar, berlawanlah dengan hujah dan bukan dengan taktik sebegini.
Lawan Tetap Lawan !
Dr.SAM
England
______________________
Terbitan : 6 Jun 2002
Ke atas
Home