1. Pengumuman Dr Mahathir yang dibuat secara mendadak di akhir Perhimpunan
UMNO memberi kesan kepada Perhimpunan dan juga orang ramai bahawa beliau
hendak meletakkan jawatan serta merta. Nyata sekarang ini beliau akan terus
sebagai PM, Presiden UMNO dan Pengerusi BA selama lebih kurang satu setengah
tahun lagi. Kita hanya mendengar kenyataan MT. Oleh kerana belum jelas lagi
mengapa beliau mengambil keputusan mendadak ini, dan sekarang ini kita
diberitahu beliau mengubah fikirannya pula, maka masih perlu Dr Mahathur
membuat kenyataannya sendiri untuk menenangkan suasana. Jikalau tidak akan
kelihatan semacam Mahathir mula-mula telah “dipaksa” meletakkan jawatan dan
seolah-olah satu “coup” telah berlaku dalam pimpinan UMNO.
2. Tempoh peralihan setahun setengah sebelum melepaskan semua jawatan nanti
jelas bukan berasaskan suatu perancangan yang telah difikirkan terlebih
awal. Akan tetapi ia merupakan tolak ansur yang dicapai antara MT (Majlis
Tertinggi) dengan Mahathir. Kelihatan tolak ansur ini merupakan satu cara
untuk menyelamatkan air muka Mahathir, dan pada masa yang sama untuk memberi
masa kepada sesiapa yang akan mengambil alih untuk membuat persiapan. Pada
masa yang sama ia memberi juga peluang kepada Mahathir untuk menjadi tuan
rumah kepada dua persidangan yang besar tahun depan, dan juga melakukan apa
saja untuk melindungi kepentingan serta keselamatan semua kroni penting
beliau dan memastikan Anwar Ibrahim terus meringkuk dalam penjara.
3. Masa setahun setengah itu adalah panjang dan macam-macam boleh berlaku.
Oleh kerana beliau terus sebagai PM dan UMNO nampaknya sangat-sangat
memerlukannya, Mahathir boleh menjadi pemimpin yang sangat berkuasa. Mungkin
beliau boleh mengubah fikiran sekali lagi. Tetapi sebaliknya, dalam tempoh
itu, iaitu dalam bulan Jun 2003, UMNO akan mengadakan Perhimpunan untuk
memilih pimpinan baru. Tentu akan berlaku perebutan kuasa, kerana siapa saja
menjadi Presiden UMNO yang baru akan menjadi PM pengganti Mahathir. Proses
ini akan mengakibatkan perpecahan yang tidak boleh tidak akan melemahkan
lagi UMNO. Ini juga akan menjejaskan kedudukan Mahathir. Nampaknya Mahathir
dan UMNO sedang menuju ke penghujung jalan dalam politik negara.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
25 Jun 2002
______________________
Terbitan : 26 Jun 2002
Ke atas
Home