Oleh HELMI KHALID
ANAK BUKIT, 29 Jun 2002 (Hrkh) - Almarhum Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor menjadi milik rakyat dan perjuangan Islam selama 13 tahun, sementara beliau hanya dimiliki oleh keluarganya selama 13 hari sahaja iaitu semasa beliau terlantar di hospital.
"Tetapi kami tidak pernah kesal bahkan redhanya," kata anak kedua Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor, Dr. Ammar Fadzil.
Katanya, ini adalah suara hati semua anak-anak Almarhum dan mereka bersyukur kerana ayahanda mereka semasa hayatnya benar-benar berjuang demi memartabatkan Islam di negara ini.
"Sebagai anak-anak kami tidak merasakan kami tidak diberi tumpuan, tetapi di musim pilihanraya terutamanya kami berkongsi gembira dengan semua rakyat terutamanya yang cintakan perjuangan Islam meraikan setiap kejayaan yang dirintis beliau dan pimpinan PAS yang lain," ujarnya lagi.
Katanya, Almarhum mula dipilih sebagai Presiden PAS pada tahun 1989 hingga ke tahun 2002 sementara mereka sekeluarga tidak berpisah dengan Almarhum bermula 10 hingga 23 Jun 2002 (13 hari) iaitu sehingga jam 10.30 pagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili keluarga Almarhum dalam Majlis Tahlil Perdana yang diadakan pada 28 Jun 2002 di Markaz MTD Anak Bukit, Jalan gunong Keriang, di sini.
Beribu-ribu ahli dan penyokong Almarhum menyertai majlis tahlil perdana tersebut.
Turut sama dalam majlis ini termasuk, Setiausaha Agong PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Razak yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, AJK PAS Pusat, Dr. Abdul Wahab Ismail, Ketua Penerangan PAS Kedah, Ir. Haji Phahrolrazi Zawawi yang juga pemangku YDP PAS Kawasan Kuala Kedah.
Sementara itu, Ustaz Azizan dalam ucapannya mengajak semua ahli serta petugas PAS memainkan peranan penting untuk sama-sama mempertahankan kerusi Dun Anak Bukit bagi menjaga maruah kerusi yang pernah diwakili Almarhum Dato' Presiden.
Ustaz Nasharuddin pula menyatakan sepanjang beliau bertugas bersama Almarhum, Ustaz Fadzil adalah seorang pemimpin yang cukup tenang, bersederhana dan tegas dalam menyelesaikan sesuatu tugas.
______________________
Terbitan : 30 Jun 2002
Ke atas
Home