Oleh : hidayaty78@yahoo.com
Dilema gerakan mahasiswa dan kepimpinannya terus menjadi satu enigma.Masyarakat melihat gerakan mahasiswa kini setelah Akta Kolej Universiti 1974 diperkenalkan seolah-olah mempunyai “lacuna” atau kekosongan yang jelas.Gerakan mahasiswa dipersoalkan kerana kelihatan lembik dan layu.Mahasiswa tidak lagi boleh diharapkan untuk memperjuangkan isu masyarakat.Mahasiswa membela kembali diri dengan jawapan bahawa setiap generasi adalah berbeza cara dan bentuk perjuangannya.Di antara celahan persoalan kepimpinan mahasiswa generasi Akujanji yang terus memberikan pelbagai jawapan ini, terselit satu rasa kebimbangan terhadap satu golongan yang memonopoli kehidupan kampus iaitu mahasiswi.Hakikat bahawa golongan ini merupakan majoriti kepada warga kampus tidak menampakkan meningkatnya kepimpinan mahasiswi.
Dimana sebenarnya kepimpinan mahasiswi sekarang terutamanya mahasiswi Islam? Kalau pada masa generasi Saudara Zaharuddin kepimpinan mahasiswi sekadar kelihatan membuntuti isu-isu yang dimainkan oleh kepimpinan mahasiswa tetapi generasi mahasiswi kini terus lenyap tanpa bayangan.Fenomena mahasiswi “missing in action “ ini amat merugikan kerana suasana negara pada hari ini amat memerlukan perhatian dari intelektual-intelektual wanita di menara gading.Apatah lagi isu-isu terkini masyarakat yang memerlukan wacana pemikiran mahasiswi.Isu sumbang mahram, peningkatan kes rogol dan peningkatan jumlah anak-anak yang dikategorikan tidak sah taraf tidak boleh terus dipandang sepi.Penulis juga merupakan seorang mahasiswi dan pernah menjadi pemimpin bagi warga mahasiswi di kampus.Oleh itu penulis memahami bahawa setiap kepimpinan mahasiswi disetiap kampus mempunyai komitment besar masing-masing. Setiap kampus berbeza situasi ,suasana dan juga masalahnya.Namun penulis berpendapat bahawa selagi terdapat sempadan diantara satu kampus dengan kampus yang lain dan pepatah”masalah kau adalah masalah kau dan masalah aku adalah masalah aku” diamalkan, kepimpinan mahasiswi akan terus mandom walaupun terdapat pelbagai wasilah yang cuba mengabungkan kepimpinan mahasiswi seluruh negara hatta seantero dunia sekalipun.
Satu lagi faktor yang memungkin kemunduran gerakan mahasiswi adalah kerana kurangnya kajian terhadap sesuatu isu atau konflik sosial yang dijalankan oleh mahasiswi.Kajian yang menuntut satu fakta primer bukan sekunder.Walaupun pahit dan mencalar ego, hakikatnya perlu diakui bahawa mahasiswi sentiasa keterbelakang dalam memperolehi fakta yang “up to date”.Oleh itu kepimpinan mahasiswi terlalu bergantung kepada isu-isu atau idea-idea yang telah diluahkan oleh kepimpinan kerajaan atau bukan kerajaan.Paling tidak pun mengambil isu yang telah dicanangkan oleh kepimpinan mahasiswa.Tanpa kajian sudah tentulah pemikiran yang kritis tidak terhasil apatah lagi sebarang tindakan yang mampu menampakkan fungsi kepimpinan mahasiswi dalam mass kampus khasnya dan masyarakat luar kampus umumnya. Kajian pula tidak harus hanya tinggal sekadar kajian untuk pembentangan mesyuarat semata-mata. Kajian perlu disusuli dengan tindakan yang sewajarnya .
Tidak dinafikan juga bahawa kengkangan Akta Universiti Kolej dan ditambahkan pula dengan perjanjian tidak munasabah Akujanji merupakan satu ancaman terhadap fungsi kepimpinan mahasiswi.Penulis ingin memetik satu maxis undang-undang yang berbunyi “We cannot broke the law but we can bend the law”yang bermaksud kita tidak boleh mematahkan undang-undang tetapi kita boleh bengkokkan ia.Kepimpinan mahasiswi perlu bijak dalam menghadapi sebarang undang-undang.Jangan terus biarkan kepimpinan mahasiswi dirantai dengan ancaman-ancaman yang tidak munasabah.
Tiba masanya mahasiswi menyerlahkan kepimpinan mereka. Bukan lagi sekadar menjadi kepimpinan kampus yang hanya mengeluarkan risalah wanita solehah tetapi turut mampu membuka mata masyarakat dengan pendapat global tersendiri.Kepimpinan mahasiswi kini tidak boleh lagi sekadar sebagai tempelan yang memenuhi jawatan persatuan atau sekadar penyeri mesyuarat.Kepimpinan mahasiswi mesti terus kehadapan seiring dengan tuntutan masyarakat.
______________________
Terbitan : 3 Jun 2002
Ke atas
Home