Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah
kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak
dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata
balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan.
Perjuangan Islam menuntut bukan setakat masa, tetapi
jiwa dan raga, pengorbanan dari segi harta dan
kedudukan malah adakalanya menghambat nyawa. Firman
Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 15 yang
bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang
yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya
kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran
Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta
benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah,
mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan
imannya)”
Itulah semangat yang ditunjukkan oleh umat-umat Islam
terdahulu dan segelintir pejuang-pejuang Islam
sekarang tanpa mengira lelaki ataupun perempuan.
Malah orang yang mula-mula syahid dalam mempertahankan
Islam pada zaman Rasulullah s.a.w adalah seorang
wanita, Sumaiyah dari keluarga Yasir.
Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, apa yang
ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah penghayatan
kepada kalimah tauhid dan pembersihan dari sebarang
bentuk syirik. Terbukti insan-insan yang bersih
hatinya dari kesyirikan serta jelas ilmu mereka
mengenai ketauhidan Allah s.w.t, dapat memperjuang dan
mempertahankan Islam walau datang beribu rintangan
sekali pun.
Insan-insan dari jenis inilah yang perlu ada di
kalangan pejuang-pejuang Islam kini, termasuk wanita.
Peranan wanita adalah amat penting dan besar sekali
dalam perjuangan Islam kerana mereka merupakan
pendidik anak-anak yang boleh dibentuk menjadi satu
generasi pembela Islam yang amat diperlukan.
Sifat fizikal wanita yang lebih lemah daripada kaum
lelaki terbukti bukanlah satu alasan untuk tidak
terbabit dalam memperjuangkan Islam. Tetapi
tanggungjawab menegakkan Islam turut terpikul di bahu
mereka, mengikut kemampuan serta batasan yang
ditentukan Allah s.w.t.
Bila memperkatakan wanita dalam perjuangan Islam, maka
biasanya kita tidak dapat lari dari peranan yang
mereka mainkan dalam membentuk keluarga muslim. Dari
unit keluargalah tanggungjawab mereka bermula.
Mendidik anak-anak memahami erti Islam sebenar,
menyemai benih iman sejak kecil, mencorakkan akhlak
mulia, selanjutnya menanamkan semangat memperjuangkan
dan mempertahankan Islam dalam diri mereka.
Tugas ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tugas umum
wanita, iaitu mendidik anak-anak serta menguruskan
rumahtangga. Tetapi wajar dititik beratkan sebagai
tanggungjawab muslimah dan sumbangan atau jihad mereka
dalam Islam. Bila tugas-tugas ini dikaitkan dengan
jihad Islam, maka sewajarnya ia dijalankan dengan
penuh kerelaan dan dipikul sebaik-baiknya.
Urusan mewujudkan rumahtangga muslim dan mendidik
generasi Islam yang beriman, berakhlak mulia serta
bersemangat jihad merupakan tugas utama wanita.
Bagaimanapun tidak bermakna mereka tidak boleh
memperjuangkan Islam dengan cara lain bila keadaan
memerlukan.
Pada zaman Rasulullah s.a.w para muslimat bukan hanya
berfungsi sebagai penghias rumah atau melahirkan
zuriat semata-mata. Tetapi mereka berperanan membantu
kaum lelaki dalam jihad menegakkan Islam, meniup
semangat kepada mereka dengan meredhai perjuangan
suami malah bila diperlukan mereka bersama-sama kaum
lelaki dalam pertempuran.
Begitulah semangat perjuangan yang mereka tunjukkan,
mereka pertahankan agama Allah dengan nyawa dan bukan
sekadar seorang suami, bapa, anak-anak atau saudara
sedarah sedaging.
Sekiranya sekarang kita dapat mewujudkan
muslimah-muslimah sebegini, Insya-Allah satu generasi
pejuang Islam yang tidak gentar menghadapi musuh dapat
dibentuk.
Peranan wanita dalam memperjuangkan Islam tidak
sepatutnya hanya tertumpu kepada soal rumahtangga
semata-mata. Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan
oleh mereka yang masih belum bersuami, tidak mempunyai
anak atau anak-anaknya sudah dewasa dan tidak
memerlukan banyak penjagaan lagi?
Tenaga mereka amat diperlukan dalam perjuangan Islam.
Mereka boleh bergiat dalam masyarakat, menjalankan
dakwah; memberi kesedaran dan ilmu Islam kepada
masyarakat sejenisnya yang masih belum mengenali
Islam. Perkara ini amat perlu ditekankan kerana
terdapat kecenderungan di kalangan ahli jamaah yang
meluangkan waktu untuk mempengaruhi ahli jamaah Islam
lain untuk menyertai jamaahnya. Tindakan seumpama ini
tidak langsung menguntungkan Islam, kerana dakwah
Islam perlu sampai kepada semua peringkat masyarakat,
terutama mereka yang masih belum memahami apakah Islam
sebenar.
Wanita perlu didedahkan dengan masalah sebenar
masyarakat Islam dalam menghadapi musuh. Mereka perlu
menyedari bahawa wanita mempunyai kuasa dan tenaga
tersendiri untuk memperjuangkan dan melaksanakan Islam
dalam berbagai bidang, termasuk dalam menegakkan
Daulah Islamiyyah.
Tidak timbul persoalan bahawa bidang politik adalah
bidang orang lelaki kerana setiap muslim atau muslimah
itu mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk
sama-sama berusaha untuk menegakkan sebuah negara
Islam. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 71
yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan
sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas
sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang
ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan
sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada
Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat
oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana”
Di dalam negara yang majoriti undinya adalah di tangan
wanita, para muslimah hendaklah lebih giat membantu
kaum lelaki dengan memberi kesedaran kepada kaum
sejenisnya untuk memberi sokongan kepada golongan yang
memperjuangkan Islam. Mereka perlu menyakinkan
golongan yang masih tidak menyedari atau meyakini
bahawa pemerintahan berteraskan Islam adalah yang
terbaik.
Untuk menjalankan usaha ini, para Muslimat hendaklah
membuat persediaan awal. Kerja-kerja dakwah sebegini
tidak mungkin dapat berjalan lancar sekiranya kita
tidak mempunyai ilmu dan hikmah. Kerana tanpa ilmu dan
hikmah, bukan sahaja kita tidak mampu meyakinkan
mereka, tetapi mungkin juga membawa perpecahan.
Selain itu juga, muslimah-muslimah yang terbabit dalam
memperjuangkan Islam mestilah sentiasa beristiqamah
dengan perjuangan. Tidak bersikap hangat-hangat tahi
ayam, aktif semasa bujang, tetapi meninggalkan terus
perjuangan setelah berumahtangga.
Alangkah ruginya jamaah sekiranya ramai muslimat
bersikap begini. Mereka hendaklah terus berjuang
sedaya mungkin kerana kerja-kerja dakwah itu tidak
sepatutnya terhenti atas alasan sudah berkahwin. Yang
penting ialah mereka bijak mengurus masa dan tidak
mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu
dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.
Sebagai muslimah-muslimah yang yang memilih untuk
memperjuangkan Islam melalui jamaah maka kita perlu
mengetahui dengan mendalam mengenai apa yang
dikehendaki oleh jamaah. Kita hendaklah beriltizam di
tempat bertugas dan setiap suasana hidupnya hendaklah
diselaraskan dengan kebaikan dan kepentingan amal
dakwah. Setiap amalnya harus menjadi alat dakwah dan
usaha atau aktiviti dakwahnya tidak sepatutnya
dilemahkan oleh sesuatu perkara lain.
Apa yang penting ialah setiap muslimah yang terbabit
dalam perjuangan Islam mestilah memahami dengan jelas
matlamatnya dan menepati al-Quran dan Hadith. Mereka
mestilah bersedia dengan ilmu, kerana tanpanya segala
usaha perjuangan Islam tidak mungkin dapat dijayakan.
Firman Allah di dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang
bermaksud:
“…Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui
dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”.
Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima
pelajaran”
Firman Allah lagi di dalam surah Al-Mujadalah ayat 11
yang bermaksud:
“…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di
antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu
pengetahuan beberapa darjat…”
Selain daripada itu, para muslimat juga mestilah
mempunyai ketahanan iman, sabar, istiqamah dalam
menjalankan amal dan berani. Baginya tempat
pergantungan sebenar bukanlah daripada orang yang
berkuasa di dunia, suami atau orang lain, tetapi Allah
s.w.t. Firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat
55-56 yang bermaksud:
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya
dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat
dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada
Allah). Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya
dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka
sesungguhnya Golongan Allah itulah yang pasti Menang”
Peranan wanita dalam perjuangan Islam sememangnya
bermula dalam ruang rumah bersama ahli-ahli keluarga;
iaitu suami dan anak-anak. Tetapi tidak bermakna kaki
dan tangan mereka terikat di luar rumah sehingga tidak
boleh digerakkan untuk kepentingan masyarakat luar,
khususnya di kalangan wanita sendiri.
Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 35:
“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang beriman,
laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan
perempuan yang tetap dalam keta’atannya, laki-laki dan
perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang
sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki
dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan
perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang
memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang
banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan
untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”
MENGORAK LANGKAH MEMIMPIN UMMAH
Mujahidah Islam
______________________
Terbitan : 21 Jun 2002
Ke atas
Home