Kemungkinan DAP dan PAS ( juga Keadilan.dan PRM ) mengadakan semula satu bentuk pakatan dan kerjasama dalam pilihanraya raya umum akan datang bagi menumbangkan kekuasaan kerajaan ( Umno/ BN ), bukan suatu perkara mustahil berlaku. Sekiranya ia benar-benar berlaku, sudah pasti Umno/ BN akan sentiasa dibayangi oleh berbagai gambaran mimpi buruk . Pemimpin-pemimpinnya juga akan segera melatah tidak tentu pasal, di samping mengeluarkan berbagai kenyataan putar belit untuk mengabui fikiran rakyat agar terus memberikan sokongan.
Kepada DAP yang pernah bekerjasama dalam pakatan BA pada pilihanraya umum lalu dan berjaya mengurangkan kekuasaan Umno/ BN di dewan undangan negeri / parlimen, patut memikirkan semula tindakan mereka keluar dari pakatan BA. Alasan mereka keluar remeh temeh iaitu semata-mata kerana berbeza pahaman politik dan menentang hasrat PAS hendak mewujudkan negera Islam . Rakyat bertanya : Bukankah hasrat PAS itu belum lagi dilaksanakan ?. Jadi kenapa bersikap terburu-buru dan terus bertindak tanpa memikirkan kesan buruk baiknya?. Sekiranya DAP benar-benar menetang penubuhan negara Islam, apa yang DAP telah lakukan untuk menentang Umno/ BN di bawah pimpinan Dr. Mahathir yang telahpun mengisytiharkan Malaysia sebagai negera Islam baru-baru ini ?…..
Kerana itu , rakyat berharap kepada pemimpin-pemimpin DAP supaya dapat menggunakan pendapat bernas dan fikiran yang tenang serta terbuka. Berfikirlah secara kenyataan, bukan berfikir kerana hendak mempertahankan ego pemimpin / parti hingga merugikan diri sendiri dan rakan parti pembangkang dalam pakatan BA. DAP perlu sedar dan insaf, pemimpin Umno/ BN memang merasa amat bersyukor sekiranya DAP terus hidup berseorangan untuk menentang Umno/ BN pada pilihanraya umun akan datang, supaya mudah mereka mengganyangnya sampai lumat. Mengikut logik akal orang tak cerdik pun, kalau satu berlawan dengan kumpulan yang ramai, pasti yang satu itu teruk kena belasah ( kalaupun dia menang ) . Apalagi kalau mahu diumpamakan durian menggelek timun !.
Masa untuk ' rujuk ' semula kepada pakatan BA bagi DAP masih belum terlambat. Masa untuk berfikir / berbincang sesama pemimpin DAP juga masih ada. Yang penting jangan tunggu maut sudah sampai ke pangkal leher, baru mahu berunding. Waktu itu , perancangan baik pun sudah pasti tidak dapat dilaksanakan secara sempurna dan teratur. Akhir……menerima kegagalan !.
DAP juga perlu berfikir serta menginsafi kembali selain melihat bagaimana PAS dan Keadilan / PRM yang menjadi pakatan BA, mereka tidak lokek dengan bantuan/ sokongan ketika berkempen menyokong calon DAP dalam pilihanraya kecil Ketari, Pahang yang disertainya tidak lama dulu . Kalau hendak ikutkan perasaan, sepatutnya parti-parti tersebut membiarkan sahaja DAP berseorangan melawan ' gergasi ' dalam pilihanraya itu ( kerana sudah tiada ikatan permaufakatan lagi ). Sepatutnya juga DAP merasa 'malu' dengan rakan yang telah ditinggalkannya, masih mahu berkunjung membantu ketika dia berada dalam kesusahan dan perlukan bantuan !.
Oleh itu rakyat menyarankan kepada Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh ( dan pemimpin-pemimpin DAP yang lainnya ) , yang sudah mula menunjukkan tanda-tanda berminat hendak kembali semula bersama dalam pakatan BA, bolehlah meneruskan hasrat tersebut dengan menterjemahkannya melalui tindakan secepat mungkin. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor pasti tidak akan menaruh ' dendam ' kepada DAP jika bentuk kerjasama seperti dulu boleh mengulangi kejayaan pilihanraya umum 1999 kepada pakatan BA ( malah lebih lagi hendaknya ).
Rakyat yang bencikan kezaliman-kezaliman Umno/ BN di Malaysia ini sedang menunggu tindakan DAP selanjutnya bagi menjadikan mimpi-mimpi ngeri Umno/ BN benar-benar berlaku dan menjadi kenyataan…….
NAKDESADIKOTA
______________________
Terbitan : 6 Jun 2002
Ke atas
Home