MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Senario Selepas Mahathir

Oleh Hassan Karim

Umno dalam keadaan terkejut. Sebuah parti besar yang mempuyai anggota seramai 3 juta orang tiba-tiba berasa cemas. Layar telivisyen memancarkan ke seluruh negara ke setiap rumah yang menontonnya bagaimana gelagat gelabah dan panik para pemimpin Umno lain ketika Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya. Dari Timbalan Presiden sehinggalah ahli MT dan para perwakilan bertidak sebagai anak-anak ayam kehilangan ibu, menjerit, melaung terpekik-terlolong, betul-betul hodoh di depan lensa kamera telivisyen yang menyiarkan secara langsung.

Mengapa ini terjadi? Adakah kerana kasih sayang yang teramat sangat terhadap Mahathir atau ada sesuatu sebab lain?

Tidak siapa menafikan Umno parti yang mempunyai keahlian yang ramai. Umno adalah parti politik terbesar di tanah air mungkin juga di rantau ini. Tetapi ada yang tidak seimbang dalam perkembangan Umno. Keahliannya sahaja yang ramai tetapi kepimpinannya merosot dari segi kualiti dan ketrampilan. Mengapa hal sedemikian berlaku?

Sepanjang 21 tahun Mahathir menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, dia telah membina satu empire sendiri yang tidak memberi ruang kepada saingan politiknya yang lain. Ramai pemimpin Umno lain yang berbakat, berkarisma berkebolehan selama dua dekad ini telah diketepikan satu demi satu. Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim antara contoh pemimpin-pemimpin Umno yang tersingkir dalam usaha Mahathir mengekalkan supremacynya di dalam Umno sebagai pemimpin yang tidak boleh dicabar sama sekali.

Akhirnya, selepas 21 satu tahun menerajui sebuah parti sebesar Umno yang menjadi tunggak kerajaan BN yang memerintah, Mahathir hanya dikelilingi oleh functionary-functionary (petugas-petugas) sahaja, iaitu mereka yang berbakat sebagai pentadbir dan pelaksana dasar-dasar selaku menteri-menteri, tetapi bukannya sebagai pemimpin politik yang berwibawa yang ada kepimpinan dan wawasan. Justeru itu, dalam Umno yang tidak ada tokoh-tokoh besar lain yang berada dalam kelas heavyweight seperti Mahathir, maka kebolehan Mahathir begitu menonjol sebagai pemimpin utama. Ini kerana yang lain-lain tidak ada wibawa sebagai pemimpin. Rata-rata mereka adalah tukang angguk, pak turut dan tidak menampakkan sebarang wawasan atau idealisme sendiri.

Lalu, di bawah kepimpinan tokok autokrat yang keras seperti Mahathir, yang terhimpun begitu besar kuasa eksekutif seperti yang dimiliki Mahathir, memang tidak akan tumbuh kepimpinan baru yang segar dan memiliki ciri kepimpinan individu yang tersendiri. Seperti fitrah alam, di bawah pohon beringin yang besar dan rimbun tidak akan hidup tumbuhan yang lain. Misalnya, Musa Hitam pernah wujud. Gagasan 2M dicemburu Mahathir lalu Musa akhirnya tersingkir selepas mula-mula merajuk dan kemudian melawan. Musa tewas dan hilang. Tengku Razaleigh juga mencabar dan menentang Mahathir. Dia juga gagal dan kecundang. Kemudian Anwar Ibrahim memberanikan diri mulai mengembangkan sayap dan pengaruhnya. Pemimpin generasi 60an ini yang mahu berdiri bebas sebagai pemimpin yang ada visi dan idealisme sendiri juga cuba membawa perubahan di dalam Umno dan kerajaan. Anwar dicemburi lalu difitnah, disingkir dan dipenjarakan secara zalim. Kini Anwar Ibrahim menderita sakit di dalam penjara.

Jadi Umno kini yang kekurangan pemimpin-pemimpin dalam kelas heavyweight setanding Mahathir, berada dalam keadaan ketakutan. Di kalangan kepimpinan tertinggi Umno di dalam MT sendiri kelihatan amat nyata bahawa mereka tidak yakin sesama sendiri selepas Mahathir tiada. Apabila Tunku Abdul Rahman meletak jawatan pada tahun 1970, selepas Tragedi 13 Mei, Umno ketika itu, ada Tun Razak yang telah lebih 13 tahun dilatih sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno. Proses peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan selepas Tunku berjalan lancar. Tetapi apabila Tun Razak meninggal dunia secara mengejut di London pada tahun 1976, Umno dan negara tiba-tiba berada dalam keadaan cemas. Ini kerana pengganti yang sebenarnya diatur dan dirancang selepas Tun Razak iaitu Tun Dr Ismail Abd Rahman, telah meninggal dunia dua tahun lebih awal dari Tun Razak. Tun Hussein Onn yang menggantikan Tun Dr Ismail bukanlah seorang tokoh politik yang kuat dan punya karisma kepimpinan yang setanding Tun Razak ataupun Tun Dr Ismail. Maka tak hairanlah Tun Hussein Onn berada dalam keadaan tidak bersedia dan beliau menangis apabila mengumumkan berita kematian Tun Abd Razak di telivisyen.

Lalu, di bawah kepimpinan yang lemah semasa Tun Hussein Onn menjadi Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri telah berlakulah perebutan kuasa yang amat hebat di dalam Umno. Wujud beberapa puak yang mahu merebut kuasa dalam Umno dan kerajaan. Tokoh-tokoh seperti Ghazali Shafie, Harun Idris, Jaafar Albar telah bergabung dan bersekongkol dalam satu kumpulan yang dicap sebagai kanan. Manakala Mahathir, Musa Hitam, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid dicap golongan kiri dalam Umno. Dalam perebutan kuasa itu tuduhan-tuduhan wujudnya golongan sosialis dan komunis dalam Umno telah berlaku. Golongan kanan yang diketuai oleh Menteri dalam Negeri ketika itu didakwa telah menggunakan polis, khususnya Cawangan Khas untuk mengejar dan mengeheret tokoh-tokoh Umno yang dianggap kiri, radikal, yang dituduh sosialis atapun komunis. Dua tokoh Umno berjawatan Timbalan Menteri ketika itu telah ditahan di bawah ISA. Malah, Dr Mahathir Mohamad sendiri, nyaris-nyaris menjadi mangsa ISA kerana wujudnya konspirasi yang didalangi oleh Menteri Dalam Negeri waktu itu yang cuba mengaitkan Mahathir dengan unsur-unsur bawah tanah komunis.

Pengalaman ngeri inilah yang membimbangi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno sekarang. Mereka takut sejarah hitam dalam Umno akan berulang lagi dengan peristiwa berebut kuasa sebaik sahaja Mahathir berundur dari kepimpinan Umno. Tahun depan adalah tahun pemilihan kepimpinan Umno. Apakah Najib yang telah dipintas oleh Abdullah Badawi sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri tidak bercadang untuk mencabar Abdullah dalam pemilihan akan datang? Apakah Tengku Razaleigh Hamzah seorang tokoh Umno yang telah pudar dan discredited apabila kembali merujuk ke dalam Umno tidak akan tampil ke depan untuk memberi saingan dalam kepimpinan Umno. Bagitu juga, Apakah Musa Hitam akan terus duduk di luar gelanggan Umno selepas ketiadaan Mahathir? Selain itu, adakah tidak mungkin ada di kalangan Umno yang cuba menghantar wakil-wakilnya untuk merisik khabar bekas Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang kini menderita sakit dan terpenjara secara zalim oleh Mahathir di Sungai Buloh?

Sebagai perbandingan, apabila Tun Hussein Onn meletak jawatan, Umno dan kerajaan dalam keadaan yang bersedia kerana ada pengganti Tun Hussein Onn yang juga bersedia untuk mengambil alih teraju kepimpinan. Tokoh itu ialah Dr Mahathir Mohamad, seorang pemimpin ketika itu yang menjanjikan pembaharuan, dan kepimpinan yang dinamis. Tetapi setelah selama lebih 20 tahun berkuasa, Mahathir telah mengecewakan rakyat. Malahan, Mahathir juga berundur sebagai seorang pemimpin yang kecewa. Dia sebenarnya telah gagal. Impiannya gagal. Falsafah pembangunannya gagal.

Mahathir hanya meninggalkan lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Menara Kembar, Putrajaya dan rumah Perdana Menteri yang tersergam, Litar F1 di Sepang, KLIA dan sebagainya. Itu saja, segala mercu tanda pembangunan infrastruktur yang disamaertikan dengan pembangunan.

Tetapi pembangunan sebuah negara bangsa seperti Malaysia bukan sekadar pembangunan infrastrukur semata-mata. Ia melibatkan pembangunan sosial dan manusia. Di sini kegagalan Mahathir. Perdana Menteri keempat itu kini meninggalkan sebuah kerajaan dan pemerintahan yang melindungi dan merestui perasuah-perasuah. Sampai ke saat Mahathir ingin meletak jawatan, skandal Perwaja tidak diselesaikan secara bertanggungjawab sedangkan lebih 10 bilion ringgit wang negara hilang lesap. Tak seorang pun yang terlibat telah didakwa dan dibicarakan. Hendak tunggu sampai kucing bertanduk?

Begitu juga, Mahathir telah meninggalkan satu episod yang sukar dimaafkan apabila memperlakukan secara bukan sahaja tidak adil tetapi amat zalim terhadap Anwar Ibrahim, bekas timbalannya sendiri. Segala sinar gemerlapan dan pujian melangit akan kehebatan dan ketrampilan Mahathir sebagai pemimpin unggul di Malaysia, di rantau sebelah sini dan di dunia ini yang diwar-warkan oleh para penyokongnya akan kelihatan pudar dan hodoh apabila didekatkan dan dibandingkan dengan rekod kekejaman tokoh eksekutif nombor satu itu yang dilakukannya terhadap Anwar Ibrahim.

Walau bagaimana hebatpun kuasa eksekuitf yang melampaui batas yang terkumpul di tangan Mahathir selama 21 tahun ini dengan ISA sebagai belenggu dan cemeti yang telah disalahgunakan sepanjang tempoh kepimpinannya ternyata tidak akan menyelamatkan Umno dan BN selepas Mahathir pergi.

Senario selepas Mahathir amat menakutkan kepimpinan Umno yang tinggal. Abdullah Badawi atau sesiapa sahaja yang menggantikan Mahathir akan menghadapi orang Melayu yang telah dihina dan dimalukan oleh Mahathir dihujung tempoh kekuasaannya selepas sebahagian besar orang-orang Melayu setia dan memberi peluang Mahathir selama 21 tahun menjadi pemimpin mereka. Mahathir seperti orang yang meludah ke langit. Di hujung lidah Mahathir, orang-orang Melayu telah dipersenda sebagai satu bangsa pemalas, tidak berwawasan; satu bangsa yang hanya tahu mengharapkan tongkat dan keistimewaan.

Sedangkan hakikat sebenarnya di hujung pemerintahan Mahathir sudah tidak ada apa lagi segala hak dan keistimewaan Melayu yang tinggal selepas lebih dua puluh tahun di bawah Mahathir kekayaan dan khazanah negara telah dengan rakusnya dikaut, diagih-agihkan malah dibolot oleh suku sakat dan kroni-kroni Mahathir, Daim dan elit sekelas dengannya. Orang-orang Melayu bukan dari suku sakat dan kroni-kroni mereka masih hidup miskin dan melarat dan kini dituduh pemalas dan tidak mahu berubah, satu tuduhan yang sama seperti yang pernah dilemparkan oleh golongan kolonial pada zaman penjajahan dulu.

Sebenarnya yang tinggal di hujung pemerintahan Mahathir ialah satu kecelaruan dasar-dasar negara yang tunggang langgang. Misalnya mengenai dasar pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan dengan tertib selama lebih 30 tahun ini. Mahathir berhasrat untuk mengganggu gugat satu dasar bahasa kebangsaan dan pendidikan kebangsaan yang diperjuangkan selama ini sejak Merdeka. Mahathir secara seorang diri, tanpa berunding dan mencari kebijaksanaan melalui muafakat telah muncul dengan cadangan mengejut seperti orang sawan demam panas, tiba-tiba sahaja dia mahu merobek dan memperkosa dasar bahasa dan pendidikan nasional dengan memperkenalkan satu sistem pendidikan songsang di mana mata pelajaran matematik dan sains akan diajar dalam bahasa Inggeris. Pemimpin satu bangsa yang tidak menghormati bahasanya sendiri dan mahu membunuh pertumbuhan bahasa itu hanya kerana mahu mengejar fatamorghana (mirage) sebenarnya dia telah melakukan satu jenayah terhadap bangsanya.

Sewajarnya para pemimpin Umno yang ada sekarang membiarkan Mahathir berundur dengan aman dan tenang. Mahathir telah cukup banyak menghiris hati dan melukakan perasaan bukan sahaja orang-orang Melayu, malah sesetengah kelompok Tionghua dengan tuduhan mereka itu komunis dan tidak tahu beruntung. Orang-orang Melayu kepada Mahathir tidak bermakna kerana mereka dianggapnya tidak mahu berubah mengikut kehendak dan acuannya. Tetapi bukan setakat itu sahaja. Mahathir juga menghiris perasaan orang-orang Islam. Kebenciannya yang tidak terhingga terhadap PAS telah menjadi tidak terkawal sehingga caci maki dan kata nista lidah Mahathir terhadap PAS menjadi begitu liar dan dalam masa yang sama tanpa Mahathir sendiri sedar dia telah mencemar dan memburuk-burukkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Di hari Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya, dia sempat menghentam PAS dan melakukan satu kesilapan yang melampau batas dengan membaca ayat Bismillah bercampur aduk dengan perkataan samseng semata-mata untuk memperlekeh PAS. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya diucapkan oleh Mahatahir sebagai seorang pemimpin Islam.

Tetapi Tuhan itu Maha kaya. Ketika Mahathir kelihatan begitu kuat dan angkuh menunjukan kehebatan Umno, kekuasaannya dan kejayannya dan menghentam parti-parti lawan serta mempersenda hukum hakam Islam semaunya, tiba-tiba Mahathir menjadi begitu lemah, macam manusia biasa, sebak dan terharu menangis, terkedu suara dan tersekat tekak sehingga perlu dipapah dan direhatkan di bilik khas dan tak sempat menyudahkan ucapannya.

Mahathir, seorang pemimpin yang dianggap gagah dan hebat itu, ternyata lembik macam manusia biasa juga. Mahathir yang muncul selepas ini, tidak lagi sekuat Mahathir sebelum ini. Mahathir boleh menarik balik perletakan jawatannya. Tetapi itu hanya taktikal untuk mententeramkan Umno, BN dan kepentingan yang bersangkut paut dengannya.

Zaman atau era Mahathir sudah di penghujung jalan sebenarnya. Tiada lagi kejutan selepas ini. Yang ada ialah laluan yang terbuka kepada rakyat untuk membuat perubahan atau reformasi di bidang politik, ekonomi dan sosial untuk mengwujudkan sebuah negara yang demokratik, bersatu padu dan menjamin keadilan sosial bagi menggantikan suasana tidak demokratik, berpecah belah dan jurang perbezaan antara golongan berada dan tidak berada yang semakin meluas yang ditinggalkan oleh Mahathir.

23 Jun 2002







______________________
Terbitan : 26 Jun 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com