Oleh: Pahlawan Tani.
Sikap hendak bermegah-megah dan menunjuk kejayaan kepada orang lain sebenarnya mula bertunas apabila PM/ Mahathir bermegah-megah dengan pembinaan menara berkembar PETRONAS di ibu kota KL sebagai bangunan tercanggih dan tertinggi. Kemudian diikuti dengan berbagai ter…ter.... lagi. Akhirnya, sikap beliau telah menjadi ikutan dengan slogan 'Malaysia Boleh ' oleh segelintir rakyat Malaysia hari ini yang sama dengan sikap beliau , walaupun kebanyakan rakyat beranggapan ianya suatu perbuatan sia-sia dan sebagai suatu yang ' belum sampai masanya '.
Baru-baru ini kita diberitahu oleh sebuah akhbar internet bahawa sekumpulan 29 orang pelajar UiTM berjaya mendaki hingga ke puncak Kallapattar, Nepal serta mengibarkan bendera jalur gemilang sepanjang 4 kilometer. Mereka kemudian telah disambut dengan amat meriah sekembalinya ke tanah air dan kejayaan itu akan dicatat dalam World Guinness Book Of Record .
Rakyat peringkat akar umbi bukanlah tidak gembira dengan kejayaan ekspedisi tersebut, tetapi mereka merasa amat malang perbuatan yang hanya sekadar untuk bermegah-megah itu telah menelan belanja sejumlah RM 200 ribu ringgit !. Kalau dibahagi, maknanya setiap peserta ekspedisi tersebut telah ' menghanguskan ' wang hampir RM 7 ribu dalam tempuh beberapa waktu sahaja. Padahal jumlah RM tersebut mungkin boleh disumbangkan untuk kebajikan dan membantu / menampung perbelanjaan ramai pelajar miskin yang memasuki UiTM pada tahun ini. Dan rakyat sudah pasti lebih bangga kalau wang sejumlah RM 200 ribu itu dibelanjakan untuk projek-projek UiTM bertujuan memperbaiki semula imej dalam bidang kerohanian dan akhlak pelajar yang dikatakan turun ke graf paling bawah berbanding masa lampau.
Mungkin benarlah kata-kata orang negeri Perak terhadap ekspedisi itu sebagai kerja ' biar pape asal begaye '. Inilah akibatnya kalau manusia ingin bermegah-megah dan nama disanjung oleh sesama manusia. Mereka telah lupa segala-galanya….. Perbuatan yang mendatangkan keburukan mereka tidak dapat melihat lebih awal sebagai suatu yang merugikan . Alahai !…..
______________________
Terbitan : 3 Jun 2002
Ke atas
Home