MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Kerana Bahasa Inggeris

Kenapa kita menjadi bangsa yang hilang arah, hilang pertimbangan dan seperti hilang jati diri bangsa. Sebab kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan pelajar-pelajar bumiputera/Melayu, kita gelabah dan macam orang hilang akal mencari panduan dan arah haluan. Sehingga tup...tup...tup.......ubah dasar dan panduan sedia ada dengan mengambil tindakan diluar tindakan kebijaksanaan seperti meminta pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik yang sudah berpuluh tahun diajarkan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan tiba-tiba mahu diubah menggunakan bahasa Inggeris.

Mana sudah Dasar Pendidikan Negara, mana sudah Akta Bahasa Kebangsaan dan apa sudah jadi dengan Perlembagaan Negara berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan itu. Tiba-tiba semua dasar, Perlembagaan Negara serta Akta Pendidikan dan Bahasa Kebangsaan sudah tidak ada nilainya lagi. Apakah kerana kenyataan itu disemburkan oleh liur basi seorang penguasa yang angkuh, maka ia mesti dijadikan dasar, sekalipun kenyataan itu jelas bercanggah dengan semangat dan kandungan Perlembagaan Negara tentang Bahasa Kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Ke mana sudah perginya para cendikiawan Melayu dan rakyat negara ini yang cintakan bahasa Kebangsaan, cinta Malaysia dan para ahli fikir atau intelektual bangsa yang berada di puncak menara gading. Apakah mereka ibarat ayam daging belaan yang menunggu tempoh matang untuk disembelih dan dijual oleh tuannya. Naif sungguh mereka sekadar mengiyakan apa saja kata-kata seorang penguasa yang sudah kebangkrapan idea dan pemikiran berhikmah.

Bahasa Inggeris Bahasa Antarabangsa

Kita tidak nafikan kenyataan itu, malah kita menerima realiti ini. Dan kita mesti berusaha menguasai bahasa ini. Bangsa/rakyat Korea, Jepun, Thailand, China, Taiwan, Indonesia dan lain-lain, mereka tetap maju dan membangun dengan bahasa sendiri. Dalam pada mereka tetap mengagungkan bahasa kebangsaan sendiri, mereka juga tidak mengabaikan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.

Rakyat Malaysia mesti mempelajari dan menguasai bahasa utama antarabangsa ini, tetapi bukan dengan sewenang-wenangnya kita membuat dasar ikut sedap hati saja. Secara tiba-tiba para intelek bangsa dan rakyat Malaysia menjadi bodoh menerima buta tuli setiap apa yang Mahathir kata itulah dasar, sekalipun ia terang-terangan mencanggahi semangat Perlembagaan Negara, Akta Bahasa dan Dasar Pendidikan Negara.

Mengubah bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris sebagai satu cara agar pelajar bumiputera/Melayu boleh menguasai bahasa Inggeris, bukan satu tindakan tepat dan bijaksana. Sepatutnya cara pengajaran bahasa Inggeris yang diajarkan selama ini di sekolah-sekolah kebangsaan wajar dikaji semula dari segi tekniknya. Bukannya merombak dasar dan akta bahasa/pendidikan negara yang sudah banyak kesannya dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Merubah Dasar/Akta Bukan Dengan Cakap Satu Dua Mulut

Perubahan dan penggubalan apa juga berkaitan dengan dasar negara sama ada pendidikan, bahasa, ekonomi, sosial, pertanian dan sebagainya bukan main ikut suka atau nafsu perasaan para pemimpin yang berkuasa. Dalam negara ini, kita ada Parlimen yang merupakan badan pemerintahan tertinggi dalam sistem demokrasi selepas Institusi Raja-raja Melayu yang mempunyai hak untuk mengubal dan membahas apapun dasar-dasar negara di dalam Parlimen.

Rakyat dan para intelek Malaysia seperti sudah mati akal dan hilang daya intelek mereka bila berhadapan dengan senario politik semasa negara. Mereka setengahnya sekadar menjadi pak turut, kaki ampu ketua/pemimpin dan sehingga sanggup melacuri martabat dan ilmu yang mereka miliki.

Apa akan jadi kalau dasar negara ditentukan oleh mulut seorang penguasa angkuh yang bercanggah dengan peraturan, Perlembagaan, akta dan dasar yang sudah ada?. Sama-samalah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini menyumbangkan apa jua untuk mengembalikan kedaulatan rakyat dan Perlembagaan Negara. Agar Malaysia tidak akan hancur ditangan seorang penguasa yang sedang menggila!!!!!!!!!!

Ibnu Sabah,
19.6.2002M.







______________________
Terbitan : 21 Jun 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com