Oleh: Wewr 23 Jun 2002.
Pada jam 10.30 pagi tadi, Presiden PAS Ustaz Dato’
Fadzil Noor telah kembali ke rahmatullah di Hospital
Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras. Pemergian ini
satu kehilangan besar buat seluruh ahli PAS dan BA
khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
Ust Fadzil pada minggu sebelum ini telah menjalani
pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung
Negara. Beliau dikatakan dalam keadaan yang kurang
memuaskan selepas pembedahan.
Ketika pemimpin-pemimpin Umno sedang sibuk mengampu
dan mengucapkan selamat jalan kepada pelakon tertua
negara @ tukang cipta rekod letak jawatan paling
sekejap, yang keluar bercuti, tentunya menghabiskan
lagi duit rakyat, rakyat jelata sedang bersedih kerana
kehilangan salah seorang tokoh besar pembangkang,
Ketua Pembangkang di Parlimen, Ketua Pembangkang DUN
Kedah dan Presiden Parti Islam Se-Malaysia. Dan Dr M
sibuk menitiskan air mata palsu ketika keberangkatan
untuk bercuti.
Cuaca di luar tampak muram dan mendung. Tak mustahil,
selepas ini, hujan akan turun bagaikan turut bersedih
atas kehilangan tokoh yang disayangi. Ust Fadzil
digambarkan sebagai seorang yang prihatin, jauh
wawasannya dan penghubung di antara parti-parti
pembangkang. Ketika DS Anwar tersingkir, beliaulah
yang cuba merapatkan hubungan parti-parti pembangkang
untuk bersatu menentang BN. Ketika Umno melakukan
serangan bertubi-tubi, hanya beliau dan Hj Mahfuz Omar
yang masih dapat duduk semeja berbincang dengan Umno.
Selepas ini, siapa pula yang akan menggantikan tokoh
yang berkaliber ini?
Antara renungan dan wasiat yang sempat Allahyarham
turunkan kepada seluruh ahli PAS dalam muktamar
sebelum beliau menjalani pembedahan ialah 5 persoalan
iaitu:
a) Apakah aktivis parti bersedia menempatkan Pas
sebagai parti mainstream?
b) Apakah ahli-ahli PAS sudah keluar daripada
paradigma pemikiran yang beranggapan Pas hanya mampu
memerintah di kubu kuatnya sahaja?
c) Apakah kita semakin mendapatkan keyakinan rakyat
khasnya pengundi Melayu-Islam dan seluruh rakyat di
negara ini dengan isu, penampilan polisi dan gagasan
yang kita pelopori?
d) Apakah hati dan keyakinan rakyat telah dimenangi
melalui pendedahan dan program penerangan jentera
parti akan segala pengurusan pincang pembangunan dan
ekonomi, seperti rasuah, kezaliman, ketamakan elit
pemerintah dan tuntutan agama yang dikesampingkan?
e) Apakah seteru politik kita gerun dengan pendedahan
sistematik dan berkesan jentera kita, akan segala
kerakusan dan tingkah laku sumbang mereka?
Dalam bahang muktamar yang belum hilang, dalam
kesibukan menjelang pilihanraya akan datang,
kehilangan ayahanda master mind ini terlalu dirasai.
Apapun, seluruh rakyat terutamanya aktivis PAS
janganlah menjadikan kehilangan ini sebagai alasan
untuk tidak bersungguh-sungguh dalam persiapan
menghadapi pilihanraya kelak. Yang pergi, kita doakan
semoga pulang dengan selamat. Yanng hidup, perlulah
meneruskan perjuangan. Janganlah ia melemahkan
semangat kita.
Doa, al-Fatihah serta solat ghaib buat Allahyarham
Presiden yang kita sanjungi. Semoga Ust Fadzil kembali
dengan tenang dan mendapat ganjaran syurga yang
dijanjikan Allah buat pejuang-pejuang agama-Nya.
Insya-allah…
Al-Fatihah!
______________________
Terbitan : 24 Jun 2002
Ke atas
Home