AL-FATIHAH, Semoga pemergian Mujahid Ustaz Fadzil
Noor ke Rahmatullah akan di tempatkan di kalangan para
Syuhada' dan orang-orang yang soleh.
Pendokong-pendokong Islam khususnya ahli-ahli PAS
sangat bertuah dan beruntung kerana berpeluang
mengikuti amanat terakhir Allahyarham semasa Muktamar
PAS di Kelantan baru-baru ini.
Di tengah-tengah umat Melayu UMNO meratap `lakonan'
Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden
UMNO dan Perdana Menteri dan kemudiannya mengambil
semula jawatan tersebut tidak sampai 30 minit,
pendokong-pendokong Islam dan PAS dengan penuh
ketenangan menerima berita kepulangan Allahyarham
Ustaz Fadzil Noor ke Rahmatullah. Apa yang pasti
selepas ini, kepimpinan PAS akan berubah dan sudah
tentu tidak merubah dasar yang ada (Al-Quran dan
Hadith), melainkan perubahan dari segi pendekatan
dakwah dan politik. Setelah selesai Muktamar Agung
PAS baru-baru ini, setiap ahli PAS telah disuntik
dengan semangat jihad yang baru bagi menghadapi
tekanan dari golongan pengecut UMNO/BN.
Kita tidak akan lupa, di dalam ucapan penggulungan
oleh Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Ustaz Fadzil
Noor, bahawa siapa lagi yang perlu berani untuk
berjuang menegakkan Islam dan parti jika tidak
golongan muda? Saya yakin, YB Hj Mahfuz Omar selaku
Ketua Dewan Pemuda PAS di samping Ketua Dewan Muslimat
PAS tidak akan lupa amanat Allahyarham. Mereka perlu
sedar hakikat sekarang bahawa pihak musuh Islam kini
begitu rancak mengadakan berbagai-bagai program untuk
menghancurkan PAS. Sekarang dilihat seolah-olah
kegiatan PAS semakin menurun akibat ditekan oleh
UMNO/BN dan sedikit sebanyak menjejaskan pengaruh
rakyat terhadap PAS. Ini adalah kerana tidak ada lagi
keberanian di kalangan Pemuda dan Muslimat PAS untuk
menentang apa jua bentuk tekanan dan kezaliman
UMNO/BN. Kita banyak akur, tunggu dan lihat apa jua
tindakan mereka. Amanat terakhir Allahyarham Ustaz
Fadzil diharapkan dapat mengubah pemikiran kepimpinan
dan ahli-ahli Pemuda dan Muslimat PAS.
Alangkah baiknya jika Pemuda PAS dan Muslimat
berganding bahu dengan Pemuda dan Wanita BA untuk
meneruskan kembali aktiviti sepertimana yang dilakukan
oleh Sdr Ezam Mohd Noor. Kita percaya ianya boleh
dilaksanakan dengan adanya lagi tokoh berani di dalam
Parti KeADILan seperti Ustaz Roslan Kassim, Sdr Zahid
Mad Arip, Gobalakrishnan, dan ramai lagi. Cuma, yang
perlu adalah perancangan yang teratur serta sikap
keberanian di kalangan Pemuda/Wanita.
Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana telah
mengambil Allahyarham Ustaz Fadzil setelah Allahyarham
berjaya menampakkan kejayaan besar di dalam
meningkatkan sokongan rakyat terhadap gerakan Islam di
negara kita. Beliau telah meletakkan batu asas yang
benar-benar kukuh buat PAS untuk terus mendaulatkan
Islam dan tugas ini, insyaallah, akan mampu di bawa
oleh pengganti beliau yang dipilih nanti. Cuma, kita
agak terkilan kerana Allahyarham tidak sempat melihat
perjuangannya menghapuskan ISA tercapai dan tidak
berkesempatan melihat rang undang-undang Hudud
dibentangkan di Terengganu. Semoga perjuangan Mujahid
Ustaz Fadzil diteruskan oleh kepimpinan PAS yang lain.
AL-FATIHAH.
ZULHAZMI NS
______________________
Terbitan : 24 Jun 2002
Ke atas
Home