Calon UMNO, Datuk Zakaria Ada Kes BPR TerhadapnyaJentera BN di Anak Bukit dipercayai kelam kabut dan menggelabah berikutan pendedahan mengejut oleh Timbalan Ketua Pemuda Keadilan, YB Saifuddin Nasution semalam bahawa calon mereka, Datuk Zakaria Said (kanan) pernah dilaporkan kepada BPR kerana terlibat dalam kes pecah amanah. Perkara itu dipercayai disimpan hingga ke hari-hari terakhir berkempen untuk mengejutkan jentera BN. Setakat ini, tidak ada isu besar di pihak BN selain dari usaha mereka menakut-nakutkan pengundi Islam dan bukan Islam mengenai hukum hudud. Modal politik mereka banyak bergantung kepada propaganda yang disiarkan melalui media perdana. Semalam, laman reformasi Webreformis menyiarkan berita utama mengenai kes BPR bernombor 1132/1995 yang melibatkan calon BN itu. Dilaporkan kes BPR itu melibatkan syarikat Medan Mas Productions Sdn Bhd., yang mana salah seorang ahli Lembaga Pengarahnya adalah Datuk Zakaria Said sendiri. Medan Mas Productions Sdn Bhd mendapat kontrak dari Kementerian Penerangan untuk mengendalikan penerbitan iklan dalam bahasa Inggeris. Kes BPR itu berpunca dari satu laporan yang dibuat oleh keluarga Allahyarham Datuk Aziz Wok, tenaga utama Medan Mas Productions yang mempunyai kepakaran dalam bidang penerbitan. Laporan yang dibuat itu menyebut bahawa setelah Allahyarham Datuk Aziz menyiapkan kertas kerja dan mendapatkan tender tersebut, allahyarham dipecat sementara imbuhan tender itu dibahagi-bahagikan sesama ahli Lembaga Pengarah yang lain. Malah, wang imbuhan khas juga diberikan kepada Menteri Penerangan pada masa itu, Datuk Mohamad Rahmat apabila tender itu telah diperolehi. Setakat berita ini ditulis, UMNO dilaporkan masih tidak mampu menjawab kembali pendedahan YB Saifuddin Nasution itu. Beliau yang berucap di hadapan lebih 5,000 orang semalam menyeru pengundi menyambung tradisi perjuangan Allahyarham Datuk Fadzil Noor dengan menolak mereka yang bergelumang dengan rasuah dan wang haram - terutamanya calon UMNO dalam pilihanraya kecil ini.
______________________
Diterbitkan oleh : |