Othman, Zakaria calon BN di Pendang, Anak BukitALOR SETAR 9 Julai - Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Othman Abdul dan bekas ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Zakaria Said masing-masing diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit pada pilihan raya kecil 18 Julai ini. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain mengumumkan demikian pada persidangan media di ibu pejabat UMNO Kedah, di Bangunan Tunku di sini hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai tarikh penamaan calon bagi kedua-dua kawasan berkenaan. Othman, 51, merupakan bekas Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, manakala Zakaria, 58, pernah menjadi anggota exco Kedah selama tiga penggal mulai 1982 hingga 1995. Dalam tempoh itu Zakaria menjadi wakil rakyat kawasan Anak Bukit sebelum bertanding kawasan Parlimen Kuala Kedah pada 1995. Syed Razak berkata, pemilihan kedua-dua calon itu dibuat berdasarkan keupayaan untuk memenangi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan. Pilihan raya kecil kedua-dua kawasan itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor pada 23 Jun lalu. Syed Razak berkata, faktor kedua-dua calon itu diterima oleh rakyat juga diambil kira dalam pemilihan mereka sebagai calon BN. Othman pernah menjadi anggota Parlimen Pendang selama tiga penggal mulai 1986 sebelum gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 1999 apabila tewas kepada Fadzil. Fadzil memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,939 undi apabila memperolehi 22,413 undi manakala Othman 19,474 undi. Bagi DUN Anak Bukit pula, Fadzil yang mendapat 8,480 undi mengalahkan Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin dengan majoriti 1,840 undi. Abdullah Hasnan memperolehi 6,640 undi. Berikutan kekosongan DUN Anak Bukit itu, Dewan Undangan Negeri Kedah yang mempunyai 36 kerusi kini diwakili oleh BN 23 kerusi, Pas 11 kerusi dan Keadilan satu kerusi. - Bernama
______________________
Diterbitkan oleh : |