Tiga Serangkai Pucuk Pimpinan – Bagaimanakah selepas ini?
Tiga Serangkai Pucuk Pimpinan – Bagaimanakah selepas ini? Oleh DINSMAN
Sebenarnya sudah lama saya hendak menulis mengenai perkara “tiga serangkai” ini. Barangkali sejak muktamar 2000 di Kuala Terengganu atau lebih awal daripada itu. Tetapi asyik tertangguh-tangguh. Hinggalah baru-baru ini pulang daripada muktamar di Putik, saya terfikir lagi hendak menulisnya, tapi tertangguh lagi. Hinggalah Ahad 23 Jun itu, di celah-celah menahan sebak emosi, terlintas juga di fikiran: habiskah juga riwayat keistimewaan tiga serangkai pucuk pimpinan parti yang mungkin tiada di mana-mana pun di dunia ini kecuali dalam PAS? Nik Aziz, Fadzil Nor dan Hadi Awang. Tentu kita masih ingat lagi beberapa tahun dulu akhbar-akhbar harian kita cuba melaga-lagakan antara Fadzil Nor dengan Hadi Awang, dengan tujuan untuk menimbulkan konflik peribadi antara keduanya, bagi melemahkan pimpinan PAS. Dan setelah beberapa lama mereka pun menghentikan permainan melaga-laga itu, kerana ternyata ia tidak memberi kesan pun ke atas hubungan baik antara dua pemimpin tersebut. Saya sudah lama memerhatikan perkara istimewa ini, yang hanya wujud pada pucuk pimpinan PAS. Antara Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden, mereka seolah-olah sama sejajar, terutama dari segi pengaruh. Apabila media memuji dan mengangkat Hadi Awang, cuba memperlihatkan bahawa Hadi Awang itu yang lebih berpengaruh dalam PAS, bukannya Fadzil Nor walaupun Fadzil Nor berpangkat Presiden, kita tidak melihat Fadzil Nor memberi apa-apa reaksi kepada perkara tersebut, samada secara langsung mahupun secara tidak langsung, samada secara jelas mahupun secara tersembunyi. Bahkan Hadi Awang pernah menghiasi kulit majalah antarabangsa, yang menyifatkan beliau sebagai orang yang begitu berpengaruh dan berpotensi menjadi Perdana Menteri Malaysia di masa depan, padahal beliau hanya Timbalan Presiden PAS. Pun kita dapati Fadzil Nor sebagai Presiden tidak tersinggung pun dengan perkara tersebut. Cubalah bayangkan kalau hal begitu berlaku dalam Umno. Alamatnya akan tamatlah riwayat Abdul Hadi Awang dalam karier politik. Tetapi dalam PAS yang diterajui oleh Fadzil Nor, perkara seperti itu dibiarkan berlaku begitu sahaja. Tidak pernah menimbulkan konflik. Dalam masa yang sama terdapat pula satu jawatan yang dinamakan Mursyidul Am. Pada mulanya jawatan Mursyidul Am diwujudkan apabila Yusof Rawa melepaskan jawatan Presiden (waktu itu dipanggil Yang Dipertua) untuk dipegang oleh Fadzil Nor. Ia menunjukkan yang jawatan itu seperti suatu jawatan penasihat, yang disandang oleh seorang yang boleh dianggap sebagai sudah ‘bersara’ daripada aktif politik. Ertinya selepas bersara daripada jawatan Presiden, maka dilantiklah menjadi Mursyidul Am. Tetapi tak lama selepas itu apabila keadaan kesihatan Yusof Rawa tidak mengizinkan beliau terus memegang jawatan, beliau pun melepaskan jawatan Mursyidul Am. Kekosongan itu tidak diisi oleh Presiden waktu itu, Fadzil Nor (yang tentunya masih aktif politik). Sebaliknya parti memilih Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, yang waktu itu adalah Ketua Dewan Ulamak. Berbeza dengan Yusof Rawa yang waktu dilantik ke jawatan itu merupakan seorang yang sudah bersara dari aktif politik, Nik Aziz adalah seorang yang sedang aktif politik. Mursyidul Am diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “spiritual leader” (pemimpin kerohanian) atau “spiritual advisor” (penasihat kerohanian). Ini memberi makna bahawa Presiden adalah pemimpin politik, manakala Mursyidul Am adalah pemimpin kerohanian. Sesuai pula dengan perwatakan dan keperibadian serta cara hidup Nik Aziz yang lebih bersifat Tok Guru (atau Tuan Guru). Bukan sahaja Mursyidul Am diterima oleh ahli-ahli PAS sebagai Tuan Guru, tetapi Timbalan Presiden pun diterima sebagai Tuan Guru juga. Manakala Fadzil sebagai Presiden pula hanya dipanggil Ustaz, tidak Tuan Guru. Antara panggilan ustaz dengan tuan guru tentulah panggilan tuan guru yang lebih membawa makna penghormatan, khususnya di segi keagamaan. Namun hal ini pun nampaknya tidak memberi masalah kepada Fadzil. Gambar Hadi Awang pula sering digandingkan bersama Fadzil dan Nik Aziz dalam poster atau kalendar atau sepanduk yang diterbitkan oleh pihak parti atau pihak tertentu, untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebelum Hadi Awang menjadi Menteri Besar lagi. Apa alasan atau lojiknya gambar beliau digandingkan bersama, sebagai pucuk pimpinan parti, walhal beliau cuma Timbalan Presiden? Bagi kebanyakan orang PAS barangkali mereka melihat perkara ini sebagai satu perkara biasa. Mereka seolah-olah melihat tiga orang pemimpin itu sebagai sama sejajar, walaupun masing-masing memegang jawatan yang berbeza. Mereka menganggap masing-masing pemimpin itu mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Dan mereka nampaknya memberi penghormatan yang sama kepada pemimpin bertiga itu, tanpa menafikan ada golongan tertentu yang lebih menghormati salah seorang daripada mereka. Ada golongan yang lebih menghormati Nik Aziz, ada golongan yang lebih menghormati Fadzil, dan ada golongan yang lebih menghormati Hadi. Sebenarnya perkara “pucuk pimpinan tiga serangkai” ini bukanlah suatu perkara yang biasa di dalam PAS, walaupun mungkin kebanyakan ahli PAS hari ini menganggapnya demikian. Ia hanya terjadi pada waktu Fadzil menjadi Presiden sahaja, Sebelum itu tidak pernah terjadi begitu. Maka saya melihat perkara ini sebagai satu keistimewaan dan kekuatan kepemimpinan Fadzil. Sesuatu yang tak mungkin terjadi tanpa wujudnya keikhlasan di dalam dirinya. Dan keikhlasan itulah kekuatan kepemimpinannya. Dan keikhlasan itulah pula yang tidak wujud dalam kepemimpinan Umno yang dipegang oleh Dr Mahathir Mohamad; menyebabkan dia selalu berasa curiga terhadap timbalannya, atau sesiapa sahaja yang dilihatnya berpotensi untuk mencabar kepimpinannya. Padahal rasa curiga begitu tidak ada dalam diri Fadzil. Lihatlah betapa berbezanya kepimpinan PAS dengan kepimpinan Umno! Yang satu ditegakkan di atas keikhlasan, manakala yang satu lagi ditegakkan di atas kekuasaan dan kecurigaan. Ternyata Fadzil Nor seorang pemimpin berjiwa besar yang tidak pernah bimbang akan kedudukannya digugat. Keyakinan diri dan keterbukaan sikapnya itu memungkinkan Nik Aziz dan Hadi untuk duduk sejajar dengannya, tanpa sedikitpun ternampak ada usaha di pihaknya bagi mengurangkan pengaruh kedua-dua “rakan-kongsi-kuasa”nya itu. Malah kelihatannya mereka saling melengkapkan satu sama lain, menjadikannya seperti begitu sempurna. Dan bukan itu sahaja. Fadzil bahkan boleh pula menerima seorang lain lagi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Barisan Alternatif mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum. Sedangkan menjadi Perdana Menteri adalah kemuncak yang dicita-citakan oleh sesiapa pun pemimpin politik yang berkedudukan tinggi sepertinya? Namun Ustaz Fadzil sanggup memberikan peluang itu kepada orang lain. Barangkali dia dapat melihat dan memahami kehendak rakyat yang mahukan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri; maka dia pun redha dengan kehendak rakyat itu, kerana dia percaya Anwar selepas ini akan meneruskan perjuangan PAS untuk melaksanakan syariat Islam di negara ini. (Tanpa kepercayaan itu pastilah tak akan ada keredhaannya). Sebagaimana dia memahami bahawa ramai rakyat yang menerima dan menghormati Nik Aziz dan Hadi Awang sebagai Tuan Guru dan pemimpin Islam; dimana hal itu tidak pula bertentangan dengan kehendak Islam, maka dia menerimanya dengan redha. Ternyata bahawa yang dicari dan diperjuangkan oleh Fadzil bukanlah kuasa untuk berkuasa, (seperti yang menjadi matlamat pemimpin Umno), tetapi adalah kuasa untuk terlaksananya syariat Islam. Maka sesiapa sahaja yang dilihatnya ada kemampuan untuk ke arah itu, akan diterima dan dialu-alukan serta diberinya kesempatan. Sikap keterbukaan dan kerelaannya ini pun telah berjaya menarik ramai golongan terpelajar dan profesional menyertai PAS, terutamanya selepas krisis September 1998. Hari ini Ustaz Fadzil telah tiada lagi dalam kepimpinan PAS. Hadi Awang pula memangku jawatan yang ditinggalkannya. Apakah akan wujud lagi kepimpinan “tiga serangkai” dalam PAS selepas ketiadaan Fadzil? Dan siapakah orang ketiga yang akan mengisi tempat kosong itu, untuk duduk sejajar bersama Nik Aziz dan Hadi Awang? Sebenarnya kepimpinan tiga serangkai itu bukanlah satu keperluan untuk sepanjang masa di dalam PAS. Barangkali itu hanya keperluan di zaman Fadzil sahaja, kerana kebetulan di zamannya wujud dua lagi insan yang sama berkaliber. Buat sementara ini pastilah tidak ada orang ketiga itu, untuk duduk bersama Nik Aziz dan Hadi. Maka buat sementara ini cukuplah Nik Aziz dan Hadi berdua sahaja. (Tidak lagi bertiga seperti dulu). Hanya apabila memikirkan yang Hadi masih lagi dalam proses meletakkan asas pentadbiran barunya di Terengganu, kini terpaksa pula memberi perhatian kepada masalah yang lebih besar, iaitu masalah nasional dan antarabangsa selaku Presiden parti yang tidak lama lagi bakal mengambilalih pemerintahan Malaysia – rasa-rasanya beban ini terlalu berat untuk dipikulnya. Saya sempat berbincang dengan beberapa orang rakan, termasuk yang berjawatan penting dalam parti, Sebahagian mereka menyuarakan pandangan begitu. Secara kebetulan Sabtu itu (29 Jun) sebuah akhbar memberitakan Nik Aziz menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan, bagi membolehkannya memberi perhatian lebih kepada halehwal nasional dan antarabangsa, selaku Mursyidul Am. Maka kami menyambut positif berita itu, walaupun masih meragui kesahihannya. (Rupanya tiga hari selepas itu Nik Aziz diberitakan membuat penafian). Antara tanggungjawab nasional (yang selama ini dilaksanakan oleh Fadzil) dengan tanggungjawab negeri, yang sedang dilaksanakannya dengan hati-hati selama dua tahun setengah itu, tanggungjawab negeri itu tidak dapat dilepaskannya kepada orang lain, buat masa ini. Ia masih di peringkat membina asas pentadbiran baru, dan memperkukuhkan keyakinan rakyat. Manakala tanggungjawab nasional itu memanglah tanggungjawab seorang Presiden (atau pemangku Presiden). Tetapi Mursyidul Am pun boleh membantu. Di sinilah kami melihat cantiknya nilai ukhuwah Islamiah dalam berorganisasi yang terdapat dalam PAS, yang tidak ada dalam parti lain di negara ini, seperti yang terjadi dengan eloknya di zaman Fadzil. Nik Aziz telah lama mentadbir negeri dan mentarbiyah rakyat Kelantan. Telah lebih sebelas tahun. Memang selalu terdengar orang memperkatakan perihal tiada pemimpin lain di Kelantan yang dapat menggantikan Tok Guru Nik Aziz. Memang. Menggantikan yang seperti ketokohan dan perwatakan Tok Guru Nik Aziz itu memang tidak akan ada. Tetapi menjadi Menteri Besar Kelantan - negeri dan rakyat seperti yang ada hari ini – tidak semestinya orang seperti Nik Aziz itu sahaja. Tidak merbahaya Nik Aziz melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan. Umno tak mungkin dapat merampasnya dalam masa beberapa tahun ini, insya-Allah. Tetapi merbahaya kalau Hadi Awang melepaskan jawatan Menteri Besar Terengganu sekarang. Sangat merbahaya. Begitulah ibaratnya. Terengganu sangat memerlukan Hadi. Dan kita pun tak mahu terlepaskan Terengganu. Kita bercakap soal Nik Aziz atau Hadi Awang meletakkan jawatan Menteri Besar bukanlah kerana apa, melainkan kerana memikirkan PAS dan Barisan Alternatif sangat memerlukan seorang pucuk pimpinan PAS untuk memberi pimpinan di peringkat nasional, sepertimana yang dilakukan oleh Ustaz Fadzil selama ini. Kita khuatir dalam suasana politik Malaysia hari ini kalau pimpinan BA peringkat nasional dibuat secara sambilan oleh seorang yang dalam masa sama menjadi Menteri Besar, ia akan kurang berkesan. Itulah makanya kita melayangkan fikiran sampai ke peringkat kemungkinan salah seorang tokoh besar kita ini meletakkan jawatan Menteri Besar, demi untuk satu tugas yang lebih besar. Nik Aziz memang telah terbukti kewibawaannya sebagai pemimpin negeri (Kelantan) dan juga pemimpin parti (selaku Pesuruhjaya Kelantan dan Mursyidul Am pusat). Bukan sahaja di bidang kerohanian atau keagamaan, tetapi juga di bidang politik. Dengan cara dan gayanya yang tersendiri, yang unik itu, dia dapat memikat perhatian ramai, termasuk yang bukan Melayu dan bukan Islam. Pandangan kami ini bukanlah bermakna hendak menafikan kewibawaan Hadi. Samasekali tidak. Fadzil Nor sendiri pun menerima kewibawaan Hadi sejajar dengannya dan juga dengan Nik Aziz. Di sini hanya masalah keperluan dan kesesuaian buat masa ini sahaja. Ketua Pembangkang di Parlimen semestinyalah Hadi. Tugas-tugas Presiden di dalam parti pun tetap dijalankan oleh Hadi. Nik Aziz hanya sebagai Mursyidul Am juga. Satu perkara yang sedang diperkatakan di kalangan pimpinan pertengahan PAS sekarang ialah soal imej Tuan Guru Hadi Awang. Beliau dikatakan mempunyai imej yang keras dan ekstrim, berlawanan dengan imej Tok Guru Nik Aziz yang lembut, dan imej Fadzil yang serderhana atau moderat. Lalu ada golongan yang mahu supaya imej Hadi diperbaiki, kerana perwatakan Hadi sendiri pun katanya tidaklah keras dan ekstrim seperti yang menjadi tanggapan umum itu. Golongan ini mahu supaya imej keras dan ekstrim Hadi itu dihapuskan dan digantikan dengan imej moderat. Saya kurang bersetuju dengan pandangan itu. Sebab apa? Sebab selama ini apakah orang-orang PAS berasa tidak senang dengan imej Hadi yang dikatakan keras itu? Tidak. Orang PAS sendiri menerima imej Hadi yang dikatakan lebih keras daripada Fadzil dan Nik Aziz; dan mereka pun sukakan Hadi kerana imejnya yang sedemikian. Lalu mengapa sekarang kita mesti memperbaikinya? Hanya semata-mata kerana beliau akan menjadi Presiden PAS? Apakah ‘Umar Al-Khattab perlu memperbaiki imejnya apabila beliau dilantik menjadi Khalifah? Tidak. Imejnya terbentuk dengan sendirinya. Kalau dia memang tidak sekeras yang ditanggapi ramai, imej sebenarnya itu akan terserlah jua dengan sendirinya. Maka biarlah ia terjadi secara natural; kerana ada juga golongan di dalam PAS yang tidak suka kalau imej Hadi ‘dilembutkan’. Maka eloklah kita biarkan saja hal itu begitu. Kita usah membuang masa untuk “memperbaiki imej” itu. Masa bagi kita sekarang sangat berharga. Kalau kita fikir suasana di Malaysia sekarang memerlukan pimpinan PAS yang berimej lembut, kita pun sudah ada. Nik Aziz! Jadi kita tak perlu buang masa untuk perbetulkan imej lagi. Terus saja jalan kerja. Hadi pun terus saja jalan kerja. Tak perlu bimbang atau fikir soal imej. Biarkan imej terbentuk dengan sendirinya. Kalau kelihatan keras, keraslah. Kita pun perlukan juga imej begitu dalam jamaah. Ada kekuatannya tersendiri. Dulu pucuk pimpinan digerakkan bersama oleh mereka tiga serangkai. Kini yang seorang telah dipanggil Allah SWT. Maka yang tinggal berdualah yang akan menggerakkannya terus, hingga tampil seorang baru yang akan dapat mengisi kekosongan itu. Sementara ini Nik Aziz dan Hadi terpaksalah menggandakan kerja mereka. Itu saja. Sempena pula dengan drama terbaru yang dipentaskan oleh diktator Umno pada Sabtu 22 Jun itu. Tak kiralah dia betul-betul nak letak jawatan atau olok-olok saja (untuk mendapat gelaran Khalifah dan mungkin tak lama lagi Amirul Mukminin pula), maka eloklah kalau Nik Aziz menyambutnya dengan meletakkan jawatan Menteri Besar Kelantan. Tunjukkan pada Mahathir itu: Nak letak letaklah betul-betul. Jangan buat malu orang Melayu. Satu dunia sudah tengok. Tapi sebenarnya bukanlah kerana aksi diktator Mahathir itu maka Nik Aziz kita cadangkan berbuat demikian. Itu hanya sempena atau kebetulan saja. Sebab sebenar kita memberi pandangan begini ialah kerana kita merasakan ia memang perlu. Sentuhan Tok Guru Nik Aziz itu – biar dapat benar-benar dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tok Guru bergandingan dengan Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang – dengan perkasa kita mara menuju ke medan pilihanraya umum ke-11. Insya-Allah! Tetapi kalau Tok Guru Nik Aziz sendiri percaya beliau dapat menjalankan kedua-dua tugas itu serentak dengan baik, kita pun tidak mencadangkan beliau berundur dari pejabat MB Kelantan. Kita sekadar menyatakan pandangan bahawa penglibatan kepemimpinannya di peringkat nasional kini begitu diperlukan. Lebih diperlukan daripada sebelum ini. Wallahu ak’lam!
______________________
Diterbitkan oleh : |