Khatani & Syi'ah, Endon & Anwar1. MENGALU-ALU LAWATAN PRESIDEN KHATAMI Mulai hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi tuan rumah kepada Presiden Iran Seyed Mohamad Khatami, yang mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari. PRM mengalu-alukan kedatangan Presiden Khatami. Bersempena lawatan rasmi ini, kami ingin mencadangkan supaya pemerintahan yang dipimpin oleh Dr Mahathir mengubah sikap terhadap golongan Syi’ah di negara ini. Banyak kali dalam tahun-tahun kebelakangan pihak polis telah bertindak terhadap beberapa orang yang dituduh sebagai pengikut Syi’ah dan Menteri Dalam Negeri menahan mereka di bawah ISA. Mereka ini ditahan bertahun-tahun tanpa bicara. Mereka tidak dibicarakan. Mereka cuma dituduh oleh pihak berkenaan sebagai terlibat dengan ajaran sesat. Tiada tanda tindakan zalim seperti ini akan diberhentikan. Adakah mazhab Syi’ah sesuai dianggap sebagai ajaran sesat? Pada hal berpuluh-puluh juta dalam dunia Islam, terutama sekali di Iran, adalah pengikut mazhab ini. Jikalau ada yang terlibat dengan ajaran sesat, bukankah mereka boleh diadili dalam Mahkamah Syari’ah? Oleh itu, PRM menyeru supaya Perdana Menteri Dr Mahathir mengambil peluang sempena lawatan Presiden Khatami ini untuk mengkaji semula sikap serta dasar pemerintahan Malaysia terhadap ajaran Syi’ah. Pada masa yang sama beliau perlu membebaskan segera tanpa syarat sesiapa saja pengikut Syi’ah, sekiranya masih ada yang ditahan di bawah ISA.
Secara ikhlas saya ingin mengucapkan syukur atas kejayaan isteri Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjalani pembedahan di Los
Angeles, Amerika Syarikat. Saya dapat merasakan kegembiraan Abdullah
sewaktu menyambut kepulangan Datin Seri Endon.
Saya percaya segala perbelanjaan untuk Endon keluar negara, dibedah dan
dirawat telah ditanggung oleh pemerintah (dengan wang rakyat), dan bukannya
dengan wang persendirian. Ini memang wajar. Kami percaya nilai kesihatan dan
nyawa setiap manusia ciptaan Allah tidak banyak bezanya, sama ada ia seorang
isteri Timbalan Perdana Menteri, bekas pengacara TV ataupun siapa saja.
Sehubungan ini PRM berpendapat bahawa tidak ada sebab, dari segi perubatan
serta kemanusiaan, untuk pemerintah menyekat bekas Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapat rawatan di negara Jerman. Beliau
tidak mengharapkan bantuan pemerintah, bahkan sanggup mengeluarkan belanja
sendiri. Keadaan kesihatan Anwar sekarang tidak begitu baik. Beliau sentiasa
dalam kesakitan. Pucuk pimpinan negara hendaklah memperlihatkan sifat
perikemanusiaan dengan membenarkan Anwar segera keluar negara untuk mendapat
rawatan.
Dr Syed Husin Ali
______________________
Diterbitkan oleh : |