UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAMOLEH: FARHAH RUSYDA Jenayah dalam bahasa Arab
disebut dengan perkataan al-Jinayah atau al-Jarimah. Perkataan al-Jinayah
ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, sama
ada tindakan itu ke atas badan, harta atau lain-lain. Al-Mawardi mentakrifkan
jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut Syariah yang boleh dihukum
berdasarkan hukum Allah sama ada ia adalah qisas, hudud atau takzir.[1]
Takrif ini cuba membezakan kesalahan yang boleh dihukum dengan kesalahan yang
tidak boleh dihukum oleh pemerintah. Ini menjadikan skop jenayah adalah besar
kerana semua kesalahan yang boleh dihukum oleh pemerintah menurut syarak
dianggap sebagai jenayah. Islam menganggap jenayah satu
kesalahan yang mesti dihukum kerana ia melanggar hak Allah dan hak manusia atau
makhluk lain. Islam memandang tinggi kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan
maruah. Pencabulan kepada lima perkara ini adalah jenayah yang perlu dihukum.
Untuk menjadikan sesuatu tindakan itu dianggap jenayah, ia perlu memenuhi
elemen-elemen berikut:[2] a.
Elemen
perundangan iaitu peruntukan yang jelas melarang tindakan jenayah itu dan
menjadikannya sebagai kesalahan yang boleh dihukum. b.
Elemen
tindakan iaitu melakukan tindakan yang menjadi kesalahan itu c.
Elemen
kelayakan iaitu melihat kepada umur, keupayaan, dan tanggungan penjenayah
berkenaan Undang-undang Islam
membahagikan jenayah kepada tiga pembahagian utama berasaskan kepada hukuman
yang dikuatkuasakan, iaitu seperti berikut: a.
Qisas
dan diat iaitu hukuman berkaitan dengan hak individu mangsa atau walinya.
Umpama setelah hakim mendapati seseorang itu bersalah kerana membunuh, wali
mereka boleh memilih sama ada untuk meneruskan hukuman qisas atau
menggantikannya dengan diat atau memaafkannya. b.
Hudud
iaitu hukuman yang berkaitan dengan hak Allah yang telah ditetapkan dengan
jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan kesalahan zina, qazaf,
mencuri, hirabah, minum arak, dan murtad. Hukuman hudud ini kekal dan
tidak boleh diubah sehingga hari kiamat. c.
Takzir
iaitu hukuman selain dari hudud dan qisas. Hukuman bagi kesalahan di bawah
qisas ini ditentukan oleh pemerintah atau hakim sesuai dengan suasana,
penjenayah, kesalahan dan faktor lain. Berikut adalah perbincangan
secara mendalam bagi setiap pembahagian jenayah seperti yang telah disebut 1. Qisas dan diat Qisas bermaksud pembalasan
yang serupa atas kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah. Contohnya, bagi
kesalahan bunuh dibalas dengan hukuman mati, bagi kesalahan membutakan mata
dibalas dengan hukuman membutakan mata dan seumpama. Qisas berlaku dalam kes
pembunuhan dan kes kecederaan atas anggota badan Pembunuhan (al-qatl) Hukuman qisas bagi kes
pembunuhan adalah berasaskan firman Allah: Terjemahan:
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes
pembunuhan, iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba,
wanita dengan wanita. Maka sesiapa yang mendapat pengampunan dari saudaranya
hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik dan hendaklah (yang
dimaafkan) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan baik juga. Yang
demikian itu satu keringanan dari Tuhan kamu dan satu rahmat, sesiapa yang
melampaui batas selepas itu , maka baginya seksaan yang amat pedih. Dan pada
Qisas itu ada (jaminan penerusan) hidup, hai orang-orang yang berakal, supaya
kamu bertakwa.[3] Kebanyakan ulama membahagikan
pembunuhan kepada tiga iaitu pembunuhan dengan sengaja (qatl ‘amd),
pembunuhan serupa sengaja (qatl syibhu ‘amd) dan pembunuhan tidak
sengaja (qatl khata’). Setiap jenis pembunuhan ini dihukum dengan
hukuman yang berbeza. 1. Pembunuhan sengaja (qatl ‘amd) Pembunuhan sengaja ialah
apabila seseorang itu dengan sengaja dan dengan niat untuk mematikan seseorang
hidup yang tidak halal dibunuh dengan menggunakan alat, bahan atau cara yang
kebiasaannya boleh membunuh. Pembunuhan sengaja ini berlaku apabila memenuhi
syarat berikut: a.
Tertuduh
itu orang mukalaf, iaitu dewasa dan siuman. b.
Orang
yang dibunuh itu adalah manusia yang masih hidup dan tidak halal darahnya. c.
Alat,
bahan atau cara yang digunakan itu kebiasaannya boleh membunuh d.
Pembunuhan
itu dilakukan dengan sengaja e.
Kematian
mangsa itu adalah akibat dari tindakan tertuduh. Setelah memenuhi syarat di
atas seseorang itu boleh didakwa, dan jika dia didapati bersalah, hukuman qisas
boleh dikenakan ke atasnya. Hakim seterusnya akan menyerahkan hak qisas kepada
wali kepada si mati. Wali mempunyai pilihan iaitu sama ada melaksanakan qisas,
menerima diat atau memaafkannya. 2. Pembunuhan serupa
sengaja (qatl syibhu amd) Imam Syafie mentakrifkan
pembunuhan serupa sengaja ini sebagai ‘pembunuhan yang berlaku dengan pukulan
yang disengajakan, tetapi tersalah pada kesan pembunuhannya, iaitu pukulan itu
tidak bertujuan untuk membunuh tetapi ia menyebabkan kematian. Imam Abu Hanifah
pula mentakrifkan pembunuhan serupa sengaja sebagai ‘pembunuhan yang
menggunakan selain dari besi tajam, buluh atau api atau yang seumpamanya.
Pembunuhan dengan tongkat, batu kecil atau besar dan menenggelamkan dalam air
adalah pembunuhan serupa sengaja.[4]
Kedua-dua takrif ini berasaskan pendekatan berbeza. Takrif pertama melihat
kepada niat pembunuh sementara takrif kedua menekankan soal alat yang digunakan
untuk pembunuh. Takrif pertama lebih baik kerana ia lebih luas dan turut
mencakupi takrif yang dibuat oleh Imam Abu Hanifah. Ini kerana alat pembunuhan
yang digunakan menunjukkan niat pembunuh itu. Hukuman bagi pembunuhan
serupa sengaja ini telah disebut di dalam satu Hadith iaitu Rasulullah s.a.w.
bersabda: Terjemahan:
Ketahuilah bahawa pembunuhan serupa sengaja dengan cemeti, tongkat atau batu
padanya diat berat iaitu seratus ekor unta dan 40 ekor daripadanya adalah unta
betina yang berumur dari enam hingga sembilan tahun, semuanya sedang bunting. 3. Pembunuhan tidak sengaja (qatl khata’) Pembunuhan tidak sengaja
adalah perbuatan yang menyebabkan kematian tetapi tidak dilakukan dengan niat
membunuh. Hukumannya adalah diat sebanyak seratus ekor unta. Hukuman diat ini
berasaskan firman Allah: Terjemahan:
Sesiapa yang membunuh orang beriman dengan tidak sengaja maka dia perlu
membebaskan seorang hamba dan membayar diat kepada keluarga si mati kecuali
jika mereka (keluarga si mati) memaafkannya. Kesalahan
mencederakan anggota badan
Kesalahan mencederakan adalah
tindakan yang melukakan, mencacatkan, atau menyakitkan ke atas anggota atau
mana-mana bahagian badan. Ia juga dibahagikan kepada kecederaan dengan niat dan
kecederaan tidak sengaja. Hukuman bagi kecederaan adalah seperti berikut: a.
Qisas iaitu hukuman kecederaan ke
atas anggota yang dicederakan. Hukuman ini dikenakan ke atas anggota yang
mempunyai sendi-sendi dan dapat dipastikan persamaannya seperti jari-jari
tangan dan kaki, mata, telinga, hidung, tangan, kaki, kemaluan lelaki dan gigi.
Bagi anggota lain, hukumannya diganti dengan diat kerana sukar untuk dipastikan
persamaannya.[5] Hukuman
qisas ini dijatuhi ke atas kecederaan secara sengaja. b.
Diat iaitu hukuman ganti rugi
atau denda yang dikenakan sebagai ganti rugi ke atas anggota badan yang
dipotong atau dilukakan oleh penjenayah. Diat dikenakan jika pesalah melakukan
kesalahan kecederaan tidak sengaja atau jika hukuman qisas tidak dapat
dijalankan dengan sebab-sebab tertentu seperti penjenayah sememangnya cacat,
atau mangsa telah memaafkannya dari pelaksanaan qisas. Kadar diat ini
ditetapkan berasaskan anggota yang dicederakan contohnya 100 ekor unta bagi
anggota yang tunggal seperti lidah, kemaluan lelaki, 50 ekor unta pula didenda
bagi anggota kembar seperti telinga dan seterusnya. Kadar diat juga boleh
dikira berasaskan fungsi anggota tersebut seperti 100 ekor unta untuk
kehilangan fungsi pendengaran dari kedua-dua telinga, dan kehilangan fungsi
menghidu dan seterusnya. Diat juga boleh dilihat dari sudut kadar luka
umpamanya luka yang mengena daging setelah kulit (al-badhi’ah) diatnya 3
ekor unta, luka yang masuk dalam daging (al-mutalahimah) diatnya 4 ekor
unta, luka yang mematahkan tulang (al-hasyimah) diatnya 10 ekor unta dan
seterusnya. Tegasnya hukuman qisas dalam
kes pembunuhan dan kecederaan menunjukkan keadilan Islam iaitu memberikan hukuman
setimpal dan sama dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman ini akan menjadikan
penjenayah akan lebih takut untuk melakukan jenayah, baik jenayah pembunuhan
atau kecederaan. Qisas tertakluk kepada hak mangsa kecederaan atau wali si mati
kerana fitrah manusia yang inginkan sesuatu kejahatan yang dilakukan ke atas
diri seseorang atau keluarganya dibalas dengan seadilnya. Cara ini dapat
mengelakkan dari berlaku permusuhan dan pertentangan berlarutan akibat dari
jenayah yang berlaku. Hukuman diat pula membuktikan betapa Islam mengutamakan
hubungan kemanusiaan sesama anggota masyarakat. Sikap bermaaf-maafan adalah
satu perkara yang amat di alu-alukan bagi memadam dendam yang berpanjangan. 2. Hudud Hudud dari segi bahasa
bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan. Dari sudut istilah pula
bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda yang ditetapkan oleh Allah dalam
Al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak
boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan,
pemerintah atau hakim. Terdapat enam kesalahan hudud
yang disepakati oleh semua ulama, iaitu: a.
Zina b.
Qazaf (Menuduh seseorang melakukan
zina tanpa saksi) c.
Mencuri d.
Hirabah (rompakan) e.
Minum
arak f.
Murtad Kesalahan lain yang tidak
disepakati oleh para ulama adalah pemberontakan (al-baghyu), liwat,
hubungan sex dengan haiwan, sihir, lari dari medan perang, dan beberapa
kesalahan lagi. 1. Zina Zina adalah persetubuhan
antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang bukan pasangan suami isteri.
Zina adalah perbuatan keji yang diharamkan. Semua persetubuhan di luar
perkahwinan adalah zina kecuali dalam kes wat’i syubhah iaitu
persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang
disangka adalah isterinya yang sah sedangkan perempuan tersebut adalah orang
lain. Wat’i syubhah juga berlaku apabila dia bersetubuh yang seorang
perempuan kerana perkahwinan yang disangkakan sah sedangkan perkahwinan itu
adalah tidak sah. Sesuatu kesalahan zina boleh
disabitkan melalui cara iqrar atau pengakuan penzina sendiri seperti
yang berlaku dalam kes Ma’iz bin Malik dan kes pengakuan zina oleh
al-Ghamidiyah pada zaman Rasulullah dan kes pengakuan zina anak kedua Sayyidina
Umar bernama Ubaidillah atau Abi Shamhah, ketika dia menjadi Khalifah. Menurut
Abdul Rahman I. Doi, kebanyakan hukuman hudud yang dijalankan pada zaman
Rasulullah dan empat Khulafa al-Rasyidin dijatuhi berasaskan kepada iqrar
atau pengakuan. Selain dari itu zina juga
boleh disabitkan melalui kesaksian empat orang saksi lelaki Muslim serta
mukallaf dan adil. Saksi itu juga menyaksikan kejadian zina iaitu kemaluan
lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan secara jelas serta mereka perlu memberikan kesaksian menggunakan perkataan
yang terus-terang bukan kiasan atau sindiran. Hukuman zina adalah berbeza
mengikut status penzina. Penzina yang sudah berkahwin secara sah dan telah
menikmati persetubuhan dalam perkahwinan itu dikenali sebagai ‘muhsan’.
Penzina yang belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat
persetubuhan dalam perkahwinan itu, pesalah itu dikenali sebagai ghairu
muhsan atau bukan muhsan. Hukuman mereka adalah seperti berikut: a.
Bagi
penzina bukan muhsan hukumnya adalah sebat sebanyak seratus kali
sebatan. Hukuman bagi wanita yang mengandung ditangguhkan sehingga tempoh
penyusuan amat. Hukuman bagi penzina
yang sakit ditangguhkan sehingga dia sembuh. Rotan yang digunakan tidak terlalu
besar dan tidak terlalu kecil iaitu lebih kurang satu meter panjang dan satu
sentimeter garis pusat. Sebatan dibuat pada merata-rata tubuh kecuali muka,
kepala, dada dan kemaluan. Sebatan mesti dilakukan secara sederhana iaitu
pegawai yang menjalankan hukuman tidak boleh mengangkat rotan itu tinggi hingga
ke paras kepalanya. Pesalah dihukum dengan memakai pakaian yang nipis menutup
aurat. Jika semasa sebatan dilakukan, pesalah itu didapati tidak mampu menerima
sebatan, maka atas pengesahan pegawai perubatan, sebatan itu perlu ditangguhkan
sehingga pesalah itu sembuh kembali. Bagi hukuman yang sabit dengan iqrar
atau pengakuan, pesalah boleh menarik balik iqrarnya ketika hukuman
dijalankan. Hukuman
ini adalah ketetapan Allah berasaskan firmanNya: Terjemahan:
Penzina wanita dan penzina lelaki hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan
dan janganlah perasaan belas kepada kedua-duanya menghalang kamu dalam
menegakkan agama Allah, jika sekiranya kamu beriman dengan Allah dan hari akhirat.[6] b.
Bagi
penzina muhsan, hukumannya adalah rejam dengan batu yang sederhana besar
sehingga mati. Hukuman dilakukan secara terbuka dan disaksikan oleh orang-orang Islam. Hukuman bagi wanita yang
mengandung dan orang sakit juga ditangguhkan seperti dalam kes penzina bukan
muhsan. Pesalah dikenakan pakaian yang menutup aurat. Bagi pesalah yang sabit
kerana iqrar, mereka boleh menarik balik iqrar ketika hukuman
berjalan. Hukuman
rejam ini adalah ketetapan Allah seperti yang termaktub di dalam Sunnah Nabi
S.A.W. di antaranya: 1)Terjemahan:
Dari Abi Hurairah r.a.: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. ketika
baginda sedang berada dalam masjid. Dia memanggil Nabi lalu berkata: Ya
Rasulullah, saya telah berzina. Rasulullah tidak memandangnya, memalingkan diri
daripadanya. Orang itu mengulangi kata-kata itu sehingga empat kali. Maka
setelah ia mengaku sebanyak empat kali, Nabi memanggilnya dan berkata: Adakah
awak gila? Dia menjawab: Tidak. Rasulullah bertanya: Adalah engkau muhsan? Dia
menjawab: Ya. Maka Rasulullah besabda: Bawalah dia dan rejamkanlah dia, maka
kami pun merejamnya.[7] 2)Terjemahan:
Tidak halal darah seorang muslim kecuali karana salah satu dari tiga perkara:
kafir sesudah beriman, berzina sesudah ihsan (muhsan), membunuh nyawa bukan
kerana nyawa (qisas) Hukuman zina hanya dikenakan
jika ia dilakukan secara sukarela. Jika ia dilakukan secara paksa atau dirogol
maka ia dikecualikan dari hukuman. Islam mengharamkan zina dan mengenakan
hukuman keras ke atas pelakunya kerana zina adalah perbuatan yang sangat jijik
yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan moral masyarakat. 2. Qazaf Qazaf bermaksud membuat
tuduhan zina terhadap seorang Islam yang akil baligh dan dikenali sebagai
seorang yang bersih dari perbuatan zina tanpa dibuktikan dengan empat orang
saksi. Qazaf boleh berlaku dengan membuat kenyataan secara jelas seperti
mengatakan seseorang itu telah berzina, atau dengan cara tersirat seperti
menyatakan bahawa seseorang itu bukan anak atau bukan bapa kepada seseorang
yang tertentu. Orang
yang melakukan qazaf disebat dengan 80 kali sebatan kecuali jika dia dapat
membawa 4 orang saksi yang dapat mensabitkan kesalahan orang yang dikatakan
berzina tadi dengan kesalahan zina. Hukuman ini berasaskan kepada kepentingan
kehormatan dan maruah di kalangan masyarakat. Ia juga untuk memastikan tidak
ada sebarang tuduhan zina yang dibuat tanpa asas yang kukuh, kerana tuduhan
zina itu suatu yang amat memalukan dan boleh memporak-perandakan keharmonian
keluarga. Hukuman hudud ke atas pesalah
qazaf adalah satu ketetapan Allah berasaskan firmanNya: Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh
wanita-wanita yang muhsanat(baik) dan kemudian mereka gagal membawa empat orang
saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh sebatan…[8] 3. Mencuri Mencuri atau sariqah
ditakrifkan sebagai memindahkan dengan cara bersembunyi harta alih daripada
jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dan perbuatan itu
dilakukan dengan niat untuk menghilangkan harta itu daripada jagaan atau
milikan tuannya. Kecurian apak berlaku apabila memenuhi syarat-syarat berikut:
Hukuman bagi kesalahan
mencuri adalah potong tangan kanan iaitu di bahagian pergelangan tangan pada
sendi yang menyambungkan tapak tangan dengan lengan. Bagi kesalahan kedua,
dikenakan hukuman potong kaki kiri dipergelangan buku lali iaitu di bahagian
tengah kaki, manakala tumit kaki masih boleh digunakan untuk berdiri atau
berjalan. Hukuman ini berasaskan firman Allah: Terjemahan:
Pencuri lelaki dan pencuri wanita, maka hendaklah dipotong tangan kedua-duanya
sebagai balasan atas apa yang mereka lakukan dan sebagai pengajaran yang dapat
mencegah dari Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.[9] 4. Hirabah Hirabah adalah perbuatan merampas
harta orang lain dengan kekerasan atau ugutan oleh seseorang atau kumpulan yang
bersenjata atau alat yang boleh digunakan sebagai senjata. Rompakan adalah satu
jenayah yang besar dan bahaya. Oleh itu hukuman yang dikenakan ke atas mereka
mestilah berat dan keras. Berbeza dengan pemberontakan, jenayah hirabah ini
tidak dilakukan untuk tujuan politik tetapi semata-mata untuk merampas harta
dan merosakkan keamanan negara. Hukuman hirabah ini berasaskan firman Allah: Terjemahan:
Sesungguhnya balasan orang-orang yang yang memerangi Allah dan Rasulnya dan
berbuat kerosakan di atas muka bumi ini adalah agar mereka dibunuh ataudisalib
atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangatau dibuang negeri… Berdasarkan ayat ini,
terdapat percanggahan pendapat ulama berkaitan dengan hukuman kesalahan
hirabah. Al-Quran menyebut tiga bentuk hukuman iaitu: hukuman mati, hukuman
salib, hukuman potong tangan serta kaki secara bersilang dan buang negeri.
Kebanyakan ulama menghuraikan hukuman hirabah seperti berikut: a.
dihukum
bunuh dan selepas itu disalibkan jika mangsa jenayah itu dibunuh dan hartanya
atau harta orang lain diambil b.
dihukum
bunuh sahaja jika mangsa jenayah itu dibunuh dengan tiada sebarang harta
diambil c.
dihukum
potong tangan kanan dan kaki kiri, jika harta diambil tanpa menyebabkan kematian atau kecederaan mangsa d.
hukuman
buang negeri bagi pesalah yang hanya mengganggu lalu-lintas sahaja 5. Syurb atau Meminum arak Syurb di sini membawa maksud
meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan. Arak adalah ibu segala
kejahatan dan ia boleh mendorong kepada jenayah-jenayah lain. Hukuman bagi
peminum arak adalah sebatan sebanyak 40 kali. Ada ulama yang menetapkan sebatan
sebanyak 80 kali. Kedua-dua pendapat ini berasaskan hadith berikut: Terjemahan:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa seorang peminum arak telah
dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. maka baginda memukulnya dengan pelepah
tamar sebanyak 40 kali. Kata Anas: begitulah juga dilakukan oleh Khalifah Abu
Bakar. Apabila zaman Khalifa Umar, beliau bermesyuarat bersama para sahabat
lalu Abdul Rahman bin Auf berkata bahawa, sekurang-kurangnya hukum hudud itu
adalah 80 kali sebatan. Lalu Umar mengarahkan hukuman 80 kali sebatan.[10] Hukuman hudud ini dikenakan
kalau peminum itu meminumnya dengan sengaja dan mengetahui minuman tersebut
adalah arak. Tiada bukti yang menunjukkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam menetapkan alat-alat tertentu untuk menyebat peminum arak.
Kadang-kadang baginda menyebat dengan selipar, kadang-kadang dengan pelepah
tamar, kadang-kadang dengan rotan dan kadang-kadang dengan tangan dan selipar.[11]
Kaedah merotan dengan alat yang berbeza-beza ini menunjukkan betapa hukuman
undang-undang Islam tidaklah bersifat kasar dan keras seperti yang didakwa. Ia
jauh berbeza dengan cara sebatan yang digunakan dalam sistem hukuman yang
diperkenalkan oleh undang-undang Barat. Fakta ini menunjukkan bahawa tujuan
terpenting hukuman ini adalah untuk mendidik dan memberi peringatan kepada
pesalah tadi, bukan untuk menyeksa dan menyakitkannya. Apa yang penting
undang-undang Islam boleh menimbulkan rasa gerun kepada rakyat agar tidak
melakukan sebarang jenayah. 6. Riddah Riddah atau irtidad adalah
kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam yang mukallaf dengan membatalkan
Islam dan imannya iaitu keluar dari agama Islam sama ada dengan perkataan, atau
perbuatan. Orang yang keluar dari agama itu disebut sebagai murtad.
Jenayah adalah satu kesalahan yang besar terhadap agama, kerana ia menunjukkan
satu penghinaan terhadap agama dan kepada Allah. Hukuman bagi kesalahan riddah adalah dibunuh sehingga
mati setelah diberi peluang bertaubat selama beberapa hari. Hukum ini
berdasarkan beberapa dalil antaranya: 1)
Terjemahan Hadith: Dari Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang
menukar agamanya, maka bunuhlah dia[12] 2)
Terjemahan Hadith: Dari Ibn Mas’ud r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda: Tidak halal darah seorang muslim kecuali dalam salah satu dari tiga
perkara: kafir sesudah beriman, berzina sesudah muhsan dan membunuh jiwa tanpa
jiwa.[13] 3)
Terjemahan Hadith: Dari Abu Burdah bahawa Mu’az bin Jabal datang menemui Abu
Musa Al-Asya’ai di Yaman, didapati ada seorang lelaki di sebelahnya. Mu’az
bertanya: Apa ini? Abu Musa menjawab: (Dia) seorang Yahudi memeluk Islam
kemudiannya dia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendaki dia kembali kepada
Islam semenjak- perawi berkata: aku kira - dua bulan. Kata Mu’az: Demi Allah
aku tidak akan duduk sebelum, kamu penggal lehernya, lalu orang itu pun
dipenggal lehernya. Mu’az berkata: Allah dan RasulNya memutuskan bahawa sesiapa
yang murtad dari agamanya hendaklah kamu membunuhnya, atau baginda bersabda:
Sesiapa yang menukar agamanya hendaklah kamu membunuhnya.[14] 3. Ta’azir Takzir adalah hukuman yang
tertakluk kepada budi bicara pemerintah, badan perundangan atau hakim kerana
hukuman bagi kesalahan ini tidak disebut di dalam al-Quran atau Sunnah. Skop
kesalahan takzir adalah luas kerana semua bentuk kesalahan yang tidak tertakluk
kepada hukuman qisas dan hukuman hudud adalah tertakluk kepada hukuman takzir.
Bentuk hukuman adalah berbagai-bagai dan tertakluk kepada budi bicara
pemerintah, badan perundangan atau hakim. Takzir terbahagi kepada dua
iaitu:
Sebahagian dari kesalahan
takzir disebut dalam al-Quran dan Sunnah, tetapi hukumannya tidak dinyatakan.
Al-Quran ada menyebut beberapa kesalahan tanpa menyebut hukumannya. Contohnya kesalahan
memakan makanan haram seperti bangkai, darah, daging babi dan daging yang tidak
disembelih secara sah[15],
tidak menunaikan amanah atau melanggar kontrak serta tidak menjatuhkan hukuman
dengan adil[16],
mengkhianati harta anak yatim[17],
menipu dalam sukatan atau timbangan[18],
mengenakan dan memakan riba[19],
menyembunyikan keterangan atau bukti[20],
membuat fitnah, menghina atau memburukkan nama seseorang[21],
melakukan rasuah[22], berjudi
dan menilik nasib[23]
dan banyak lagi. Sementara hukuman takzir bagi
kesalahan yang tidak terdapat dalam al-Quran atau Sunnah adalah lebih luas
kerana semua bentuk pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan untuk
maslahah umum boleh dihukum secara taazir. Perkembangan hidup manusia yang
semakin kompleks menuntut agar pemerintah Islam sentiasa peka dengan keperluan
undang-undang untuk menjamin keharmonian dan kebahagiaan rakyat. Semua
kesalahan seperti yang melibatkan kesalahan lalu lintas, jenayah siber, jenayah
bio-teknologi, jenayah perdagangan, kesalahan yang melibatkan tempat awam,
kesalahan yang melibatkan alam sekitar dan hidupan liar dan banyak lagi adalah
termasuk di dalam kesalahan takzir. Jenis-jenis hukuman takzir
adalah tidak terhad kerana ia bergantung kepada maslahah, bahkan pemerintah,
badan perundangan atau hakim boleh mengenakan apa sahaja hukum dengan syarat ia
setimpal dengan kesalahan dan menepati maslahah umum. Dalam sejarah Islam
terdapat beberapa hukuman yang pelik yang dilakukan oleh pemerintah dan hakim.
Contohnya Sayyidina Umar pernah menghitamkan muka orang yang membuat kesaksian
palsu dan orang itu dinaikkan atas binatang tunggangan secara tebalik. Walau
bagaimanapun, hukuman yang biasa dijatuhi adalah seperti berikut:
Perbezaan dengan
undang-undang jenayah sivil Undang-undang jenayah Islam
mempunyai kelebihan tersendiri berbanding undang-undang jenayah sivil yang
kebanyakannya datang dari negara Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang
jenayah kebanyakannya diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang
diceduk dari Kanun Keseksaan India. Kanun Keseksaan India ini adalah sebenarnya
berasal dari kaedah-kaedah perundangan Common Law England yang dikumpulkan dan
ditulis dalam bentuk akta atau Kanun. Selain Kanun Keseksaan, undang-undang
jenayah juga terdapat dalam akta-akta tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya,
Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Keselamatan Dalam Negeri
1957, Akta Rahsia Rasmi 1983 dan lain-lain. Sementara prosedur jenayah pula
diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6), Akta Keterangan dan
akta-akta berkaitan mahkamah. Oleh kerana sumber kedua-dua
undang-undang ini adalah berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara
undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan
di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil adalah:
6.7
Pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam Undang-undang jenayah Islam
adalah undang-undang yang sesuai untuk semua masyarakat pada semua zaman. Ia
juga undang-undang undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia.
Apa yang lebih penting undang-undang jenayah Islam wajib diamalkan oleh mereka
yang beriman. Antara dalil yang menunjukkan kewajipan tersebut adalah ayat-ayat
Al-Quran berikut: 1)Dan
hendaklah kamu berhukum antara manusia dengan hukum yang diturunkan oleh Allah
dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kamu, dan berhati-hatilah kamu terhadap
mereka kalau-kalau mereka menggelincirkan kamu daripada sebahagian dari apa
yang telah Allah turunkan kepadamu. [25] 2)Sesungguhnya
kami telah turunkan kepada kamu (ya Muhammad s.a.w.) akan kitab (al-Quran)
dengan sebenarnya supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah dinyatakan
oleh Allah maka janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.[26]
Terdapat banyak lagi ayat
al-Quran dan Sunnah yang menunjukkan kewajipan pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam iaitu qisas, hudud dan takzir ini. Hukum ini berkekalan sampai
hari kiamat. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Khulafa al-Rasyidin dan
para khalifah berikutnya melaksanakan undang-undang ini, sehinggalah jatuhnya
kerajaan atau khilafah Islam. Malah kerajaan empayar Melaka dan negeri-negeri
lain juga pernah melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini. Tiada siapa yang
berhak memansuhkan hukuman ini. Ada yang mengatakan Sayyidina Umar pernah
memansuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri pada tahun kelaparan. Dakwaan
ini adalah satu fitnah yang besar ke atas sahabat yang dijamin syurga ini. Apa
yang berlaku ialah pencuri tidak dihukum kerana tiada keterangan yang mencukupi
untuk disabitkan bersalah.[27]
Hadith-hadith yang mengatakan Sayyidina Umar menangguhkan pelaksanaan hukum
potong tangan bagi pencuri pada tahun kelaparan adalah hadis daif.[28]
Ada yang mengatakan
pelaksanaan hukum jenayah Islam perlu ditangguhkan untuk mengelakkan tekanan
ekonomi akibat ketiadaan pelabur asing. Alasan ini tidak berasas kerana
pelaksanaan hukum Islam dibuat secara adil mengikut kehendak Allah. Hasil dari
pelaksanaan hukum Islam negara akan menjadi aman dan tenteram serta jenayah
dapat dikurangkan pada tahap yang sangat minimum. Perkembangan ini tentunya
akan menambahkan lagi tarikan pelabur untuk melabur di dalam negara pengamal
undang-undang jenayah Islam ini. Tambahan pula pelabur yang datang tidak perlu
takut kerana mereka datang bukan untuk melakukan jenayah tetapi untuk menanam
modal. Terdapat juga pihak yang
ingin mengelakkan dari pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan alasan
bahawa keadaan rakyat yang belum menghayati Islam sepenuhnya serta banyaknya
perkara munkar, menjadikan undang-undang Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Pelaksanaan undang-undang Islam tidak tertakluk kepada syarat bahawa semua
rakyat telah menghayati Islam terlebih dahulu. Pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam adalah bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan kadar
jenayah. Ia sesuai dilaksanakan dalam semua keadaan. Undang-undang jenayah yang
ada pada hari ini terbukti gagal untuk menghapuskan jenayah. Fakta menunjukkan
bahawa purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia bermula dari tahun
1994-1998 telah menjangkau sebanyak 9.5% setahun sebagaimana yang dilaporkan
oleh Polis DiRaja Malaysia. Keadaan ini jauh berbeza dengan kadar pertumbuhan
penduduk Malaysia sekitar 2.53% sahaja sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan
Perangkaan Malaysia. Jika perkembangan ini dibiarkan berterusan, keselamatan
rakyat dan keamanan negara semakin lama semakin terancam. Bagi mengatasi masalah ini, undang-undang
jenayah Islam perlu kembali dikuatkuasakan sebagaimana yang pernah diamalkan
oleh Empayar Melaka dan negeri-negeri Melayu. Sepatutnya situasi rakyat yang
tidak menghayati Islam sepenuhnya dan banyaknya munkar menjadi faktor pendorong
untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam, bukannya faktor untuk tidak
melaksanakannya seperti yang didakwa oleh sesetengan pihak. Jika kita ingin
menunggu seluruh masyarakat menjadi ‘baik’ semuanya tanpa pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam, sehingga kiamat pun kita tidak akan berjaya. Ini
kerana undang-undang jenayah Islam adalah pelengkap kepada proses islah
atau tajdid iaitu proses untuk merubah masyarakat ke arah kebaikan.
Usaha pendidikan, pembangunan institusi keluarga, pembangunan sosial dan dakwah
tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam
seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Di samping itu, terdapat juga
suara-suara yang mengatakan bahawa undang-undang jenayah Islam tidak dapat
dikuatkuasakan kerana rakyat masih jahil dengan undang-undang tersebut. Islam
sebenarnya tidak mensyaratkan semua rakyat memahami sesuatu undang-undang
sebelum pelaksanaannya. Bahkan dalam mana-mana sistem perundangan dalam dunia
tidak terdapat Parlimen atau Badan Perundangan yang mensyaratkan kefahaman
rakyat sebelum sesuatu undang-undang diluluskan. Di Malaysia sahaja terdapat
lebih kurang 600 akta dan beribu-ribu undang-undang kecil serta bermacam-macam
peraturan. Tidak ramai rakyat memahami kesemua undang-undang tersebut. Parlimen
tetap meluluskan semua undang-undang walau pun ia belum difahami sepenuhnya
oleh rakyat. Undang-undang jenayah Islam seperti hudud, qisas dan takzir
sebenarnya undang-undang yang sedia diketahui oleh rakyat terutamanya umat
Islam kerana ia terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith yang menjadi bacaan
harian umat Islam. Ia juga diajar di masjid-masjid dan surau-surau. Terdapat
banyak buku dalam pelbagai bahasa yang menghuraikan tentang hukum jenayah Islam
ini. Jika ada yang belum memahaminya sekali pun ia boleh diketahui dan difahami
dengan mudah. Oleh yang demikian tiada sebab umat Islam menolak pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam kerana alasan kejahilan masyarakat. Undang-undang jenayah Islam
ini sesuai untuk semua masyarakat. Namun begitu ada yang menyatakan
undang-undang ini tidak sesuai dijalankan di sebuah negara yang mempunyai
masyarakat berbilang kaum. Sebenarnya ini bukan satu alasan yang kukuh kerana
kerajaan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah juga adalah masyarakat
berbilang kaum dan agama yang turut didiami oleh orang Yahudi di samping umat
Islam. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat ulama
berkaitan kedudukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ke atas bukan
Islam. Sebahagian ulama seperti Imam Malik dan al-Syafie berpendapat bahawa
mereka diberi pilihan sama ada mahu dihukum dengan hukum jenayah Islam atau
tidak.[29]
Jika pandangan ini diambil, tidak timbul soal masyarakat berbilang kaum dan
agama sebagai penghalang kepada pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Jika
mereka tidak mahu memilih undang-undang jenayah Islam mereka boleh diadili dan
dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan. Tegasnya undang-undang
jenayah Islam adalah undang-undang yang dikurniakan kepada manusia sebagai rahmat
dari Allah. Undang-undang ini sesuai dengan naluri manusia yang begitu kompleks
dan sukar dijangkakan. Pelaksanaan undang-undang Islam akan membawa kejayaan
bukan sahaja di dunia bahkan juga kejayaan di akhirat. [1] Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sutaniyyah, ms.192 [2] Anwarullah, Criminal Law of Islam, A.S.Noordeen, Kuala Lumpur, 1997, ms.3-4 [3] Surah al-Baqarah:178-179 [4] Abdul Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, 1997, ms. 187 [5] Abdul Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 194 [6] Surah an-Nur: 2 [7] Hadith Muttafaq ‘alaihi [8] Surah al-Nur:4 [9] Surah al-Ma ‘idah: 38 [10] Muttafaq ‘alaihi [11] Abdul Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 56 [12] Riwayat Bukhari dan Abu Dawud [13] Hadith Muttafaq ‘alaihi [14] Riwayat Ahmad [15] Surah al-Baqarah:173 [16] Surah al-Nisa’:58 [17] Surah al-Nisa’:2 [18] Surah al-Mutaffifin: 3 [19] Surah al-Baqarah:275 [20] Surah al-Hajj: 30 [21] Surah al-Hujurat: 11 [22] Surah al-Baqarah:188 [23] Surah al-Ma’idah: 90 [24] Maksud hadith riwayat al-Bukhari [25] Surah al-Maidah:29 [26] Surah al-Nisa’:105 [27] Abdul Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 263 [28] Abdul Ghani Azmi b. Idris, Mengenal Qanun Jenayah Islam, ms. 264 [29] Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, Bab 6, ms. 184
______________________
Diterbitkan oleh : |