Pemuda KeADILan gesa siasat rumah PMKUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Pemuda Parti KeADILan Nasional menggesa pihak berkuasa terutamanya polis mengadakan siasatan di kediaman Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kononnya PM menonton video lucah. Naib Ketua Pemuda, Muhammad Zahid Md Arip berkata, adalah tidak adil bagi RTM menyiarkan dakwaan seorang pemimpin PAS, Bunyamin Yaakob secara berulang-ulang berhubung perkara tersebut. "Kami berasa tidak adil untuk mengatakan Bunyamin telah membuat fitnah, sedangkan ucapan tersebut tidak disiarkan sepenuhnya oleh RTM," tegas beliau dalam kenyataan medianya. Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis membuat penyiasatan rapi berhubung perkara tersebut. Beliau juga melahirkan kekecewaan kerana kerajaan masih lagi mengamalkan cara lama dengan menyerang orang yang membuat dakwaan, sedangkan orang yang didakwa tidak disiasat. Tambahnya, keengganan pihak berkuasa menggeledah kediaman Presiden Umno hanya akan mengesahkan keyakinan rakyat bahawa apa pun dakwaan kesalahan yang dilakukan oleh PM akan ditutup oleh pihak berkuasa.
______________________
Diterbitkan oleh : |