SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

AMANAT PENULIS - SEBARKAN

Amanat Penulis – buat 10 salinan dan sebarkan ke seluruh pelusuk tanah air supaya ia bertali arus. Semoga diberkati Allah semua usaha yang baik. Terima kasih.

AMANAT SESAMA RAKYAT

Lagi sekali kita sampai ke persimpangan jalan. Tarikh 23 Jun, dan esoknya 24 Jun 2002, Sabtu danAhad, merupakan titik tarikh peralihan, tarikh keramat bagi rakyat dan negara. Malaysia tidak mungkin lagi sama saperti hari-hari sebelumnya. 23 Jun menjanjikan seribu perubahan, tersurat dan tersirat, dengan pengumuman perletakan jawatan. 24 Jun pula memetarai janji tersebut dengan pemergian negarawan agung yang berjuang hingga ke akhir hayatnya.

Kalau 2 September 1998 merupakan titik tarikh padah buruk bagi Malaysia dengan berlakunya pemecatan yang zalim lagi mengaibkan, esoknya, 3 September pula memetarai gemelut itu - maka terheretlah negara ke lurah kegelapan dan kepincangan dek angkara fitnah dan penghianatan yang amat dahsyat. Sekarang sejarah menjanjikan perubahan lagi sekali; moga-moga ke arah pemulihan dan kejernihan. Namun bagitu, janji-janji yang tersurat dan tersirat ini hanya akan tinggal janji semata-mata kalau kita rakyat Malaysia terus berpeluk tubuh, berdiam diri, hanya sekadar menonton dan berbicara, merungut sesama sendiri.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa jika bangsa itu tidakturut berusaha ke arah perubahan yang positif. Tidak cukup dengan hanya memerhati, meramal dan mengharap, berceloteh, mengeluh, dan berspekulasi sesama sendiri. Mesti ada usaha jitu ke arah perubahan dan peralihan. Malaysia ini negara kita, maka ia adalah tanggungjawab kita. Masa depan negara dan kita rakyatnya, nasib kita dan masa depan anak-anak kita, terletak di atas bahu kita dan berada dalam genggaman tangan kita. Anak-anak kita tidak mampu lagi terus bersimpati dengan keluhan dan rungutan kita semata-mata; mereka memerlukan tindakan positif dan kemas dari kita.

Oleh itu, ayuh – mari kita mula berusaha dan melangkah bertindak mengikut cara yang sesuai dan serasi dengan kita. Kalau kita orang politik dan berada dalam parti politik, maka perbaiki prestasi diri dan parti. Rakyat sudah amat kecewa dengan semua parti politik, tanpa kecuali, dek angkara kerenah-kerenah tertentu tiap-tiap parti. Percayalah – rakyat tidak lagi melihat parti – apa jua parti – sebagai pembela, pejuang, apatah lagi penyelamat rakyat. Sebaliknya, rakyat melihat parti-parti politik sebagai memperjuangkan, dan bergemelut sakan, dengan agenda-agenda dan prinsip-prinsip tersendiri, mementingkan parti dan perjuangan parti di atas keperluan rakyat.

Sesungguhnya, rakyat semasa melihat parti-parti politik bukan sebagai membela rakyat tetapi sebaliknya sebagai penghianat rakyat, menggunakan rakyat untuk perjuangan parti.

Justeru itu, kalau kita orang parti politik, fahamilah citarasa dan keluh kesah rakyat semasa. Kita tidak lagi akan dipilih semata-mata kerana kita mewakili parti tertentu. Rakyat akan memilih kita bersandarkan kewibawaan dan prestasi diri kita sendiri. Sudah pasti rakyat akan menolak mereka yang berakhlak hodoh, yang korap lagi hipokrit, yang rakus, yang mempunyai titik-titik hitam dalam hidupnya. Apatah lagi kalau kita pula mewakili parti-parti yang sudah ketara lazim mengenengahkan mereka-mereka yang curang, khianat, rakus dan sumbang akhlak, yang mana juga dipertanggungjawabkan di atas mimpi ngeri yang menghantui rakyat semasa.

Pengelaman pahit membina jiwa-jiwa yang lebih berhati-hati, peka dan bertanggungjawab. Rakyat sudah mula kenal yang mana racun dan yang mana madu, dan yang mana pula racun bersalut madu; rakyat tidak lagi dapat ditipu dengan racun bersalut madu. Kalau kita jujur, berakhlak mulia dan berkebolehan, maka kita akan dipilih; kalau tidak, berundur sajalah kerana sudah pasti kita tidak lagi akan dimenangkan dek parti.

Bagitu juga kalau kita sudah ada titik-titik hitam dalam sejarah kita – berundur sajalah – kerana rakyat sekarang tidak lagi pemaaf seperti semalam; sudah hilang daya toleransi, mudah benci dengan sebarang kecurangan. Juga tidak boleh disorok ditimbus sebarang kecurangan kerana rakyat sudah banyak cara menyiasat dan mendedahkannya.

Hanya ada satu cara saja kalau diri sudah ada cerita cemar – berundur sajalah sebelum dipamerkan di khalayak ramai; rakyat akan tahu, keluarga kerabat turut malu. Bagi yang tidak minat berparti, atau tidak boleh berparti, atau sudah kecewa dengan parti, kita juga mempunyai tanggungjawab yang besar, malah lebih besar dari yang berparti.

Dalam tangan kita terletak masa depan negara kerana kitalah sebenarnya penentu teraju negara kerana kitalah yang membuat pemilihan. Adalah menjadi tanggungjawab kita yang di luar parti memileh hanya merekamereka yang sewajarnya memimpin negara – wajar dan layak dari segi akhlak, layak dari segi latar belakang, layak dari segi jasa, dan prihatin pula terhadap rakyat – menerajui negara.

Wajib atas kita mengenali rapat setiap mereka yang ingin menerajui negara, baik di puncak pimpinan mahupun di peringkat akar. Inilah amanah anak-anak kita – iaitu kita bertanggung jawab dan dipertanggung jawabkan untuk membuat pilihan yang tepat dan betul. Ya, kita diamanahkan untuk bertindak mencorakkan perubahan dan peralihan, ke arah memulihkan negara demi masa depan mereka.

Untuk membuat pilihan yang tepat, wajarlah kita celik politik dan peka politik. Kita perlu prihatin dan faham baik apa yang sedang berlaku dalam negara agar kita dapat bezakan antara madu dan racun bersalut madu. Terlalu banyak yang indah dan megah itu hanyalah indah khabar dari rupa; di sebalik yang megah itu tersembunyi derita masa depan. Kemewahan yang tersergam sebenarnya menggambarkan hutang yang melangit, dibebankan ke atas pundak rakyat. Laungan memegahkan negara pada hakikat sebenarnya adalah usaha mereka menghambakan rakyat untuk negara.

Mendahulukan negara di atas rakyat bermakna menjajah rakyat – penjajahan rakyat ke atas rakyat – yang dikaburi dengan semangat megah negara. Rakyat yang sebenar cintakan negara ialah rakyat yang membina negara, bukan hanya sekadar bermegah negara. Negara pula sepatutnya membela rakyat; bukan rakyat diperhambakan untuk kemegahan negara dan negara pula menghisap keringat rakyat.

Insafilah - bahawa disebalik laungan megah negara tersirat dan tersemat kerakusan dan keangkuhan mereka, helah mereka untuk terus menghamba dan menjajah rakyat.

Bagi mereka yang sudah tahu dan faham, wajib atas mereka memberi tahu, memberi faham; bagi mereka yang tidak tahu dan tidak faham, wajib atas mereka mendapat tahu dan mencari faham.

Tugas kita ialah untuk menyelamatkan dan memulihkan negara. Negara terdiri dari rakyat-rakyat; maka wajiblah kita beriring bahu bersama seluruh rakyat jelata menyusun langkah ke arah perubahan. Wajiblah kita ingat memperingati, bertekad azam sesama sendiri memulihkan duka rakyat dan nestapa negara. Bagi kita yang tidak berada dalam parti, tugas kita menyampaikan berita yang sah lagi benar kepada seorang demi seorang rakyat – di desa, di kota, di rumah, di pejabat, di pasar, di gelanggang sukan – di merata-rata, kepada semua rakyat jelata, ke seluruh pelusuk negara.

Yang sudah tahu, wajib terus memberi tahu tanpa jemu-jemu, memastikan talian maklumat tidak terputus, malah terus bertali arus hingga pemulihan dan perubahan menjadi nyata.

Negara kita tanggung jawab kita bersama. Anak-anak kita menagihkan masa depan yang lebih terjamin, bukan dibebani dek hutang piutang yang bertepuk lapuk dan mewarisi masalah-masalah yang karut marut.

Inilah dasar usaha menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, menolak yang salah lagi buruk, menaikkan yang benar lagi baik. Ini bukan politik semata-mata politik. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan ibadat, yang melibatkan dunia dan akhirat kita. Setiap kita dipertanggung jawabkan mempertahankan negara, menjaga maruah agama dan bangsa.

Dengan itu wajiblah kita menolak, dan mengajak mendorong sesama sendiri, agar menolak mereka-mereka berserta kerenah-kerenah dan angkara-angkara mereka, yang memporak-perandakan negara, yang memperlekehkan agama dan yang menghina bangsa. Wajib di atas kita berusaha gigih menaikkan semula martabat negara, mendaulatkan semula kuasa rakyat, memerdekakan rakyat dari jajahan rakyat keatas rakyat. Kerana ini adalah perjuangan ibadat, maka perlu kita awasi tatasusila iman dan kesopanan agama.

Jangan hendaknya terpesong niat, tergelincir wadah, terlepas pendoman. Jangan hendaknya terlanjur kata, terlepas laku. Jangan hendaknya menyemarakkan permusuhan sesama rakyat. Yang ditentang dan perlu disingkir dan dibasmi, ialah kezaliman dan kecurangan berserta mereka-mereka yang terbabit; selainnya hanyalah rakyat biasa yang turut terpedaya.

Berniatkan lillahi ta’ala kita mengorak langkah, dan dengan lafaz bismillah kita mulakan usaha berbicara. Semoga usaha kita diberkati Allah s.w.t.; semoga anak-anak kita berbangga beribubapakan kita; semoga ibu bapa kita tidak hampa beranakkan kita; semoga nenek moyang kita tidak kesal bercucukan kita. Selamat berjuang dan salam sejahtera untuk seluruh rakyat jelata di seluruh pelusuk negara yang tercinta.

Amin. RDJU (2hb.Julai.2002)







______________________
Terbitan : 4 Julai 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com