Menanggapi kesasauan Utusan dalam isu bahasa MelayuOleh : Kelana Bakti Tidak ada siapa yang menidakkkan keperluan berbahasa Inggeris, bahkan adalah satu kedunguan nyata jika hanya "huha-huha" tentang "kehebatan" bahasa Inggeris, sebaliknya lupa untuk "mempromosikan" bangsa Melayu mempelajari, bahasa-bahasa asing lain - Jerman, Arab, Brazil (khususnya mengajar subjek Pendidikan Jasmani supaya dapat melahirkan rakyat Malaysia yang kreatif dalam Bolasepak), Korea, China dsbg. bagi memudahkan pemindahan Ilmu. Apa yang dianjurkan oleh Utusan bukan untuk menjadikan rakyat Malaysia berkeupayaan serta berketrampilan dalam berbahasa Inggeris, tetapi secara tidak langsung membina kontak "penjajahan bahasa", satu pendewaan menggila terhadap bahasa Inggeris. Ini terbukti dengan anjuran Utusan untuk mengembalikan sistem pendidikan aliran Inggeris, satu konteks pemikiran yang kembali kebelakang. Ternyata para pendokong Utusan tidak mengkaji teori kemajuan bangsa dalam pelbagai tamadun dunia. Realitinya gambaran maklum balas Utusan (e-mail 1 Julai 2002 2:18 ptg.) memperlihatkan kesempitan berfikir Utusan (tentunya pada pendokong Utusan) yang membataskan kepada kepentingan bahasa Inggeris semata-mata sebagai "pemberi" rezeki. Betapa memperlihatkan mentaliti "minda capaian rendah" Utusan! Sedangkan para pejuang bahasa Melayu, seringkali menganjurkan usaha mempelajari sebanyak mungkin bahasa dunia! Tidak ada satu bangsa pun yang maju hasil dari bertongkat dengan "bahasa orang lain" (Utusan hakikanya adalah bersifat hipokrit dengan retorik pembela Melayu). Utusan seharusnya tidak keliru atau mengelirukan diri, pejuang bahasa Melayu tidak pernah menganjurkan peminggiran terhadap bahasa Inggeris, sebagaimana Utusan menganjurkan peminggiran terhadap bahasa Melayu. Bahkan para pejuang bahasa Melayu turut sama menganjurkan penguasaan secekap mungkin bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi dan bahasa pencarian Ilmu. Pada masa yang sama memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, pengungkap pemikiran saintifik serta pembentuk tamadun berbahasa bertaraf tinggi. Meneladani terhadap apa yang berlaku kepada bahasa Inggeris. Utusan seharusnya meneliti sejarah bahasa Inggeris! Iltizam yang kuat di kalangan pada pendokongnya telah melonjak bahasa Inggeris kepada kedudukan yang ada pada hari ini, menewaskan bahasa Latin yang merupakan bahasa dominan di Eropah sehingga abad ke 16. Hayatilah bagaimana para pejuang bahasa Inggeris berjuang membebaskan kemunduran bangsa mereka, membebaskan diri dari zaman kegelapan. Bukankah dengan mencetuskan "Renaissance"? Menghayati kembali jatidiri bangsa mereka, menggantikan bahasa Latin dengan bahasa Inggeris dan akhirnya mereka telah berjaya menaiktarafkan bahasa Inggeris dari bahasa petani kepada bahasa saintifik? Telitilah sejarah Jepun, Korea, Jerman, Thailand dan Perancis sebagai contoh, apakah mereka maju dengan bahasa Inggeris, apakah sistem pendidikan mereka menggunakan bahasa Inggeris? Apakah Matematik dan Sains mereka diajar dalam bahasa Inggeris? Menghala pula ke Mozambiquue, Nigeria, India, Uganda dan Filipina sebagai contoh, diangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa pendidikan dan bahasa komunikasi pasar. Apakah negara-negara tersebut berjaya membebaskan diri dari belenggu kemiskinan? Apakah tidak ada kelaparan di sana? Hanya mereka yang berminda capaian rendah sahaja yang gagal menilai segala fakta yang wujud. Hakikatnya tidak ada jaminan bahasa Inggeris dapat "mengenyangkan perut". Siapakah yang mengenyangkan perut para pendokong Utusan? Bukankah para pendokong dan pencinta bahasa Melayu? Sanggupkah Utusan menukarkan wajahnya daripada Utusan Malaysia kepada "The New Malaysia Mail" atau "The Malaysian Review"? Bukankah pecutan pembangunan dan kemajuan yang dicapai hari ini adalah hasil dari kepesatan penggunaan bahasa Melayu? Apakah Utusan menyedari bahawa dengan "kegilaan" terhadap bahasa Inggeris kini, telah menyebabkan berlakunya kerencatan dalam pembangunan negara? Tidakkah Utusan sedari dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar Matematik dan Sains akan melahirkan lebih ramai mereka yang lapar? Adakah Utusan membuat kajian terhadap realiti peratus kelulusan pelajar-pelajar Melayu dalam kedua-dua subjek tersebut? Bukankah kadar pencapaian para pelajar Melayu dalam kedua-dua subjek tersebuat hanya pada kadar 30% dan 40%, iaitu kadar di bawah penguasaan minimum? Bahasa Melayu kini telah mengalami hakisan pengaruh yang amat tenat, semuanya berpunca daripada wujudnya segolongan Melayu, sebagaimana Melayu Utusan, Melayu tukang urut yang terencat minda! Harus disedari perjuangan memartabatkan bahasa Melayu adalah perjuangan memperkasakan bangsa Melayu. Bangsa Melayu tidak akan mencapai taraf dunia dengan bertongkat kepada bahasa Inggeris, yakinlah! Keadaan ini terbukti dengan adanya golongan "Melayu-Inggeris" yang bertutur serta berbudaya Inggeris, tetapi hakikatnya menyumbang "sifar" kepada kesenian berbahasa Melayu. Kehebatan bangsa Melayu bergantung kepada bahasa Melayu, faktanya, bangsa Melayu telah berjaya membebaskan dari dari mentaliti "katak bawah tempurung" dengan berbahasa Melayu. Maka penggila bahasa Inggeris yang merasakan diri mereka terancam oleh kehebatan bahasa Melayu telah mempergunakan golongan Melayu mentaliti "minda capaian rendah" untuk dijadikan alat menghuru hara dan meremehkan bahasa Melayu dengan mengembalikan nostalgia "kehebatan bahasa Inggeris". Utusan adalah termasuk dalam golongan tersebut. Utusan hakikatnya terkeliru antara isu kelemahan berbahasa Inggeris dengan penggunaan meluas bahasa Inggeris. Sikap Utusan memperlihatkan satu perjuangan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Harus diingat, "bangsa lain" umumnya tidak akan menjadi pendokong aktif kepada usaha pemartabatan bahasa Melayu, melainkan bangsa Melayu, "bangsa lain" terus bertepuk tangan "senyum lebar" dengan pembenaman Melayu! Maka bersedialah Utusan untuk menerima sumpah keramat bangsa Melayu! Menjadi pandang jarak padang tekukur tujuh keturunan! "Bahasa Inggeris belum tentu akan mengenyangkan Melayu dan bahasa Melayu bukan menjadi faktor yang melaparkan perut Melayu" Hakikatnya bangsa Hawai hampir lenyap keranan keghairahannya ingin maju bersama bahasa Inggeris. Indonesia menghampiri kejayaannya melonjakkan ekonomi mereka hanya berbekalkan bahasa Indonesia. Hayatilah pesanan John Naisbitt dalam "The global paradox!" .......................
From: Kelana Bakti Kesemua pilihan jawapan bancian utusan berhubung dengan P&P dan peperiksaan Matematik dan Sains dalam bahawa Inggeris adalah jauh tersasar. Ingat! Utusan Melayu adalah bertanggungjawab sepenuhnya merosakkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan. Utusan Melayu menjadi medan promosi di kalangan penggila bahasa Inggeris untuk menodai bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. Memperlihatkan kejelekan minda pada pendokong Utusan Melayu. ........................
From: Utusan Online Pencinta bangsa Melayu tidak membataskan dirinya hanya memperjuangkan bahasa Melayu tetapi nasib dan masa depan bangsa tersebut khususnya anak cucu bangsa Melayu. Memadaikah kita arif berbahasa Melayu kalau perut kelaparan??? Anak-anak muda Melayu kini sukar mendapat pekerjaan kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Seorang Melayu boleh berbahasa Melayu dan apabila perlu boleh juga berbahasa Inggeris. Inilah bangsa Melayu yang dicari bukan hanya pandai mendadik dada dia orang Melayu tetapi tidak menyumbang apa-apa kepada bangsa, setakat berceloteh dalam bahasa ibunda semata-mata.
Pengarang Perkhidmatan Utusan Online
______________________
Diterbitkan oleh : |