Krisis Sosial: Antara Sekolah, Guru Agama dan Parti PemerintahOleh: Hj Mohnas
ADALAH benar sekolah dieksploitasi parti politik, menjadikan ruang yang sepatutnya bercambah ilmu sebagai wadah merealisasikan agenda politik parti. Selalunya, guru-guru agama atau ustaz ditohmah tidak mengutamakan didikan Islam yang betul, sebaliknya menggunakan kelas untuk menyebar anasir perpecahan. Ia adalah label yang telah, sedang dan akan dilemparkan kepada golongan pendidik terutama yang membabitkan pendidikan Islam. Setiap kali berlaku krisis sosial yang sengaja pula diletupkan media pada waktu tertentu dan selepas itu mencari-cari krisis yang lain pula, maka setiap kali itulah, guru-guru agama dikatakan sebagai punca remaja tersebut terseleweng akhlak. Dari satu segi, ia memperlihatkan peranan besar golongan pendidik, yang paling rendahnya ustaz dan yang paling tingginya ulama sehingga kegagalan mereka mengakibatkan krisis sosial yang kronik. Sebut apa sahaja, bermula dari gejala bohsia dan bohjan, skinhead dan underground - malah sehingga onani di dalam kelas - punca utamanya adalah kegagalan golongan ini. Perdana Menteri terutamanya tidak bersalah, menteri kabinet tidak terbabit, pegawai tinggi kerajaan tidak ada kena-mengena, jentera kerajaan tidak gagal, atau apa-apa sahaja yang ada kena-mengena dengan UMNO dan BN bukan sebab-musabab krisis sosial tersebut. Meski mereka mentadbir kerajaan, menguasai kementerian dan melaksanakan dasar, mereka tidak pernah gagal, malah tidak juga akan gagal. Kalaupun, dasar itu gagal, maka ia gagal di peringkat perlaksanaan. Kegagalannya disebabkan guru agama dan ulama tidak memainkan peranan sebenar. Mereka dikatakan lebih mengutamakan politik dari memberi didikan yang betul. Kemudian yang mengekori senarai penyebabnya adalah ibu bapa. Oleh kegagalan inilah, maka remaja di Malaysia menjadi parah. Sebahagian besar sudah menjadikan seks sebagai budaya 'kejiranan alaf baru' sehingga bohsia dan bohjan bukan lagi perkara aneh dan ajaib. Sebahagian pula, barangkali cemuh dengan muzik yang sentimental dan mendayu-dayu, memilih underground sebagai wahana melontarkan perasaan mereka sehingga menjadikan ritual penyembahan syaitan sebagai agama baru. Sebahagian lagi, sanggup melakukan onani di dalam kelas, meski salah seorang daripadanya adalah murid berbangsa India dan beragama Hindu. Kesemua krisis sosial dan genting akhlak berpunca kegagalan guru agama dan ulama! Mereka inilah memainkan peranan paling besar dalam menentukan corak dan gaya hidup masyarakat hari ini. Kalaulah ini kaedah yang diterima, alangkah baiknya - kerana senanglah guru agama dan ulama itu mengalih pentadbiran negara. Malangnya, ia tidak seperti itu. Benar, agama memainkan peranan penting dalam masyarakat. Apabila agama ditolak, maka masyarakat akan menjadi pincang. Lihat sahaja masyarakat Barat, contoh terbaik kepincangan moral. Apabila Kristian hanya berlegar di sekitar gereja akibat sekularisasi yang pesat, maka di mana nilai hidup mereka berteraskan agama? Saya pernah terbaca dalam majalah Wanita keluaran pertengahan 80-an yang menyebut hampir 500,000 anak luar nikah di Amerika Syarikat yang dilaporkan. Pertama, ia belum termasuk yang tidak dilaporkan. Kedua, ia berlaku 15 tahun yang lalu. Dan statistik jenayah di Amerika Syarikat tidak lagi dikira berdasarkan hari dan minggu, tetapi minit dan saat! Bolehkah kita menyalahkan paderi di Amerika Syarikat kerana tidak memainkan peranan dalam memulihkan nilai hidup masyarakat mereka? Saya tidak fikir, paderi Kristian tidak berusaha membaiki masyarakat mereka. Mereka ada tugas keagamaan yang wajib diselesaikan dan mereka berusaha ke arah itu, tetapi dalam keadaan gereja hanya dilihat berfungsi pada hari Ahad atau ketika manusia mahu mendapatkan pengampunan, maka apakah peranan besar yang dapat dimainkan? Itu berlaku di Amerika Syarikat - belum di negara Eropah yang maju lain lagi. Bagaimana dengan Malaysia? Adakah guru agama dan ulama ini diberikan ruang yang sepatutnya dan seluas-luasnya? Atau adakah ruang yang ada dipersempitkan, malahan dalam masa yang sama ruang menggoda golongan remaja ke arah kehancuran dibuka seluas-luasnya? Siapa yang mengizinkan pusat hiburan, kelab malam dan permis-permis mungkar dibuka? Guru agama? Ulama? Siapa yang memberikan permit konsert dan 'pertunjukan amal' tetapi dalam masa yang sama permit untuk ceramah ditutup? Guru agama? Ulama? Siapa yang mengizinkan kilang arak terbesar di Asia dibuka dan arak bebas dijual? Guru agama? Ulama? Siapa dan siapa yang mengizinkan apa dan apa ini? Apalah yang besar pada sejam sehari untuk subjek agama, sedangkan 23 jam selainnya adalah ruang dan peluang mungkar bercambah? Iman mana yang dapat bertahan dengan satu jam mengingati Allah, 23 jam lagi memuja iblis? Barangkali benar, ada guru agama yang menjadikan kelas sebagai pentas politik sempit sebagaimana benar UMNO menggunakan sekolah untuk tujuan politiknya! Kalau begitu, ambil sahaja tindakan disiplin terhadap mereka ini. Kalaulah guru-guru pro-pembangkang dengan mudah diperosokkan ke pedalaman hanya kerana pemahaman politik mereka tanpa mempengaruhi profesional mereka, apalah susah mahu menghukum guru-guru yang tidak mengajar berdasarkan silibus sekiranya ada bukti dan dalil? Begitu kita harus bertanya dengan akal rasional kita. Apakah rasionalnya Umar seorang Khalifah Islam mengeluh, andainya kambing tersesat dalam perjalanan pun ia akan dipersoalkan Allah? Rasional inilah yang wajar difikirkan tidak kira sama ada Perdana Menteri yang telah, sedang dan akan berhenti, termasuk yang memberikan notis setahun setengah! Rasional inilah yang wajar difikirkan menteri kabinet apabila dasar kementeriaan tidak terlaksana dengan baik. Rasional inilah yang harus diambil berat pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ahli politik. Malah, yang lebih penting rasional inilah yang wajib difikirkan rakyat Malaysia sebelum memangkah mana-mana parti dan calon! Oleh rasional inilah, sehingga saya sedar peri-pentingnya politik terhadap kehidupan saya, keluarga, jiran, masyarakat dan negara, malah agama, maka saya melihat tindak-tanduk UMNO tidak secocok dengan apa yang saya fikirkan benar. Benar, guru agama dan ulama akan dipersoalkan Allah atas kepincangan masyarakat sekarang andai mereka tidak melaksanakan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar. Namun, adakah golongan lain akan diperlepaskan begitu sahaja? Pada hari tidak ada hakim yang boleh berkata, "Irrelevent!" atau pendakwa yang boleh meminda-minda tarikh, atau saksi yang boleh sering berubah-ubah keterangan, atau mungkin pihak keselamatan yang boleh dieksploitasi, maka tentu tidak ada satu manusia pun akan terlepas dalam pengadilan begitu. Kalau Umar, sahabat dijamin syurga, bimbang dipersoalkan, saya mengulangi kata-kata M. Nasir, meski dalam kalimah sedikit berbeza, "Siapa PM, menteri kabinet dan pegawai kerajaan?"
______________________
Diterbitkan oleh : |