SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

MENDOKONG JATIDIRI MUSLIMAT RABBANI

Firman Allah Ta'ala:

Yang bermaksud: " Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama, hikmah serta pangkat nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai:"Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku dan meninggalkan perbuatan menyembah Allah ". Tetapi (sepatutnya dia berkata) : "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala- dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya".

Tugas yang amat berat dipikulkan di bahu muslimat, harapan agama. Bagi merealisasikan sifat-sifat rabbani memerlukan gandingan semua ahli guna merungkai kejumudan dan kejahilan ke arah membentuk muslimah yang berilmu dan berketrampilan dalam semua aspek kehidupan. Istimewanya hakikat seorang muslimah mekar mewangi dengan kesempurnaan sifat individu muslim yang melengkapi diri sebagai seorang anak yang bertaqwa, isteri yang setia kepada suami, pejuang yang tidak mengenal erti kerehatan, ibu yang penyayang mendidik generasi penerus risalah kenabian, pendakwah yang berani menghadapi jalan yang berliku, anggota masyarakat yang prihatin, pelajar yang tidak jemu mengharungi lautan ilmu, pendidik yang solehah dan hamba Allah yang beriman.

Kepimpinan muslimat haruslah sentiasa berusaha untuk melahirkan individu muslimah yang berilmu dan tahu untuk mengeksploitasi ilmunya dengan baik. Maka program berbentuk tarbiah dan kepimpinan diadakan untuk melahirkan muslimat yang dapat memimpin masyarakat suatu masa nanti.

Dalam membentuk mujtama' mithali, peranan muslimah amat penting. Bagaimana mampu kita melahirkan lelaki sejati seperti Abdullah bin Zubair andai tiada peribadi unggul seperti Asma' binti Abu Bakar. Lantas kita perlu menyediakan diri dalam bentuk yang pelbagai agar diri kita mantap dan mampu untuk menepis sebarang bentuk ancaman luar seterusnya menjadi benteng kepada masyarakat sekeliling.

Prioriti yang sepatutnya ada pada diri muslimat perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa. Tugas muslimat amat besar sebenarnya, di samping menjaga makan minum suami dan anak-anak, tugas untuk memimpin masyarakat juga harus dipikul. Antara lain, Muslimat Rabbani turut berperanan dalam menghidupkan amar maaruf nahi mungkar, memelihara kesucian agama, melaksanakan hukum-hukum Islam, mempelajari dan mengajarkan kitab-kitab Allah juga memastikan kehidupan ini berasaskan suluk dan fikrah Islami.

KESEMPURNAAN AKIDAH ASAS KEIZZAHAN ISLAM

Firman Allah SWT:

Bermaksud : "Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad kecuali kepada sekalian manusia untuk memberi khabar gembira dan memberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui".

Aqidah merupakan paksi dalam kehidupan manusia menunjangi setiap amalan mereka. Kalimah “LailahaillaAllah” merupakan suatu yang berat tuntutan dan luas pengertiannya. Maka pengutusan para nabi dan rasul dalam usaha membawa risalah tauhid adalah satu hikmah Ilahi yang patut disyukuri. Islam telah menjadikan keimanan kepada Allah yang Esa yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang mutlak, yang membersihkan akal insan daripada segala bentuk penyembahan berhala dan membebaskan manusia daripada khurafat.

Hari ini kita lihat betapa ramai manusia yang dibekukan hati dan dikeraskan lidah mereka, lantaran tidak sepadan dengan iman dan amal yang dilakukan. Kita menerima ancaman daripada golongan wanita sendiri yang cuba meragu-ragukan akidah seperti pemahaman yang dibawa oleh Sisters in Islam, kristianisasi, fahaman maddiyah dan seumpamanya.

Menjenguk seketika keadaan wanita Islam yang tidak berusaha untuk mengutuhkan akidah, kemaksiatan terus berlaku di kalangan kita dengan penggunaan internet melebihi keperluan dan unsur- unsur negatif yang jauh terpesong daripada syariat Islam. Maka pemantapan ke arahnya, mestilah diperkukuhkan dengan sekukuh-kukuhnya tanpa sesuatu yang mampu merempuh dan memusnahkannya. Keimanan yang kuat bakal menenggelamkan kejahilan yang bermaharajalela di muka bumi ini.

Sejarah memaparkan kepada kita bagaimana Saidina Umar al Khattab r.a ketika mana melihat manusia mengambil berkat dengan pokok yang dibawahnya pernah dimeterai bai'ah ar- Ridhwan pada hari Hudaibiyah, Saidina Umar bimbang suatu kesan negatif terhadap akidah umat Islam akan berlaku, maka beliau menebang pokok tersebut. Jelaslah Islam telah mencantas segala ruang-ruang yang boleh mendatangkan syubhat yang menjerumuskan mereka ke arah kesesatan.

Ketahuilah muslimat sekalian, perjuangan kita adalah untuk mencapai matlamat yang satu. Kebersamaan dan kesatuan kita ini, hanya akan dirasai dengan ikatan akidah yang telah sama-sama kita paterikan. Diri kita perlu mantap dan mampu menepis sebarang ancaman luar seterusnya menjadi pembenteng kepada masyarakat sekeliling.

TAQWA ASAS KECEMERLANGAN

Sabda Rasulullah SAW:

Yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap muslim"

Dewasa ini ledakan ilmu pengetahuan semakin hebat. Seruan menuntut ilmu harus disambut dengan penuh keinsafan bagi melunaskan tanggungjawab seorang muslim. Ilmu yang dititikberatkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah tidak hanya terbatas kepada ilmu agama semata-mata, sekalipun ilmu agama menjadi prioriti dalam diri individu muslim. Selari dengan itu penerokaan ilmu perlu diseimbangkan antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Proses untuk melengkapkan diri dengan kedua-dua bidang ilmu ini perlu dipergiatkan seiring dengan tuntutan massa bagi memastikan izzah golongan agamawan terus terpelihara.

Agenda kecemerlangan akademik merupakan antara aspek terpenting yang perlu dititik beratkan oleh muslimat lantaran ia menjadi ukuran ketinggian ilmu di mata masyarakat. Pun begitu, kita tidak mahu kecemerlangan yang ditempa hanya sekadar mendapatkan segulung ijazah sedangkan tanggungjawab terhadap amanah ilmu diabaikan. Bahkan kecemerlangan yang sama-sama perlu dicapai adalah kesan ilmu itu sendiri terhadap diri mukmin sehingga dapat menatijahkan kemurniaan akidah, kemantapan iman, dan ketinggian peribadi sebagai biasan peribadi murabbi terulung, Rasulullah SAW. Sekaligus merealisasikan peribadi rabbani iaitu mereka yang tidak hanya belajar tetapi beramal dengan ilmu yang dipelajari seterusnya mendidik orang lain dengan ilmu tersebut.

Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (yang hanya menyembah Allah Ta'ala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya".

Lantaran itu proses menuntut ilmu dan memburu kecemerlangan harus berdasarkan rasa ketaqwaan kepada Allah Taala agar segala ilmu yang diperolehi berada di bawah pengawasan dan hidayah daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT

Bermaksud : "Bertaqwalah kepada Allah, Allah mengajarmu dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".

Manifestasi daripada hilangnya ketaqwaan akan melahirkan golongan yang tidak segan silu mengikut hawa nafsu melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah lantaran ilmu yang dituntut bukan berdasarkan niat untuk taa'bud kepada pencipta. Justeru, pertambahan ilmu dalam diri perlu dipastikan dapat meningkatkan khauf dan raja' kepada Allah Taala sekaligus merealisasikan firmanNya yang menyebut bahawa golongan ilmuan adalah orang yang paling takut di sisi Allah Taala.

Firman Allah Azzawajalla:

Bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama'".

AKHLAK PENGUKUH JATIDIRI MUSLIMAT

Perutusan rasul tercinta Muhammad s.a.w adalah sebagai model manusia yang mempunyai akhlak yang terbaik. Ketinggian dan keluhuran akhlak yang terserlah tiada tolok bandingnya jika diukur dengan kita pada hari ini. Akhlak baginda yang terpuji terbukti dengan pengiktirafan keindahan akhlaknya oleh Azza wa Jalla melalui firmanNya :

Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."

Sejarah juga banyak menyatakan kemurnian akhlak baginda mampu menawan golongan kafir sehingga memeluk Islam. Keindahan akhlak yang ditonjolkan Allah Taala melalui rasulNya. Menjadi bukti peri pentingnya akhlak mulia dalam diri seorang pejuang Islam

Sabda baginda s.a.w :

Yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak" Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Rata-rata gejala sosial negatif yang diwar-warkan adalah dikalangan muda mudi Islam. Gejala kebobrokan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa. Inilah yang perlu dielakkan selaku pejuang ad-Din.

Justeru, pengemblengan tenaga dan paduan fikiran perlu dirancakkan bagi merencana program pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri. Fitrahnya, jati diri akan seiring dengan kewujudan akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya: "Tiada sesuatu yang lebih baik pada timbangan selain akhlak yang baik"

IBADAH YANG SAHIH SUMBER KEKUATAN

Manusia diutuskan ke dunia sebagai khalifah Allah dalam menjalankan tugas-tugas dakwah dan ibadah kepada Allah Taala. Seiring dengan itu, Allah telah menetapkan satu garis panduan bagi menjadi landasan kehidupan yang mengarah kepada mardhatillah. Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu".

Ibadah adalah benteng asas yang paling kukuh dan tulen selepas akidah untuk melahirkan muslimat rabbani seperti mana yang dikehendaki oleh Islam dan sesuai sebagai tembok untuk mempertahankan Islam.

Rata-rata umat Islam menganggap bahawa ibadah itu adalah yang berbentuk sembahyang, puasa dan haji sahaja. Namun pengertian ibadah sebenarnya terlalu luas kerana ia mencakupi seluruh aspek kehidupan seperti menuntut ilmu, berpersatuan, berpolitik, mengemas rumah, atau sekali pun manfaat yang terhasil hanya untuk kepentingan sendiri atau keluarga. Segalanya dihitung sebagai ibadah kepada Allah Taala dengan syarat diiringi niat yang ikhlas serta bertepatan dengan syarak.

Segala amalan soleh yang menghampirkan hamba kepada Allah SWT akan menjadi penyebab untuk menjaganya ketika kesusahan, pembantu ketika sampainya hari dipisahkan antara orang yang melakukan kebajikan dan orang yang melakukan kejahatan.

Firman Allah SW T:

Maksudnya: "Hari seseorang kerabat atau sahabat karib tiadak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya , dan mereka pula tidak akan diberi pertolongan (untuk menghapus azab itu) kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah".

Menyingkap kehebatan ubudiah perwira pembebas Baitul Maqdis, Salahuddin Al-Ayubi tercerna dalam pemilihan tenteranya yang menitik beratkan qiamullail sebagai sumber kekuatan, lantas menatijahkan satu kemenangan gemilang.

Cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini mendesak kita untuk menyingkap rahsia kekuatan para sahabat dan salafussoleh terdahulu. Allah Ta'ala sendiri sebenarnya telah memberi petunjuk dan jalan kepada kita dalam menghadapi mehnah dan tribulasiNya:

Firman Allh Azza wa Jalla:

Yang bermaksud: "Wahai orang- orang yang beriman, pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang- orang yang sabar".

Kesabaran merupakan kunci kejayaan dan rahsia kecemerlangan mereka yang beriman. Itulah yang telah menjadi pegangan pejuang terdahulu dalam menempuhi mehnah dan tribulasi yang mencengkam. Sewajarnya ia menjadi ikutan kepada setiap mereka yang bergelar mukmin dan mukminat.

TARBIAH MENDASARI PERUBAHAN

Pendidikan merupakan suatu proses pertarbiahan yang bertujuan mencipta pola-pola tingkah laku tertentu individu. Selain daripada itu, pendidikan juga adalah suatu proses menyerap ilmu pengetahuan dalam bentuk teori serta melakukan latihan dalam kaedah praktikal bagi membentuk peribadi dan watak seseorang. Jika diteliti, tarbiah Islam apabila didasari dengan manhaj rabbani ,mampu membentuk insan yang mantap imannya dan tinggi taqwanya kepada Allah Taala.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa akhlak manusia boleh diubah dan ditukar melalui didikan dan tarbiah. Perubahan akhlak dapat dilaksanakan melalui penguasaan terhadap nafsu yang dijinakkan dengan mujahadah dan penyucian jiwa. Melalui kitab karangannya , beliau menyatakan tarbiah perlu dilakukan dan dipadu dengan latihan dan usaha bersungguh-sungguh sehingga menjadikan manusia yang mampu melentur dan menguasai dirinya. Ini dapat dilihat melalui sabda Baginda S.A.W yang bermaksud:

"Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengan keperitan yang dilakukan oleh mereka adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar dengan keperitan yang mereka lakukan".

THAQAFAH DAN ILMUAN

Merenung kembali perjalanan ulama-ulama terdahulu yang memiliki asas intelektual unggul berdasarkan ilmu turathi, terbukti thaqafah dalam ilmu duniawi dan ukhrawi adalah pemangkin izzahnya keilmuan Islam.

Zaman lampau mempersembahkan pencabulan Mongol ke atas Baghdad, serambi intelektual Islam. Pembakaran kitab-kitab turathi oleh kuffar laknatullah merupakan satu musibah bagi umat Islam seluruhnya. Rentetan itu, berlakunya penyebaran secara meluas doktrin yang tidak sealiran dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kesudahannya, membawa kepada berjayanya ikrar Raja Louis ke-9 untuk memerangi umat Islam dengan senjata pemikiran yang berbahaya. Wahana yang melanda kini bukan lagi satu sinopsis kepada kejumudan umat Islam, tetapi mengimpakkan kemapanan thaqafah yang menjadi antiseptik kepada penyakit pemikiran yang melanda. Sabda Rasulullah:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan menghilangkannya daripada dada manusia tetapi Allah mencabutnya dengan kematian para ulama, sehingga tiada lagi orang alim maka diangkat golongan pemerintah yang jahil lalu ditanya kepada mereka. Lalu mereka memberi fatwa tanpa sandaran ilmu lantas sesatlah mereka lagi menyesatkan orang lain".

Keperitan dan kepayahan tentunya bakal menjadi halangan yang mesti ditempuhi dalam menuntut kecemerlangan. Sesungguhnya untuk mendapatkan mutiara-mutiara berharga, penyingkiran nilai- nilai negatif seperti futur dan lemah semangat adalah perlu, kerana ia hanya akan membantutkan semangat juang muslimat.

MUSLIMAH SEBAGAI PEMIMPIN

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpin."

Muslimah tidak ketinggalan berperanan dalam kepimpinan. Namun, bidang kepimpinan muslimah tidaklah menyeluruh sehingga meletakkan mereka setaraf dengan kaum lelaki. Perubahan demi perubahan yang berlaku di negara kita, jelas menunjukkan bahawa wanita turut memainkan peranan penting dalam masyarakat. Peranan yang harus dimainkan bukan sedikit. Malah wanita bertanggungjawab sebagai pemimpin bagi memimpin kelompok wanita yang ada.

Berdasarkan konteks kepimpinan muslimat, gerak kerja kepartian mampu menjadi medan latihan organisasi yang berperanan melatih kader-kader perjuangan. Muslimah sebagai sayap kiri perjuangan berperanan mengimbangkan bebanan dakwah agar tidak hanya terpundak di bahu kaum lelaki sahaja. Lantaran itu, muslimat diharapkan bagi meneruskan kesinambungan pimpinan yang ada pada hari ini, berlandaskan garis panduan dan had-had yang telah ditetapkan oleh syarak.

PENUTUP

Arus semasa yang begitu menderu, perlu ditangani dengan hikmah dan bijaksana. Tentunya ia memerlukan persiapan dan penyediaan jiwa dan diri yang mapan dalam memastikan keberkesanan tarbiyah. Segala ilmu dan pengalaman yang ada bakal menjadi aset yang bakal membantu perjuangan.

Setiap muslimat harus memiliki perkatan yang benar, menjaga kerahsiaan, menyempurnakan janji, nasihat menasihati dan menunaikan amanah. Perkara ini menjadi kelengkapan utama bagi seorang pemimpin sepertimana yang telah dipesan oleh Imam As- Shafie. Kita tidak perlu merasa kerdil dengan kemampuan yang ada dan keadaan yang perlu dihadapi. Sebaliknya kekurangan itu harus menjadi sandaran untuk meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah. Di samping berusaha dengan semampunya, tawakkal dan doa kepada Allah tidak boleh lekang daripada diri kita.

Renungilah pesanan Almarhum Syeikh Sa'rawi :

Maksudnya: "Wanita (isteri) solehah ibarat hati di dalam jasad manusia. Sekiranya hati itu baik, nescaya baik seluruh anggota. Sebaliknya, jika hati itu rosak, akan musnahlah segalanya".

Jelas, muslimah sebagai syaqiqur rijal dalam melunaskan amanah Allah, sebagai khalifahNya di bumi ini, punya peranan penting dalam membentuk diri, keluarga dan masyarakat. Generasi pemuda pemudi hari ini merupakan bayangan kepada pimpinan di masa akan datang. Justeru, proses pembentukan dan pentarbiayahan perlu diserapkan ke dalam jiwa mereka agar golongan ini mampu mmberikan saham yang terbaik dalam pembinaan daulah Islamiah.

MENGORAK LANGKAH MEMIMPIN UMMAH

Mujahidah Islam







______________________
Terbitan : 30 Julai 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com