SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

Pilihan raya kecil kedua

Pilihanraya kecil kedua-dua tempat Dun Anak Bukit dan Parlimen Pendang sudah selesai. Kedua parti politik yang bertanding telah menerima keputusan dan akan menjalankan post morten ke atas keputusan yang di terima . Rumusan dan reaksi para pimpinan Pas dan BA menampakkan tanda kesyukuran dan berpuas hati terhadap pencapaian serta perolehan undi yang memberi significant atau mesej jelas betapa keutuhan perjuangan menegakkan agama yang berlandas keadilan dan kebenaran tetap tidak dapat diganggu gugat. Ia dipelihara oleh Tuhan secara fitrahnya di kawal oleh hamba-hambaNya yang kental, tidak takut dan tidak gentar oleh sebarang ancaman, yang sanggup berpenat lelah tanpa dijanjikan apa-apa habuan dan sentiasa pula berwaspada terhadap gerakan lawan. Rasa kesyukuran dan kegembiraan dari analisa keputusan pilihanraya kecil tersebut semakin jelas dari hari ke hari betapa perkembangan positif bakal menjelang pada hari perhitungan sebenar dalam pilihanraya umum nanti.

Secara spontan perkara dan suasana yang sama tampak diraikan oleh Umno dari sidang video yang dibuat melibatkan pimpinan tertinggi parti tersebut sejurus selepas peristiharan keputusannya di buat. Namun dari hari ke hari wajah-wajah sebenar dari pedih dan sebak hati mula ketara setelah salur darahnya mula menghantar darah-darah kotor naik ke muka semakin banyak dan tidak dapat disembunyi lagi memaparkan air muka yang penuh kecederaan dan kemurkaan. Kini pimpinan Umno seperti meratap tangis di hati melihat betapa umat melayu masih keberatan menaiki kapal layarnya yang sarat dengan perkakas-perkakas lama ala pemujaan, barang-barang perhiasan, binatang-binatang ternakan, pakaian malah wang yang mengunung untuk membawa pelayaran menempuh deruan ombak saujana lautan milikNya. Umat melayu Islam kini menyedari betapa status kapal layar, tambahan sarat dengan pelbagai perhiasan dan kebendaan yang disediakan untuk penumpang dan pelayar-pelayarnya bukanlah wadah dan instrumen selamat untuk pelayaran yang mengunakan terusan dan gelora lautan milikNya.

Kini telah terucap dari mulut presiden Umno betapa sesuatu perlu dilakukan bagi memperbetulkan etika kempen pilihanraya yang kononnya pihak pembangkang khususnya Pas bertindak secara keterlaluan dan diluar batas undang-undang. Sama-samalah saksikan sesuatu yang dimaksudkan itu akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi kerana biasanya apa yang diucap oleh mulut presiden Umno akan semestinya menjadi satu undang -undang atau dasar yang menimpa ke atas rakyat keseluruhannya. Apalagi terbit dari kecederaan dan kemurkaannya sepertimana dalam kes meritokrasi dan terbaru soal bahasa. Impaknya kepada sesuatu atau seseorang yang cuba menyaingi kuasa dan pengaruhnya digambar dan dilihat sebagai pesalah undang-undang. Sudah menjadi adat resamnya apa yang diucap oleh presiden Umno akan menjadi buah mulut dan pencuci mulut di kalangan pimpinan Umno lepas seorang seorang yang akhir membawa kepada termakbulnya niat dan hasrat hati perut pemimpin utamanya itu sebagai satu dasar yang sifat buruk baik, negatif dan positifnya tertolak ke belakang, meskipun dalam sesetengah kes ada juga suara bisikan tanda protes kerana masih mampu menimbang perihal nasib anak bangsa sendiri. Namun kemanalah gahnya suara kicau seekor burung pipit setakat dipepohon itu, hanya melihat kelibat seseorang sudah terbang hilang belumpun sempat dilastik kanak-kanak.

Sedikit masa nanti akan menyusul lagi dasar atau akta bikinan manusia yang cuba memberkas kebebasan dan suara rakyat terbanyak yang sudah sedia terpenjara dalam kerangka kegelojohan kuasa dan kebendaan pemimpin Umno. Akta tersebut akan diterimapakai oleh SPR dan besar kemungkinan di bawah badan penguatkuasa PDRM. Sebarang perkara dan tindakan yang boleh dianggap atau di kategori dalam kesalahan sewaktu kempen pilihanraya dibimbangi bukan setakat kesalahan dan hukuman ke atas individu tapi juga parti dengan di kemukakan sebagai petisyen ke SPR atau mahkamah dan berhak menolak sesebuah parti yang bertanding dengan kaedah mengistiharkan menang tanpa bertanding. Apapun dilihat dari api kemurkaan yang terpendam, dikira bukan sedikit perihal dasar dan akta yang ingin dipinda dan disentuh oleh tangan presiden Umno itu, sama banyak dengan hasil kerja-kerja jentera parti Pas yang bertungkus lumus di Pendang dan Anak Bukit tempuh hari. Kerana di kedua-dua kawasan berkenaan pertarungan adalah satu lawan satu diantara dua buah parti melayu dan telah dapat dinilai sejauh mana pengaruh dan kekuatannya. Ukuran dan nilaian darinya memperlihatkan Kedah tidak aman dalam kapal layar Umno sehinggalah ke saat pilihanraya umum nanti samada 2003-2004. Justeru sesuatu mesti dilakukan dan dikenakan bagi membendung kebangkitan umat melayu dari bertungkus lumus bekerja dan memberi sokongan kepada pihak pembangkang. Umno sebenarnya sudah berputus asa dan kecewa kemenangan mutlak dan selesa tidak diperolehi meskipun seperti kata Tuan Guru Nik Aziz di kepung dan diserang di segenap penjuru dari arah laut, darat dan udara. Setiap petugas Pas berbekal semangat juang yang tinggi dan tidak undur walau setapak pun walau diasak bertubi, dan yang paling menarik sesetengah nya mengikut rentak dan langkah lawan dalam pertarungan itu dengan tepatnya mengikut mainan lawan , kasar secara kasar dan lembut dilayan lembut, agresif secara agresif. Dalam hal inilah langkah dalam seni persilatan Umno mula goyah dan kelam kabut setelah teknikal dan tektikalnya dapat ditundukkan dan yang paling dititikberatkan adalah mekanisma ilmu hitam dari jenis hantu yang sesetengahnya terlepas juga menjelma di bilik mengundi manakala setengahnya terkurung di dalam bas. Umno menerima pengajarannya dari pilihanraya di kedua-dua kawasan berkenaan dan kini hampir mati langkah, lalu otak presiden yang sememang ligat mencari perlindungan dan survival politik itu mula mencari alasan dan fakta untuk membenamkan terus pihak lawannya.

Melihat suasana dan perjalanan pilihanraya di Malaysia, sesiapapun yang celik dan tidak mati akalnya tidak sanggup berdusta mengatakan ianya selaras dengan semangat demokrasi yang di amalkan dan dilaung-laungkan. Kalau setakat ukuran dan tafsiran demokrasi berpandu kepada rakyat masih boleh hidup mengikut kamahuannya seperti makan minumnya, kerja hariannya tidak di ganggu serta tidor baringnya nyenyak maka istilah demokrasi dan falsafahnya sewajarnya di perbetulkan semula diperingkat akar umbi. Dominasi media cetak , eletronik di semua saluran, Jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan penguatkuasa undang-undang, badan yang diklasifikasikan sebagai bebas, dan semua agensi kerajaan digerakkan dalam sesuatu pilihanraya dan terseret dalam kancah parti politik pemerintah dibuat secara terang-terangan adalah cukup memalukan dan tidak lebih sebagai petunjuk parti berkenaan adalah korup dan menyalahgunakan wang dan hartabenda milik kerajaan dan rakyat.Umno tidak berdiri dengan namanya Umno, Mahathir tidak berucap atas namanya Mahathir dan presiden Umno sebaliknya mengunapakai nama perdana menteri, begitulah menteri-menteri , setiausaha-setiusaha yang kesemuanya berucap atas nama jawatan dalam kerajaan, menggunakan peruntukan dan dana kerajaan, kenderaan, tempat , pentas hatta pembesar suara sekalipun milik negara, bukan milik parti yang diwakili.Dalam tempoh berkempen seseorang penjawat jawatan kerajaan baik yang tertinggi sehinggalah serendahnya sepatutnya mengasingkan di antara kerjaya politiknya dengan jawatan dalam kerajaan dan sewajarnya menggunakan tanda nama pada baju dengan berlambangkan partinya sahaja.

Apa yang sedikit menarik di sini ialah pandangan dan ulasan editor utusan Malaysia yang memperlihatkan sikap dan neracanya yang tidak mati menilai tahap keadilan dan demokrasi yang diamalkan. Namun di sebalik itu ada cerdik pandai yang kononnya, mendahului orang-orang parti mengulas dengan menyangah pendapat saudara awang selamat sepertimana yang disiarkan dalam siaran berita. Setakat mana orang-orang sebegini telah menutup mata dan telinganya menerima reality dengan melucutkan segala nikmat pemberian Tuhan itu tidaklah diketahui , sedang ada juga usia diperingkat kanak-kanak mampu menilai rupabentuk demokrasi yang terpampang di ketika ini.

Nonama.







______________________
Terbitan : 23 Julai 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com