SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

Persoalan iddah isteri masuk Islam dan meraikan rakan suami

Soaljawab bersama : Mufti Kerajaan Negeri Terengganu

Seorang isteri yang sarat mengandung telah kematian suaminya, seminggu kemudian ia melahirkan anaknya. Oleh yang demikian, ia berdepan dengan dua iddah, pertama iddah isteri yang kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari, kedua iddah melahirkan anak iaitu setelah selesai melahirkan anaknya. Dalam keadaan sedemikian yang mana satukah iddah yang dikenak akan pada perempuan tersebut?
– Hashimah Mohamad, Kuala Terengganu.

Iddah perempuan tersebut berakhir setelah selesai melahirkan anaknya

Apa pandangan Islam terhadap sebahagian perempuan yang memakai rambut palsu. – Mariam Ali, Pualau Pinang.

Islam tidak mengharuskan mana-mana orang Islam memakai rambut palsu, sama ada perempuan atau lelaki. Di dalam hadith Bukhari ada menyebut bahawa Saiyidatina Aishah r.a. meriwayatkan satu hadith yang memberi erti bahawa perbuatan tersebut di laknat oleh Allah sama ada yang memakainya atau berusaha mengadakannya.

Imam Bukhari juga meriwayatkan bahawa seorang perempuan Ansar ditimpa penyakit menyebabkan gugur sebahagian rambut dikepalanya. Perempuan tersebut akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat, mereka bertanya Rasulullah S.A.W. sama ada dibenarkan memakai rambut palsu. Baginda S.A.W. bersabda yang bermaksud; "Allah laknat orang yang memakai rambut palsu dan yang mengadakannya." Mudah-mudahan Allah memberi hidayat kepada semua perempuan Islam.

 

Adakah Islam membenarkan mana-mana isteri melayani kawan-kawan atau kenalan suaminya, seperti mempersilakan ke rumah, memberi minuman, mempersilakan naik kenderaannya, menziarahi dan lain-lain kerana perbuatan ini boleh mengeratkan silaturrahim sesama Islam. – Saidah Johari, Kemaman.

Islam mengharuskan umatnya mengadakan apa-apa perkara yang boleh mengeratkan perhubungan silaturrahim di kalangan masyarakatnya, tetapi mestilah berada di dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam. Dalam hubungan ini, si isteri boleh melayani kawan-kawan suaminya sekiranya berlaku di hadapan suaminya atau bersamanya atau dipersetujuinya.

Kedua mestilah menjaga adab-adab Islam di dalam berpakaian, perhiasan, percakapan, termasuk juga penampilan dan gayanya. Semuanya dibenarkan selama tidak mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak supaya tidak membawa kepada porak peranda institusi keluarga dan rumahtangga.

 

Seorang hartawan mempunyai seorang anak angkat bila ia meninggal dunia semua hartanya dipusakai oleh anak angkat tersebut berdasarkan wasiat semasa hidupnya. Apa pandangan Islam dalam masalah ini. – Abdul Hamid Omar, Marang.

Harta seseorang semasa hidupnya adalah kepunyaannya, bila ia mati harta itu berpindah kepada waris-waris yang berhak menerimanya, berdasarkan hukum faraidh. Islam tidak membenarkan anak angkat mempusakai harta peninggalan ayah angkatnya kecuali melalui wasiat daripadanya, dan wasiat itu tidak melebihi satu pertiga. Tetapi sekiranya semua waris bersetuju dengan suci hati memberi semua harta tersebut kepada anak angkatnya itu, maka ia adalah pemberian daripada mereka.

 

Seorang perempuan bukan Islam yang telah bersuami memeluk Islam dengan sendirinya terpisah daripada suaminya kerana suaminya itu tidak memeluk Islam.

  Adakah dibenarkan mana-mana lelaki Islam mengahwini perempuan tersebut serta merta demi menjaga keselamatannya tanpa menunggu selesai iddahnya atau perempuan itu dikira tidak beriddah. – Noraini Chua Abdul Rahman, Kuala Terengganu.

Jawapan: Bila seorang perempuan kafir memeluk Islam maka dengan sendirinya terpisahlah daripada suaminya kecuali suaminya itu memeluk Islam. Perempuan tersebut dibolehkan berkahwin dengan mana-mana lelaki Islam setelah selesai iddahnya sama seperti perempuan yang lain.

 

Ayah saya telah membeli sebidang tanah pertanian dengan harga RM800.00 tanpa menukar nama di geran tanah tersebut. Setelah berlalu tempoh 20 tahun ayah meninggal dunia, saya menemui penama tersebut (orang yang telah menjual tanah kepada ayah saya) untuk urusan tukar nama, orang itu meminta wang tambahan daripada saya sebanyak RM1,000.00.  Katanya, tanah yang dijual itu sekarang ini mahal harganya, bukan seperti dulu.  Saya memohon pandagan tuan sama ada saya perlu menambahkan harga tanah tersebut sepertimana yang dikehendaki oleh penama tersebut atau sebaliknya? – Haji Hassan Awang, Setiu.

Jawapan: Bila berlaku akad sesuatu jual beli yang dikira sah oleh syarak, maka berlakulah pemindahan milik harta tersebut daripada penjual kepada pembeli sama ada harta itu boleh dipindah atau tidak. Dan jual beli tersebut dikira telah selesai. Sepatutnya penukaran nama juga selesai, kalau tidak selesai itu satu kesilapan.

Oleh kerana jual beli sudah selesai dan sah, maka tuan asal itu tidak berhak lagi menuntut apa-apa tambahan harga selepas daripada itu. Perbelanjaan urusan penukaran nama terserah kepada budi bicara kedua pihak menguruskannya.

 

Saya membeli satu barang dari seorang penjual dengan harga yang dipersetujui bersama. Selepas itu saya mendapati barang yang serupa di tempat lain dijual dengan harga yang lebih rendah daripada yang saya beli. Adakah penjual pertama itu mengambil keuntungan halal atau haram? – Pembeli Terkilan, Dungun.

Keuntungan tersebut adalah halal kerana setiap peniaga berhak menjual barangannya dengan harga yang ia sendiri menentukannya selama harga tersebut dipersetujui oleh kedua pihak.

 

Seperti sedia maklum bahawa apabila seseorang itu berjunub, maka wajib ke atasnya mandi mengangkat hadath besar.

  Kenapa tidak diwajibkan mandi selepas membuang air kecil atau besar, sedangkan kedua-duanya najis. – Abu Zahid Zahari, Kuantan, Pahang.

Islam tidak menyusahkan penganutnya. Seseorang membuang air besar atau kecil beberapa kali pada tiap-tiap hari, kalau diwajibkan mandi kerana itu nescaya menjadi kesusahan kepada manusia dan perintah mengangkat hadath besar adalah jelas melalui nas al-Quran yang bermaksud: "Sekiranya kamu berjunub, maka hendaklah bersuci yakni mandi mengangkat hadath besar."

 

Seorang isteri berada dalam dilema kerana suami dan bapanya berselisih faham dan bersengketa. Adakah wajib bagi si isterinya itu mentaati bapa atau suaminya? – Khairunnisa’ Mohd. Azmi, Hulu Terengganu.

Sebelum berkahwin, seseorang perempuan itu di bawah tanggungjawab ibubapanya. Tetapi setelah berkahwin, ianya berpindahlah dan berada di bawah tanggungjawab suaminya. Adalah lebih utama baginya mentaati suaminya daripada ibu bapanya. Seseorang suami yang berperikemanusiaan dan bertanggungjawab, seharusnya memahami perasaan isterinya dan jangan menjadi penyebab putusnya hubungan antara anak dan ibu bapanya.

 

Sebahagian besar umat Islam, menyapu muka dengan kedua tangan mereka selepas berdoa dan ada golongan lain yang tidak berbuat demikian, yang mana satukah yang betul? – Zulfahmi Bukhari, Kuala Terengganu.

Di antara adab-adab berdoa ialah mengadap kiblat kerana ianya semulia-mulia tempat, menadah kedua tapak tangan dan menyapu muka dengan kedua-duanya selepas berdoa dan lain-lain. Ada hadith yang menceritakan bahawa nabi menyapu mukanya dengan kedua tangan baginda sebaik sahaja selesai berdoa.







______________________
Terbitan : 30 Julai 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com