Penonton desak MB dipanggil
KUALA TERENGGANU: Penonton mendesak RTM memanggil Menteri Besar Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberi penjelasan tentang Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia supaya stesen itu memberi peluang kepada semua pihak mengemukakan pandangan masing-masing untuk dipertimbangkan rakyat. Rancangan Selamat Pagi Malaysia yang menyiarkan ulasan mengenai hudud setiap pagi menjelang pembentangan rang undang-undang Jenayah Syariah di Dewan Undangan Negeri Terengganu telah menerima panggilan bertalu-talu supaya memanggil Menteri Besar Terengganu membuat penjelasan. Antara pemanggil itu ialah Ismail Ramli dari Paka, Azman dan lain-lain mempersoal wibawa RTM kerana tidak memanggil Menteri Besar untuk menerangkan segala teguran, kelemahan dan kekeliruan yang dibangkitkan berhubung dengan progrem Kerajaan Negeri Terengganu itu. RTM melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia mengundang Haji Ibrahim Azmi, seorang penyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh membincangkan soal hudud dan rang undang-undang berkenaan yang dibentangkan di Terengganu. Haji Ibrahim pernah belajar di Mesir muncul di ruang itu setiap pagi. Pada umumnya beliau mengkritik rang dan rancangan kerajaan Terengganu malah beliau tidak meggalakkan perkara itu diutarakan. RTM juga mengundang cerdik pandai agama yang rata-rata menolak langkah kerajaan Terengganu untuk mengulas perkara itu. Sesiapa yang mendengar rancangan itu tidak akan mendapat sesuatu yang positif dan baik mengenai hudud mahu pun enakmen itu. Setiap kali rancangan membuka peluang pertanyaan dari orangramai, RTM mendapat panggilan dari penonton menghujah pandangan sebelah pihak pengulas dan mereka menggesa supaya RTM memanggil Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang dan sesiapa jua yang terbabit dalam penggubalan rang itu untuk memberi penjelasan. Bagi mereka RTM tidak adil menyiarkan pandangan sebelah pihak dan orang ramai ingin mengetahui apa sebenar yang Kerajaan Terengganu hendak kemukakan. Antara hujah Ibrahim Azmi bahawa hukum hudud itu belum boleh diketengahkan lagi kerana ia belum difahami oleh orang ramai dan tidak sempurna bagi menguatkuasakan undang-undang itu seperti tidak mempunyai penjara sendiri dan lain-lain. Baginya penjara adalah di bawah kuasa Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat tidak akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan peraturan itu. Pada umumnya Ibrahim tidak dapat memberikan jawapan atas alasan beliau tidak boleh bercakap bagi pihak RTM untuk mengundang Menteri Besar Terengganu itu. Biasaya RTM mengundang bekas penyokong PAS untuk membincangkan beberapa isu agama tetapi menjelang pembentangan rang mengenai hudud itu RTM menyerahkan kepada Ibrahim Azmi.
______________________
Diterbitkan oleh : |