Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tazkirah 1 - Kiamat Hampir Tiba

Telah dekat datangnya Kiamat dan bulan telah terbelah. Dan jika mereka lihat suatu tanda, mereka hanya berpaling dan berkata :”Ini adalah sihir yang berterusan”. Mereka mendustakannya dan mengikuti hawa nafsu mereka, sedangkan tiap-tiap urusan itu sudah ada kepastiannya. Sesungguhnya telah dating kepada mereka beberapa berita yang sepatutnya sudah cukup untuk mencegah mereka (dari kelalaian). Itulah suatu nikmat yang sempurna, namun peringatan itu masih belum berguna bagi mereka. Maka berpalinglah engkau (wahai Muhammad) dari mereka dan ingatilah hari ketika seorang penyeru (malaikat) memanggil mereka kepada suatu yang tidak mereka ingini (hari pembalasan). Ketika itu akan tunduklah pandangan mereka. Mereka keluar dari kuburan seakan-akan belalang yang berterbangan. Mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu. Maka orang-orang kafir berkata:”Ini adalah hari yang berat untuk dipikul (dijalani).” Surah Al-Qmar : Ayat 1-8.

Muqaddimah :

Hari Kiamat pasti akan terjadi. Di saat itu langit akan pecah, gunung ganang akan berterbangan, bumi dan seisinya akan hancur lebur. Bumi yang dipijak ini akan bertukar menjadi bumi yang lain. Langit yang dinaungi kita juga akan bertukar menjadi langit yang lain pula.

Tiada siapa yang mengetahui bilakah peristiwa dahsyat itu akan terjadi kecuali hanya Allah swt. Namun begitu, Allah swt dengan kasih sayangNya dan juga dengan hikmahNya telah menunjukkan kepada kita beberapa tanda yang terjadi mendahuluinya, supaya orang yang berdosa sempat bertaubat dan orang-orang yang sudah insaf akan menambahkan lagi amalan mereka. Dunia pada hari ini telah dan sedang merasakan tanda-tanda itu. Bahkan debaran jantung dunia akan sentiasa dikejutkan dengan peristiwa-peristiwa yang ganjil yang akan terjadi dari masa ke semasa. Kita hari ini merasakan kemerosotan umat Islam, para ulama’ berkurangan, cabaran hebat terhadap iman, kemungkaran berleluasa di tengah-tengah masyarakat, keruntuhan moral, gempa bumi demi gempa bumi dan peperangan demi peperangan. Tanda-tanda kiamat yang kecil ini sangat banyak kita rasakan. Hampir seratus tanda yang ada sekarang ini sedang kita alami. (Rujuk Kitab :”40 hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman”)

Apa yang diperkatakan disini ialah, tanda-tanda yang kecil ini dari masa ke semasa semakin bertambah serius dan sudah hampir ke peringkat yang paling teruk yang selanjutnya akan disambut oleh tanda-tanda kiamat yang besar, dimana apabila kita menemui tanda kiamat besar yang pertama maka tanda-tanda lainnya akan segera mengikutinya seperti apa yang telah disebutkan dalam hadith Rasullullah saw.

Tanda-tanda kiamat yang besar itu ialah :

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. Berkata :”Datang kepada kami Rasullulah saw dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang.” Lalu beliau bersabda “Apa yang kamu perbincangkan?” Kami menjawab:”Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”. Lalu Nabi saw bersabda :”Tidak akan terjadi kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya :”Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turun Nabi Isa bin Maryam as, Ya’juj dan Ma’juj, 3 kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab. Dan yang terakhir sekali ialah api yang akan keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia ke Padang Mahsyar mereka”.

Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani didalam kitab Fathul Bari, beliau mengatakan :”Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadith-hadith Rasulullah saw ialah bahawa keluarnya Dajjal adalah yang mendahului segala petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku di permukaan bumi ini. Ada pendapat ulama’ mengatakan bahawa, kemunculan Dajjal yang buta sebelah mata adalah kerana ia hanya nampak kepada unsur keduniaan semata-mata tanpa melihat kepada akhirat.

Kitab rujukan : Kiamat Hampir Tiba (Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi)

(w.n.afinaz)






______________________
Terbitan : 30 Ogos 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com