Utamakan Keluarga …..Kerajaan pimpinan Barisan Nasional baru - baru ini dibawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga telah menganjurkan kempen bertema "Utamakan Keluarga - Semakin Hari Semakin Sayang". Kita sebagai bangsa yang bertamadun dan mempunyai nilai adab yang tinggi sudah tentunya amat menyokong usaha-usaha memperkasa institusi keluarga seumpama ini. Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa institusi keluarga yang sejahtera akan menyumbang kepada pembentukkan negara yang utuh. Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga telah memperkatakan sepuluh nilai yang menjadi tonggak kepada program kali ini. Di atas kertas semuanya nampak elok belaka. Tetapi kenapa selepas kita merdeka lebih 40 tahun barulah program seperti ini diwujudkan? Adakah kerana muda mudi hari ini telah rosak akhlaknya? Ataupun sememangnya kita telah hilang adab budaya dan jatidiri lantaran asakan pembangunan kebendaan yang dibawa masuk oleh kerajaan sendiri? Ataupun hanya strategi kerajaan Barisan Nasional untuk menarik kembali penyokong mereka yang telah lari ke kem lawan. Berbagai andaian dan telahan boleh kita buat. Saya berpeluang menjadi penterjemah bagi program anjuran JICA (Japan International Cooperation Agency) baru-baru ini. Dalam satu slot, peserta yang terdiri dari belia Jepun dan Malaysia telah membincangkan aspek kekeluargaan. Kesimpulan dari perbincangan tersebut tidak perlulah diperkatakan disini, tetapi apa yang nyata keluarga di Jepun hampir tidak berfungsi langsung dalam pembentukkan masyarakat mereka. Ramai pemuda dan pemudi mereka yang lebih senang membujang. Berkeluarga sesuatu yang menyusahkan. Amalan seks bebas berleluasa. Piawaian moral mereka jauh telah berubah. Kata mereka yang sedar tentang perkara ini, "inilah harga yang perlu kami bayar untuk suatu yang dipanggil pembangunan kebendaan". Tambahnya lagi "negara anda perlu belajar dari kesilapan kami". Kita bersyukur kerana agama bernama ISLAM yang kita anuti ini telah meletakkan garis panduan yang jelas peranan institusi dalam masyarakatnya. Tetapi malangnya dalam kita berusaha sekuat daya untuk kembali memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, segelintir kita lebih senang untuk mengambil sikap mencemuh perjuangan yang suci ini. Bahkan yang lebih menyakitkan, mereka cuba mengambil separuh dari ajaran ini untuk disesuaikan dengan ideologi mereka. Kemudiannya mereka mendabik dada dengan mengatakan kami lebih Islam dari golongan ulamak primitif-songsang itu. Sudah sampai masanya pejuang kebenaran Islam keluar dan mempamerkan model keluarga Islam yang dituntut. Kita khuatir jika kita lambat bertindak, lebih ramai pemuda pemudi negara kita akan mengambil keluarga pemimpin negara sebagai keluarga idola mereka. Keluarga yang menanam dan membiak nepotisme dan kroni. Keluarga negara maju yang mengutamakan kebendaan semata. Keluarga yang membenarkan pergaulan bebas. Keluarga yang menyuruh anak dan isterinya membuka aurat. Keluarga yang menolak hukum dan ketetapan zat Pencipta. Jika itulah keluarga yang mahu dibentuk, maka punahlah negara ini. Hanafi
______________________
Diterbitkan oleh : |