SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

Nota Pendek Dari Penjara

Nota Pendek Dari Penjara

 

 

Saudara/saudari dan kawan-kawan,

 

Saya wajib menulis nota pendek ini.  Nota pendek dari penjara.  Nota ini untuk memperingati kita semua tentang undang-undang dan segala macam akta yang sedang menindas dan merampas hak kita sebagai insan untuk bebas menjalani kehidupan.

Mari kita sama-sama renungkan – berapa banyak resolusi, berapa banyak kertas kerja, berapa banyak memorandum yang telah dipersetujui dan diajukan kepada pemerintah – meminta dan menuntut agar hukum-hukum dan undang-undang yang zalim ini dicabut kembali?

 

Banyak air liur telah keluar, lidah telah letih bersilat.  Banyak kertas telah digunakan untuk menulis memorandum dan kertas kerja.  Banyak pokok telah ditebang untuk membuat kertas-kertas ini.  Jika kertas-kertas ini dikumpulkan dan dibakar pasti dapat memanasi satu musim sejuk di khutub utara.  Jika kertas-kertas ini dihimpunkan, pasti membukit dan menggunung – lebih tinggi dari Gunung Tahan dan lebih tinggi dari Kinabalu.

 

Apakah yang kita lakukan ini hanya satu ritual??  Ritual untuk membersihkan diri dan mententeramkan jiwa – bahawa kita telah melakukan sesuatu terhadap undang-undang zalim ini.  Apakah di hati kecil kita pernah tercetus persoalan bahawa tidak mungkin undang-undang zalim ini akan terhapus hanya dengan ceramah dan memperingatinya saban tahun?  Ritual ini samalah seperti seorang muslim beraqiqah memotong leher lembu dengan harapan dapat melintasi siratul mustaqim dengan selamat – satu jalan pintas ke syurga.  Tidak mungkin.  Ini satu khayalan.

 

Jesteru, kita sama-sama wajib memikirkan, yang muda, yang hidup, yang cun dan yang bergetah.  Tanda dan makna harus terus muncul.  Muzik dan rentak terus beralih.  Ini memaksa kita meneroka lagu, irama, tarian dan lengguk yang baru.  Muzik yang hidup, yang bertenaga dan yang amat penting irama dan muzik kita wajib dihayati oleh anak muda.

 

Saya sendiri terus memegang pandangan bahawa – jika pilihanraya boleh mengubah sesuatu pasti telah lama ianya diharamkan dan saya rasa apa yang saya nyatakan ini semakin dapat dilihat jelas keilmiahannya.  Lihat, dengar dan baca tentang segala rupa macam perundangan dan syarat-syarat dan peraturan baru yang telah dan akan diluluskan.  Semua syarat-syarat dan peraturan ini diaktakan untuk memastikan yang pilihanraya akan terus dimenangi oleh parti yang berkuasa.

 

Saya telah mengamati kejatuhan diktator seperti Pinochet, Marcos, Tun Thanom Kitikachorn, Reza Pahlevi dan Haji Muhammad Suharto – semuanya bukan melalui resolusi, memorandum dan tidak juga melalui pilihanraya.  Semua mereka yang zalim ini didobrak dan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah melalui aksi massa.  Inilah hakikat dan hukum sejarah di waktu ini.

 

Saya berterima kasih kepada Malaysiakini kerana mengumpul dan mencetak tulisan-tulisan saya untuk dijadikan buku.  Tulisan-tulisan ini adalah pandangan yang boleh dihujah, dipersoalkan, disanggah, diketawakan atau digunapakai.

 

Tetapi saya akan mempertahankan tesis – Pilihanraya/jalanraya – yang menjadi tajuk buku ini.  Untuk saya inilah tesis baru dalam era pascamoden dan globalisasi.  Garis tesis ini sedang dipraktik dan dipertajamkan oleh anak-anak muda dari Seatle ke Washington, ke Paris, ke Roma dan pasti akan terus merebak.  Anak-anak muda akan terus mengumpulkan pengalaman.

 

Anak-anak muda telah membuat pilihan agar mereka dapat membidani kelahiran sebuah masyarakat sivil yang demokratik.

 

Jesteru, persoalan kembali kepada kita sendiri memaksa kita membuat pilihan:  Pilihanraya atau PilihanJalanraya??

 

Terima kasih untuk semua.  Salam ingatan dari kami di Kamunting.

 

 

 

Hishamuddin Rais

Tahanan 2504

Kamunting.

 

 

Nota: Surat ini telah dibacakan oleh anak saudara Hisham di majlis pelancaran buku “Pilihanraya atau PilihanJalanraya” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 1 Ogos 2002 yang lalu.







______________________
Terbitan : 3 Ogos 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com