Bahasa adalah pemartabat bangsa, pengkerdilan bahasa pemencilan minda bangsa
Saudara/saudari guru-guru yang dikasihi! Syabas dan tahniah di atas segala pengorbanan saudara/saudari dalam mendidik anak bangsa. Jasa bakti yang saudara/saudari taburkan hanya Allah jua yang membalasnya. “Sesungguhnya jika hari ini muncul seorang ulama gemilang, maka tidak ada yang lain, melainkan kerana bijaksana guru memahamkan ت ب إ , mengajar segala makrifat. Jika hari ini lahir seorang cendekiawan cemerlang, maka ia adalah berkat didik guru, mengasuh mengeja tulis baca. Jika hari ini muncul seorang pemimpin terbilang, maka ia adalah berkat kesabaran guru menuntun jiwa kemanusiaan, mengenal erti kehidupan”. Demikianlah moral seorang guru, ditangannya terpeta hala tamadun manusia, dipundaknya tertera khazanah budaya bangsa, didadanya tertanam insaf kemanusiaan, melewati pembatasan segala sempadan. Tegasnya guru merupakan pewarna serta pembentuk kehidupan manusia, khususnya dalam menghadapi persekitaran masa yang sentiasa berubah sejajar dengan cabaran pergolakan dunia. Dunia tanpa guru adalah malam yang tidak berbintang! Sesungguhnya guru merupakan manusia yang mempunyai wibawa peranan yang amat disanjungi masyarat sejak zaman berzaman. Saudara/saudari guru-guru yang dihormati! Sejak mutakhir ini, dunia pendidikan semakin tercabar dan hampir menjadi cacar marba, segala dasar dirangka tanpa adanya kajian mendalam. Semuanya terbit dari citra politik kekuasaan. KBSR, KBSM, sekolah satu sesi, sekolah Bestari, meritokrasi, bahasa Melayu merentasi kurikulum semuanya menjadi gimik politik kepentingan pihak-pihak tertentu. Falsafah Pendidikan semakin hambar, bahasa Baku terus beku, penyata Razak hilang dari perhatian, penyata Rahman Talib bukan lagi satu panduan, Akta pendidikan 1996 hanya dokumen yang tidak bermakna dan yang paling kronik bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal diinstitusi pengajian tinggi sudah hampir menjadi sejarah! Lebih parah lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semakin terhakis dan terkikis, iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semakin pudar dengan keputusan politik untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah-sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. Ini bermakna akan wujud sekolah aliran Inggeris serta pendidikan tinggi berpengantarkan bahasa Inggeris secara sepenuhnya. Saudara/saudari guru-guru yang disayangi! Tidak ada seorang pun dari rakyat Malaysia ini yang menentang pembelajaran serta usaha penguasaan bahasa Inggeris, memandangkan bahasa tersebut digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa (namun bukannya bermakna bahasa Inggeris itu bahasa antrabangsa kerana ia hanya dipertuturkan secara meluas di beberapa buah negara Eropah sahaja). Tidak diragui akan keperluan untuk berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa Inggeris bagi menembusi jaringan antarabangsa serta penerokaan secara proaktif melampaui sempadan disiplin ilmu. Namun ini bukan bermakna harus mengorbankan wibawa bahasa Melayu sebagai bahasa penataran ilmu. Tindakan yang dilakukan oleh para pmimpin UMNO kini dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains, secara tidak langsung telah memperkecilkan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, khususnya sebagai wahana pewacanaan Matematik dan Sains. Satu usaha terancang ke arah penindakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan pengungkapan pemikiran saintifik serta bahasa perlambakan ilmu-ilmu moden. Satu tindakan halus lagi bersistem untuk menjumudkan bahasa Melayu. Secara khususnya, menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains akan menimbulkan implikasi-implikasi tertentu terhadap usaha pengembangan dan peningkatan fungsi bahasa Melayu, terutamanya dalam sektor pendidikan, juga dari aspek kedudukan status sosial dalam masyarakat Malaysia; 1. Nilai sosio ekonomi bahasa Melayu akan terus merosot, bahasa Melayu akan terus kekal sebagai bahasa sukuan bersifat keetnikan. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sebagai bahasa lingua fraca ASEAN hanya tinggal sebagai ilusi semata-mata. Perbendaharaan kata bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik menjadi statik serta melewati zaman pemandulan. Bahasa Inggeris akan digunakan secara lebih meluas hatta dipasar tani sekalipun. Ini bermakna budaya Sains dan Matematik berbahasa Melayu setara automatik akan mengalami penghakisan dan keterencatan. Jika keadaan ini berlaku maka bahasa Melayu tidak lagi mempunyai kekuatan tradisi keteknikalan serta berdaya matang saintifik. Dengan itu bahasa Melayu hanya layak untuk dipertuturkan di pentas Bangsawan, disyairkan, diperlagukan, didendangpantunkan, pengantar gossip-menggosip dan dijadikan medium kempen-kempen politik (perhatikan dengan nasib bahasa Melayu Singapura serta apa jadi dengan sekolah-sekolah Melayu di singapura). Seharusnya kita tidak terpesona “bersedap hati” dengan kata-kata lunak para pemimpin UMNO, “bahasa Melayu sudah kukuh”, “bahasa Melayu telah pun menjadi bahasa ilmu”, “kita tidak berganjak bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan”, itu semua hanyalah satu dodoian untuk meleka dan melenakan orang Melayu, khususnya Melayu UMNO, yang sememangnya sudah sedia lena, alpa, lalai dan layu. Melayu UMNO adalah Melayu pencacai! 2. Wujudnya dualisme dalam sistem pendidikan serta menjadikan satu sekolah dua bahasa pengantar. Secara tidak langsung mengembalikan senario pendidikan negara sebagaimana realiti di tahun-tahun sebelum 1970 an. Walaupun dikatakan hanya Matematik dan Sains sahaja yang diajar dalam bahasa Inggeris, namun hakikatnya akan wujud situasi aliran sains sebagai aliran Inggeris dan aliran sastera sebagai aliran Melayu. Keadaan ini disebabkan, bagi pelajar aliran sains subjek-subjek bahasa Inggeris, fizik, kimia, biologi, matematik moden dan matematik tambahan diajar dalam bahasa Inggeris, ini bermakna hanya tiga subjek iaitu bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Islam/moral yang diajar dalam bahasa Melayu. Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan aliran Sains sebagai aliran Inggeris. Jelasnya, penggunaan bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran aliran sains semakin mengecil dan bahasa Melayu hanya menjadi bahasa basahan untuk komunikasi terbatas. Aliran sastera akan wujud buat sementara waktu sebagai aliran Melayu dengan subjek-subjek Bahasa Malaysia, Kesusasteraan Melayu, Sejarah, Geografi/Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani, Agama Islam/Pendidikan Moral, Perdagangan, Prinsip Akaun dan Ekonomi diajar dalam bahasa Melayu. Namun begitu subjek-subjek Matematik, Sains, bahasa Inggeris dan Kesusasteraan Inggeris diajar dalam bahasa Inggeris.Keadaan ini juga akan menjadikan realiti jangka masa panjang dominasi bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan akan semakin kukuh, bahasa Melayu semakin kehilangan peranannya. Tambahan pula kemungkinan timbulnya desakan untuk mengajar subjek-subjek Perdagangan, Prinsip Akaun dan Ekonomi dalam bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan, kerana ketiga-tiga subjek tersebut mempunyai kaitan yang rapat dengan Matematik, juga, atas alasan tuntutan kepentingan perdagangan sejagat! 3. Dari aspek penggunaan masa untuk proses pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris di tingkatan 4 dan 5, aliran sains didapati jumlah masa penggunaan bahasa Inggeris yang diperuntukkan adalah lebih besar berbanding dengan penggunaan masa bahasa Melayu. Keadaan ini menjadikan aliran Sains merupakan aliran yang secara langsung meminggirkan bahasa Melayu secara amat ketara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Analisis ini dapat dijelaskan dalam Jadual 3.1 dan Jadual 3.2 berikut. Keadaan ini secara tidak langsung menafikan dengan jelas akan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1961 dan pindaan 1996. Berdasarkan telahan Jadual 3.1 dan Jadual 3.2, secara umumnya memperlihatkan tahap penggunaan masa untuk bahasa Inggeris bagi proses pengajaran dan pembelajaran bagi aliran Sains adalah sekitar 1240 minit (68.9%) seminggu berbanding dengan penggunaan masa untuk bahasa Melayu pada anggaran 560 minit (31.1%) seminggu. Realiti ini memperjelaskan hakikat olakan penghakisan status serta kepentingan bahasa Melayu dalam pendidikan Sains dan Matematik, sekaligus akan mencerminkan gejala penurunan serta penyahan martabat bahasa Melayu dalam sosio budaya sains dan teknologi. Tambahan pula penggunaan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi akan terus merosot, bahkan dalam tempoh 11 tahun akan datang lebih 1,000 kursus di universiti berkaitan dengan Sains dan Matematik akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Kesannya, pemikiran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan kehilangan sifat kekarismatikannya.
Bahasa Melayu akan hanya terus kekal menjadi bahasa seni dan bahasa sastera. Ini bermakna bahasa Melayu akan kehilangan kuasa pasaran secara total. Situasi ini amat ketara dengan komentar yang diberikan oleh tokoh Sejarah Prof. Dr. Zainal Abidin Wahid (Berita Harian Online, 25 Julai 2002) “Buku dan makalah Matematik dan Sains akan ditulis dalam bahasa Inggeris kerana ia menjadi bahasa pengantar, manakala pembentukan istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak diperlukan lagi”. Berdasarkan situasi yang wujud menjelang tahun 2020 bahasa Melayu telah boleh dikuburkan dengan keranda disiapkan pada 2005 serta paku terakhir dibenamkan pada 2008 dan proses kematian dimulakan pada 2003. 4. Hakikatnya penafian peranan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik menggambarkan kecelaruan pemikiran para pemimpin politik Melayu UMNO dalam menanggapi pembangunan dan kemajuan. Para pemimpin UMNO ternyata mempunya pemikiran singkat dalam menguruskan pembangunan dengan hanya melihat bahasa Inggeris sebagai faktor yang menjadi nadi penggerak kepada usaha kemajuan dan pembangunan, walhal ternyata ia satu kekeliruan mutlak. Dr Soh Yoke Wan dalam komentarnya, Respect right to mother tongue sebagaimana tersiar dalam Malaysiakini. Dot. Com (23 Julai 2002), …The English chauvinist have a mistaken notion that only by speaking and writing English could a country hope to advance. But they are wrong. Look at China, France, Germany, Russia, Japan and South Korea. The people, while not rejecting English, also strive to preserve their national and ethnic identities by speaking and writing their own mother tongues and national language. These countries are certainly more advanced – technologically, scientifically and culturally – than Singapore and India. Saudara/saudari guru-guru yang dikagumi! Berdasarkan perkembangan-perkembangan semasa yang wujud, khususnya dalam hubungan dengan sistem pendidikan, menampakkan dengan jelas akan adanya usaha terancang di kalangan English chauvinist untuk membantutkan perkembangan bahasa Melayu, secara berdikit-dikit dan mereka ini menjadi perancang utama dalam mengubah minda cetek para pemimpin UMNO, memandang enteng terhadap kekuatan wibawa bahasa Melayu. Golongan inilah (English chauvinist) yang sejak dari awal (sewaktu proses kemerdekaan) telah menyuarakan tentangan mereka dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang berupaya mengungkapkan tradisi serta wacana keilmuan. Kini setelah 45 tahun bebasnya Malaysia dari cengkaman penjajahan, golongan ini (English chauvinist) telah kembali mempengaruhi serta mendominasi pola berfikir para pemimpin UMNO yang selamanya tidak pernah terikat dengan prinsip dalam kaitan dengan usaha pengekalan kuasa dan kekuasaan. Kejayaan mereka mendominasi pemikiran para pemimpin UMNO bermakna satu tragedi tragis kepada maruah serta martabat bahasa Melayu. Bersandarkan dengan kata-kata keramat “pembangunan, kemajuan, bertaraf dunia, teknologi maklumat, globalisasi, penguasaan ilmu dan bahasa antarabangsa” maka dihalalkan usaha pemartabatan bahasa Inggeris dipersada pengajaran Matematik dan Sains yang sekaligus memperkecilkan peranan bahasa Melayu sebagai wahana wacana Sains dan Matematik, seolah-olah dengan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan membantutkan semua perancangan pembangunan. Pada hal, dengan ketegasan Tun (Datuk) Rahman Yaakob (bekas Menteri Pelajaran) usaha ke arah mendaulatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah menjadi kenyataan dengan pelaksanaan sepenuhnya kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam memenuhi tuntutan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1961dan secara khususnya kehendak Fasal 152 Perlembagaan negara. Apakah dengan keupayaan yang dibuktikan oleh bahasa Melayu untuk menjadi bahasa moden serta bahasa yang cukup dinamik dalam penataran ilmu, khususnya Matematik dan Sains, maka bahasa Melayu harus dibonzaikan semata-mata untuk memberi laluan kepada dominasi bahasa Inggeris? Sebenarnya inilah hasrat yang telah lama terpendam dalam diri para English chauvinist dan hari ini, mereka menemui sasarannya, apabila para pemimpin Melayu UMNO menjadi pembelot serta penderhaka kepada dasar-dasar yang telah di rangka, sekali gus menafikan jerih perit perjuangan para pendokong bahasa Melayu dalam mengangkat martabat bahasa Melayu. Saudara/saudari guru-guru yang disanjungi! Masihkah saudara saudari mengingati akan peristiwa “keranda 152” pada 28 Februari 1967? Hakikatnya itulah lambang keunggulan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu oleh para pejuang bahasa Melayu dalam menghadapi tekanan English chauvinist tahun-tahun akhir dekad 60 an. Harus diingat, “bangsa lain” umumnya tidak akan manjadi pendokong setia kepada bahasa Melayu, “bangsa lain” umumnya tidak akan komited dalam mempertahankan bahasa Melayu dan “bangsa lain” tidak akan setia dalam penggunaan bahasa Melayu. Apa yang pasti hanya “bangsa kita” yang sewajarnya menjadi benteng dalam mempertahankan maruah bahasa Melayu. Usah diharap dengan “bangsa lain”, kerana bangsa lain lebih selesa melihat kekerdilan bahasa Melayu, hanya “bangsa kita” yang mampu serta semestinya mempunyai akauntabiliti dalam membesarkan bahasa Melayu. Sedarlah saudara saudari bahawa peristiwa “renaissance” telah berjaya menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa “besar” dengan membebaskan masyarakat Eropah dari pengusaaan bahasa Latin. Berdasarkan realiti sejarah, bangsa Eropah tidak akan menjadi bangsa “besar” sekiranya mereka terus bergantung kepada bahasa Latin. Namun, atas dasar maruah bangsa, mereka menggerakkan perjuangan menegakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu serta memodenkan bahasa Inggeris untuk menjadikan wujudnya Eropah moden. Saudara/saudari guru-guru yang dihargai! Akhir kalam, diperturunkan sebuah titisan tinta oleh Sasterawan Negara A Samad Said, semoga ia menjadi pembuka langkah untuk saudara/saudari menampilkan kebijaksanaan menyatakan keprihatinan saudara/saudari terhadap nasib bahasa Melayu kini, akan datang dan selamanya! Maruah serta kebesaran bahasa Melayu umumnya terletak di bahu saudara/saudari sebagai golongan yang diamanahkan untuk mempertahankan warisan budaya dan khazanah bangsa! … Aku orang tua uzur dari Geylang Serai Singapura, telah hilang pulau sebuah Gusar, terlalu memburu ilmu tertentu Mungkin berdarah lagi bahasa pusakaku… … Pemimpin awalku menyelamatkan bangsanya dengan melepaskan pulau paling pusaka … Sekali ini berberjujur kepada pemimpin berkawan atau berlawan – demi kebangsaan Tapi, tetap ku doa mereka damai berkafilah … usah diradak bahasa dengan sains-matematika Kini doa kudus saja harta terakhirku di maya Aku ingin pandai tanpa kehilangan bahasa Sekian, terima kasih Yang benar Kelanabakti
Banting Selangor. Bahasa jiwa bangsa Pupus bahasa
pupuslah bangsa
______________________
Diterbitkan oleh : |
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||