SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

Muziumkan sahaja Bahasa Melayu

Persoalan globalisasi, telah menjadi perbincangan yang begitu meluas di kalangan masyarakat

MUZIUMKAN SAHAJA BAHASA MELAYU JIKA

ITU SYARATNYA UNTUK MAJU BERTARAF DUNIA

 

 

Persoalan globalisasi, telah menjadi perbincangan yang begitu meluas di kalangan masyarakat. Globalisasi, fenomena yang mengarah kepada cetusan pensejagatan worldview, satu revolusi dalam perkembangan aliran maklumat, yang menjadikan dunia tanpa garis persempadanan, yang menjadikan pengaruh budaya menjelajahi antara komuniti. Lantas, tersebar segala bentuk realiti perubahan serta transformasi sosial, yang menjadi penyebab kepada kewujudan keragaman nilai sosio budaya.

 

Globalisasi menjadikan teknologi komunikasi maklumat, suatu keperluan yang tidak ternafi dalam masyarakat. Masyarakat mula disedarkan dengan kepentingan ekonomi-P (K-economy), mula dirangsangkan dengan kepentingan internet, mula dikobarkan dengan kepentingan penggunaan bahasa Inggeris, kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, bahasa yang membolehkan manusia menguasai pembangunan serta pemodenan, tanpa bahasa Inggeris, bangsa Melayu khususnya, akan ketinggalan. Tanpa bahasa Inggeris, masyarakat tidak akan dapat menguasai IT. Secara tidak langsung keadaan ini memangsakan bahasa Melayu, dalam situasi apa pun kini, wujud sindrom hilang keyakinan terhadap bahasa Melayu, dan bahasa Inggeris lebih melambangkan dunia kecanggihan! Globalisasi dan perkembangan pesat teknologi komunikasi maklumat, menimbulkan keresahan  ketara dikalangan pihak-pihak tertentu, dibimbangi rakyat Malaysia, akan ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan!

 

Secara umumnya terdapat beberapa andaian oleh beberapa pihak terhadap bahasa Melayu, yang menghilangkan keyakinan mereka terhadap keupayaan bahasa Melayu, untuk dijadikan medium perubahan dan pembangunan sosial masyarakat;

 

i)               Bahasa Melayu terlalu muda, tidak begitu banyak istilah-istilah sains dan teknologi, menyebabkan sukar untuk dijadikan bahasa sains dan teknologi, maka bahasa Inggeris perlu digunakan sebagai perantara pengajaran subjek sains dan teknologi.

 

ii)             Industri teknologi maklumat dikuasai sepenuhnya oleh bahasa Inggeris, oleh itu bahasa Melayu tidak begitu penting dalam teknologi maklumat, segala bentuk perisian adalah dalam bahasa Inggeris.

 

iii)            Golongan intelektual Melayu sendiri, tidak gemar menulis dalam bahasa Melayu, khususnya mereka daripada kalangan disiplin sains dan teknologi, kononnya menulis dalam bahasa Melayu, menjadikan karya mereka tidak bertaraf antarabangsa.

 

Arus globalisasi menjadikan bahasa Melayu kerdil dikalangan cerdik pandai IT dan para pakar sains dan teknologi. Secara tersirat telah wujud persepsi bahawa "bahasa Melayu tidak akan menjadikan masyarakat Malaysia maju, jadi kita perlu menguasai serta bertutur dalam bahasa Inggeris". Secara halus, inilah mesej yang diutarakan dalam beberapa tulisan di dada beberapa akhbar. Bahasa Melayu, dalam beberapa ungkapan terserlah seolah-olah menjadi penghalang kepada usaha Malaysia untuk menjadi negara maju selaras dengan wawasan 2020, bahasa Melayu seolah-olah menjadi petaka kepada cita-cita untuk merealisasikan Anjung Jagat Pelbagai Media (AJPM -MSC), bangsa Malaysia tidak akan menjadi "Bill Gate" tanpa bahasa Inggeris, inilah pandangan setengah kalangan mereka yang berpengaruh dalam penentuan dasar, terhadap wibawa bahasa Melayu.

 

Jika inilah, yang telah dipersepsikan umum, maka tindakan drastik, ke arah merevolusikan penggunakan bahasa Inggeris secara meluas di kalangan masyarakat perlu dilakukan dengan sepantas mungkin.  Masyarakat Malaysia harus di"bahasainggeris"kan, demi untuk kemajuan dan pembangunan, supaya Malaysia dapat muncul sebagai pusat teknologi maklumat dunia, dengan projek AJPM menjadi wadah keantarabangsaan Malaysia. Dengan tujuan untuk mencapai hasrat tersebut, beberapa langkah difikirkan perlu dilakukan:

 

i)               Parlimen perlulah mengambil langkah segera dengan minda perlembagaan Malaysia, khususnya perkara 152(1) dengan memasukkan ayat "Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi pentadbiran dan bahasa Melayu sebagai utama negara. Apa-apa kekeliruan yang timbul berkait dengan peristilahan bahasa, maka istilah bahasa Inggeris adalah terpakai dan sah. Bahasa Inggeris hendaklah digunapakai dalam semua urusan, kecuali atas kehendak-kehendak tertentu, bahasa Melayu boleh digunapakai atas keizinan menteri yang berkaitan"

 

ii)             Membubarkan (memansuhkan) kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ini disebabkan DBP tidak lagi diperlukan dan kewujudannya hanyalah satu langkah pembaziran, terutama sekali yang bersangkutan dengan pengembangan, penyebaran serta pembakuan bahasa Melayu, kerana didapati usaha-usaha DBP, tidak meninggalkan kesan ke atas intelektual Melayu, khususnya dalam penghasilan penulisan serta buku-buku dalam disiplin sains, teknologi serta sains sosial dalam bahasa Melayu. Sebaliknya digantikan dengan penubuhan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Bahasa-bahasa Moden (IPPBM) - Institute of the Development and Research of Modern Languages. Tugas utama IPPBM adalah untuk menjalankan penyelidikan bagi pengembangan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Malaysia.

 

iii)            Menukar secara keseluruhan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, dari peringkat tadika hingga keperingkat pendidikan tinggi dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama, serta memperkenalkan kembali sistem peperiksaan yang berdasarkan kepada sukatan pelajaran Cambridge, dengan menghidupkan semula peperiksaan awam: LCE, MCE dan HSC. Menguatkuasakan kelulusan pada peringkat pangkat A dalam subjek bahasa Inggeris sebagai syarat kemasukan ke universiti-universiti tempatan atau mengadakan peperiksaan khas bahasa Inggeris untuk kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi, dengan meletakkan syarat minimum A-, sebagai kelayakan penerimaan masuk.

 

iv)           Mengubah dasar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan menjadikan universiti terulung dalam pengembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Bersesuaian dengan itu, nama UKM harus ditukar kepada Global Knowledge University of Malaysia (GKUM). Pada masa yang sama fakulti, institut dan jabatan yang mengkhusus kepada pengajian dan tamadun Melayu, perlu dibubarkan dan diserapkan sebagai satu unit dalam fakulti pangajian tamadun dunia (The faculty of world civilization studies), dengan tumpuan kepada pengembangan bahasa Inggeris dalam pembelajaran sains dan teknologi.

 

v)             Memandangkan penerjemahan buku, bukan lagi merupakan satu keutamaan, disebabkan kesukaran untuk memadamkan perkataan bahasa Melayu dengan penulisan bahasa asli sesuatu buku yang hendak diterjemahkan. Juga, dengan mengambil kira keperluan masyarakat yang semakin menjurus kepada penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, maka Institut Terjemahan negara haruslah dibubarkan. Segala peruntukan hendaklah disalurkan kepada The Malaysian Council, yang menjadi institusi penyelidikan yang bertanggungjawab memantau penggunaan serta penyebaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

 

vi)           Melaksanakan sepenuhnya bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran negara serta menjadi bahasa rasmi dalam segala urusan kerajaan. Juga menjadi bahasa rasmi dalam persidangan parlimen. Pada masa yang sama, bahasa Inggeris hendaklah dijadikan bahasa  rasmi penyiaran, dengan mempertingkatkan siaran dalam bahasa Inggeris bagi semua stesyen radio dan televisyen kepada 80 peratus. Bahasa Melayu digunakan untuk memperkatakan hal ehwal keagamaan dan kesusasteraan Melayu sahaja. Memperbanyakkan pengeluaran akhbar dan majalah yang berbahasa Inggeris, akhbar-akhbar berbahasa Melayu harus bersedia mengurangkan tulisan-tulisan dalam bahasa Melayu, sebaliknya menyelitkan lebih banyak tulisan-tulisan dalam bahasa Inggeris, dalam ertikata lain mengubah konsep kepada akhbar dwibahasa, dengan mempertingkatkan penyiaran bahan penulisan dalam bahasa Inggeris, hingga ke tahap 70 peratus, bagi membolehkan masyarakat Melayu lebih mahir berbahasa Inggeris.

 

vii)          Menggalakkan semua lapisan rakyat berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dalam semua situasi, samada secara rasmi atau perbualan harian dengan tujuan untuk memasyarakatkan penggunaan bahasa  Inggeris. Bagi memastikan kelancaran penggunaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat, Pusat komunikasi komuniti bahasa Inggeris (The community of English communication's centre) pada peringkat daerah, mukim dan kampung harus diwujudkan.

 

viii)        Kelulusan minimum pangkat A dalam bahasa Inggeris hendaklah dijadikan syarat wajib bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam Malaysia. Peperiksaan awam linguistik Inggeris serta sastera bahasa Inggeris hendaklah diwujudkan bagi pemilihan kakitangan perkhidmatan awam serta menjadikan syarat bagi penetapan gaji permulaan. Penguasaan bahasa Inggeris yang cemerlang hendaklah menjadi syarat bagi tujuan kenaikan pangkat serta peningkatan gaji. Pinjaman pembelian kereta serta perumahan hendaklah mengambil kira taraf penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anggota-anggota  perkhidmatan awam.

 

Usaha yang dicadangkan di atas, boleh dianggap sebagai jalan keluar, ke arah merevolusikan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Malaysia. Juga, sebagai jawapan kepada kebimbangan pihak-pihak tertentu, yang begitu resah serta bimbang dengan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan mempergiatkan serta memperluaskan penyebaran dan penggunaan bahasa Inggeris, adalah diharapkan ia dapat memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu, untuk meletakkan Malaysia di persada negara maju, menjelang tahun 2020, sekurang-kurangnya menandingi kalau tidak pun mengatasi Jepun, Taiwan, Korea, China, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

 

Namun begitu, diharapkan kemajuan yang dialami tidak pula meneladani kemajuan yang dicapai oleh India. Dengan itu, bangsa Malaysia ( jangan disebut lagi bangsa Melayu, kerana Melayu adalah lambang kelemahan dan kekurangan) akan menjadi bangsa besar dunia, yang sekaligus berupaya mewarnakan tamadun dunia dengan segala bentuk kepandaian, khususnya menjadi pusat penjanaan TM (IT) dan TKM (ICT) yang tersohor. Dengan yang demikian, kita tidak perlu lagi bercakap soal memartabatkan bahasa Melayu, jangan memperlihatkan sifat hipokrit, lupakan bahasa Melayu sebagai bahasa milik bangsa Melayu, kerana apa yang penting adalah Malaysia harus menjadi jaguh dalam membentuk tamadun dunia. Justeru, bahasa Melayu biar sahaja dimuziumkan, tetapi jangan dikuburkan, sekurang-kurangnya terkesan dengan catatan Tun Seri Lanang, "… supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu, syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya."







______________________
Terbitan : 1 Ogos 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com