SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

DILEMA MAHATHIR……

DILEMA MAHATHIR……
..suatu analisis oleh Litmohd

Di dalam satu majlis rasmi baru-baru ini Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa terdapat dua cabaran utama atau dilema dalam pembangunan umat Melayu dan Malaysia di masa akan datang. Dilema tersebut ialah umat Melayu yang sememangnya berpegang kuat pada Islam telah menjadi fanatik dan terpengaruh dengan parti pembangkang, tentulah yang dimaksudkannya ialah PAS.

Kedua katanya, bangsa Melayu masih berharap pada tongkat merujuk kepada hak istimewa orang Melayu serta berbagai bantuan dan subsidi yang terpaksa disalurkan oleh kerajaan sedangkan pada masa yang sama kerajaan berusaha untuk membuang tongkat tersebut.

Dr. Mahathir menyatakan demikiaan dalam satu majlis mega ekslusif anjuran Kelab Harvard di sebuah hotel terkemuka yang menghimpunkan golongan elit Melayu yang dan bukan Melayu yang kaya raya , pegawai kanan kerajaan serta bekas pegawai kanan yang begitu rapat dengannya.

Suasana majlis tersebut pastinya terpisah dari denyut nadi kehidupan umat Melayu di seluruh negara yang rata-ratanya hidup sederhana malah ada lagi yang melarat. Perdana Menteri seharusnya menunjukkan contoh yang baik ke arah merapatkan jurang antara golongan borjois dan marhaen seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS. Contohnya Nik Aziz dan Ustaz Abdul Hadi Awang hanya tinggal di rumah kampong sahaja sedangkan Dr. Mahathir tinggal di mahligai bernilai ratus juta ringgit. Bagaimanakah Dr. Mahathir hendak bercakap tentang membela nasib Melayu dan Islam.

Dr. Mahathir telah membuat konklusi tersebut setelah selesai pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit yang begitu mengecewakannya. Mereka berhasrat untuk melumpuhkan terus PAS ketika pilihanraya itu dan seterusnya selepas pilihanraya tersebut. Buktinya melalui serangan media yang luar biasa dan kerahan seluruh jentera kerajaan dari awal lagi.

Mereka masuk pilihanraya itu dengan nafsu besar sekali untuk membuktikan seperti kata PM bahawa Umno sudah pulih dan orang Melayu sudah kembali menyokong Umno sehingga PM pun sudah bersedia untuk melepaskan semua jawatannya hujung tahun depan. Mungkin kemenangan BN berturut-turut dalam pilihanraya kecil Sanggang, Indera Kayangan dan Ketari yang penuh dengan keganasan itu membuatkan Umno sentiasa bermimpi indah! Lalu nafsu besar mereka menyebabkan berpuluh ekor unta terkorban di Anak Bukit dan Pendang untuk dijamu pada penduduk di situ dan penyokong-penyokongnya yang tidak pernah kenyang!

Pilihanraya kecil tersebut seolah-olah menjadi pilihanraya umum. Keputusan awal kempen, BN 2, PAS 0 melihat kepada berita arus perdana samada tv atau surat khabar yang melaporkan beratus-ratus ahli PAS keluar parti dan menyertai Umno setiap hari, telah bertukar menjadi PAS 2, BN 0 di hari mengundi dan pelik bin ajaib keputusan rasmi menjadi 1-1.

Namun yang pastinya perancangan BN untuk melumpuhkan PAS telah gagal seratus peratus dan PAS kelihatan tetap kental malah bertambah yakin untuk merampas Kedah dari BN dalam pilihanraya umum akan datang. Undi PAS merosot sedikit iaitu 128 undi yang mengikut analisis Pesuruhjaya PAS Kedah hampir seribu penyokongnya tidak pulang mengundi. BN menambah undi di Anak Bukit akibat bertambahnya pengundi yang datang mengundi iaitu sehingga 86 % yang boleh dipertikaikan dari mana datangnya, namun tidak dapat mengatasi undi PAS.

Begitu juga peratus mengundi yang tinggi yang juga boleh dipertikaikan dari mana datangnya telah membantu kemenangan calon BN di Pendang. Namun undi PAS di Pendang yang asalnya kubu kuat Umno itu sebelum ditawan oleh Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadhil Nor dalam pilihanraya 1999, kini tidak merosot seperti yang digembar-gemburkan oleh media-media haprak , malah meningkat lebih 100 undi.

Dapat disimpulkan bahawa PAS begitu kental mempertahankan kedua-dua kawasan tersebut di saat BN menggunakan pelbagai isu dengan memperalatkan seluruh media dan jentera kerajaan bagi mengekang pengaruh PAS.

PAS wajar berbangga kerana berjaya melepasi satu ujian getir yang menentukan hidup mati parti mereka selepas ketiadaan Presidennya, Allahyarham Ustaz Fadzil Nor. Pada PAS pilihanraya tersebut merupakan satu saringan atau tapisan. Setelah diumpan dengan berbagai bentuk sogokan tiga 'ta' (harta, takhta, wanita), PAS kini mempunyai pengundi-pengundi, pendokong serta penyokong yang benar-benar komited serta ikhlas sedangkan penyokong BN menjadi tenggelam-timbul yang akan hanya timbul apabila habuan datang kepada mereka. PAS nampaknya lebih yakin dan bergaya untuk menghadapi pusingan seterusnya iaitu pilihanraya umum 2004 yang akan menyaksikan slogan Tahun Tawan Kedah menjadi realiti.

Berbalik kepada dilema Mahathir, penulis berpendapat Dr. Mahathir sedar atau bersetuju bahawa orang Melayu kuat berpegang pada ajaran Islam, tetapi beliau tidak bersetuju apabila orang Melayu yang kuat berpegang pada ajaran Islam menyokong PAS. Ini kerana menurut Dr. Mahathir PAS tidak Islam buktinya pemimpin-pemimpinnya yang suka memaki hamun, mencarut, membuat fitnah dan sebagainya.

Memang PAS sekarang mendapat sokongan orang Melayu melebihi Umno dan orang Melayu yang menyokong PAS terdiri dari berbagai golongan samada tua atau muda, miskin kaya, bandar dan luar bandar dan yang ketara sekarang ia disokong oleh mahasiswa universiti, intelektual dan profesional. Sebagai bukti jelas ialah dengan penampilan dua calon PAS dalam pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit adalah merupakan tokoh muda dan profesional. Ini terlalu sukar dilakukan oleh Umno. Dengan membawa orang lama sebagai calon yang orang pun sudah kenal sangat dengan sepak terajang politik mereka, maka Umno semakin sukar untuk membuktikan bahawa parti mereka telah pulih dan kembali mendapat sokongan terutama dari golongan muda dan profesional.

Dilema tidak harus ada pada Dr. Mahathir jika ia seorang ahli politik yang 'gentleman' dan menghormati demokrasi. Jika menghormati demokrasi , maka sokongan majoriti Melayu pada PAS hendaklah dilihat secara positif dan ini menunjukkan perjuangan PAS adalah benar dibandingkan dengan perjuangan Umno.

Sepatutnya kita berkata benarlah perjuangan PAS sebab ramai orang menyertainya. Tetapi di saat ramai orang terdiri daripada cerdik pandai, ulamak dan profesional menyertai PAS, PM tetap berkata perjuangan PAS tidak betul yang bererti golongan yang menyertainya juga tidak betul atau sesat. Inilah yang dikatakan pemikiran songsang! Pemikiran songsang merupakan istilah yang digunakan oleh Almarhum Ustaz Fadhil Nor ketika hayatnya bagi mengulas berbagai isu yang berlaku dalam negara.

Dalam kenyataannya bahawa penyokong PAS fanatik menyebabkan BN kalah di Anak Bukit, dan PAS letak tunggul kayu pun mereka boleh menang kerana mereka hanya nampak bulan, ia merupakan satu penghinaan bukan sahaja kepada dua calon PAS yang warak, berilmu dan profesional itu malah juga satu penghinaan kepada seluruh rakyat di Anak Bukit dan Pendang yang mengundi PAS. Penghinaan seperti ini tidak harus dibiarkan.

Jelas Dr. Mahathir tidak menghormati demokrasi, dan sebenarnya pada pengamatan dan analisis penulis, Dr. Mahathir tidak mempunyai satu ideologi khusus dalam perjuangannya. Ideologinya ialah pragmatisme iaitu hanya menerima sesuatu yang boleh memberi keuntungan politik padanya, kerabat dan kroni-kroninya. Pengisytiharan Malaysia sebagai Negara Islam adalah semata-mata untuk kelangsungan survival politiknya akibat kebangkitan Islam di seluruh dunia kerana pusingan alaf baru ini adalah untuk Islam! Mahathir pasti tidak dapat menolak kebangkitan ini, justeru itu beliau terpaksa isytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam walaupun perlembagaan Negara masih berlandaskan perlembagaan penjajah Inggeris.

Sedangkan di dalam PAS walaupun ada sesetengah pemikir di dalam PAS sendiri yang tidak mempercayai Islam boleh ditegakkan melalui pilihanraya namun mereka terpaksa akur dengan realiti sistem politik semasa dan Islam melalui sistem syura dan kepimpinan ulamak tidak sempit pemikiran. Islam memberi jalan yang luas dan terbuka sepanjang zaman, dan mereka yakin jika manusia diberi kebebasan sepenuhnya di dalam sistem demokrasi maka rakyat akan memilih Islam. Inilah yang dicemburui oleh Umno.

Oleh yang demikian Umno perlu ingat, di saat pembangkang sentiasa menghormati demokrasi, Umno hendaklah sama-sama menghormatinya. Dia perlu sedar bahawa Islam tidak mati, kerana ia adalah agama yang dipelihara Allah sepanjang zaman dan ia juga mempunyai berbagai uslub demi survivalnya.

Dilema kedua yang dihadapi oleh Dr. Mahathir mengenai tongkat yang diberi pada orang Melayu jelas menunjukkan dia telah terperangkap di dalam idealismenya sendiri. Inilah akibat melaksanakan peraturan yang terlepas dari tali Allah. Di dalam Islam tiada beza antara manusia dan antara kaum. Layanan perlu diberi sama rata atas dasar kemanusiaan dan pertolongan perlu diberi pada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira kaum tetapi dengan syarat Islam perlu memerintah dalam erti kata mempunyai kuasa sepenuhnya.

Kesimpulan ringkasnya, dengan senario-senario yang berlaku dan dengan pengakuan PM sendiri yang mengatakan beliau masih gagal menaikkan taraf hidup orang melayu walaupun menjadi Perdana menteri lebih 20 tahun , maka dapatlah dikatakan bahawa Umno yang telah diberi kuasa lebih 40 tahun menerajui pemerintahan negara ini kini sudah tidak relevan lagi dan PAS mempunyai potensi cerah untuk mengambil-alih teraju tersebut.







______________________
Terbitan : 5 Ogos 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com