Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Bhagat Singh dan Hidup Selamanya Revolusi!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sejak 20 tahun lagi, saya jarang dapat menikmati keenakan menonton filem, kalau ada pun hanyalah siri pendek drama TV. Untuk terpaku lebih dua jam, apatah lagi filem Hindi selama tiga jam, ia begitu memenatkan. Walaupun isteri saya terpaksa membeli VCD Kuch Kuch Hota Hai, sebanyak tiga kali – kerana yang sebelumnya rosak dan dipinjam orang tanpa dikembalikan – minat saya langsung tidak terusik. Apabila dikatakan filem Phir Bir Hindustani dapat menggambarkan mood reformasi, saya cuba menonton, tetapi secara melompat-lompat, dan akhirnya merasakan ia tidak lebih dari filem murahan Hindi yang lain.

Namun The Legend of Bhagat Singh, sentuhan berbisa Rajkumar Santoshi, berdasarkan lakonlayar Anjum Rajabali, yang diterajui pelakon Ajay Devgan, mengubah keadaan. Hampir tiga jam saya menatap penuh ghairah, setelah puas memujuk anak paling kecil, Umar Mukhtar, 4 tahun, yang merengek mahu menonton VCD Ultraman. Gelodak jiwa muda bagai disambar, manakala nostalgia hidup di kampus kembali berputar selepas menyaksikan kisah benar bagaimana anak muda, Bhagat Singh, 23 tahun, menyanyi ceria sambil berlari-lari anak, bersama dua teman karibnya, Sukhdev dan Rajguru, ke bilik gantung, selepas dikejutkan oleh pengawal penjara bahawa saat kematiannya telah tiba, ketika beliau asyik menelaah buku!

Mati dalam usia semuda itu, pada 23 Mac 1931, selepas menempuh liku-liku perjuangan paling getir menentang penjajah British, kemudiannya jasad diseludup keluar melalui pintu belakang Penjara Pusat Lahore, dan mayat dibakar selepas dipotong-potong, merupakan gumpalan pengalaman tragis, tetapi saya kira ia mampu menyuntik semangat baru kepada penonton, khususnya golongan muda.

Bhagat Singh yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai Jallianwala ketika berumur 12 tahun adalah pengkagum hebat Ghandi. Kepada ibunya, Bhagat berkata: “Ghandi adalah jelmaan Tuhan pada diri seorang insan.” Namun, ia berubah apabila Ghandi menghentikan gerakan menolak kerjasama dengan British. Bhagat tidak percaya dengan aktiviti anti-keganasan Ghandi apabila beliau mahu bertindak lebih nekad. Justeru, slogan keramatnya ialah “Inqilab! Zindabad!” (Hidup Selamanya Revolusi!) dan kalimah inilah yang memaksa Kongres mengubah tuntutannya untuk mendapatkan kemerdekaan penuh daripada British.

Dengan menganggotai pertubuhan radikal HRA, yang rela menumpahkan darah demi negara, Bhagat menyedari perjuangannya langsung tidak diketahui umum. Baginya kemerdekaan tiada makna jika British dihalau keluar tetapi penggantinya adalah elit India yang terus menindas dan memeras golongan bawahan. Dan, bagi Bhagat, selagi berlaku pengasingan antara pejuang dan rakyat, maka British akan terus menjajah. Justeru, jalan pintas harus dicari, meskipun terpaksa mempertaruhkan nyawanya, supaya mesej perjuangannya dikongsi bersama sentimen rakyat.

Dengan meletupkan bom di Parlimen pada 8 April 1929 – tapi di tempat kosong -- ketika rang undang-undang anti-mogok dibentangkan, Bhagat menjadikan penjara dan mahkamah sebagai markas untuknya menghebahkan gerakan anti-British, menurut pendekatannya yang berbeza dengan Kongres dan Ghandi. Katanya, bom diletupkan bagi menyedarkan penjajah yang pekak! Bayangkan, sebelum ditangkap kerana mengebom Parlimen, selain keluarga dan kumpulannya, Bhagat langsung tidak dikenali, tetapi beliau selepas dihadapkan ke mahkamah – dan sempat memperlekehkan hakim, polis dan pendakwa British – pengkaji sejarah berkata popularitinya di India menyamai Ghandi!

Bhagat Singh adalah cerita perjuangan dan kisah kekentalan hati sekumpulan anak-anak muda yang berazam untuk mati demi negara. Mereka sentiasa ceria meskipun dipukul, diterajang, diseksa dan tetap gembira sewaktu mogok lapar membantah layanan buruk di penjara. Mereka benar-benar menghayati amanat bahawa dalam perjuangan segala-galanya harus dikorbankan, termasuk keluarga, ibu bapa, kekasih, harta benda dan kesenangan. Tidak hairanlah apabila kematian mereka di tali gantung mencetuskan suasana kacau-bilau di seluruh India dan mempercepatkan proses kemerdekaan.

Menonton filem ini, bagi saya, mengingatkan tentang peritnya takah-takah perjuangan yang mesti didaki. Ia juga menyedarkan tentang kebijaksanaan mengatur rentak dan gerak, dan lebih menarik memaparkan bagaimana kumpulan kecil dapat menggugat kuasa imperialis maha hebat ketika itu.

Terngiang-ngiang lagi pekikan bersemangat Bhagat ketika mereka meluru masuk ke Parlimen dan kandang tertuduh di mahkamah: “Revolus! Hidup Selamanya!”, “Hancur Imperialisme!” Terselit juga memori buat mereka yang kini ditahan, Ezam, Hisham, Tian, Badrulamin, Abu Urwah, Lokman, dan rindu juga untuk mendengar laungan “Reformasi!” di Jalan Tuanku Abd Rahman!






______________________
Terbitan : 25 Ogos 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com