SUMBANGAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Meneruskan usaha dakwah & jihad filsabillah)

Tranung Kite dot net

Usahawan Melayu yang gagal adalah ‘kroni’ Dr M sendiri

Oleh : Yusof Ghani

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini menyatakan persetujuannya dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat ramai usahawan Melayu yang gagal kerana bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan atau menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kepada mereka.

Naib presiden parti tersebut, Datuk Dr Hassan Ali, berkata bahawa Dr Mahathir sebenarnya menyatakan kekesalan dengan “kroni beliau sendiri” yang gagal di dalam perniagaan, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk melahirkan “billionaire” Melayu.

“Oleh itu saya sangat bersetuju dengan perkara ini, kerana memang terdapat ramai dari kalangan peniaga besar Melayu yang cuba mencari keuntungan secara cepat, tetapi terpaksa bergantung kepada “tongkat” yang disediakan oleh kerajaan,” Dr Hassan memberitahu malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kekecewaannya terhadap perdana menteri kerana terus mengaitkan kemunduran dengan Islam, iaitu agama yang dianuti oleh orang Melayu di negara ini.

“Adalah tidak wajar bagi Dr Mahathir membuat kenyataan seperti itu semata-mata kerana majoriti orang Melayu yang menghayati Islam di negara ini memberikan sokongan mereka kepada parti pembangkang, terutamanya PAS,” katanya lagi.

Hujahnya, adalah tidak benar bagi mengaitkan kemunduran orang Melayu dengan agama anutan mereka kerana sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu dan bangsa-bangsa lain di dunia telah keluar dari zaman kegelapan dengan kehadiran Islam.

Hassan juga berkata beliau hairan mengapakah penyokong PAS didakwa sebagai “tidak menghayati Islam” kerana parti pembangkang itu sendiri sentiasa berusaha mengamal dan mengembangkan syariat Islam di Malaysia.

Hassan, yang juga ahli parlimen Parit Buntar, seterusnya berkata usahawan besar Melayu gagal kerana mereka tidak mempunyai pegangan yang kukuh terhadap agama.

“Sekiranya usahawan Melayu berniaga di atas dasar iman, nescaya mereka tidak memerlukan apa-apa tongkat tetapi akan terus bertahan,” katanya.

Dr M ikhlas

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) , Datuk Suhaimi Ibrahim, bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa Melayu akan menjadi bangsa yang lemah sekiranya terlalu bergantung kepada sokongan yang disediakan kerajaan.

“Apa yang patut Melayu lakukan sekarang ialah menambahkan lagi penguasaan ilmu mereka untuk membolehkan mereka terus berdaya saing apa segala bidang yang mereka ceburi, termasuk perniagaan,” katanya bila dihubungi.

Suhaimi turut bersetuju dengan kenyataan perdana menteri terdapat segolongan pelajar yang tidak menggunakan peluang untuk menuntut ilmu, sebaliknya melibatkan diri dengan politik di universiti sehingga menjejaskan prestasi pelajaran mereka.

“Saya percaya perdana menteri adalah ikhlas di dalam mengingatkan kaum Melayu mengenai masa depan mereka supaya masing-masing dapat mengambil iktibar dari nasihatnya,” ujar Suhaimi lagi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata, perdana menteri sepatutnya sudah tidak lagi bekerja keras untuk mengasak parti politik lawan tetapi sebaliknya cuba membetulkan beberapa kesilapan yang ada menjelang persaraannya 15 bulan lagi.

“Saya rasa, sebagai seorang perdana menteri selama 21 tahun, Dr Mahathir ada membuat pelbagai kejayaan dan kesilapan. Jadi, eloklah sekiranya buat masa ini beliau membetulkan kesilapan yang ada supaya beliau akan meninggalkan kareer politiknya dengan nama yang harum,” Lim memberitahu malaysiakini.

Dua dilema baru

Lim berkata, kegagalan utama Dr Mahathir ialah dalam menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini, selain dari melaksanakan demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

“Cukuplah dengan apa yang beliau sudah lakukan, dan saya harap Dr Mahathir dapat menumpukan usaha untuk membetulkan apa-apa kesilapan yang pernah dilakukan,” kata Lim, yang juga bekas Ketua Pembangkang.

Semalam, Dr Mahathir berkata orang Melayu sekarang menghadapi dua dilema baru yang boleh melonggarkan penguasaan ekonomi dan politik mereka, iaitu dilema yang melibatkan isu hak keistimewaan Melayu dan pemilihan parti popular sebagai kerajaan.

“Dilema Melayu yang baru ialah sama ada mereka patut membuang `tongkat' (hak keistimewaan) yang bukan sahaja sudah menjadi kebiasaan, malah dibanggakan pula oleh mereka.

“Dilema kedua pula ialah sama ada kita mahu membenarkan negara ini dimusnahkan atas nama demokrasi (apabila) kerajaan yang buruk dipilih dan usaha memastikan pengekalan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu terhenti,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Makan Malam Kelab Harvard di Hotel Sunway Lagoon Resort, Petaling Jaya.







______________________
Terbitan : 1 Ogos 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com