SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Kenyataan Akhbar PUM 20 Ogos 2002KENYATAAN AKHBAR 20 OGOS 2002 / 11 JAMADIL AKHIR 1423 Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dengan ini sekali lagi menyatakan rasa kesal terhadap gejala menghukum dan menfitnah individu dan pertubuhan tertentu melalui penghakiman media dan pertuduhan yang berniat jahat, kebencian politik kepartian yang membuak-buak diluar batas kewajaran syarak ilmu, keadilan, akhlak dan realiti. PUM juga kesal dengan pandangan Perdana Menteri Malaysia yang menampilkan dua andaian yang tidak realistik khasnya apabila beliau menganggap bahawa PUM hanya menjadi badan ulama’ sebenar apabila PUM menyelar dan mencaci Dato’ Nik Aziz sebaliknya bukan badan ulama’ sebenar apabila PUM membela beliau (Dato’ Nik Aziz). PUM dengan ini menegaskan bahawa, sebagai Perdana Menteri Malaysia beliau harus berlaku adil dan merujuk kaedah-kaedah berfikir yang saksama. Sejarah serta pembawaan orang seperti Dato’ Nik Aziz perlu diambil kira dan ditela’ah secara objektif. Beliau adalah seorang ulama’ muktabar yang sudah berpuluh tahun berdakwah dan mengajar umat Islam mematuhi Allah, undang-undang dan ajarannya. Tidak pernah ada hukuman dan penghakiman sebelum ini yang mensabitkan bahawa beliau adalah pencaci tuhan atau berkelahi dengan Allah oleh mana-mana mahkamah dan individu ulama’ yang adil. Sifat warak beliau dan komitmen yang kental untuk membela agama melalui wadah politik adalah suatu bukti iltizam dan komitmen yang tinggi terhadap ajaran rasul dan Allah. Amalan ibadat peribadi seperti solat, zikir dan tasbih memuji Allah siang dan malam bukan suatu rahsia bagi rakyat Kelantan dan Malaysia amnya. Dalam umur beliau yang lanjut, cabaran-cabaran kesukaran dan kesusahan yang beliau hadapi dari pelbagai pihak tidak memungkinkan dari segi rasionalnya beliau berbalah dan berkonfrantasi dengan Allah SAW. Budaya hidup beliau adalah budaya ilmuan syarak yang senantiasa mengajar dan belajar ke arah mempertahankan Allah dan Islam. Motif beliau dalam mengungkapkan sesuatu berkenaan Allah tentulah dapat dipertanyakan kepada beliau sendiri. Mengapa media massa tidak beri peluang kepada beliau untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan dan ucapan beliau ketika mengajar mengenai makna nama-nama Allah. Tindakan simplistic menghukum dengan tidak berlandaskan kepada ilmu, menyelami niat sebenar dan kewajipan menghormati alim ulama’ adalah suatu tindakan yang sembrono dan tidak adil. Apakah asas-asas rasional, syarak, realiti, serta persepsi objektif yang menjadi asas kesimpulan Perdana Menteri bahawa Dato’ Nik Aziz adalah berkonfrantasi dengan Allah SWT sehingga beliau begitu berani dan serampangan membuat kesimpulan hukum syarak. PUM ragu dengan pemaparan isu ini dibuat dengan saksama kepada ulama luar negara - seperti yang dipaparkan -. Lumrahnya, jawapan yang diberikan adalah sama dengan paparan yang dibuat ke atas isu yang disebutkan. Oleh itu jawapan ulama’ luar negara belum tentu mewakili keseluruhan hakikat isu ini. Jawapan tersebut berkait rapat dengan jenis dan cara penyampaian isu itu dibuat. Mengenai tanggapan bahawa PUM lebih sesuai menjadi sebuah cawangan Pas, PUM ingin menegaskan bahawa perspektif dan pandangan PUM adalah berlandaskan kepada faktor-faktor yang telah disebutkan. PUM adalah badan dakwah yang bebas dan menyokong kerajaan umpamanya dalam konteks mencadangkan sistem kewangan yang lebih adil berasaskan kepada dinar dan perak. PUM bukanlah cawangan parti Pas. Mengenai keengganan pihak tertentu mengiktiraf PUM sebagai badan ulama’ yang sebenar, PUM tidaklah terkilan dengan pendirian mereka kerana penafian mereka laksana penafian orang cacat penglihatan terhadap kewujudan matahari. Penafian mereka sudah pasti tidak akan menghilangkan kewujudannya di alam realiti. Sebelum membuat sebarang andaian, PUM menyeru agar para pemimpin politikus Melayu merujuk kepada sumber-sumber al-Quran dan Ulama’ muktabar dalam mencari pandangan syarak terhadap sesuatu isu. Semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua.
HJ. ABDUL GHANI SAMSUDIN
20 Ogos 2002 / 11 Jamadil Akhir 1423
Diterbitkan oleh : |