SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun 42 Tahun ISA – Perjuangan Menentang Kezaliman1 Ogos adalah Hari Ulangtahun tertubuhnya ISA. Hari yang satu-satunya tidak mungkin disambut dengan jambangan bunga, belon-belon penyeri majlis atau jamuan makan yang enak-enak kerana ia hanyalah hari untuk membuka lipatan memori yang pahit dan pedih bagi tahanan, bekas tahanan dan ahli keluarga mereka. Sempena hari ini kami keluarga Tahanan Politik ISA memperjelaskan kepada kerajaan dan masyarakat Malaysia dan juga dunia antarabangsa bahawa ISA telah digunakan untuk menyekat hak kebebasan bersuara rakyat dalam negara demokrasi. Perkara ini jugalah yang dibangkitkan oleh Setiausaha Negara Amerika, Collin Powell dalam pertemuan singkat dengan Menteri Luar Negara. Kami menuntut tahanan politik dibebaskan segera demi menjaga nama baik negara Malaysia sebagai negara demokrasi di mata dunia. Hari ini juga kami bersama aktivis hak asasi manusia Malaysia, para peguam pejuang menentang ISA, ahli-ahli GMI, NGO dan barisan parti pembangkang menegaskan pendirian rakyat Malaysia yang inginkan keadilan ditegakkan agar ISA dimansuhkan oleh kerajaan. Janganlah berselindung di sebalik “Perang terhadap Keganasan Antarabangsa” untuk mengesahkan tindakan kerajaan yang terus-menerus menahan enam orang tahanan politik yang ditahan sejak 10 April 2001, kerana ketika itu tragedi 11 September tidak siapa pun tahu ia akan berlaku. Hari ini juga GMI menghantar lebih kurang 10,000 poskad bantahan kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Poskad-poskad ini telah pun cuba dihantar pada tahun lepas tetapi telah dihalang oleh pihak polis. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menahan tahanan ISA sepatutnya bersikap terbuka untuk menerima kritikan dan luahan perasaan rakyat jika beliau mahu benar-benar menjadi pemimpin negara yang dihormati. Kami keluarga keenam-enam tahanan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan dan bantuan baik dalam apa jua bentuk sekalipun dari segi material mahupun moral yang tidak terkira, besar mahupun kecil, sedikit ataupun banyak terutama do’a yang dipohonkan kepada Ilahi, untuk kami keluarga yang dianiaya ataupun para tahanan yang dikurung secara kejam dan zalim. Pelancaran “Bumi Dipijak” dan “Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya” Buku Bumi Dipijak tulisan Lee Ban Chen bekas tahanan ISA telah dilancarkan oleh Saudara Dr. Rajkumar (tahanan ISA 1965-67) dan buku Hishamuddin Rais oleh Saudara M.G.G Pillai pada malam 42 tahun ISA. Hishamuddin diwakili oleh bapanya dan ahli keluarga terdekat beliau. Nota pendek beliau dijadikan sebagai pengganti diri. Beliau mahu kita renungkan bersama adakah usaha yang kita lakukan untuk menentang kezaliman ini berkesan? Walaupun begitu menurut beliau, tulisan-tulisan beliau adalah ‘pandangan-pandangan yang boleh dihujah, dipersoalkan, disanggah, diketawakan ataupun digunapakai’. “Tetapi saya akan mempertahankan tesis-Pilihanraya/Jalanraya yang menjadi tajuk buku ini. Untuk saya inilah tesis baru dalam era pascamoden dan globalisasi. Garis tesis ini sedang dipraktik dan dipertajamkan oleh anak-anak muda dari Seattle, ke Washington, ke Paris, ke Roma dan pasti akan terus merebak. Anak-anak muda akan terus mengumpulkan pengalaman. Anak-anak muda telah membuat pilihan agar mereka dapat membidani kelahiran sebuah masyarakat sivil yang demokratik. Justeru, persoalan kembali kepada kita sendiri memaksa kita membuat pilihan: Pilihanraya atau Pilihanjalanraya? Terima kasih untuk semua. Salam ingatan dari kami di Kamunting.” Begitulah Hisham mengakhiri nota pendek beliau. Forum bertajuk “42 Years Of Torture” membariskan lima ahli panel terdiri daripada Lee Ban Chen (tahanan ISA 60-an), Koh Swe Yong (tahanan 70-an), Lim Guan Eng (tahanan 80-an), Malek Hussain (tahanan 90-an) dan saya sendiri sebagai ahli panel yang agak ganjil kerana bukanlah mewakili sebagai bekas tahanan tetapi hanyalah sebagai isteri tahanan yang masih ditahan di Kamunting. Forum ini dipengerusikan oleh Saudara Fan Yew Teng yang juga bekas tahanan ISA. Forum ini banyak menyingkap penderitaan yang telah dialami sendiri oleh tahanan ISA. Saudara Koh Swe Yong tidak mungkin dapat melupakan bagaimana beliau dikurung bersendirian beberapa tahun dan tidak dibenarkan langsung berjumpa dengan sesiapa kerana menurut pihak berkuasa beliau akan terus berdegil tidak mahu mengaku bersalah jika beliau dapat bertemu orang lain. Malah, beliau dipaksa membuat pengakuan di dalam televisyen. Bagi Malek Hussain pula yang ditahan pada tahun 1998 ketika meledaknya Gerakan Reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim, beliau tidak mungkin melupakan bagaimana malam pertama beliau ditahan, beliau digari, mata ditutup dengan kain dengan begitu kuat sekali dan kemudian ditelanjangkan dan dibelasah oleh hampir 8 orang pegawai tidak beruniform. Selepas itu mulut beliau dibuka secara paksa dalam keadaan mendongak dan dua kali beliau dipaksa minum air kencing polis. Apakah jenis manusia yang melakukan perbuatan terkutuk ini??? Apakah beliau akan memaafkan orang yang telah memperlakukan demikian terhadap beliau? Inilah kekejaman dan kezaliman yang terlepas dari pengadilan hanya semata-mata adanya undang-undang ISA yang melindungi pihak yang melakukannya di atas nama keselamatan negara. Bagi saya, saya tidak rela sesiapapun dari kalangan rakyat Malaysia ditahan lagi di bawah ISA hatta pihak yang berkuasa sekalipun kerana ia jelas menyalahi hak asasi manusia. Tidak ada satupun agama, budaya dan peradaban manusia yang membenarkan seseorang ditahan tanpa dibicarakan apatah lagi disiksa di tangan pihak yang berkuasa. Rakyat Malaysia mahu mereka yang didakwa melakukan penganiayaan dan menyalahguna kuasa dibicarakan dengan adil, dibenarkan membela diri dan jika sabit kesalahan barulah dihukum dengan hukuman yang setimpalnya. Itulah “Malaysia Yang Adil” yang kita laung-laungkan. Pengalaman suami saya pula telah beliau tuliskan. Antaranya ialah pernah beliau disoal-siasat berjam-jam tanpa tidur dan rehat dan ketika sampai waktu beliau ingin solat sunat witr yang telah menjadi amalan harian beliau bertahun-tahun, beliau meminta izin daripada seorang pegawai SB yang beragama Islam – tetapi telah tidak diizinkan! Beliau mengingatkan kembali bahawa di zaman Rasulullah s.a.w, ketika seorang sahabat bernama Khubaib bin ‘Adi hendak dibunuh oleh orang musyrikin Quraish, Khubaib telah meminta izin untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat terlebih dahulu, lalu kaum musyrikin membenarkannya. Beliau menyatakan di dalam surat terkininya kepada saya bahawa jika diizinkan Allah kelak, insya Allah pada hari Hisab nanti dia akan meminta Allah mempertemukan Khubaib, beliau dan pegawai SB tersebut. Keadilan Allah pasti akan berlaku. Zumrah melawat Sabah Sedang kita di Kuala Lumpur terus menyuarakan bantahan terhadap ISA tetapi jauh di Lahad Datu, Sabah, satu perhimpunan di dalam sebuah rumah telah dihalang oleh seorang ahli JKK kampung tersebut. Menurut Zumrah, isteri Ustaz Badrulamin yang dijemput memberi ceramah di program tersebut, ianya terpaksa dibatalkan kerana ahli JKK tersebut mengugut akan memanggil pihak polis jika ceramah itu diteruskan. Oleh kerana takut akan ugutan tersebut, majlis itu terpaksa dibatalkan dan orang-orang kampung yang telah berkumpul terpaksa pulang ke rumah. Sungguh pelik cerita ini tetapi telah benar berlaku apabila hanya seorang ahli JKK kampung mempunyai kuasa penuh menghalang hak rakyat berhimpun secara aman di dalam sebuah rumah hanya kerana yang akan memberi ceramah adalah isteri tahanan ISA. Jika pihak polis bertanggungjawab menegakkan keadilan dan demokrasi, mereka perlu siasat kejadian yang telah berlaku ini dan tindakan mestilah diambil untuk membersihkan nama pasukan keselamatan. Oleh kerana Zumrah telah datang dari jauh, maka dengan inisiatif Setiausaha KeADILan Lahad Datu, mereka telah pergi melawat 16 orang kanak-kanak yang sakit di Hospital Lahad Datu dan memberi sedikit hadiah sebagai buah tangan. Walaupun begitu program di Tawau yang meraikan Zumrah telah berjalan dengan baik. Zumrah pulang ke Sabah menggantikan suaminya yang merupakan anak kelahiran Sabah untuk memberi penerangan kepada rakyat Sabah tentang keadaan semasa negara kita. Saya ingin memetik antara Kenyataan Akhbar Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sempena 42 Tahun ISA: “ISA turut menghukum ibu bapa, isteri, anak-anak dan rakan taulan mangsa tahanan. ISA merampas kebahagiaan keluarga mereka dan membawa penderitaan yang perit. GMI amat bangga dan kagum dengan ketabahan dan kegigihan keluarga tahanan ISA dalam menuntut keadilan. Sempena terlancarnya Program Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang semalam, wajarlah kehidupan dikembalikan kepada semua keluarga tahanan ISA” Saya bagi pihak semua keluarga tahanan ISA mendesak agar Menteri Dalam Negeri membebaskan suami dan ahli keluarga kami tersayang dan kembalikan mereka ke pangkuan kami. Jangan tunggu satu ketika nanti Allah mengambil orang tersayang anda kerana mungkin ada di kalangan keluarga tahanan yang mendo’akan agar perkara itu berlaku! Dan pasti akan berlaku kerana do’a mereka akan pasti dimakbulkan Allah, insya-Allah.
Aliza Jaffar
Diterbitkan oleh : |