Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

BA MENGECAM KERAS SERANGAN KE ATAS IRAQ

Majlis Presiden Barisan Alternatif

Kenyataan Media

BA MENGECAM KERAS SERANGAN KE ATAS IRAQ

Keputusan yang hampir pasti dibuat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Britain untuk melancarkan serangan ke atas Iraq merupakan satu tindakan kejam keatas kemanusiaan. Apapun alasan yang diberi, ruang perundingan dan jalan penyelesaian secara aman harus terus dilakukan oleh semua pihak terutamanya badan dunia PBB. Tuduhan bahawa Iraq sedang membina senjata nuklearnya hanya merupakan sekadar alasan rapuh sebagai justifikasi kepada tindakan mereka sedangkan pasukan penyiasat PBB sendiri hingga kini gagal mengesahkan dakwaan tersebut.

Barisan Alternatif mengecam keras tindakan biadab kedua-dua negara yang sama sekali membelakangkan masyarakat antarabangsa. Majlis Keselamatan PBB langsung diketepikan dalam menentukan tindakan mereka ke atas Iraq. Begitu juga dengan negara-negara maju lain termasuk sekutu AS dalam Perang Teluk yang lalu. Apa yang jelas keganasan yang dilebelkan keatas Iraq tidak seharusnya dibalas dengan keganasan. Tindakan ganas ini akan hanya menimbulkan ketidakstabilan dunia dan menggugat keharmonian sejagat.

Barisan Alternatif kesal dengan keangkuhan AS dan Britain yang langsung tidak menghormati negara-negara Arab lain yang dengan jelas menolak rancangan mereka bahkan telah bersepakat untuk tidak akan memberi sebarang kerjasama dari segi kemudahan pengkalan tentera dan kemudahan lainnya. Ini jelas membuktikan bahawa masyarakat dunia menolak sebarang bentuk tindakan ketenteraan atau lebih tepat mewujudkan peperangan baru. Alasan menentang keganasan tidak boleh disandarkan untuk memerangi negara lain yang berdaulat. Tindakan melancarkan perang itu sendiri merupakan suatu keganasan besar.

Peperangan yang akan berlaku hanyalah satu lagi siri penindasan dan pembunuhan manusia yang tidak berdosa. Kita sedia maklum kesan Perang Teluk 1991 masih lagi berbekas kepada rakyat Iraq. Apakah hanya kerana kebencian terhadap Saddam Hussein, rakyat Iraq dimangsakan. Perubahan pimpinan serta corak pemerintahan hendaklah ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri, bukan oleh kuasa asing.

Justeru itu Barisan Alternatif menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya PBB untuk menggunakan kebijaksanaan mereka bagi menghalang serangan ganas ini. Masyarakat dunia harus bertanggungjawab atas apa yang akan berlaku ke atas rakyat Iraq. Begitu juga kami mendesak negara-negara OIC dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) untuk turut bersuara secara lebih aggresif membantah serangan ini. Masyarakat antarabangsa harus memperlihatkan keberanian untuk berkata ‘tidak’ kepada keganasan yang bakal di Iraq. Apa lagi istilah yang boleh digunakan bagi menggambarkan tindakan AS dan Britain ini selain dari mengganas dan menindas rakyat yang tidak berdosa di bumi Iraq.

YAB DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD HADI AWANG
Pemangku Presiden PAS

YB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden keADILan

YBHG DR SYED HUSIN ALI
Presiden PRM

10 SEPTEMBER 2002






______________________
Terbitan : 11 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com