Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pengundi hantu dan politik songsang Mahathir

Oleh DINSMAN

Tiba-tiba Dr Mahathir Perdana Menteri Malaysia bercakap pasal pengundi hantu. Jumaat 30 Ogos. Dia kata kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Anak Bukit 18 Julai adalah kerana dibantu oleh pengundi hantu.

Selama ini yang bercakap pasal pengundi hantu ialah orang-orang dari Barisan Alternatif, khasnya KeAdilan dan PAS. Tiap kali pilihanraya kecil itulah perkara yang dibisingkan oleh orang-orang BA. Dan sejak pilihanraya kecil Lunas mereka tak pernah gagal mengesan bas-bas yang membawa pengundi hantu dan malah menangkap beberapa orang pengundi hantu.

Orang-orang Umno dan Barisan Nasional tak pernah bising pasal itu. Mereka hanya bising menafikannya sahaja. Mereka tak bising mengatakan ada pengundi hantu datang buat kacau dalam pilihanraya.

Tapi tiba-tiba menjelang hari merdeka kelmarin Dr Mahathir bercakap pasal pengundi hantu. Ketika orang-orang BA sedang sibuk memarahi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana bersyubhat menolong Umno/BN dalam menyediakan senarai Daftar Pemilih terkini dan persempadanan semula kawasan pilihanraya, Mahathir tiba-tiba saja membuat tuduhan mengatakan PAS yang menggunakan pengundi hantu dalam pilihanraya kecil lalu.

Reaksi pertama saya ialah teori politik songsang, iaitu strategi yang digunakan Umno/BN terutamanya dalam kempen pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit Julai lalu. Apa yang mereka buat mereka katakan pembangkang yang buat. Mereka yang ganas mereka kata PAS yang ganas. Mereka yang hina Islam mereka kata PAS yang hina Islam. Mereka yang guna pengundi hantu mereka kata PAS guna pengundi hantu, dan sebagainya.

Sekarang, kerana BA asyik mengkritik kerajaan Umno/BN yang telah memperalatkan institusi SPR bagi mempertahankan kelangsungan kuasa Umno/BN, dan pihak BA juga semakin lantang mengeluarkan bukti-bukti salahlaku SPR hingga pihak SPR dan pimpinan Umno/BN tak dapat lagi nak menangkisnya, maka Mahathir pun terpaksalah mengambil pendekatan politik songsangnya.

Mudah saja. Pulangkan balik tuduhan itu kepada PAS. Umno/BN tak payah jawab, biar PAS pula yang sibuk memberi jawapan. Itulah strateginya – teori politik songsang.

Dan seperti biasa, apabila saja PM cakap pasal sesuatu perkara, walaupun belum pasti benar-tidaknya, media-media harian kita pun akan sibuklah menyiarkan pandangan pimpinan Umno/BN yang akan menyemarakkan lagi isu itu mengikut sudut pandangan PM tadi.

Cara ini diharapkan akan dapat mengalih isu pengundi hantu yang sebenar. Itu reaksi pertama. Reaksi kedua pula begini: Menjelang tarikh akhir untuk parti-parti politik mengemukakan bantahan dan cadangan balas terhadap SPR berhubung dengan persempadanan baru dan Daftar Pemilih terkininya, kritik-kritik dan bukti-bukti salahlaku SPR, termasuk pewujudan pengundi hantu, semakin banyak disuarakan.

Antaranya ialah pendedahan Azmin Ali (Adun Ulu Kelang) bahawa BA sedang membuat persiapan untuk membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa, bermula dengan badan khas dalam Commonwealth.

Sehingga tulisan ini dibuat (pagi Isnin 2 Sept), pendedahan Azmin itu belum lagi tersiar di mana-mana media. Tetapi saya telah mendengarnya sejak Ahad 25 Ogos, ketika dia berucap merasmikan mesyuarat KeAdilan Subang. Dan tentulah hal yang sama telah dinyatakannya dalam ucapan-ucapannya di tempat lain juga.

Maka barangkali Mahathir pun mendapat tahu perkara ini (daripada sumber-sumbernya). Dan ini bukan perkara kecil apabila dibawa ke peringkat antarabangsa, dengan segala bukti kukuh yang ada, yang menunjukkan penyelewengan dan penipuan dalam amalan demokrasi di negara ini. Tidaklah mudah untuk Mahathir menangkisnya apabila ia dibawa ke peringkat antarabangsa.

Maka lebih baiklah dia menutup kes ini di sini juga kalau boleh. Itulah sebabnya dia tiba-tiba keluarkan kenyataan songsang seperti itu. Dan dia mahu supaya SPR buat semakan semula terhadap senarai daftar pemilih di seluruh negara.

Dr Mahathir Perdana Menteri yang tiba-tiba mahu supaya SPR semak semula senarai daftar pemilih itu. Padahal perkara ini sudah lama disuarakan oleh pimpinan BA. Orang kuat SPR melenting dan mempertahankan diri apabila pimpinan BA bersuara. Sekarang Mahathir pula yang bersuara dan menyalahkan SPR.

Reaksi yang ketiga, Mahathir rupa-rupanya masih tak puas hati mengapa BN diisytihar kalah dalam pilihanraya Anak Bukit Julai lalu. (Ini disahkan oleh MB Kedah yang membuat kenyataan menyokong bosnya, lalu meminta Rais Yatim meneliti undang-undang untuk mempersoalkan kemenangan PAS itu.)

Dan kalau kita masih ingat, sejurus diisytiharkan PAS menang itu pun Mahathir sudah menyebut soal PAS memindahkan sebilangan pengundi yang merupakan penyokong PAS daripada kawasan Kubang Pasu ke Anak Bukit.

Tetapi tidak ada siapa pun menyambut dakwaannya itu. SPR pun buat macam tak tahu saja. Hinggalah dia menyebutnya sekali lagi kali ini, dengan siap meminta SPR membuat semakan semula dan memberi penjelasan terhadap beberapa perkara yang dibangkitkannya.

Maka tak berlengah-lengah Setiausaha SPR pun terus menjawab. Dan jawapan Datuk Wan Ahmad Wan Omar itu sangatlah menarik. Ada semacam kekeliruan dan kesalahfahaman, yang kalau bukan di pihak Wan Ahmad maka barangkali di pihak Dr Mahathirlah.

Orang kuat SPR ini tak cuba menafikan. Mengikut laporan akhbar, dia terus mengaku saja apa yang didakwa oleh Mahathir, lalu meletakkan kesalahan ke atas bahu segelintir kerani sementara yang dilantik oleh SPR.

Walau bagaimanapun, kata akhbar, “Mengulas lanjut Wan Ahmad berkata, pada pilihanraya kecil Anak Bukit tidak timbul masalah pengundi hantu kerana pemilih yang mempunyai namanya dalam daftar pemilih layak untuk mengundi.”

Di situ ada sedikit permainan kata-kata yang memperlihatkan orang SPR ini macam kurang bersetuju dengan dakwaan Dr Mahathir.

Itu satu perkara. Perkara menarik yang kedua dalam jawapan Wan Ahmad ialah seperti yang dilaporkan ini:

“Berhubung kenyataan Dr Mahathir bahawa terdapat pengundi yang menyemak nama masing-masing di pondok panas, tetapi tidak dapat mengundi kerana nama mereka tiada dalam daftar pemilih di pusat pembuangan undi, Wan Ahmad berkata:

“‘Berkemungkinan petugas parti di pondok-pondok panas menggunakan senarai pemilih lama atau yang tidak dikemaskinikan.’”

Ertinya bukan salah SPR. Pihak Umno/BN di pondok panas itu yang salah menggunakan daftar pemilih lama. (Nampak sangatlah mereka itu lemah). Dan yang paling menariknya lagi ialah: rupa-rupanya ‘pengundi hantu’ yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir itu sebenarnya bukanlah ‘pengundi hantu’ yang sama yang dimaksudkan oleh pihak BA.

Kalau orang yang pergi mengundi itu ialah orang yang sama dengan yang namanya terdapat dalam senarai Daftar Pemilih yang disahkan oleh SPR, maka bukanlah pengundi hantu namanya orang itu. Dia hanya pemilih atau pengundi yang tidak tinggal di situ. Itu saja. Tetapi dia adalah sah sebagai pengundi di situ. Bukan pengundi hantu.

Adapun pengundi hantu yang dibising-bisingkan oleh pihak BA selama ini ialah orang yang namanya tidak ada dalam Daftar Pemilih, tetapi dia datang dengan menggunakan kad pengenalan palsu atau dengan cara-cara tertentu dapat bolos ke dalam tempat mengundi, dan mengundi atas nama pemilih lain yang terdapat dalam Daftar Pemilih. Itulah dia pengundi hantu sebenarnya.

Nampak di sini ada berlaku salah faham di pihak Dr Mahathir. Tetapi tidak mengapalah. Dia perdana menteri. Bila dia minta SPR buat semakan ke atas senarai daftar pemilih di seluruh negara, pihak SPR akan akur terhadap permintaannya itu. Baguslah.

Tetapi kita perlu berhati-hati. Jangan nanti yang disemak oleh SPR hanya “pengundi-pengundi hantu” yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir itu sahaja, manakala pengundi hantu sebenar seperti yang dijelaskan oleh Azmin Ali (misalnya dalam interviu yang kita siarkan dalam akhbar ini) tidak disemak dan dibiarkan saja begitu.

Ada kemungkinan akan terjadi begitu. Jadi kita jangan terkeliru dalam kekeliruan yang mungkin disengajakan ini. Barangkali ini satu cara Dr Mahathir hendak menutup isu yang nampaknya semakin memihak kepada BA. Dia sengaja menimbulkan kekeliruan supaya semua kita terkeliru, dan akhirnya isu penyelewengan yang dilakukan SPR dan kerajaan Umno/BN itu menjadi selesai begitu saja.

Pihak BA seharusnya pandai menggunakan kesempatan ini. Mahathir telah membuat kritikan ke atas SPR demi untuk kepentingan Umno/BN. Sekali-kali tidak akan dibiarkannya pihak BA mendapat keuntungan daripada kritiknya itu. Tetapi kalau pihak BA pandai, kesempatan ini boleh membawa keuntungan kepada BA.

Namun walau apapun, episod ini baru saja bermula. Hari-hari berikut nanti tentulah akan menyusul beberapa perkembangan yang lebih menarik lagi. Sama-samalah kita menjadi saksinya.

Keadaan ini sebenarnya tak jauh beza dengan isu Nik Aziz diminta bertaubat kerana dikatakan telah menghina Allah melalui tafsirannya bahawa Allah lebih samseng daripada manusia yang cuba hendak menunjukkan samsengnya kepada Allah.

Ini juga satu isu besar, yang boleh memberi keuntungan kepada mana-mana satu pihak, samada PAS atau Umno. Kalau Umno tersilap membuat tindakan, dia akan rugi dan PAS yang akan mendapat faedah daripada isu yang sengaja dimainkan oleh Umno itu.

Sama jugalah dengan isu Mahathir mengkritik SPR. Kalau BA pandai mengambil kesempatan daripada ruang yang telah dibuka oleh Mahathir, maka BA-lah yang akan mengaut keuntungannya. Namun sebaliknya pula akan berlaku kalau Mahathir yang lebih pandai.

Maka satu perkara perlu diingat, bahawa Mahathir sedang cuba mengalihkan perhatian kita daripada isu sebenar pengundi hantu, dengan menimbulkan satu kekeliruan terhadap permasalahan pengundi hantu yang sebenar.

Isu di sini sebenarnya bukan sekadar isu pengundi hantu. Isunya ialah penyelewengan dan penipuan yang cuba dilakukan oleh pihak pimpinan Umno/BN, menggunakan sistem pilihanraya, demi untuk mengekalkan mereka di teraju kekuasaan.






______________________
Terbitan : 5 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com