Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

TANGANI MASALAH PENGAJIAN TINGGI

Oleh S. Husin Ali

Banyak sekali yang sedang diperkatakan berhubung dasar dan sistem pendidikan negara. Ketika ini, akibat daripada desakan Perdana Menteri berhubung penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains, penumpuan perhatian ialah kepada pendidikan di peringkat rendah dan menengah. Sedikit sekali perhatian yang ditumpukan kepada pendidikan di peringkat tinggi, khususnya universiti.

Universiti merupakan pusat ilmu yang penting, dari segi pengajaran dan penyelidikan. Ia juga memainkan peranan mustahak untuk mengeluarkan sumber tenaga manusia yang terlatih bagi mengisi keperluan khusus di peringkat atas dalam sektor awam dan swasta. Tidak kurang pentingnya, dan hal ini sering dilupakan, universiti boleh menjadi pusat bagi menggalakkan perkembangan budaya yang tinggi dan perpaduan yang unggul dalam masyarakat dan negara.

Dalam negeri ini terdapat sembilan buah universiti awam yang dibiayai penuh oleh pemerintah, iaitu UM, UKM, USM, UPM, UTM, UUM, UNIMAS, UNISABAH dan UiTM. Sebilangan daripada universiti yang ditubuhkan dalam dua dekad yang lalu didorongkan semata-mata oleh pertimbangan politik, tanpa kajian dari segi akademik. Jumlah wang yang besar dikeluarkan untuk membina dan menyelenggarakan universiti semua universiti awam ini. Akan tetapi, jumlah pelajar yang berjaya diterima ke universiti ini tiap-tiap tahun adalah kecil, dibandingkan dengan bilangan yang lulus dari sekolah menengah.

Walaupun mahasiswa terdiri dari berbagai kaum, namun majoriti adalah Melayu, yang mendapat biasiswa, bantuan atau pinjaman. Mereka mengikuti kursus di pelbagai fakulti, akan tetapi kebanyakannya bertumpu dalam fakulti atau pusat sastera atau kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sungguhpun bilangan siswa Melayu di fakulti seperti Perubatan, Kejuruteraan, Perakaunan dan Sains semakin bertambah, namun jumlah bukan Melayu masih lebih ramai.

Oleh kerana tempat di universiti awam tempatan tidak mencukupi untuk menampung sebahagian besar daripada pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke universiti, maka pemerintah membenarkan universiti swasta didirikan. Hampir semua universiti ini didirikan atas asas perdagangan. Ada juga beberapa buah universiti ini yang diselenggarakan oleh parti-parti politik pemerintah, seperti MCA dan MIC.

Kebanyakan kursus yang disediakan bercorak profesional, seperti Ekonomi, Perakaunan, Perdagangan, Undang-undang, bahkan juga Perubatan. Oleh kerana hampir semua pusat pengajian tinggi swasta ini mempunyai hubungan kembar dengan universiti luar negara, maka bahasa pengantar mereka ialah Inggeris. Boleh dikatakan lebih daripada 90 peratus pelajar universiti swasta ini ialah bukan Melayu (terutama Tionghua). Mereka ditanggung oleh keluarga sendiri. Yuran sangat tinggi, sehingga RM20 ribu atau lebih setahun. Tidak ada bantuan, apatah lagi biasiswa daripada pemerintah, walaupun untuk mereka dari keluarga berpendapatan rendah.

Selain itu, terdapat juga mereka daripada keluarga kaya atau senang yang melanjutkan pendidikan di luar negara – di Britain, AS, Australia, New Zealand, Kanada, India dll. Boleh dikatakan semua mereka bergantung kepada “biasiswa keluarga”. Majoriti terdiri dari bukan Melayu; mereka mengikuti kursus profesional seperti Perubatan, Kejuruteraan, Perakaunan dan Undang-undang. Sudah tentulah bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar.

Ada juga pelajar bukan Melayu yang dibiayai oleh pemerintah, akan tetapi mereka boleh dihitung dengan jari. Sebahagian besar daripada pelajar di luar negara yang mendapat biasiswa pemerintah atau badan separa-pemerintah terdiri daripada Melayu. Tetapi, bilangan mereka ini kecil saja berbanding dengan siswa bukan Melayu yang bergantung kepada keluarga atau komuniti sendiri. Biasanya, pelajar Melayu yang dihantar keluar negara adalah dipilih dari kalangan pelajar Melayu yang mencapai kelulusan terbaik di peringkat menengah atau pra-universiti. Mereka juga mengikuti kursus-kursus profesional, terutama sekali Perubatan dan Kejuruteraan.

Ada tiga perkara penting yang boleh disimpulkan di sini. Pertama, tempat di universiti awam masih tidak mencukupi. Oleh kerana itu bilangan universiti awam perlulah ditambah untuk menampung lebih ramai lagi pelajar pelbagai kaum yang layak. Ini mungkin boleh mengurangkan rasa tidak puas hati mereka yang tidak diterima masuk, walaupun pencapaian mereka cemerlang.

Kedua, pada masa ini kita lihat polarisasi atau pemisahan kaum bertambah kuat di peringkat universiti, akibat sistem yang wujud. Kebanyakan siswa Melayu di universiti awam tempatan, mengikuti kursus sastera/kemasyarakatan, walaupun ada sebilangan yang mengikuti kursus profesional. Hampir semua kursus diajar dalam bahasa Malaysia. Mereka mendapat bantuan kewangan dari pihak pemerintah.

Jadi, kita dapati mereka ini hidup dalam dunia yang berbeza daripada dunia kebanyakan pelajar bukan Melayu yang mengikuti kursus profesional dalam bahasa Inggeris di universiti swasta tempatan atau universiti luar negara. Oleh kerana mereka terpaksa berbelanja sendiri timbul rasa tidak puas hati. Dalam jangka panjang, kesannya kepada hubungan kaum dan pembentukan bangsa kurang baik.

Ketiga, selain daripada menambah bilangan universiti awam, perlu juga ditambah biasiswa atau pinjaman dari pemerintah atau sebagainya. Sebahagian besar daripadanya hendaklah diperuntukkan kepada semua pelajar, dengan tidak mengira kaum, atas asas keperluan yang diukur dari segi pendapatan, pekerjaan serta kawasan kediaman keluarga, dan juga kecemerlangan berasaskan keputusan peperiksaan. Bakinya bolehlah diberikan kepada sebilangan pelajar Bumiputera lain, berdasarkan kepada kedudukan istimewa Bumiputera mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Berpaling kepada masalah lain, kita dapati bahawa ada tanda-tanda bahawa mutu universiti tidak meningkat, bahkan dalam beberapa contoh semakin merosot. Ini ada kaitan dengan kedudukan serta taraf pentadbir, pelajar dan pensyarah. Dari segi pentadbiran, universiti sekarang tidak lagi mempunyai autonomi untuk menentukan mutu akademik, bahkan tertakluk kepada kehendak dan rancangan pemerintah yang tidak tersusun rapi dan sentiasa berubah-ubah.

Corak Majlis Universiti sudah bertukar daripada badan yang bebas serta berwibawa menjadi kumpulan orang yang tunduk kepada kehendak pemerintah dan juga perkiraan untung rugi dari segi kewangan. Senat Universiti hampir tidak ada kuasa atau pengaruh dalam bidang akademik. Beberapa orang Naib-Canselor akhir-akhir ini, yang dilantik oleh pemerintah tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman untuk memimpin universiti.

Mereka mengambil sikap enggeh-enggeh saja kepada pemerintah, dan kadang-kadang ada pula di kalangan mereka yang sanggup menjalankan tugas sebagai polis mengawasi kegiatan pelajar dan pensyarah. Mereka cuba menaikkan taraf dengan cepat-cepat memberi gelaran Profesor kepada diri sendiri, walaupun mereka tidak pernah mengajar, menerbitkan kertas ilmiah atau melakukan penyelidikan di mana-mana universiti. Sikap serta tindakan mereka ini mempengaruhi sistem kenaikan pangkat kakitangan akademik.

Sebahagian mahasiswa pula memperlihatkan banyak kekurangan. Tradisi membaca serta menyelidik sendiri, berhujah atau berbincang hampir tiada. Bagi mereka, suasana di luar yang penuh dengan ancaman akta-akta atau akujanji, dan keadaan dalam universiti serta sikap sesetengah pensyarah tidak menggalakkan perkembangan minda yang kritikal. Akhirnya, yang dikejar kebanyakan mahasiswa bukannya ilmu tetapi ijazah saja, dan yang dikeluarkan oleh universiti bukannya insan berilmu yang bersikap tanggungjawab terhadap rakyat, tetapi pegawai-pegawai biasa saja.

Salah satu faktor yang menyebabkan ini ialah sikap sebilangan pensyarah. Mereka sendiri kurang minat mengajar, membaca dan menyelidik. Apatah lagi, mereka melihat dalam sistem yang wujud, ramai kakitangan yang rajin mengajar, menyelidik dan menulis tidak diutamakan untuk kenaikan pangkat. Lagi pula, dibanding dengan sektor swasta, bahkan juga pegawai-pegawai pentadbir dalam kerajaan, gaji mereka rendah dan peluang kenaikan pangkat terbatas.

Oleh kerana itu, ramai kakitangan akademik yang berpengalaman serta bernilai tinggi tidak dapat melawan tarikan dari sektor swasta. Betapa tidak, seorang pakar di hospital universiti boleh mendapat lima kali ganda pendapatan di hospital swasta. Masalah “brain drain” (pemindahan pakar) dari universiti ke luar sangat serius. Usaha yang berkesan, dari segi gaji, syarat perkhidmatan dan juga suasana tempat kerja perlu dibaiki untuk menyekat ini berlaku. Jikalau tidak, nasib universiti akan bertambah malang.

Saya berpendapat bahawa untuk menyelamatkan mutu universiti daripada terus merosot, sebuah jawatankuasa yang bebas, terdiri daripada pakar pendidikan, pensyarah, pelajar, pentadbir, tokoh politik dan lain-lain yang berwibawa, hendaklah dibentuk oleh Parlimen bagi mengkaji perkara ini. Soal peningkatan mutu ini tidak dapat tidak hendaklah dihubungkan dengan autonomi universiti dan juga peranan sebenar universiti sebagai pusat ilmu serta penyelidikan, penjana perpaduan rakyat serta negara, dan pendorong perkembangan budaya tinggi serta penghidupan beretika.

Tamat, 7/9/02






______________________
Terbitan : 11 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com