SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Sokong "Hentikan pertikaian Ustaz Shamsuri"Renungan buat AXLROSE. Saya menyokong penuh saranan Mak Lampir - s_sembara@hotmail.com - juga beberapa artikel siaran lalu yang menyarankan agar pertikaian tentang Ustaz Shamsuri dihentikan agar tidak berlarutan. Saya menyokong saranan ini kerana tidak mahu melihat beliau dijadikan bahan perdebatan diruangan ini atau untuk dihentam dan dikutuk. Saya juga suka memberi sedikit pandangan terakhir saya sebagai usaha untuk menghentikan pertikaian ini. Saya menghormati Ustaz Shamsuri atas beberapa sebab. Ilmu agama yang beliau miliki, mempunyai kemahiran mengajar kitab-kitab tua serta memiliki satu pendekatan yang tersendiri dalam menyampaikan ilmu. Seingat saya, Ustaz Shamsuri mula dikenali menerusi Forum Ehwal Islam yang sering disiarkan oleh RTM T.V 1 setiap malam Jumaat sekitar tahun 1995 dan 1996 suatu ketika dahulu. Selepas itu, Ustaz muda ini menjadi lebih popular kerana sering menerima jemputan berceramah di merata tempat dan mempunyai jadual tetap kuliah bulanan di beberapa buah masjid di sebelah Utara - Kedah dan Pulau Pinang -. Walaupun saya merupakan orang Utara, saya tidak pernah menghadiri kuliah bulanan beliau. Walaupun begitu, saya sering meminjam kaset ceramah dan kuliah bulanan beliau dari kawan saya untuk didengari. Saya merasa sangat terkilan apabila membaca isu yang dibangkitkan oleh penulis Axl Rose - penangblackrose@hotmail.com -. Ustaz Shamsuri digelarnya sebagai ustaz Umno, Penasihat Ugama nasik kandaq, ustaz merapu dan bermacam lagi. Pada pandangan saya Ustaz Shamsuri tidak harus dipersalahkan secara melulu dalam isu menjadi tenaga penceramah Umno dalam pilihanraya kecil Dun Indera Kayangan. Sepatutnya kita perlu memikir dan mengkaji mengapa Ustaz Shamsuri mengambil langkah menjadi tenaga untuk mempromosikan Umno. Apakah sebab yang menjadikan beliau melakukan demikian. Ini yang sebaiknya daripada terus menghentam dan mengutuk beliau. Dalam soal menjalankan dakwah atau amal makruf nahi mungkar, kewajipannya adalah berdasarkan kemampuan individu. Sekiranya proses amal makruf nahi mungkar atau dakwah boleh menggugat atau membahayakan diri pendakwah atau sesiapa sahaja yang menjalankannya, ia dituntut supaya meninggalkan dakwah tersebut. Ini kerana bahaya yang akan menimpa beliau barangkali boleh mengancam nyawa sendiri atau keluarga. Ustaz Shamsuri pernah ditangkap oleh pihak berkuasa sebelum beliau menjadi ejen kempen undi Umno di Indera Kayangan. Kita tidak mengetahui apa yang telah berlaku kepada Ustaz Shamsuri semasa disoal siasat sepanjang penangkapan itu. Adakah ia diugut atau diancam begitu juga keluarganya, apakah jenis bentuk ancaman dan ugutan tersebut?. Dalam situasi sebegini kemungkinan Ustaz Shamsuri tidak mempunyai alternatif lain selain menerima dan menurut sahaja apa yang dikehendaki oleh Umno. Sekiranya andaian saya ini tepat, maka tindakan Ustaz Shamsuri adalah wajar dan bertepatan dengan pendapat ulama' dalam mengeluarkan fatwa sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri, berkenaan hukum menegah kemungkaran dan tingkatannya, yang dihuraikan oleh Imam an-Nawawi dalam kitab syarah Shahih Muslim. Suka saya katakan di sini bahawa Ustaz Shamsuri adalah seribu kali lebih baik dari penulis Axl Rose yang suka mengutuk, menghentam dan menghina itu. Menghentam dan mengutuk juga merupakan uslub (cara) Asota Jabat dalam mengendalikan ruangan Bicara Agama melalui Utusan Online. Apakah sumbangan yang telah anda berikan kepada masyarakat? Apakah amal kebaikan atau jariah yang telah anda lakukan untuk hari esok? Cuba bandingkan diri anda dengan Ustaz Shamsuri Hj Ahmad. Jualan kaset ceramah dan kuliah bulanan Ustaz Shamsuri yang dikendalikan oleh syarikat Perniagaan Muaz begitu laris di pasaran sebelah Utara. Saya diberitahu oleh beberapa pelajar yang sering mengikuti kuliah bulanan beliau bahawa kuliah Ustaz Shamsuri mendapat sambutan yang cukup meriah sehinggakan orang ramai memenuhi segenap penjuru masjid. Ramai yang menjadi insaf dan mendapat hidayah dari Allah s.w.t apabila mendengar kaset atau mengadiri kuliah bulanan beliau. Walaupun Axl Rose mengatakan bahawa ada anak murid Ustaz Shamsuri yang bertahun-tahun mengikut kuliahnya tetapi isteri masih tidak menutup aurat. Barangkali isteri Axl Rose sendiri, kerana beliau juga merupakan anak murid Ustaz Shamsuri yang bertahun-tahun (5 tahun) mengikuti kuliahnya. Perlu diketahui bahawa soal hidayah adalah di sisi Allah s.w.t, kita hanya boleh menunjukkan jalan, sedangkan Nabi s.a.w sendiri tidak dapat mengislamkan bapa saudaranya setelah bertungkus-lumus siang dan malam, apatah lagi kita. Sememangnya Ustaz Shamsuri banyak jasanya di sebelah Utara, selain itu beliau juga dilantik menjadi penasihat bagi Majalah Lanun kelolaan kartunis Ujang. Saya tidak pasti samada beliau masih menjawat jawatan tersebut sehingga ke hari ini. Apa yang pasti majalah tersebut sangat berlainan dari majalah-majalah humor yang lain. Dimulakan dengan tazkirah, ayat al-Quran dan hadis. Karya kartunis majalah tersebut juga berunsur ilmiah dan agama. Ini adalah merupakan kesan bimbingan dan tunjuk ajar Ustaz Shamsuri dalam menjalankan peranan beliau sebagai penasihat. Kaset-kaset ceramah beliau pula dihadiahkan kepada pemenang surat pilihan dalam majalah tersebut. Malah kaset-kaset kuliah bulanan dan ceramah beliau dibawa bersama-sama ke Timur Tengah oleh sebahagian pelajar-pelajar Malaysia yang sering mengikuti kuliah bulanan beliau semasa di tanah air untuk diambil manfaat. Di manakah anda - Axl Rose - sekiranya hendak dibandingkan dengan Ustaz Shamsuri yang telah mempunyai salah satu daripada tiga bekalan yang akan kekal bersamanya - insya-Allah - setelah kembalinya ia mengadap Ilahi iaitu "ilmu yang boleh diambil manfaat" sepertimana yang disebut oleh Nabi s.a.w. Di manakah anda???. Anda dilihat cuba untuk membangkitkan kemarahan murid-murid Ustaz Shamsuri, kenapa isu ini menjadi topik perbincangan anda? Sekiranya Ustaz Shamsuri telah menjadi ustaz Umno, ia adalah lebih baik daripada ustaz-ustaz Umno yang lain. Beliau tidak menempelak barisan kepimpinan Pas atau menghentam mana-mana ulama' Pas malah beliau masih istiqamah dengan aktiviti bermanfaat seperti kuliah bulanan dan ceramah. Sekiranya kita kehilangan Ustaz Shamsuri, adakah kita kekurangan tenaga dan kekuatan yang sedia ada?. Banyak lagi ustaz yang boleh menggantikan tempat Ustaz Shamsuri. Saya juga hairan mendengar berita menyatakan bahawa ramai bekas anak murid Ustaz Shamsuri sudah tidak menghadiri kuliah bulanannya akibat isu ini. Pada saya, walaupun ia dikatakan sudah menjadi ustaz Umno, ini tidaklah menjadi penghalang untuk kita menimba ilmu darinya, kerana ilmu dan hikmah yang berguna boleh diambil daripada sesiapa sahaja, dari kawan mahupun lawan, asalkan ianya tidak bertentangan dengan syara'. Saya bukanlah bertujuan membela sesiapa, tetapi saya melihat Axl Rose sudah keterlaluan dalam memburukkan Ustaz Shamsuri. Perlu Axl Rose mengetahui bahawa tingkah laku manusia adalah dibalas berdasarkan niat di hati. Ambillah pengajaran dari ayat al-Quran sebagaimana yang diterangkan bahawa Allah s.w.t sangat murka kepada orang yang melarikan diri dari medan pertempuran. Sekiranya kita melihat ada orang melarikan diri dari medan pertempuran, adakah kita boleh terus mengambil jalan singkat mengutuk dan mencerca beliau kerana lari dari medan pertempuran? Tidak dan bukan begitu caranya, malah kita haruslah menyelidiki dahulu, apakah sebab yang menjadikan ia melarikan diri atau berundur dari medan perang, oleh kerana bukan semua orang yang melarikan diri atau berundur dari medan pertempuran itu dimurkai Allah s.w.t. Bahkan sekiranya ia melarikan diri atau berundur bertujuan untuk mengatur kembali stratergi pertempuran, ia dianggap bijak dan cerdik serta mendapat kemaafan dari Allah s.w.t. Lihat pula isu samseng, apabila ramai orang yang tidak memahami niat dan salah menafsirkan tujuan dan maksud tuan guru menyatakan kalimah tersebut, berlakulah fenomena seperti mengutuk, menghentam dan menyuruh bertaubat, sedangkan bukanlah semua orang yang menyatakan Allah s.w.t itu samseng bersalah dan berdosa, malah niat dan tujuan ia berkata demikian perlulah juga diambil kira. Begitu jugalah situasi Ustaz Shamsuri ini. Mengapa, kenapa dan sebab apa beliau berbuat demikian perlulah diketahui dan diselidiki sebelum melemparkan kutukan, cercaan dan hukuman terhadapnya. Sekiranya kita bertindak melulu tanpa usul periksa, isu ini juga tidak mustahil akan menjadi seperti isu samseng. Saya berharap isu Ustaz Shamsuri ini tidak akan dibangkitkan lagi, sekiranya penulis Axl Rose - penangblackrose@hotmail.com - tidak berpuas hati dengan apa yang saya kemukakan ini, bolehlah ia menghubungi saya secara peribadi melalui alamat e-mel saya sepertimana yang tertera di bawah.
Oleh : Farizal Lazim.
Diterbitkan oleh : |