SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun TIADA NOKTAH
TIADA NOKTAH (Malaysiakini.com, 9 Sept 2002) Bung Pram, sudah lupakah Calon Arang? Sudah dua kali Pramoedya Ananta Toer dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Tahun ini pengarang agung Indonesia ini dicalonkan lagi. Selepas terbuka ruang baru demokrasi di sana, karya-karyanya makin laris — diterjemah, dijual dan dibicarakan. Beliau juga berbicara, tentunya. Tetapi tidak semestinya tokoh sehebat ini boleh berbicara dengan tanggapan yang jernih. Barangkali semua tokoh begitu. Pramoedya, atau Pram sahaja, kesal dengan sekatan yang masih dikenakan terhadap karya-karyanya walau di tengah-tengah Indonesia yang lebih terbuka kini, selepas tumbang Order Baru (Orba) pada Mei 1998 yang pernah mengurungnya selama 30 tahun. Beliau justeru menanggap Malaysia "lebih terbuka" untuk bersastera dan penulis di sini "agak bebas membawa isu apa saja hingga isu memburukkan pemerintah." "Kalau di Indonesia tidak mungkin itu, bisa-bisa karyanya tidak diterbitkan atau dilarang beredar," tambah Pram dalam wawancara 'Karya saya bukan sosialis' dengan Mingguan Malaysia (1 September). Sebelum itu beliau berterus terang bahawa beliau tidak lagi mengikuti perkembangan sastera sama ada Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara ketika ditanya pandangannya berhubung perkembangan sastera di rantau sini. "Saya juga sudah pensiun (pencen) sastera," tuturnya. Beberapa baris jawapan Pramoedya ini tidak menimbulkan kegemparan di sini. Tetapi saya berasa sungguh terganggu. Sangat-sangat. Bukanlah kali pertama beliau membuat tanggapan "serong" seperti ini. Propaganda indah Beberapa ketika dulu, seperti dipaparkan melalui stesen RTM, beliau juga pernah memuji kepimpinan serta "sikap anti-imperialisme" Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Paparan stesen ini seakan-akan sama dengan wawancara dengan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) yang kini berkampung di selatan Thailand. (Atau, kita boleh sahaja menyalahkan suntingan politik di stesen televisyen dan akhbar mingguan itu. Tetapi saya tidak mahu melihat sisi ini, walau syak itu boleh sahaja disimpan dan diduga oleh sesiapa). Kadang-kadang saya terfikir tokoh agung ini hanya mengetahui nasib Blora, kampung halamannya di Jawa Tengah, dan terkongkong dalam kerangka wacana Perang Dingin, seperti lazim saya dengar dan baca daripada tokoh-tokoh yang dengan penuh jiwa raga bercatur dalam tempoh masa itu. Satu lagi hakikatnya, tidak mudah menangkis imej serta propaganda indah Dr Mahathir di luar negara. Banyak pihak, yang saya kira mempunyai kekuatan nalar kritis dan berkedudukan penting, dari negara luar melihat Malaysia daripada sisi-sisi indah seperti diketengahkan. Pram ketika menuturkan "sastera Malaysia lebih terbuka" minggu lepas turut termakan propaganda atasan daripada permukaan luar serta tohor tentang Malaysia. Tokoh yang dicalonkan untuk Hadiah Nobel tidak seharusnya membenarkan realiti buruk "kebebasan berkarya" ala negara ini — yang kian dipertikaikan taraf demokrasinya. Tuturan Pram itu benar-benar anti-climax dengan realiti di sini serta jiwa raganya yang kelihatan kiri, bawahan dan rakyat. Larangan rasmi kerajaan Indonesia memang belum dicabut, yang menjadi titik kebingungan Pram, tetapi karya-karyanya, dan tokoh seperti Tan Malaka, senang-senang beredar di sana. Ia tersembul sebaik sahaja Orba bungkus, paling rancak mulai 1999. Politik dua negara (Malah ketika Soeharto masih berkuasa, karya-karya Pram masih dicetak dan beredar senyap-senyap tetapi dengan penuh berani). Bagaimanapun, untuk mendakwa Malaysia lebih bebas - sama ada sastera, seni budaya, akademia atau media - daripada negaranya adalah tidak benar sama sekali, apatah lagi Indonesia hari ini. Di sini memang tidak ada Pulau Buru, tidak ada penulis yang dibungkam atau hilang entah ke mana-mana seperti Wiji Thukul. Tetapi kooptasi dan hegemoni pemerintah Malaysia tidak kurang jahatnya berbanding kezaliman Belanda, Jepun, Orba atau kerajaan 'Reformasi Gadungan' (meminjam ungkapan aktivis-aktivis Partai Rakyat Demokratik) seperti dialami Pram sepanjang hayatnya. Malah yang menyakitkan daripada komentar Pram tadi (walau seimbas lalu) ialah, kejahatan negara ini semakin menusuk serta menggila. Kejahatan itu kini sedang dipertikaikan dengan meluas, baik anak tempatan atau dunia antarabangsa. Atas sandaran ini, kita tidak boleh menerima tanggapan Pram. Bagi saya, tanggapan itu meleset. (Perlu diakui konteks politik dua negara kita, Bung Pram, tidak sama. Sejarah kemerdekaan, kerancakan intelektual dan kezaliman pemerintah serta reaksi penentangan terhadap negara tidak sama. Namun, teman-teman di Utan Kayu menggelar Dr Mahathir sebagai 'Soeharto kecil', ungkapan ini menarik diperhatikan, Bung Pram). Saya tidak pasti kasus-kasus yang menjadi rujukan Pram sehingga beliau sanggup menanggap sebegitu. Agaknya, karya-karya Shahnon Ahmad, puisi-puisi Dinsman, antologi puisi Dari Derita Bangsa (diselenggara oleh Usman Awang dan Dino SS) atau teater 'Tok Ampoo' Hishamuddin Rais menjadi rujukannya. Tetapi kes-kes ini tidaklah menarik, malah mengandung kepelikan yang tersendiri. Kepelikan itu ringkas sahaja: Kegiatan sastera tidak lagi menjadi saluran berkesan untuk idea, wacana dan politik. Khalayaknya kecil sahaja. Novel-novel cinta orang muda yang ringan-ringan dan berbaur porno lebih meluas pengaruhnya. Oleh itu, dalam konteks perlawanan politik, ia tidak mengundang amarah pemerintah. Tetapi ia bukan sejenis kebebasan bersastera atau berkarya. Bukan agenda baru Kelompok sastera di negara ini sedang membeku atau mengubah pentas dalam gerak politik yang sedang berkembang kini. Sedikit-sedikit mereka memberang ketika timbul isu pemujaan Bahasa Inggeris baru-baru ini, walau sebenarnya bukanlah agenda pemerintah yang benar-benar baru. Selebihnya mereka membungkam sendiri-sendiri kerana bimbang dibungkam oleh pemerintah. (Boleh jadi fragmen tidak melawannya kelompok-kelompok sastera, seni budaya, akademia dan media di atas pentas yang selayaknya ini amat memalukan untuk dinyatakan kepada Pram tetapi itulah gejalanya.) "Kebimbangan" inilah yang lebih halus serta jahat berbanding menghantar novelis atau sasterawan ke Pulau Buru. Kawalan undang-undang melalui "politik ketakutan" atau politics of fear sedang melemaskan kelompok-kelompok sastera, seni budaya, akademia dan media. Tangan-tangan politik pemerintah di segenap penjuru institusi yang menempatkan kelompok ini atau saluran mereka berekspresi sungguh keras dan ada waktu-waktunya tidak masuk akal. Oleh itu, mereka semacam tidak sanggup lagi melawan. (Atau Bung Pram, katakan sahaja kami ini berjiwa kerdil, tidak seteguh kelompok sastera, seni budaya, akademia atau media Indonesia. Apalah kurangnya kawalan undang-undang dan institusi Orba, bukan begitu Bung Pram?). Sama sahaja Apabila tiada perlawanan, apakah akan ada pembungkaman? Oleh itu, tidak timbul soal larangan atau sekatan seperti yang dialami Pram. Inilah hakikatnya. Tetapi dalam konteks yang sedikit berbeza daripada sastera, misalnya dalam kelompok media independen, pemerintah Dr Mahathir bertindak sama sahaja dengan Seoharto, seperti juga Orba mengkooptasi kampus Indonesia. Di sini, di celah-celah kekuatan media arus perdana yang maha perkasa, media sekerdil Detik, Wasilah, Eksklusif, Gossip, Perdana Sari, Haraki atau Islah telah menjadi korban. Senarai ini akan lebih panjang nanti. (Majalah utama kelompok sastera negara ini, Dewan Sastera, yang memuatkan cerpen 'Maharaja Beruk' karya Yahya Ismail kira-kira 15 tahun lalu, satira politik ekoran percaturan dua pasukan dalam Umno, memang tidak diharamkan kerana diusahakan oleh agensi pemerintah sendiri. Tetapi lihatlah nasib editornya yang berani itu.) Mereka mempunyai khayalak dan memang menjadi pentas menyampaikan idea, wacana serta politik. Di sini pentas perlawanan wujud dengan kuasa negara dan di sinilah kebebasan dimatikan. Cuma lagi, belum ada wartawan yang dipenjarakan, merengkuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau "dibuang ke Pulau Buru." Di sini Calon Arang masih berkuasa dengan sihirnya yang sangat jahat, Bung Pram. Ramai sekaliyang terkena penyakit tetapi Erlangga belum mengenali Empu Baradah yang sanggup mengalahkan Calon Arang. Empu Bahula pula masih takut-takut menikahi Ratna Manggali, apakan daya!
-----------
Diterbitkan oleh : |