Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tazkirah 30 - “Menghalang Fungsi Masjid Bererti Meruntuhkan Masjid”

Ulama’-ulama’ tafsir ‘khilaf’ (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114. Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid Al-Aqsa, lalu masjid itu dirobohkan.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qtadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bakhtanuso ke atas masjid tersebut di mana rumah Allah taala itu dibakar hangus.

Mengikut riwayat Ibnu Abbas (dalam satu riwayat yang lain) ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Mekah yang menghalang Nabi saw bersembahyang dan mengajar agama di masjid Mekah.

Walaupun ayat ini sebab nuzulnya ada tetapi mengikut kaedah hukum yang bersadarkan kepada ‘Usul Tafsir’ iaitu pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh as-Syaukani dan beberapa orang mufasirin (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca Al-Quran, berzikir, menghalang orang mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini.

As-Syaukani mengatakan “Dan dikehendaki menegah masjid bahawa disebut nama Allah padanya, Allah mencegah perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca Al-Quran, berzikir dan mengajar. Dikehendaki dengan meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkannya sahaja tetapi juga berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umpamanya mengganggu ketaatan-ketaatan yang dilakukan padanya yang didasarkan masjid ke atasnya, merupakan suatu yang umum.”

Berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi saw di mana Abu Jahal menghalang Nabi saw beribadat di masjid, menghalang Nabi saw mengajar dan menerangkan hukum agama di masjid.

Oleh kerana itu menjadi amalan kepada Nabi dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak betul, dia dipanggil dan disoal tentang apa yang diajarnya di masjid.

Kalau apa yang diajar itu perkara yang betul, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang mengajar seperti undang-undang tauliah yang ada pada hari ini adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid.

Jaga keselamatan masjid bukan dengan cara mengunci masjid. Jaga keselamatan masjid ialah menghidupkan masjid itu dengan zikrullah dengan melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubungkaitnya dengan kegiatan masjid.

Kitab rujukan : Kuliah Tafsir Surah Al-Baqarah (Usaha Jahat Yahudi) – Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

"MEMBANGUN BERSAMA ISLAM"
(w.n.afinaz)






______________________
Terbitan : 28 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com