Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

HAIWAN EKONOMI SESAT BUDAYA: MUSA MOHAMAD - FAKTA DAN DATA PENGINGGERISAN SAINS DAN MATEMATIK

Oleh : Kelana Bakti

Jawapan Musa Mohammad berhubung dengan dasar penginggerisan Sains dan Matematik, jelas menampakkan wujudnya ketohoran minda serta kekalutan persepsi. Penegasan Musa Mohammad, bahawa keputusan penginggerisan Sains dan Matematik dikatakan berasaskan kajian dan pertemuan dengan ahli-ahli akademik serta tokoh-tokoh pendidik adalah amat meragukan (Lihat Berita Harian Online. 18/09/02). Dilaporkan Musa Mohammad juga berkata, "…mereka yang terbabit dalam perbincangan dan pertemuan itu sebulat suara menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik serta memberi jaminan akan membantu menjayakan pelaksanaan dasar itu." Persoalannya kenyataan ini hanyalah merupakan satu kenyataan Musa Mohammad yang berkemungkinan terdedah kepada eksploitasi "helah bela diri," sebagaimana aliran berita dalam akhbar-akhbar utama yang menyiarkan "36 NGO Melayu sokong" pada 25/08/02 yang kemudiannya dinafikan oleh Abdullah Ahmad Badawi (The Sun. 26/08/02). Atau sebenarnya Musa Mohamad memperjelaskan lagi akan kecelaruan persepsinya, sebagaimana kenyataannya yang menegaskan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik tidak boleh dicabar di mahkamah, manakala di para yang lain beliau menyebut, "Oleh itu, kalau ada pihak yang cuba mencabarnya (di mahkamah), kita akan pertahankan." (Utusan Online. 24/08/02)

Satu kenyataan yang cukup kontradik! Kalau tidak boleh dicabar, tentunya tidak boleh di bawa ke mahkamah! Walhal peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996, tidak pula memasukkan mana-mana fasal untuk menghalang Akta Pendidikan 1996 dari di cabar di mahkamah. Bukankah sejarah membuktikan bahawa Akta Pendidikan 1961 (sebelum pindaan 1996) pernah di cabar di mahkamah berkait dengan isu Universiti Merdeka? Bahkan hakikat sebenarnya tindakan penginggerisan Sains dan Matematik itu sendiri bertentangan dengan pengisian Akta Pendidikan 1996. Apakah Musa Mohamad bercakap berasaskan fakta dan data? Musa Mohamad boleh sahaja mengatakan "…sebulat suara menyokong…" kerana yang dibawa berbincang (?) itu adalah kesatuan-kesatuan guru yang mana ahli-ahlinya adalah pegawai-pegawai kerajaan yang terpaksa akur dengan segala dasar yang ditetapkan, lebih-lebih lagi mereka telah diancam dengan "akujanji". Beranikah ahli kesatuan-kesatuan tersebut menentang atau sekurang-kurangnya mengatakan "tidak?" Soalnya apakah sebenarnya berlaku perbincangan sebagaimana yang dikatakan, atau hanya sekadar mengumpul ahli kesatuan-kesatuan terbabit untuk mendengar taklimat dan kemudiannya di minta membuat persetujuan?

Realiti ini ada kebenarannya kerana isu penginggerisan Sains dan Matematik adalah isu yang digagaskan dengan ancaman dan ugutan, "Kerajaan ulangi amaran akan guna akta hasutan" (Berita Harian Online. 24/08/02). Pernyataan "…sebulat suara menyokong…" cukup subjektif sifatnya, tanpa adanya penjelasan berhubung dengan mekanisme dan prosedur perbincangan dilakukan. Dalam kebanyakan kes kesatuan-kesatuan ini lebih bertindak hanya sebagai "cop getah" sebagaimana yang sering dilakukan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK). Apa yang dikatakan perbincangan itu hanyalah berkemungkinan satu formaliti sahaja. Begitu juga dikatakan "…ahli akademik, tokoh pendidik…" soalnya siapa mereka? Musa Mohamad boleh sahaja menyebut ahli akademik dan tokoh pendidik, soalnya sejauhmanakah "yang disebut" itu benar-benar berwibawa sebagai ahli akademik dan tokoh pendidik? Apakah "yang disebut" itu hakikatnya mereka yang benar-benar mendalami aspek transformasi bahasa merentasi budaya penutur dalam pengungkapan pengajaran dan pembelajaran? Apakah Musa Mohamad bersedia berbincang dengan Akademi Sains Islam (ASASI) dan Persatuan Suluh Budiman? Apakah tidak mungkin ahli akademik dan tokoh pendidik "yang disebut" oleh Musa Mohamad itu, hanyalah segolongan pihak yang sememangnya bersifat "pengia?" tanpa mempunyai pendalaman analisis terhadap keutuhan budaya bangsa jangka panjang? Apakah tidak mungkin mereka "yang disebut" itu, terdiri dari kalangan individu "haiwan ekonomi sesat budaya" yang hanya menilai segala bentuk kemajuan dan pembangunan dari aspek fizik serta kepentingan material semata-mata.

Harus diingat, alasan bahasa Inggeris sebagai wadah kemajuan bangsa Melayu hakikatnya tidak pernah terbukti, sebaliknya lebih banyak menimbulkan jurang sosial (Haris Md. Jadi. 1990. Etnik, politik dan pendidikan. Kuala Lumpur.Dewan bahasa dan Pustaka) Kenyataan Musa Mohamad amat celaru sekali! Apa yang dipersoal umum adalah penginggerisan Sains dan Matematik, bukannya soal untuk melahirkan pelajar bilingual, sebagaimana yang cuba ditonjolkan oleh Musa Mohamad, "…seterusnya menjadi pelajar bilingual. (Berita Harian Online. 18/09/02) Apakah jaminan Musa Mohamad bahawa pelajar-pelajar yang mempelajari Sains dan Matematik akan bersifat bilingual? Atau dalam frasa lain terdapat pula bayangan Musa Mohammad untuk melahirkan pelajar-pelajar trilingual, "…supaya pelajar dapat menguasai kedua-dua bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa ibunda lain." Jika itu matlamatnya, apa kaitannya dengan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris? Bukankah soal mewujudkan pelajar bilingual atau trilingual, seharusnya dijana melalui amalan berbahasa? Apakah pengajaran Sains dan Matematik akan benar-banar memperkukuhkan amalan berbahasa Inggeris? Wal hal keadaan ini boleh dicapai dengan memperkukuhkan kaedah serta prasarana pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, umpamanya dengan memperluaskan skop pengajaran bahasa Inggeris merangkumi pengenalan subjek English communication in practices dan Creative thinking and mind explorer, sekadar sebagai satu contoh bagi memahirkan pelajar meneroka dan menguasai bahasa Inggeris. Subjek-subjek ini seharusnya tidak dibebankan dengan tuntutan peperiksaan, sebaliknya bersifat pengamalan langsung yang dilakukan secara aktif.

Ternyata dalam kes cadangan penginggerisan Sains dan Matematik ini memperlihatkan kerendahan kredibiliti Musa Mohamad sebagai Menteri Pendidikan, terutamanya dalam mengeluarkan pelbagai kenyataan yang penuh dengan kekeliruan! Musa Mohamad juga dikatakan (secara tersirat) bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan dapat mempertingkatkan pencapaian pelajar. Jika ini andaiannya, ternyata Musa Mohamad cuba menyalahkan bahasa Melayu sebagai punca kelemahan pelajar dalam kedua-dua subjek Sains dan Matematik. Apakah Musa Mohamad mampunyai data kukuh untuk membuktikan akan hal ini? Juga, dikatakan oleh Musa Mohamad bahawa penginggerisan Sains dan Matematik tidak mengancam kedudukan bahasa Melayu. Dalam hal ini memperlihatkan kedangkalan corak berfikir Musa Mohamad. Bukankah dengan menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa inggeris itu sendiri sudah merupakan satu ancaman kepada bahasa Melayu? Bukankah secara tidak langsung menidakkan peranan bahasa Melayu dalam proses penataran ilmu Sains dan Matematik? Dan ini bermakna menghakiskan skala keyakinan terhadap kedudukan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga sebagai bahasa Ilmu.

Apakah dalam hal ini Musa Mohamad tidak percaya bahawa bahasa Melayu mempunyai kekuatan sebagai bahasa Ilmu? Agak pelik bagaimana Musa Mohamad gagal melihat unsur-unsur ancaman terhadap bahasa Melayu, bahkan dilihat dari aspek pengajaran dan pembelajaran, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi itu sendiri, telah mengurangkan dengan ketara akan peranan bahasa Melayu dalam pengendalian proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam subjek-subjek berteraskan Sains dan Matematik. Bahkan kajian-kajian akademik, khususnya dalam bidang Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan terus pupus. Apakah jaminan Musa Mohamad bahawa kajian-kajian akademik seumpama, "Infeksi Virus Hepatitis B di Malaysia: Dari Segi Biokimia dan Biologi Molekul, Simbiosis Antara Sistem Nilai Dengan Tabii Matematik, Kesan Dadah Amina Simpatomimetik dan Tirotoksikosis Eksperimental Pada Kontraksi Otot Skelet, Diagnosis Pranatal Talasemia di Malaysia, Diseksi Immunositologik Sedimen Urin Menggunakan Antibodi Monoklonal," akan terus wujud dalam medium berbahasa Melayu, setelah bertukarnya bahasa pengantar Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris? Dalam hal ini juga, sepatutnya Musa Mohamad dapat mengimbas kesannya dari aspek perbendaharaan kata Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu yang akan terus menguncup dan akhirnya akan lenyap.

Begitu juga keadaannya dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, akan terus terpinggir dengan kewujudan dominan budaya sosial berbahasa Inggeris. Keadaan ini sukar untuk dinafikan, bahkan dalam situasi sosial bahasa Melayu yang sedia wujud pun, sindrom memperlekehkan bahasa Melayu terus berleluasa, bukan sahaja di kalangan rakyat biasa tetapi juga di kalangan mereka berpangkat. Lihat keadaan sekeliling, adanya Mid Valley Megamall, Star Hill, KLCC, KL Central. Bahkan cuci kereta pun disebut/dipaparkan sebagai "carwash." Dalam konteks kelangsungan pendidikan, diperingkat peperiksaan awam UPSR, para pelajar akan mendudukan peperiksaan dengan pengantar bahasa Inggeris untuk tiga subjek (sains, matematik dan bahasa inggeris) hanya satu pengantar bahasa Melayu (bahasa melayu), SPM aliran sains, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi menggunakan pengantar bahasa Inggeris dan hanya tiga subjek berpengantar bahasa Melayu (Bahasa Melayu, Pendidikan Islam/moral dan sejarah). Realiti ini juga akan berterusan di peringkat matrikulasi yang hanya menggunakan satu sahaja pengantar bahasa Melayu (Kertas Am), begitu juga keadaannya di universiti, dengan hampir 1,000 kursus dalam bahasa Inggeris, apakah ini dikatakan tidak menjejaskan/mengancam kedudukan bahasa Melayu? Apakah ini maknanya bahasa Melayu masih lagi menjadi bahasa pengantar utama dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan? Dalam beberapa kes, menampakkan dengan nyata akan kekeliruan minda Musa Mohamad. Apakah ini sebenarnya "standard" jawapan seorang menteri yang dikatakan bekas ahli akademik?

Musa Mohamad sewajarnya menginsafi hakikat realiti yang berlaku terhadap bahasa Melayu di Pulau Singa, sebagaimana digambarkan oleh Jamal Tukimin dan dirakamkan oleh A.F Yassin, walhal bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Pulau Singa tersebut. "Jamal melihat bahasa Melayu begitu terabai sejak sekian lama. Jamal pernah mengalami momen-momen yang menyedihkan. Katanya dalam majlis yang yang dihadiri oleh 100 peratus orang Melayu, masih juga orang menggunakan bahasa Inggeris. Anak-anak muda Melayu tidak lagi petah berbahasa.

Pada satu ketika Jamal hadir dalam pertemuan seniman dan budayawan Melayu untuk membincangkan kegiatan seni di masjid, Jamal terpaksa "minta izin" bercakap dalam bahasa Melayu. Sebabnya hampir semua budayawan Melayu dalam pertemuan itu bercakap dalam bahasa Inggeris.

Katanya, "sebagai orang yang sudah berumur lebih 50 tahun, saya ragu-ragu apakah saya masih berada di kalangan penutur bahasa Melayu? Atau dengan lain perkataan, apakah saya tidak silap bahawa dikeliling saya hadir para seniman dan budayawan Melayu." Pengalaman ini mencerminkan keadaan penggunaan bahasa Melayu di kalangan orang Melayu." (Utusan Zaman. 15 September 2002)






______________________
Terbitan : 27 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com