Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Keadilan masih berdiri di tengah jalan

Oleh : Lee Ban Chen

Bak kata Hishamuddin Rais dalam suratnya kepada Pengarang Berita Keadilan: "Pendirian wajib diambil - panggillah sebuah cangkul sebuah cangkul, kita tidak perlu jadi lalang atau berdiri di tengah jalan - berdiri di tengah jalan akan dilanggar oleh dua hala kereta - kiri dan kanan."

Bagi Hishamuddin, mengambil pendirian tentang hudud/negara Islam tidak begitu sukar. Beliau sekaligus menolak negara Islam berdasarkan prinsip: "Menolak 'eksklusiviti' terhadap kumpulan, kelompok negara Islam - hanya yang Islam saja yang boleh memerintah, yang tidak Islam tidak mungkin. Untuk saya konsep ini tidak mungkin dapat saya terima". Prinsip beliau tegas dan jitu, selaras dengan "jalurnya yang berbeza".

Setelah 'perdebatan hangat' berjam-jam lamanya dalam mesyuarat tersebut pada 22 Ogos lalu, akhirnya Parti Keadilan Nasional mengambil satu pendirian mengenai Enakmen Jenayah Syariah (Hudud, Qisas dan Takzir) Kerajaan Negeri Terengganu, yang kemudiannya disusuli dengan kenyataan satu muka surat yang diedarkan kepada pemberita.

Kenyataan tersebut ditafsirkan oleh pemberita malaysiakini sebagai Keadilan 'tolak hudud', tetapi dikesali oleh timbalan presiden Keadilan, Abdul Rahman Othman sebagai tidak betul dan diminta supaya diperbetulkan laporan yang disiarkan. Interpretasi beliau ialah Keadilan sebaliknya telah menerima hudud.


Pelaksanaan hukum hudud

Bila menyiarkan pembetulan Abdul Rahman Othman tersebut, suatu nota editor turut disertai: "Laporan malaysiakini semalam dibuat berasaskan maklumbalas dari sumber-sember yang rapat dengan Keadilan selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu Khamis lalu.

"Menurut sumber-sumber tersebut, selaras dengan pendirian parti itu menyokong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, maka ia bermaksud Keadilan tidak menerima pelaksanaan hukum hudud PAS."

Nota editor tersebut adalah benar menurut perenggan ketiga kenyataan Majlis Pimpinan Tertinggi yang berbunyi: "Memperakui Keadilan secara umumnya menerima pakai Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial 1957."

Dalam laporan pembetulan Abdul Rahman Othman, sebaliknya ditegaskan: "Bersama-sama ini disertakan pendirian Parti Keadilan Nasional mengenai Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang dengan jelas menghormati langkah dan hak Negeri Terengganu dan Kelantan untuk melaksanakan enakmen berkenaan."

Penjelasan ini juga tidak palsu berasaskan perenggan ketujuh kenyataan Majlis Pimpinan Tertinggi yang berbunyi: "Menghormati langkah dan hak kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat kedua-dua negeri, untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah."

Penjelasan Abdul Rahman Othman tersebut diperkuatkan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Keadilan, yang menambah: "Keadilan percaya bahawa tiada Muslim yang boleh menolak Undang-Undang Syariah, termasuk hudud yang merupakan sebahagian daripada Syariah, kerana ianya selaras dengan kewajiban keagamaan orang-orang Muslim."

Mengambil jalan tengah

Dari analisis tersebut, pemberita malaysiakini dan Abdul Rahman Othman, kedua-duanya betul dan juga salah, mereka hanya berasaskan perenggan ketiga atau perenggan ketujuh yang padahal bercanggah antara satu sama lain.

Dengan perkataan lain, andainya "menerima pakai Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial 1957", maka "menolak hudud" adalah akibat sewajarnya; dan akibat "menghormati langkah dan hak kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah" dengan sendiri bermakna "menolak Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak sosial 1957"!

Kenyataan Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan sebenarnya cuba mengkompromikan dua pendirian yang bertentangan dan tidak dapat dikompromikan. Akhirnya dengan sedar atau tidak sedar, ia sekali lagi terjerumus kembali ke 'jalan tengah' lagi, suatu dilema yang cuba dilepaskannya.

Pendirian tersebut tentu sudah menghampakan naib presiden Keadilan, Tian Chua yang berpendapat: "Keadilan seharusnya mengumumkan satu kenyataan yang jelas bahawa kita tidak setuju dengan PAS memperkenalkan Hudud dan Qisas di Terengganu secara terburu-buru. Bagaimanapun, kita akan terus bekerjasama dengan PAS dalam satu pakatan bersama memperjuangkan demokrasi dan keadilan."

Pendirian tersebut juga bercanggah dengan pendirian Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang diutarakan oleh presidennya, Dr Syed Husin Ali dalam Kongres Nasional PRM ke-35, yang mengatakan PRM tidak bersetuju dengan sebarang usaha sesiapapun dan dari apa agama pun, untuk mewujudkan sebuah negara teokrasi, di mana sekumpulan elit politik yang berkuasa cuba memaksakan sistem serta nilai agamanya saja ke atas seluruh rakyat, termasuk rakyat yang berlainan agama.

Berlandaskan reformasi

Salah satu faktor kenapa Keadilan gagal melepaskan dirinya daripada dilema tersepit di 'jalan tengah' mungkin fahaman 'neo-taklidisme' (pengikut pandangan agama secara membabi-buta) yang dikemukakan oleh pengarang Berita Keadilan, Khalid Jaafar.

Khalid juga jenis yang "jalurnya berbeza" seperti Hishamuddin Rais. Beliau memberi dua contoh bagaimana sang reformis jangan bertaklid-taklidan. Contoh hujah pertamanya: "Kalau PAS berpendirian murtad itu dihukum mati, maka Keadilan jangan taklid dengan PAS dalam hal ini. Keadilan harus kekal dengan sifatnya sebagai parti pelbagai kaum, berlandaskan reformasi, dan memperjuangkan hak asasi manusia - yang termasuk di dalamnya kebebasan beragama - sehinga berputih tulang."

Bagi contoh keduanya, Khalid berkata: "Termasuk juga dalam agenda perjuangan Keadilan dan reformasi adalah gender equality (kesetaraan jantina). Justeru itu, mengapa kita perlu bertaklid dengan pendapat yang tidak memberikan persaman antara wanita dan lelaki sebagai saksi? Sheikh Syaltut juga berpendapat nilai kesaksian wanita dengan lelaki tidak berbeza."

Beliau telah membentangkan satu kertaskerja yang dianggap 'berat' di kalangan pimpinan pusat Keadilan, menggesa parti mengambil pendekatan "Madrasah al-ra'yu" yang melihat maslahah, atau kepentingan rakyat sebagai matlamat syariat. Dalam urusan duniawi, persoalan kenegaraan dan kemasyarakatan, tujuan atau maqasid perlu diutamakan dari bentuk lahiriah.

Menurut beliau, gesaan yang sama, sebelum ini, telah dibuat oleh Anwar Ibrahim kepada masyarakat Islam Asia Tenggara dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia.

Fahaman berbeza

Kegagalan parti Keadilan untuk melepaskan parti itu daripada dilema berdiri di tengah jalan pada masa ini, memperlihatkan kesukaran parti bersifat pelbagai kaum dalam menangani isu yang berunsur sentimen kaum/agama seperti hudud dan negara Islam dalam suasana keagamaan yang kian tebal sekarang.

Ia bukan saja melibatkan pandangan dan pendirian yang berbeza mengikut kaum dan agama yang berlainan; ia juga melibatkan pandangan dan pendirian yang berbeza mengikut set minda, aliran fahaman dan mazhab yang berlainan dalam sesuatu kaum dan agama.

Dalam keadaan ini, semua pihak yang tidak berpengalaman, tetapi nekad untuk mencari persamaan, persefahaman dan penyelesaian dalam kepelbagaian, malah percanggahan fahaman, kepercayaan dan nilai, bukan sahaja memerlukan kesabaran, sikap dan minda yang terbuka, hormat-menghormati, dan sudi berkompromi.

Malah, ia ia juga hendaklah diasaskan kepada beberapa prinsip yang diakur dan sanjung oleh semua pihak terbabit, umpamanya prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesetaraan kaum, hak minoriti dan hak perlembagaan semua kaum.

Jika parti Keadilan masih berpegang kepada sifat dan falsafah politik kepelbagaian kaum, ia perlu membuktikan pimpinan parti itu berkemampuan untuk menangani isu yang bersentimen kaum/agama seperti Hudud dan Negara Islam.

Jatuh bangun parti itu, malah jatuh bangun Barisan Alternatif (BA) bergantung kepada sama ada parti itu sanggup melepaskan dirinya daripada dilema berdiri di tengah jalan!






______________________
Terbitan : 8 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com