SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun TEKS PERBAHASAN BELANJAWAN TAMBAHAN KALI KETIGA 2002
TEKS PERBAHASAN BELANJAWAN TAMBAHAN KALI KETIGA 2002 Tuan Yang Di Pertua Saya mengucap terima kasih diatas peluang yang diberikan untuk membahas belanjawan tambahan kali ke-3 tahun 2002. Kita baru sahaja menyambut hari keMerdekaan yang ke 45 pada 31hb. Ogos baru-baru ini. Rakyat telah memberi mandat kepada Perikatan dan Barisan Nasional pimpinan UMNO untuk memerintah negara selama 45 tahun. Daripada 45 tahun ini 23 tahun lebih dipimpin oleh 3 Perdana Menteri iaitu Almarhum YAM Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn. 21 tahun lebih atau 22 tahun lagi diperintah oleh seorang Perdana Menteri iaitu Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Kubang Pasu. Apabila beliau letak jawatan pada bulan Oktober tahun hadapan, itu pun kalau dia berpegang kepada janji beliau yang boleh atau tidak dipakai itu terpulang hanya kepada beliau seorang sahaja, orang lain tak boleh buat apa, maka genaplah negara di pimpin oleh UMNO selama 46 tahun. 23 tahun dipimpin oleh 3 Perdana Menteri dan 23 tahun lagi oleh seorang Perdana Menteri. 46 merupakan tahun keramat bagi UMNO, iaitu ia merupakan tahun penubuhan UMNO pada 1946. Nampak pada gayanya sejarah UMNO kemungkinan juga tamat memerintah negara ini setelah diberi mandat selama 46 tahun InsyaAllah. Tuan Yang di Pertua, Belanjawan tambahan biasanya di bentangkan atas dua sebab sahaja. Pertama, ialah untuk mendapat mandat dari parlimen bagi mengeluarkan perbelanjaan dalam kecemasan atau yang tidak dijangkakan akibat daripada bencana atau malapetaka seperti banjir, kebakaran, kemarau, kerosakan hasil pertanian dan perkara-perkara yang tidak disangka-sangkakan berlaku. Walaubagaimanapun setakat ini kerajaan tidak pernah membentangkan belanjawan tambahan kerana bencana atau malapetaka. Keduanya, belanjawan tambahan dibentangkan kerana kelemahan dalam membuat anggaran yang tepat keperluan jangkaan perbelanjaan masa hadapan kerajaan. Dalam kata lain belanjawan tambahan dibentangkan kerana kelemahan perancangan, ketidakupayaan membuat ramalan yang tepat pertumbuhan ekonomi, kelemahan membuat anggaran keperluan perbelanjaan dan dalam banyak perkara disebabkan ketidakcekapan, penyalahgunaan kuasa, dan rasuah dalam proses pelaksanaan program dan projek. Sebagai contoh oleh kerana penjanaan pertumbuhan ekonomi negara besar bergantung kepada perbelanjaan kerajaan maka sekirannya kerajaan tersilap dalam membuat anggaran belanjawan maka Belanjawan Tambahan terpaksalah digunakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Akhir-akhir ini ada satu lagi alasan kenapa kerajaan membentangkan belanjawan tambahan. Alasannya ialah untuk menampong perbezaan perbelanjaan yang dianggarkan oleh kerajaan dalam pelaksanaan sesuatu projek dan tuntutan yang dibuat oleh kroni kapitalis sepertimana yang terdapat dalam belanjawan tambahan kali ini, iaitu projek seperti Projek Bakun, Keretapi Tanah Melayu dan pembinaan sekolah-sekolah baru, pembesaran sekolah-sekolah sedia ada, pembinaan kolej komuniti dan sebagainya. Apakah belanjawan tambahan kali ini merupakan peruntukkan 'rasuah' yang akhir-akhir ini menjadi sebab utama peningkatan yang begitu ketara dalam perbelanjaan awam melalui pembentangan belanjawan tambahan. Sebagai contoh kerajaan mungkin menganggarkan pembinaan sebuah sekolah baru berjumlah RM15 juta tetapi apabila diberi kontrak kepada kroni kapitalis ia berharga RM40 juta. Pembinaan satu kilometre jalanraya mungkin dianggarkan oleh kerjaaan berjumlah RM6 juta tetapi apabila di beri kontrak kepada kroni kapitalis ia berharga RM10 juta. Dan jalan yang dibina melalui kawasan Menteri Besar Selangor merupakan jalan yang paling mahal pernah dibina dalam negara. Ada juga kawasan pilihanraya baru yang akan digazetkan iaitu Putrajaya yang pembangunannya dibiayai oleh Petronas sebanyak RM22 billion hanya mempunyai pengundi berdaftar seramai 85 orang sahaja sedangkan 25% daripada penduduk negara berada dibawah paras kemiskinan sepertimana yang ditakrifkan oleh kerajaan sendiri. Ini menunjukkan bahawa belanjawan tambahan yang dibentangkan hanya untuk kepentingan dua tiga kerat kroni kapitalis sahaja. Tuan Yang di Pertua, Setiap malam RTM dan TV Tiga Suku menyiarkan keadaan buruk dan menyedihkan yang melanda orang Melayu di Kelantan yang hidup tanpa keperluan asas seperti rumah, air dan elektik. Kerajaan Pusat menuduh Kerajaan Negeri mengabaikan tanggongjawab mereka. Tetapi bukankah ini merupakan tanggongjawab Kerajaan Pusat sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Jadual 9 dimana kerajaan negeri menyerahkan hak mengutip cukai kepada Kerajaan Pusat bagi memastikan masaalah kemiskinan dapat dibasmikan disetiap negeri dalam Persekutuan secara menyeluruh dan berkesan. Semenjak 1948 lagi tanggongjawab membasmi kemiskinan ini merupakan tanggongjawab Kerajaan Pusat dan tidak pernah dipertanggongjawabkan kepada Kerajaan Negeri. Apabila Kerajaan Negeri menyerahkan hak mengutip cukai kepada Kerajaan Pusat maka pengurusan dan pentadbiran socio-ekonomi rakyat dapat dipertingkatkan dengan secara brkesan dan menyeluruh. Namun begitu kerajaan pusat mengutip cukai tetapi mengabaikan tanggongjawab mereka dan tidak melaksanakan kewajipan sepertimana yang dituntut oleh Pelembagaan Negara. Jadi apa yang disiarkan oleh RTM dan TV 3 mengenai keadaan rakyat di Negeri Kelantan kalaulah benar hanyalah merupakan pendedahan kelemahahan diri sendiri atau membuka pekong didada. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat tidak perihatin kepada permasaalahan kemiskinan yang dihadapi oleh orang Melayu yang kononnya selama ini dilaungkan oleh UMNO itulah yang diperjuangkan mereka. Ia juga menunjukkan bahawa memang sah kepimpinan negara tidak memahami Perlembagaan Negara atau sengaja RTM dan TV 3 cuba memburukkan Kerajaan Pusat secara tidak langsung. Begitu jugalah keadaannya di Pulau Pinang dimana Kerajaan Pusat menghentam Parti Gabungan atau rakan kongsi mereka sendiri yang mengabaikan nasib orang Melayu. Kerajaan yang tidak berupaya mengawasi rakan kongsi mereka sendiri bagi menyelesaikan keadaan sosial-ekonomi orang Melayu yang mengejutkan itu patut tidak disokong lagi oleh orang Melayu. Sekarang kenapa tidak ada satu sen pun peruntukkan dalam belanjawan tambahan kali ini bagi mengatasi masaalah kemiskinan yang dihadapi oleh orang-orang Melayu di Kelantan dan Pulau Pinang yang digembar-gemburkan oleh arus media perdana ini. Sekiranya benar kerajaan begitu prihatin kepada kebajikan mereka kenapa tidak cuba menyelesaikan masaalah ini melalui Belanjawan Tambahan ini yang sepatutnya bertujuan mengatasi masaalah-masaalah yang timbul akibat daripada kecemasan atau keadaan yang tidak dapat dikesan sebelum ini. Tuan Yang di Pertua, Apa tujuan sebenar Belanjawan Tambahan dibuat kali ini. Ia nampaknya bagi menampong peningkatan perbelanjaan yang dituntut oleh kroni kapitalis. Lihat sahaja kepada peruntukkan Kementerian Pendidikan sebanyak RM 3.4 billion. Sebahagian besarnya diperuntukkan bagi pembinaan sekolah-sekolah baru yang disegerakan. Begitu juga Kementerian Pengangkutan dan sebagainya semuanya berasaskan peruntukkan pembinaan dan pembiayaian perbekalan yang mementingkan tuntutan kroni kapitalis. Kebanyakan kontrak-kontrak sekarang ini tidak lagi ditenderkan dan diberi secara berpilih dikalangan kroni kepimpinan negara yang kebanyakannya terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional baik diperingkat Pusat, Bahagian mahupun cawangan. Sekarang rakyat tidak lagi dapat menilai samaada projek-projek ini dapat dijimatkan atau tidak kerana bagi setiap sen yang dijimatkan boleh juga digunakan bagi membiayai perkara-perkara seperti kebajikan rakyat termiskin dan kesihatan penduduknya. Siapa yang mendapat menafaat dalam Belanjawan Tambahan dalam suasana kegawatan ekonomi sekarang ini. Nampaknya kroni kapitalis kerana peningkatan peruntukkan perbelanjaan yang sediakan dalam belanjawan tambahan hanyalah untuk mereka. Orang Melayu Kelantan dan Pulau Pinang yang digembar-gemburkan menghadapi kesempitan kehidupan tidak sedikit pun diberi perhatian dalam belanjawan tambahan ini. Saya minta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan berapa banyak daripada peruntukkan yang dipohon untuk pembinaan sekolah-sekolah baru dan pembesaran sekolah-sekolah ini dibuat secara tender terbuka dan berapa banyak secara tertutup. Secara purata berapa ramai kontraktor yang mendapat kontrak projek-projek ini dan berapa purata nilai kontrak-kontrak tersebut. Saya percaya sebahagian kecil daripada kontraktor ini mendapat jumlah yang besar dan sebahagian besarnya pula mendapat jumlah yang kecil sahaja. Daripada peruntukkan belanjawan tambahan ini yang bernilai lebih daripada RM3.4 billion berapa banyak rakyat miskin baik di luar bandar maupun bandar mendapat menafaat. Apa yang menyedihkan hanya golongan kroni kapitalis sahaja yang dititikberatkan sedangkan rakyat terbanyak dibiarkan terabai. Peningkatan belanjawan ini hanyalah untuk memastikan golongan kroni kapitalis mendapat 'windfall profit' dengan izin yang mungkin bagi membiayai perbelanjaan pilihanraya yang akan berlangsung tidak lama lagi mungkin dalam Mac atau Jun tahun hadapan. Menteri mungkin akan menyatakan bahawa isu pembasmian kemiskinan, kedudukan orang Melayu Pulau Pinang dan sebagainya akan atau telah diambil kira dalam belajawan utama. Kalau sekiranya ia sudah diambil kira mengapa ia menjadi isu yang begitu besar sekarang ini kerana setiap isu yang dibangkitkan perlu diselesaikan melalui peruntukkan belanjawan baik yang utama maupun tambahan. Apatah lagi isu kemiskinan rakyat Kelantan dan Pulau Pinang ini diungkitkan oleh Kerajaan Pusat sendiri. Apakah kerajaan mengkritik dirinya sendiri kerana ketidakcekapan dan ketidaktanggonjawaban mereka dalam melaksanakan tuntutan Perlembagaan Negara yang menggariskan tanggongjawab membasmi kemiskinan adalah tanggonjawab kerajaan Pusat bukannya Kerajaan Negeri. Ia seolah-olah membuka pekong sendiri atau dalam pepatah Inggeris 'The Government is shooting at its own feet" dengan izin. Berbalik semula dengan isu perencanaan, perancangan, dan amalan rasuah setiap kali Belanjawan Tambahan melebihi 5 % daripada Belanjawan Asal ini bermakna sistem perancangan dan perencanaan kerajaan sudah kaput. Setiap kali ada Belajanwan Tambahan kemungkinan besar ia adalah kerana ada perbezaan diantara anggaran yang dibuat oleh kerajaan dan tuntutan yang dibuat oleh kroni kapitalis hasil daripada peningkatan kos yang kemungkinan besar disebabkan oleh rasuah. Saya ingin minta penjelasan daripada kerajaan sejak Belanjawan Tambahan dikemukakan kedewan yang mulia ini berapa kali ia melebihi 5% . Apakah ini bermakna kerajaan sudah tidak efisien atau tidak bersungguh dalam membendung kegiatan rasuah. Lebih besar permohonan Belanjawan Tambahan maknanya lebih tinggi kadar rasuah yang berlaku dalam tahun tersebut. Apa yang kita lihat hari ini ialah kita mempunyai kerajaan yang tidak bertanggongjawab, membazir, menyalahgunakan kuasa dan rasuah semenjak sekian lama. Sudah sampai masanya perubahan perlu dibuat secara besar-besaran dalam pengurusan belanjawan negara. Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan setelah memecat Menteri Kewangan yang lepas kita mengharapkan keadaan akan berubah. Kita mengharap proses pengurusan Belanjawan bertambah baik. Tetapi yang jelas belanjawan tambahan makin meningkat dan menjadi-jadi sehingga pada tahun lepas sahaja mencecah lebih daripada 40% daripada belanjawan asal dan untuk tahun ini sahaja pula melebihi 10%. Apakah ini sahaja alternatif yang ada bagi kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi. Lebih besar pergantungan kepada kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi maka lebih besarlah peluang kroni kapitalis mendapat projek. Janji untuk membentang Belanjawan Sifar dan Lebihan tidak pernah menjadi kenyataan. Wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan rakyat dirampas bagi membiayai projek-projek mega seperti Putrajaya, Empangan Bakun, kelengkapan ketenteraan dan sebagainya kerana projek-projek sebegini menguntungkan dua tiga kerat kroni kapitalis. Lebih banyak kerajaan bergantung kepada belanjawan tambahan dan defisit untuk menjana pertumbuhan maka lebih banyaklah pinjaman dan pengeluaran bond akan dibuat untuk membiayai perbelanjaan ini. Ini akan memberi tekanan kepada negara dalam keupayaannya untuk membayar balik hutang-hutang apatah lagi dalam keadaan kemerosotan produktiviti dan kesengitan persaingan antarabangsa sekarang. Kedudukan negara hari ini mungkin masih selesa kerana hasil Petroleum yang dikeluarkan daripada perut bumi Negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak tetapi ia tidak akan berkekalan dan akan habis dalam masa tidak sampai 10 tahun lagi. Apabila rizab petroleum ini habis maka negara akan menghadapi kegawatan kewangan yang amat membimbangkan dan mungkin apa yang berlaku keatas Argentina akan berlaku juga kepada negara ini yang lumpuh akibat berhutang terlalu besar. Saya harap kerajaan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Argentina supaya tidak berulang di Malaysia yang saya rasa sudah agak terlewat.. Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan kita mengharap kerajaan berupaya mengawal dan memberi penekanan kepada penyelesaian masaalah kemiskinan baik dibandar maupun di luar bandar. Tetapi apa yang berlaku pertumbuhan ekonomi makin mengucup atau merosot dan paras kemiskinan meningkat dan makin ramai orang tidak berpeluang mendapat pekerjaan. Kerajaan sendiri menganggarkan 15 % daripada penduduk berada dibawah paras kemiskinan semasa pertumbuhan ekonomi berada dikemuncak. Dalam keadaan ekonomi sekarang saya jangkakan sekurang-kurangnya 25% daripada penduduk mempunyai pendapatan dibawah paras kemiskinan sekarang. Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan kita mengharapkan masaalah pendidikan dapat diselesaikan. Tetapi apa yang kita lihat perselisihan tercetus dikalangan rakan gabungan parti memerintah sendiri iaitu Barisan Nasional yang tidak bersetuju dengan dasar yang diputuskan oleh Perdana Menteri sehingga membuat keadaan bercelaru dan kucar-kacir. Dalam beberapa peristiwa Polis terpaksa dikerahkan untuk menekan mana-mana pihak atau kumpulan yang mendesak perubahan dibuat menandakan pendidikan sudah menjadi isu keselamatan dan perlu dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri dan tidak lagi dibawah Kementerian Pendidikan. Kumpulan atau orang perseorangan yang menyuarakan pendapat untuk kepentingan negara dilabel sebagai "Pelampau" dan diugut dengan tahanan ISA. Sepertimana yang selalu berlaku apabila Perdana Menteri menglabel seseorang atau kumpulan sebagai "Pelampau" maka penjaralah tempat yang akan ditempatkan bagi mereka. Seolah-olah kerajaan berupaya memerintah hanya melalui ugutan dan paksaan termasuk pelaksanaan dasar pendidikan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri sendiri. Kerajaan sudah tidak lagi mempunyai idea yang kreatif dan inovatif untuk mengurus dan menyelesai masaalah-masaalah yang dihadapi negara sekarang. Mereka yang melakukan rasuah dan menyalahgunakan kedudukan dalam kerajaan bebas dan terus menjadi Menteri dan mereka yang melaporkan salahlaku mereka dipenjarakan. Tanggapan masyarakat baik tempatan maupun antarabangsa ialah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyokong dan mendokong sebuah Kerajaan yang korup yang ditafsirkan oleh pegawai pendakwaraya yang hari ini sudah menjadi Peguam Negara. Sepatutnya mereka yang terlibat ditahan dan didakwa atau Peguam Negara patut dipecat kerana mengabaikan tanggongjawabnya. Melainkan isu-isu seperti ini diselesaikan, negara berhadapan dengan penghakisan keyakinan dalam sistem kehakiman negara ke tahap dimana pelabur tempatan dan asing tidak lagi bersedia untuk melabur dalam ekonomi negara. Mereka tidak dapat menjangkakan apa yang benar dan apa yang salah. Daripada memulih semula keyakinan sistem kehakiman kerajaan terus memperkudakannya sehingga merosot ketahap paling rendah dalam sejarah 45 tahun merdeka. Kita menyaksikan keadaan yang menakjubkan dimana rasuah dipertahan dan diberi ganjaran sedangkan orang yang mendedahkannya berdasarkan dokumen Kerajaan sendiri dipenjarakan dua tahun. Sistem kehakiman kita sudah tunggang terbalik dan tidak dapat lagi membezakan diantara yang hak dan yang bathil dan tidak lagi dihormati oleh masyarakat baik tempatan maupun antarabangsa. Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan kita mengharapkan pelaburan baik tempatan maupun asing meningkat. Tetapi daripada jawapan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian dalam Dewan yang mulia ini pada minggu lepas menunjukkan pelaburan asing dan tempatan merosot dengan teruknya bagi tujuh bulan pertama tahun ini. Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan kita mengharapkan masaalah pengangguran dikalangan lepasan Institiut Pengajian Tinggi dan Universiti diselesaikan. Tetapi apa yang berlaku disebaliknya. Peluang pekerjaan makin berkurangan dan kerajaan tidak membuka ruang untuk kemasukan mereka ke dalam Perkhidmatan Awam. Secara keseluruhannya dengan Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan kedudukan ekonomi tidak juga pulih malah makin teruk dan parah. Mungkin Perdana Menteri terlalu sibuk dengan persiapan sayonara yang telah ditetapkan beliau dan dalam keadaan masa depan yang tidak menentu kita tidak boleh mengharapkan beliau memberi perhatian sepenuhnya kepada masaalah ekonomi negara. Mungkin perhatian lebih ditumpukan kepada "Danaharta", "Danamodal", "Danasaham", Petronas dan sebagainya dimana kerajaan menggunakan segala sumber kewangannya untuk menyusun semula hutang-hutang kroni kapitalis melalui proses pengambilanalih hutang swasta menjadi hutang negara. Kerajaan sendiri mengesahkan bahawa hutang sebanyak hampir RM54 billion milik swasta dan orang perseorangan telah diambilalih kerajaan. Saya ingin mendapat penjelasan berapa banyak sumber kerajaan termasuk agensi-agensi kerajaan seperti Telekom, Petronas, Tenaga Nasional dan sebagainya yang telah digunakan dalam penyususnan semula hutang sektor swasta termasuk RM54 billion ini. Bagaimana hutang MAS, Renong dan sebagainya dibiayai. Inilah yang saya katakan bahawa sumber kewangan negara telah digunakan untuk menyelesaikan masaalah kroni kapitalis daripada digunakan untuk kebajikan rakyatnya. Kroni kapitalis mendapat perhatian yang lebih besar daripada rakyat terbanyak. Walaubagaimanapun tindakan menyelamat kroni kapitalis tidak dilaporkan dalam belanjawan negara. Oleh yang demikian agak sukar untuk mendapat gambaran sebenar kedudukan hutang dan harta milik negara sekarang. Kerajaan cuba menyembunyikan maklumat ini dari pengetahuan umum. Jadi saya cadangkan Kerajaan melaporkan kepada Parlimen semua hutang swasta dan orang perseorangan yang diambilalih kerajaan. Semua perbelanjaan Off-Budget kerajaan perlu dibentangkan juga dalam parlimen ini. Dengan ini rakyat boleh menilai keadaan sebenar kedudukan ekonomi negara dan keupayaan kerajaan menjana pertumbuhan ekonomi.. Sekiranya kita meneliti semua wang yang digunakan untuk menyelamatkan kroni kapitalis jumlahnya lebih kurang sama dengan jumlah keseluruhan Belanjawan tahun 2001. Ini menunjukkan Menteri Kewangan sanggup memperuntukkan jumlah yang begitu besar dalam penyususnan semula hutang kroni kapitalis daripada menyediakan peruntukkan untuk kebajikan rakyat keseluruhannya. Ini bermakna kerajaan semenjak pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan telah menumpu segala tenaganya untuk menyelamat kroni kapitalis daripada menyelesaikan masaalah rakyat. Kerajaan menuduh semua orang salah termasuk menuduh orang Melayu tidak bersungguh, tidak bersyukur, mudah lupa dan sebagainya, Kerajaan Kelantan kononnya mengabai tanggongjawab menyelesai masaalah kemiskinan, pemimpin Melayu kononnya menyeleweng daripada akidah dan pelbagai masaalah lagi yang direkacipta untuk mengalih pandangan rakyat dari membicarakan masaalah sebenar yang dilakukan oleh kepimpinan negara hari ini iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berleluasa dan bermaharaja lela yang melibatkan wang rakyat berpuluh atau mungkin beratus billion ringgit. Kerajaan menggunakan media dan pelbagai teknik canggih untuk mengalih pandangan rakyat daripada membicara permasaalahan sebenar yang dihadapi negara. Saya tidak hairan Rang Undang-undang Kesalahan Piliharanraya dipinda dan diluluskan minggu lepas yang memperuntukkan seksyen 4A ialah untuk melindungi penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilakukan oleh kepimpinan negara hari ini dari diketahui umum. Mungkin inilah sebabnya Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan bagi menyelesaikan masaalah kewangan peribadi kroni kapitalis daripada menyelesaikan masaalah negara yang telah saya perjelaskan sebelum ini. Hingga hari ini tiada seorang pun didakwa atas penyelewengan kewangan dan rasuah dalam syarikat-syarikat yang gagal dan terpaksa diambilalih kerajaan. Berlainan dengan Amerika Syarikat dimana pegawai-pegawai World Com dan Enron dihadapkan kemuka pengadilan. Di Malaysia kroni kapitalis mendapat imbuhan dengan mengeluarkan wang beratus juta ringit daripada syarikat mereka serta dihadiahkan dengan kereta mewah dengan harga RM 1 sebagai ucapan selamat jalan kepada syarikat yang mereka selewengkan. Adakah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan melindungi kroni-kroni kapitalis ini yang telah menghisap darah negara sekian lama dan sekarang bebas sebebasnya tanpa diambil sebarang tindakan. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan mencadangkan pemandu teksi yang kebanyakkannya terdiri daripada bekas tentera dan polis yang telah banyak berjasa kepada negara 'ditembak' kerana mengkhianati negara. Bukankah cadangan ini lebih sesuai ditujukan kepada kroni kapitalis yang menggunakan wang rakyat berbillion ringgit untuk menyelesaikan masaalah hutang mereka. Kroni kapitalis inilah sebenarnya pengkhianat bangsa dan Negara bukannya pemandu teksi yang mencari makan untuk kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tuan Yang diPertua, Kita sebenarnya berhadapan dengan keadaan suasana ekonomi yang mencemaskan yang perlu difahami oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum. Hala-tuju dan pemikiran negara mungkin bercelaru. Kerajaan Amerika Syarikat memberi isyarat jelas kepada negara dengan menutup kedutaannya di Kuala Lumpur pada 11 September baru-baru ini. Kita disyaki terlibat dalam perancangan serangan 11 September dan mungkin orang yang terlibat itu dikehendaki oleh kerajaan Amerika Syarikat. Sekiranya ada bukti penglibatan beliau dan diminta melalui proses perudangan yang sah maka kerajaan perlu menyerahkan beliau untuk dibawa kemuka pengadilan. Sebagaimana kita tidak menyokong keganasan maka kerajaan juga tidak patut melindungi pengganas. Mengapa kerajaan begitu bersungguh-sungguh melindungi orang yang disyaki ini sedangkan kerajaan begitu pantas dalam tindakannya dalam membenteras kononnya kegiatan keganasan. Akhbar seluruh dunia telah membuat liputan akan kemungkinan penglibatan seorang rakyat Malaysia dalam peristiwa serangan 11 September ini. Sekirannya kerajaan melindungi orang yang disyaki ini maka kerajaan mungkin dikaitkan sama terlibat dalam peristiwa ini. Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang rational daripada membuat keputusan yang merugikan negara. Tuan Yang di Pertua, Ingin dinyatakan bahawa parti Keadilan mendokong hak setiap rakyat mendapat pengadilan yang adil dan saksama. Ratusan penyokong dan pendokong Keadilan dan Barisan Alternatif telah ditahan, dipenjara, diseksa, dipukul, ditendang, di'turnover'kan dan pelbagai kekejaman lagi oleh polis termasuk saya sendiri yang kena tahan juga. Dalam keadaan sebegini pun kita memanggil negara kita negara demokrasi ala nilai Asia. Walaupun demikian kami tidak akan menyerah prinsip demi menegakkan keadilan.. Walaupun terpaksa membayar dengan harga yang mahal namun harapan untuk melihat kemunculan Malaysia Baru yang adil dan saksama akan menjadi kenyataan satu hari nanti. InsyaAllah.Kita menghadapi keadaan yang gelap dan ketidaktentuan yang merupakan halangan terbesar kepada kemajuan ekonomi negara. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penahanan pemimpin-pemimpin Keadilan dan Reformasi adalah tidak sah dan bertentangan dengan peruntukkan perundangan negara dan dibuat dengan niat jahat atas alasan keselamatan negara. Penahanan mereka adalah semata-mata atas sebab politik dan tidak ada kena-mengena langsung dengan keselamatan negara. Kerajaan juga mengkhianati jaminan yang dibuat oleh Perdana Menteri Kedua dahulu dalam Parlimen ini bahawa ISA tidak sekali-kali digunakan untuk tahanan politik . Dengan keputusan mahkamah ini bermakna kerajaan berbohong dan tidak lagi patut dipercayai dan disokong oleh rakyat negara ini. Walaupun keputusan mahkamah sudah dibuat kerajaan masih enggan membebaskan mereka dengan menggunakan alasan perundangan yang pelik-pelik. Saya memohon kerajaan menimbang semula keputusannya secara bijaksana dan waras yang sekiranya masih berdegil boleh menghakis keyakinan masyarakat perniagaan dan pelabur baik tempatan maupun antarabangsaa untuk melabur dalam negara. Ini akan melumpuhkan ekonomi negara. Jadi saya menyatakan bahawa kemerosotan ekonomi negara adalah hasil daripada tindakan kerajaan. Tiada negara yang boleh bergerak maju dengan jayanya sekiranya mereka tidak dapat membezakan diantara yang hak dan yang bathil berlandaskan nilai-nilai Al-Quran dan Sunnah Rasullullah s.a.w. yang selari dengan keadilan sejagat. Fungsi kerajaan ialah membantu pembangunan rakyatnya bukan menindas mereka melainkan negara diperintah oleh seorang diktator. Saya lebih suka menyatakan bahawa Malaysia hari ini sudah menyeleweng, tersalah urus dan tersilap arah yang semuanya disebabkan kesilapan dalam pertimbangan kepimpinan negara. Sekian terima kasih.
YB Abd Rahman bin Yusof
Diterbitkan oleh : |