SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Belanjawan 2003 Umpama 'Umpan' Dihujung Mata PancingSemua sudah tahu tentang Belanjawan Negara 2003 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada petang 20 September, 2002 hari Jumaat. Pembentangan kali ini tidak seperti Belanjawan Negara sebelum ini yang kebiasaannya dibentang di Parlimen pada bulan Oktober. Mungkin Menteri Kewangan kali ini yang juga merangkap seorang PM ingin melihatkan dirinya lebih ke depan dan cemerlang di mata rakyat yang sudah meluat terhadap dirinya, kecuali segelintir mereka yang masih bergantung hidup dan nyawa pada batang tubuh yang sudah dimakan usia itu. Siapa mereka itu? pasti kaki-kaki ampu, bodek dan jongos-jongos UMNO/BN. Seluruh rakyat bersyukur kerana kita bukan negara miskin. Kita sebenarnya mempunyai segala macam nikmat yang dikurniakan Allah di bumi Malaysia ini. Kita berterima kasih kepada kerajaan yang baik dalam mengurus dan mentadbir kewangan rakyat secara telus dan beramanah. Berdasarkan angka-angka besar ratusan juta atau berbillion-billion yang disebut dalam belanjawan kali ini yang diagih-agihkan kepada semua rakyat melalui institusi-institusi, kementerian, organisasi, kerajaan negeri dan sebagainya. Nampak secara kasar penyaluran harta rakyat yang diuruskan oleh kerajaan UMNO/BN di atas kertas adalah bagus dan telus. Bagaimana dari segi perlaksanaannya. Apakah ia dilakukan dengan seamanah mungkin, sebaik-baik mungkin, setelus-telusnya atau dilakukan sesempurna mungkin. Apakah seluruh rakyat akan dapat menikmati semua agihan dalam belanjawan kali ini secara adil, tanpa mengira siapa, apa status rakyat, apakah mereka penyokong UMNO/BN atau parti pembangkang. Kepercayaan 'Karut' UMNO/BN Mencengkap Pemikiran Rakyat Dalam keadaan politik rakus, tamak dan tidak demokratik di Malaysia yang masih didominasi secara angkuh oleh UMNO/BN. Kita hanya seperti orang bermimpi untuk merealisasikan sebuah makna keadilan dalam kehidupan rakyat Malaysia. Tidak mungkin rakyat dapat menikmati erti keadilan sebenar itu selagi UMNO/BN terus berkuasa dalam politik Malaysia, kerana mereka para pemimpin UMNO/BN dari atas hingga ke pemimpin bawah cawangan UMNO/BN sudah ditanam dan diajarkan ilmu salah tentang erti keadilan dalam kehidupan rakyat. Sokong UMNO/BN dapat habuan, dapat RM, dapat projek itu ini, dapat bonus, dapat memuja-muji pemimpin dan macam-macam. Sokong pembangkang, rasailah derita...mintalah pada parti pembangkang yang kamu sokong... Erti demokrasi pun sudah diselewengkan ikut selera UMNO/BN. Demokrasi bila sokong UMNO/BN. Sokong parti lain atau pembangkang tiada lagi demokrasi. Inilah yang ditanam ke dalam benak pemikiran rakyat, sehingga rakyat terutama pengikut UMNO/BN menjadi tolol dan bebal, lebih tolol dan bebal dari orang yang sedia tolol bebal. Kerana itu, tidak mustahil bila ada orang-orang UMNO/BN sama ada yang bertaraf pemimpin atau ketua cawangan sekalipun yang berfikiran bahawa Belanjawan 2003 adalah untuk penyokong UMNO/BN sahaja. Bukan untuk penyokong selain UMNO/BN. Inilah virus-virus yang menyerang pemikiran rakyat Malaysia. Mereka hanya percaya bahawa adil bila sokong UMNO/BN, demokrasi bila undi UMNO/BN. Sokong parti lain tiada apa-apa yang boleh mereka dapat, kecuali tekanan dan asakan dendam para pemimpin atau kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN. Sokong pembangkang bererti huru-hara dan semacam rakyat berbuat dosa lebih besar dari dosa syirik yang disebut dalam al-Qur'an sebagai sebesar-besar dosa dan kezaliman. Belanjawan Bagai 'Umpan' Dihujung Pancing Walaupun seluruh pemimpin UMNO/BN dan ahli-ahli gurkha UMNO/BN memuji-muji belanjawan 2003 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebagai mesra rakyat, bagus dan terbaik. Itu hak mereka untuk mengampu dan memuji ketua mereka yang kebetulan menjadi Menteri Kewangan merangkap PM sekaligus. Sebab kritik atau kata tidak baik, nahas...pecat atau letak jawatan. Baik atau tidak mesti ampu, bodek dan puji melangit. Berbeza dengan pandangan sebahagian pemimpin pembangkang, mereka melihat dengan kaca mata ilmu, kerana itu ada yang mengkritik secara membina bukan hentam buta tuli dalam beberapa bahagian dari belanjawan kali ini dengan hujahan yang lebih jelas dan patut difikirkan oleh kerajaan yang berkuasa sekarang. Seperti bab hutang negara, kebajikan rakyat terbanyak, keadilan agihan ekonomi dan lain-lain. Kerana manusia tidak semua perfect dalam kerja buat mereka. Maka dalam belanjawan 2003 juga terdapat macam-macam bentuk kekurangan dan kelemahan yang mungkin tidak disedari oleh pembuat belanjawan. Tetapi kelihatan oleh rakyat lain contohnya kritikan membina pembangkang dalam perkara-perkara utama dalam belanjawan itu seharusnya diterima baik oleh kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN. Pemimpin UMNO/BN tidak wajar mengangkuhkan diri mereka bahawa hanya mereka yang bijak membuat belanjawan, orang lain tidak tahu. Kenapa belanjawan 2003 boleh diumpama 'UMPAN' dihujung mata pancing. Rakyat yang cerdik boleh menilai secara halus. Kita boleh menganalogi seorang tukang pancing yang memasang umpan dihujung matang pancingnya yang membengkong seperti huruf 'LAM' dan ada pula dihujung mata pancing itu jerangkap agar setiap ikan yang makan umpan akan melekat dipancing dan ikan dapat ditangkap kemudian dilahap semahu-mahunya oleh si pemancing. Ikan yang ditangkap tadi, ada yang dipanggang, direbus, digulai, disup dan macam-macam ikut kesukaan tukang pancing. Jangan lupa sebelum itu, apa nasib ikan pada mula-mula menyangkut di mata pancing, ikan diangkat melonjak ke atas udara oleh pemancing. Rasanya sungguh bertuah si ikan dapat dibawah melambung tinggi ke udara, kalau manusia seperti kita siapa yang tidak mahu diangkat ke jawatan setinggi-tinggi dalam masyarakat. Jangan Sampai Macam Nasib Si Ikan Jangan lupa, selepas ikan diangkat melonjak ke atas sekalipun ikan merasa 'gayat' atau takut juga kerana tidak biasa berada diudara sebegitu. Syok-syok diayunbuai tinggi-tinggi tiba-tiba ikan tadi akan dihempaskan pula ke atas tanah, apa anda rasa bila tubuh anda dihempas sebegitu rupa...Cuma kerana ikan tadi termakan UMPAN yang sedap lagi menyelerakan itu. Jangan lupa, selepas terhempas ke bumi. Apa nasib ikan yang termakan UMPAN itu seterusnya. Kalau ikan meronta-ronta melawan tuan pancing, nahas lagi...ikan akan dipukul mungkin ikut si tukang pancing, apakah dia seorang yang bertimbang rasa, kaki pukul, kaki panas baran atau watak-watak lain... Dan nasib seterusnya, ikan akan dibuka sisik dengan alat-alat besi, dikerat dan dipotong-potong ikut selera tuan pancing. Mungkin boleh dipotong sampai 18 potong. Macam bomoh potong YB UMNO di Pahang dulu. Ngeri dan mengerikan! Tapi hakikatnya itulah nasib ikan kerana ia telah diciptakan oleh Allah untuk menjadi habuan makanan kepada hamba-hamba-Nya seperti manusia. Rakyat Bukan Ikan Kita adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah sebaik-baik makhluk ciptaan-Nya. Kita dibekalkan dengan jiwa, akal dan nafsu. Kemudian dikurniakan pula hidayah, iman dan agama guna memandu kehidupan ini ke jalan yang selamat dan menyelamatkan. Justeru itu, gunakanlah kebijaksanaan kita untuk menilai dan menikmati segala rahmat Allah yang dicurahkan di bumi Malaysia ini. Belanjawan 2003 kita, walaupun ia seperti 'mesra rakyat' itu kata akhbar arus perdana yang menjadi lidah rasmi UMNO/BN dan juga kata para pemimpin UMNO/BN. Berdasarkan tiada cukai baru atau tiada kenaikan cukai. Rakyat yang bijak menilai dan menghalusi secara lebih terperinci isi kandungan belanjawan 2003 itu pasti mereka akan menemui segala macam kelemahan dan kekurangan dari segi roh atau jiwa belanjawan. Sekalipun angka-angka yang tercatat besar, hebat dan mega. Umpama jasad yang gah, besar dan nampak hebat dari segi fizikal, tapi dalaman atau roh dan jiwanya kosong, misalnya. Rakyat Jangan Membisu seribu Bahasa Kita berhak untuk bersuara, menyoal, mengkritik, menegur hatta untuk memperbetulkan segala kepincangan yang dilakukan oleh parti yang memerintah. Kerana itu, rakyat tidak harus takut untuk menyoal dan mengkritik pemimpin yang berlaku silap dalam pimpinan mereka, apa lagi dalam bab kewangan negara hak rakyat untuk tahu ke mana wang rakyat dibelanjakan, berapa hutang negara dan dari mana punca sebenar kewangan negara. Rakyat mesti menyoal, apa manfaat besar dari belanjawan ini kepada rakyat terbanyak. Akan bertambah makmurkah rakyat dengan belanjawan itu. Atau hanya segelintir haiwan ekonomi yang beruntung besar dari belanjawan itu seperti menteri-menteri UMNO/BN, ketua-ketua bahagian UMNO/BN, ahli-ahli korporat, tauke, ahli politik 'pengampu' kepada kepala penguasa 'elit' dan kroni-kroni atau suku sakat, anak bini, ipar duai, menantu dan kerabat terhampir sahaja. Kalau mahu jadi ikan juga, jangan jadi sembarangan ikan, tapi lebih baik jadilah ikan seperti ikan yang telan Nabi Yunus a.s. ketika Nabi kekasih Allah itu dicampak oleh kaumnya ke dalam lautan, kerana tidak sukanya mereka kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Yunus a.s., iaitu ikan nun. Yang menyelamatkan Nabi Allah dan kekasih Allah itu. Bermacam Habuan Dalam Belanjawan Orang Memancing Tidaklah ingin penulis menyenaraikan satu persatu habuan yang rakyat dapat dari belanjawan 2003 itu. Sebab semua sudah lihat dan meneliti kandungan belanjawan tersebut. Secara ringkasnya kita sudah tahu, sekian ribu si anu punca, sekian juta si anu punya, sekian billion untuk itu ini dan seterusnya. Ada orang kata belanjawan 2003 yang dibuat parti kerajaan yang dikepalai UMNO/BN sekadar menyusun angka-angka besar tanpa roh atau jiwa. Memang dari segi angka-angka itu boleh dituis-tuiskan mengikut kemahuan pemerintah. Kalau hukum Tuhanpun UMNO/BN berani tuis-tuiskan ikut selera pemimpin haprak mereka, undang-undang negara pun boleh ikut telunjuk mereka, inikan pula bab belanjawan yang dibuat setiap tahun, mereka sudah cukup mahir membikin apa juga angka kecil atau besar... demi untuk menyedapkan, mengenakkan telinga rakyat dan mengumpan rakyat. Adalah tidak begitu sukar untuk mereka membuat apa jua andaian... Yang penting selera pemimpin mereka dapat dilempiaskan, sambil rakyat melihatnya juga turut termelilih air liur betapa enaknya belanjawan kerajaan UMNO/BN yang disiar secara langsung di RTM (Radio Televisyen Mahathir). Siapa Kenyang, Siapa Dapat Sikit dan Siapa Tetap Lapar Bila Menteri Kewangan sekadar membaca dan melapor belanjawan, tidak dihayati dan difahami apa sebenarnya nilai angka-angka dalam belanjawan itu kepada rakyat dan negara keseluruhannya. Dengan kata lain ia sekadar dilaporkan, tanpa semangat dan roh untuk memperbaiki kerajaan rakyat, memakmurkan rakyat dan negara ini. Menteri sekadar cakap apa yang ditulis macam burung tiung diajar bercakap hilanglah segala nilai kebenaran, semangat dan roh belanjawan yang konon 'mesra rakyat' itu. Cukupkah sekadar menggula-gulakan kata-kata dalam belanjawan yang tidak bersemangat dan beroh itu. Menyebut angka sekian besar...atas kertas. Hakikatnya, belum tentu begitu jugakah yang akan sampai ke seluruh rakyat menikmatinya. Sebagai contoh dua kerajaan yang tidak dikuasai oleh UMNO/BN, Kelantan dan Terengganu menerima nasib diabaikan dalam pemberian peruntukan wajib menurut Perlembagaan dengan dilambat-lambatkan. Royalti Minyak yang dijadikan 'Wang Ihsan' yang dirampok siang hari di Terengganu kerana Terengganu telah dikuasai oleh PAS/BA bukan UMNO/BN atas kertas pengagihan terus kepada rakyat Terengganu, hakikatnya kepada ketua bahagian UMNO/BN dan anak beranak mereka atau yang seperti dengan mereka, bolehlah dapat habuan wang ihsan itu. Apakah belanjawan kali ini benar-benar membela keseluruhan rakyat terbanyak? Atau sekadar pilih-pilih 'langsat'. Akhirnya, golongan haiwan ekonomi yang bangsat juga yang mendapat lebih, kenyang membuncitkan perut mereka. Rakyat terbanyak di kampung-kampung terus juga gigit jari sekadar mendapat sisa-sisa tempias yang tidak diperlukan lagi. Bonus Oh Bonus Gembira, ceria dan riangnya seluruh penjawat awam di Malaysia kerana setiap tahun diberikan bonus. Sekalipun hanya setahun sekali. Dapatlah mengurangkan sedikit beban kewangan mereka yang memang terhad kecuali mereka yang ada pendapat lain. Hakikatnya, bonus setiap tahun itu tidak banyak merubah kehidupan penjawat awam. Melainkan untuk seketika saja. Bonus untuk kakitangan kerajaan yang sudah diberikan sejak beberapa tahun. Mungkin itulah pemberian tahunan kerajaan UMNO/BN demi untuk meningkatkan semangat kerja kakitangan awam Malaysia yang langsung terus ke tangan mereka boleh diguna ikut keperluan mereka. Memang kakitangan awam berhak mendapatnya. Sebagai penjawat awam kita wajarlah bersyukur sama ada diberi setengah bulan gaji atau minima RM1,000, RM1,200 secara sekaligus atau dua tiga kali itu bukan persoalan. Yang penting hak rakyat mesti diberikan oleh pemerintah kepada rakyat. Berbanding yang diperolehi oleh dua tiga kerat pelahap yang berada dikeliling pinggang penguasa. Dalam bab bonus, ratusan juta wang rakyat diperguna untuk membayar bonus kepada hampir sejuta penjawat awam. Tetapi ratusan juta juga diperuntukkan secara berselang seli antara seorang korporat piaraan penguasa 'elit' politik yang tamak lagi rakus dengan tauke, kroni, menantu, suku sakat, anak bini dan kerabat. Di mana sebenarnya maksud belanjawan 'mesra rakyat' yang dibesar-besarkan oleh media pengampu dan lidah mulut para pemimpin UMNO/BN itu. Bagaimana pula nasib rakyat terbanyak; petani, penoreh, nelayan, peniaga kecil, penjaja, tukang kayu, tukang rumput dan rakyat yang nganggur (bukan kerana sifat malasnya)...apakah mereka juga mendapat seperti apa yang penjawat awam dapat. Patutkah mereka juga diberikan bonus seperti penjawat awam atau ada keadah lain yang lebih praktikal, misalnya. Sekurang-kurangnya ada sedikit dorongan berbentuk material seperti yang dinikmati penjawat awam. Kerana petani, nelayan, penoreh dan lain-lain juga turut menyumbang tenaga kepada negara ini secara tidak langsung. Harapan Rakyat Kepada 193 Ahli Parlimen Malaysia Akhirnya, begitulah falsafah orang memancing. Mereka akan tengok di mana lubuk ikan, apa jenis ikan besar atau kecil. Pemancing akan guna 'UMPAN' ikut keadaan. Mahu ikan besar mesti diumpan dengan umpan besar, ikan kecil dengan umpan kecil. Maka tidak jauh beza belanjawan 2003 kali ini sama seperti kerja tukang pancing. Lebih teruk lepas dia pasang umpan tukang pancing tinggalkan pancingnya, dia lari entah ke mana membawa diri. Dia mengharap rakan dan kroninya yang akan pungut hasil bila 'UMPAN' sudah mengena sasaran. Sekejap dia balik makan sama-sama. Buat-buat dasar, baca/lapor belanjawan lepas tu hilang batang hidung. Sepatutnya menteri-menteri yang bertanggungjawab sama-sama berbahas dengan ahli-ahli Parlimen seramai 193 ahli itu untuk membahas dan meluluskan apa juga dasar atau belanjawan demi untuk memakmurkan lebih 23 juta rakyat Malaysia. Apa para pemimpin UMNO/BN yang memiliki 2/3 majoriti di Parlimen ambil endah tak endah amanah rakyat kepada mereka. Mentadbir negara ikut suka saja. Sama-sama kita mengkritik dan menegur untuk mencari yang terbaik. Bukan semata-mata untuk menuding jari terhadap kesalahan ke atas orang lain. Demokrasi bererti kebebasan bersuara untuk memperbaiki yang tidak baik atas nama 'check and balance'. Mudah-mudahan kita akan menjadi rakyat yang terbuka fikiran, hati dan jiwa untuk melihat yang baik itu baik, buruk itu buruk, adil itu adil, zalim itu zalim, rasuah itu tetap rasuah dan bukan mensamar-samarkan kebenaran. Ibn Sabah.
Diterbitkan oleh : |