Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Mahathir dan Bush kembar siam?

MIN AINA ILA AINA

Oleh Subky Latif

SEELOK-elok Kofi Annan dan Bangsa-Bangsa Bersatu berpuas hati akan pengakuan Iraq betapa ia membenarkan tanpa syarat rombongan penyiasat senjata PBB datang semula ke Iraq, Bush muncul di khalayak umum menolak persetujuan Saddam Hussein itu.

Baginya ia satu muslihat Saddam yang pernah banyak menangguh-nangguhkan urusan pemeriksaan senjata, banyak mengelirukan Amerika dan melambat-lambat usaha perdamaian dan mencari perdamaian dunia.

Baginya Saddamlah punca segala kacau bilau dunia khususnya Asia Barat. Bush meletakkan semua keributan dan huruhara kepada Iraq khususnya Saddam.

Ia segera mengingatkan kita kepada politik licik Dr. Mahathir yang berhadapan dengan PAS boleh dikatakan dalam semua perkara.

Ambil saja satu contoh iaitu undi hantu. Inilah kerja UMNO selama ini dan ia akan diteruskan oleh suku sakatnya. Tetapi dalam menutup pekung undi hantu itu selepas gagal memenangi pilihan raya kecil Anak Bukit melalui usaha undi hantu Dr. Mahathir menyerang dan menyalahkan PAS sehebat Bush menyerang Saddam dan Iraq, kononnya PAS menjadi pengamal undi hantu selama ini.

Sehingga kini masyarakat dan termasuk Suruhanjaya pilihan raya termakan seolah-olah UMNO dan pimpinan Dr. Mahathir suci bersih dari najis undi hantu yang digelumanginya selama ini dan seolah-olah selama ini PAS yang bermain kotor itu.

Dengan bermodalkan sebuah kertas, entah siapa mengolahnya tetapi dikatakan dibuat oleh PAS untuk menggalakkan pengundi bertumpu di kawasan berpotensi, maka ia dijadikan bahan bukti, ia adalah angkara kotor PAS dan kertas itu secara otomatis UMNO dan Dr. Mahathir adalah bersih bak sesuci bermandi air zamzam.

Tidak dinafikan Iraq di bawah Saddam mempunyai ilmu senjata canggih dan pernah memilikinya. Jika Amerika, Soviet atau kini Rusia, Perancis dan Britain ada ilmu dan senjata itu, Iraq juga bersemangat tinggi untuk menguasainya. Sebesar dan sehebat mana senjata Iraq itu tidak diketahui tetapi Amerika sudah tentu lebih perkasa daripadanya.

Atas bukti itulah Bush tidak puas-puas menuding Iraq sebagi pengancam keselamatan antara bangsa dan yang menyebabkan rantau itu bergelora hingga hari ini.

Pada hal kepala kacau yang terus menerus mengganas ialah Israel sejak sebelum ia wujud hinggalah menjadi pengganas yang tidak boleh diusik sekarang. Bukan sekadar ia membakar Palastin dan isi serta penghuninya hingga menjadi padang jarak dan padang tekukur, kilang susu Iraq dibomnya sebelum perang Teluk dulu tidak dibantah dan tidak dikenakan hukum.

Ia dilindungi Amerika terus menerus, pada hal angkaranya jauh lebih menggelak dari yang Iraq pernah lakukan.

Semua keganasan dan kekejaman yang Israel dan Sharon lakukan terhadap Palastin dulu dan sekarang, tidak mustahil selepas ini, seantero dunia tahu dan setuju ia adalah keganasan dan kekejaman Israel, tetapi Bush tidak mengira itu kejam dan ganas, tetapi ganas dan degil ialah Palastin dan Arafat.

Dunia serba canggih sekarang ini adalah dunia yang sukar dibohongi.

Richard Nixon cuba bohongi Amerika tentang skendal Watergatenya. Dia Presiden Amerika yang penuh kuasa, dilindungi oleh CIA dan FBI, seluruh jentera pelindung Presiden Amerika itu tidak dapat membohongi dan melindngi skendalnya hingga dia terpecat.

Tiba-tiba dengan muka yang kering Bush muncul di tengah umum dunia, menyalahkan yang paling ganas di dunia ialah Saddam dan Iraq. Israel tidak apa-apa. Terdiam semua orang dan PBB serta Majlis Keselamatannya bisu terpukau, mengiyakan Bush bermuka kering itu.

Seolah-olah bodoh semua orang di dunia dengan gelagat Bush itu sama macam bodoh semula rakyat Malaysia bila Dr. Mahathir menggunakan semua kekuasaan dan pengaruhnya untuk memakaikan baju pengundi hantu kepada PAS walau pun hantu itu terus dipeliharanya.

Kerana tiada orang berkuasa berani menyalahkan Bush, maka ada orang-orang kecil telah berani menyamakan Bush seperti Hitler sama seperti ada orang Malaysia yang tidak dikenali menyifatkan Dr. Mahathir sama seperti raja purba Afrika Utara.

Sandiwara itu sudah didahului oleh perang politik wang dalam UMNO yang sudah sebati itu. Tidakkah Dr. Mahathir keluar dengan muka kering mengecam sekalian pengamal politik wang dalam UMNO, seolah-olah dia bermandi air zamzam, tiada kena mengena dengan politik seperti itu.

Tidakkah Bush dan Dr. Mahathir dua kali lima saja atau mereka kembar siam yang pakar doktor di Riyadh tidak upaya bedah?






______________________
Terbitan : 28 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com