SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Bebaskan 6 Tahanan Sekarang - Pn. Aliza JaffarBebaskan 6 Tahanan Sekarang Habeas Corpus Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penahanan 5 tahanan Reformasi selama 60 hari menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 10 dan 11 April 2001 adalah tidak sah dan berniat jahat, adalah satu keputusan yang membuktikan bahawa kebenaran itu akan tetap mendapat kemenangan. Perjuangan kami menuntut keadilan demi kebenaran sudah menghampiri kejayaan. Kini generasi akan datang tidak perlu takut kerana pihak berkuasa tidak lagi boleh menggunakan ISA sewenang-wenangnya. Keputusan mahkamah ini memberi sedikit harapan bagi rakyat Malaysia yang memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman untuk masa hadapan. Ia menjadi satu titik sejarah agar perjuangan ini mesti diteruskan. Walaupun mahkamah tidak mengeluarkan perintah agar tahanan dibebaskan serta-merta tetapi ia jelas memberi isyarat bahawa kerajaan tidak ada pilihan lain selain membebaskan tahanan serta-merta. Kerajaan mestilah memberi gantirugi dan memohon maaf sewajarnya kepada mangsa dan keluarga kerana penahanan tersebut. Kini mereka sudah melangkaui 515 hari dalam tahanan yang sepatutnya mereka tidak langsung ditahan. Kami isteri-isteri dan seluruh keluarga pejuang keadilan tidak dapat menerima bahawa keputusan ini tidak membebaskan mereka. Penantian kami akan kepulangan suami yang dikasihi masih belum berakhir. Adakah Menteri Dalam Negeri dan mereka yang bersekongkol dengan kezaliman ini mahu menanggung beban balasan dari Tuhan Yang Maha Adil? Dosa penganiayaan terhadap manusia sesama manusia tidak terhapus sehinggalah orang yang dianiayai memaafkan orang yang menzalimi. Kami tidak mahu mereka dan kuncu-kuncunya yang menzalimi kami menderita sehingga turun temurun ke anak cucu kerana tidak dimaafkan oleh berpuluh-puluh mangsa ISA yang dizalimi? Sempena ulangtahun kemerdekaan negara dan Hari Wanita Malaysia, kami isteri-isteri tahanan ISA di Kamunting telah pun mengirim surat kepada semua Menteri Wanita dan isteri-isteri Menteri Penuh menjelaskan keadaan kami yang sedang menderita. Senarai nama kami dimulakan dengan seorang isteri tahanan yang juga anak kepada seorang tahanan yang lain. Jika saya hanya dipisahkan daripada suami tetapi beliau kehilangan bapa dan suami serentak dalam masa yang sama. Kami ingin memberitahu mereka bahawa penahanan tanpa bicara dan ISA adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan. Apakah respon wanita-wanita ini yang kononnya memperjuangkan nasib wanita? Kami masih menunggu tindakan mereka! Anak saya merayu agar ayahnya dibebaskan segera. Beliau seolah-olah mewakili semua anak-anak tahanan ISA ini. Cukuplah surat anak saya menggambarkan keadaan yang dilalui; Kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Saya Marwah binti Saari, anak kepada tahanan ISA, Saari bin Sungib. Ayah saya kini sudah ditahan di bawah akta zalim ini selama 1 tahun 4 bulan 20 hari. Tempoh ini sangat lama dan pelbagai penderitaan yang saya, mama, kakak, abang dan adik saya lalui. Kami sudah berulang-alik ke Kem Tahanan Perlindungan Kamunting dari Kuala Lumpur sebanyak 67 kali. Setiap kali pertemuan kami dipagari dengan jaring yang hanya boleh memuatkan 3 jari. Dato' Seri, Mama saya merupakan seorang wanita yang mempunyai suami dan anak-anak. Pada 25 Ogos yang lepas merupakan Hari Wanita. Hari Wanita itu membawa satu tema yang bermaksud membela wanita. Tapi, penahanan Ayah yang tidak sah ini amat menyeksa batin, emosi, perasaan dan fizikal Mama. Pada 14, 15, 16 dan 17 Oktober merupakan hari peperiksaan PMR. Saya mahu ayah saya berada di rumah bersama-sama saya sepanjang PMR. Saya merasa cemburu melihat kawan-kawan saya mempunyai ayah mereka yang boleh memberi semangat kepada mereka. Mereka juga mempunyai ayah untuk mengambil mereka ketika habis kelas tambahan. PMR hanya tinggal 4 minggu sahaja lagi. Penahanan ayah saya tidak sah. Ayah tidak dibawa berbicara di mahkamah. Saya menuntut agar Dato' Seri membebaskan Ayah saya. Sekian. Terima kasih. Yang benar, Marwah Saari Tanggungjawab Menteri Dalam Negeri Kempen Pembebasan segera enam orang tahanan Reformasi akan dirancakkan. Kempen membebaskan semua tahanan ISA tetap diteruskan terutama Pameran X-Files ISA. Habeas corpus terhadap Menteri Dalam Negeri dan saman terhadap Ketua Polis Negara dan kuncu-kuncunya akan dibuat sebagai langkah perundangan berikutnya. Hari ini apabila saya dan anak-anak pergi menziarahi suami saya di Kamunting, beliau yang telah pun mengetahui keputusan habeas corpus memberitahu bahawa pada hari berikutnya keputusan itu dibuat, beliau dan rakan-rakan di Kem menerima akhbar yang berlubang-lubang. Berita keputusan mahkamah itu digunting agar tidak dapat dibaca oleh mereka. Tetapi apabila kami datang dan memberitahu mereka bahawa tindakan menyaman Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai Cawangan Khas yang terlibat dalam soal-siasat akan dibuat, mereka amat bergembira kerana golongan inilah yang telah menyiksa mereka, menyoal-siasat mereka dan mengurung mereka dalam kurungan berseorangan sehingga hampir 60 hari. Kami juga akan memohon agar mahkamah juga membebaskan mereka daripada tahanan dua tahun di Kamunting yang merupakan arahan Menteri Dalam Negeri. Pada hari keputusan habeas corpus, saya berjumpa dengan beberapa orang pegawai polis di mahkamah. Saya menegur mereka. Mereka memang selalu berada di mahkamah. Saya memberitahu mereka bahawa polis telah melakukan kezaliman terhadap saya dan anak-anak saya dengan berniat jahat menahan suami saya sehingga kini. Mereka cepat-cepat mengaku memang tindakan polis itu zalim tetapi bukan mereka yang melakukannya. Sikap mereka seperti bak kata pepatah, 'baling batu, sembunyi tangan'. Saya katakan kepada mereka bahawa kami tidak akan memaafkan mereka dan semua pihak yang bersubahat melakukan penganiayaan ini. Mereka sepatutnya segera meminta maaf bagi pihak pasukan mereka yang jahat itu. Saya jelaskan kepada mereka bahawa saya tidak suka perbuatan mereka mengekori saya dan tindakan mereka mengambil gambar saya. Perbuatan mereka adalah mengganggu kebebasan saya. Sudahlah suami saya dizalimi, saya pula hendak ditakut-takutkan. Saya ingin mengingatkan mereka supaya insaf bahawa walaupun mereka terlepas di dunia ini, tetapi di pengadilan Allah di akhirat nanti mereka tidak akan terlepas. Setiap perbuatan mereka yang tidak betul walaupun atas nama menjalankan tugas tetap salah dan akan dibalas setimpalnya. Setitik air mata kami jatuh ke bumi, balasannya pasti tertulis. Menganiaya sesama insan adalah perbuatan terkutuk. Saya kira tidak ada dalam bidang tugas polis sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara boleh menganiaya sesama manusia. Tetapi di Malaysia Boleh, ada kalanya polis menjadi "raja" di Malaysia. Pihak polis perlu reformasi dalam pelaksanaan tugas menjaga keselamatan. Matlamat tidak menghalalkan cara. Dengan keputusan habeas corpus ini, saya menyeru pihak Polis Diraja Malaysia mengambil langkah-langkah segera agar nama busuk mereka yang telah terpalit walaupun oleh segelintir di kalangan mereka dibersihkan dengan bersungguh-sungguh dan secara profesional. Jalankan tugas untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Siapa yang sebenarnya bersalah hendaklah didakwa dan dibawa ke muka pengadilan. Harapan rakyat agar mereka menjunjung prinsip menegak keadilan dan bukan hanya menjadi alat atau orang suruhan. Ibu Ezam juga dibenarkan melihat Ezam dari belakang cermin hari ini kerana beliau akan menunaikan umrah tidak lama lagi. Di Masjidil Haram nanti, ibu Ezam pasti mendo'akan buat Ezam dan semua rakan-rakan yang dianiayai. Ezam jelas teraniaya kerana Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang menghukum beliau yang pada hakikatnya beliau tidak bersalah. Yang bersalah pula lepas bebas. Do'a ibu Ezam pasti makbul, tidak sekarang tetapi satu hari nanti. Sebelum meninggalkan dunia yang fana dan sementara ini, sebelum terlambat segeralah bertaubat. Bagi yang menzalimi dan menganiayai orang lain segeralah minta maaf kepada orang yang telah dianiayai. Bebaskan mereka yang dipenjarakan segera. Semoga dihindari hukuman Tuhan yang lebih dahsyat nanti. Saya sekadar mengingatkan sahaja! Teruskan Perjuangan Menegakkan Keadilan
Diterbitkan oleh : |