SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Dewan Undangan Negeri Perlis perlu reformasiDalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita sekarang, kebebasan adalah salah satu tunjang utama sistem itu. Kebebasan di sini merangkumi kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat bahkan mengkritik. Kebebasan ini bermula dalam institusi terpenting iaitu Parlimen di peringkat persekutuan dan Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri. Dalam konteks negeri, kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah institusi ini (Dewan Undangan Negeri) hendaklah sentiasa memastikan ianya bukan sekadar berwibawa dari segi kedudukannya dalam hiraki kerajaan bahkan memastikan ia sentiasa dipandang berwibawa dan dihormati oleh semua pihak. Kewibawaannya akan dapat dipertahankan dan akan terserlah apabila ianya ditadbir secara profesional, telus dan didokong oleh 'accountabiliti kerajaan' dalam mematuhi 'Standing Rules and Orders' dan dalam memberikan penjelasan terhadap urusan negeri yang dibangkit sepanjang persidangan. Apalah ertinya gelaran 'Yang Berhormat' diberikan kepada anggotanya sekiranya dewan itu sendiri telah hilang 'kehormatan' dan kewibawaannya akibat 'dicabul' oleh mereka yang berkuasa dengan memperalatkan dewan itu untuk me 'legal' kan semua tindakan mereka. Kewibawaan dewan terjejas apabila ia dijadikan sebagai batu loncatan untuk menghalalkan tindakan tidak bermoral pemimpin parti yang berkuasa. Dewan Undangan Negeri Perlis yang kesepuluh telah mengadakan Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Ketiga pada 04 Sepetember, 2002 yang lalu selepas dua kali dipinda tarikhnya iaitu pada 21 Ogos, 2002 dan 25 September, 2002. Mesyuarat kali ini menyaksikan ketiga-tiga Adun Pas keluar meninggalkan dewan ketika persidangan berlangsung setelah bantahan mereka terhadap speaker yang didapati tidak mematuhi peraturan mesyuarat tidak diendahkan. Satu rang undang-undang yang bernama Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan I'tiqad dan Kepercayaan Agama Yang Bertentangan Dengan Agama Islam (Sunnah Wal- Jamaah) 2002 dicadang dibaca kali pertama di dalam Dewan Undangan Negeri Perlis. Cadangan itu telah dibantah oleh ketiga-tiga adun Pas kerana bercanggah dengan Standing Rules And Orders Of The Legislative Assembly Of The State Of Perlis, fasal 52 yang memperuntukkan bahawa semua rencana undang-undang hendaklah dihantar oleh setiausaha dewan kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum rencana undang-undang itu dibaca bagi kali yang pertama. Ia bercanggah kerana semua ahli dewan hanya menerima rang undang-undang berkenaan lima minit sahaja sebelum persidangan bermula. Tindakan ini bukan sekadar bercanggah dengan peraturan malah telah menafikan hak ahli-ahli dewan untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam membahaskan undang-undang itu. Ini penting memandangkan rang undang-undang tersebut menyentuh secara langsung kepentingan umum apatah lagi kepentingan agama dan aqidah orang Islam Sudah tentu membahaskan suatu rang undang-undang yang sebegitu penting (bahkan yang lain juga) memerlukan fakta yang mantap dan mencukupi. Masa untuk membuat homework, merujuk kepada mereka yang ahli dan menyediakan rangka ucapan amat diperlukan. Seminggu adalah dirasakan mencukupi untuk tujuan itu. Inilah yang telah dinafikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis (dilantik sebagai speaker setelah kalah dalam pilihanraya umum kesepuluh di kawasan Guar Sanji). Persoalannya sekarang, dimanakah kebebasan untuk bersuara yang menjadi tunjang kepada demokrasi, sekiranya hak untuk bersuara dalam institusi tertinggi dalam sistem demokrasi itu sendiri dinafikan? Mengapa wakil-wakil rakyat yang mewakili rakyat tidak diberikan ruang secukupnya untuk menyampaikan hasrat dan suara hati rakyat yang mereka wakili sedangkan rang undang-undang yang dibentangkan itu menyentuh secara langsung kepentingan hidup rakyat? Adilkah apabila rakyat yang akan dikuatkuasakan ke atas mereka suatu undang-undang, tiba-tiba hak mereka untuk mengemukakan pandangan terhadap sesuatu undang-undang melalui wakil yang mereka pilih dalam sistem demokrasi dinafikan dengan sewenang-wenangnya? Secara dasarnya, rang undang-undang itu tidak ditentang untuk dibentangkan bahkan ia baik untuk kepentingan dan kesejahteraan penganut Islam supaya aqidah mereka tidak diganggu-gugat. Undang-undang itu memperuntukkan bahawa apa-apa sahaja i'tiqad atau kepercayaan agama yang bertentangan dengan agama Islam adalah dilarang daripada disampaikan kepada orang Islam samada dengan cara memujuk, mempengaruhi atau menghasut supaya menjadi penganut atau anggota i'tiqad atau agama itu. Pesalah dalam kes ini boleh didenda tidak lebih sepuluh ribu ringgit atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. Ianya diluluskan juga kerana BN mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Perlis. Apa yang dipertikai dan tidak dipersetujui ialah apabila ianya dibentang dan diluluskan dengan mengenepikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Apabila ini berlaku dimana wibawanya dewan tertinggi ini? Tidak mungkin dewan yang mulia itu hanya setaraf dengan 'pakatan pinggan mangkuk' di peringkat kampong sahaja. Keghairahan kerajaan BN Perlis untuk membentang dan meluluskan rang undang-undang itu akhirnya mendedahkan niat buruk mereka. Para wartawan yang mengikuti persidangan itu hingga tamat memaklumkan bahawa wakil rakyat BN mengambil kesempatan ketika membahas dan menggulung perbahasan untuk menghentam YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat atas isu 'tuhan samseng'. Rupa-rupanya rang undang-undang itu di 'dikambinghitam' kan untuk membolehkan mereka melepaskan geram kepada Pas dan pemimpinnya di dalam dewan. Ini bukan perkara baru, bahkan dalam beberapa persidangan yang lalu, MB Perlis pernah menyifatkan MB Kelantan sebagai 'ulama' su' yang harus ditentang. Kerajaan Terengganu dan Kelantan adalah kerajaan taghut, zalim, kerajaan yang membawa rakyatnya ke neraka dan sebagainya lagi. Beliau juga seringkali mengaku dengan gaya tersendiri bahawa beliau telah berbelas kali pergi ke Mekah dan ingin membawa rakyat Perlis ke syurga. Malangnya ini semua tidak tertulis kerana Dewan Undangan Negeri Perlis tidak ada 'hansard dewan'. Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Perlis memaklumkan kepada saya bahawa beliau tidak mahu lagi mewakili jabatannya untuk menghadiri persidangan dewan kerana jemu, meluat dan muak dengan gelagat MB Perlis di dalam dewan yang disifatkannya sebagai tidak profesional dan kebudak-budakan. Ini gambaran dan senario Dewan Undangan Negeri Perlis. Bertanyalah kepada mereka mampu menilai secara objektif dan profesional, mereka tentu berkata itu semua adalah benar. Tindakan memulau persidangan dewan kali ini sebagai protes terbuka terhadap kegelojohan pemimpin kerajaan negeri Perlis. Mereka menyangka mereka boleh melakukan apa sahaja dengan mengenepikan sebahagian peraturan yang ada. Ini mungkin boleh dilakukan semasa dewan ini tiada pembangkang suatu ketika dulu, tetapi tidak sekarang dan akan datang sekiranya mereka terus berkuasa. Tindakan itu mungkin dilihat secara sinis sahaja oleh mereka, tetapi ia membawa makna dan pengertian yang mendalam dan besar. Sekurang-kurangnya ia menggambarkan bahawa wakil-wakil Pas sentiasa menjunjung tinggi peraturan selama mana ia menepati kehendak syarak. Lebih jauh lagi ia menggambarkan kepada umum bahawa sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pas untuk memerintah Perlis, maka pentadbiran yang telus, amanah, menghormati kebebasan dan accountability akan menjadi teras dan tunjang pentadbirannya. Nilai-nilai kebertanggungjawaban akan didokong sepenuhnya supaya hak rakyat yang membentuk kerajaan melalui proses pilihanraya terpulihara dan terjamin. Inilah sebenarnya yang berlaku kepada negeri-negeri yang sekarang dikuasai oleh Barisan Alternatif. Keterbukaan kerajaan Terengganu yang menganjurkan persidangan undang-undang jenayah syariah (Hudud dan Qisas) dan memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat untuk memberikan pandangan kepada Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu sebelum ianya diluluskan di Dewan Undangan Negeri Terengganu adalah bukti keterbukaan dan ketelusan kerajaan BA. Umno yang berkokok segenap penjuru alam sebelum itu dengan mengatakan undang-undang yang bakal diluluskan itu zalim tidak pula menghantar wakil ke persidangan berkenaan kecuali dua orang dari Terengganu. Bahkan kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan amat terkehadapan dalam pengurusan dewan undangan negeri apabila persidangan dewan kedua-dua negeri berkenaan disiarkan secara langsung melalui internet. Di Terengganu, layar besar disediakan di luar dewan untuk membolehkan rakyat mengikuti persidangan secara terus. Belum ada mana-mana kerajaan negeri yang diperintah oleh BN melakukan seperti yang dilakukan oleh Kelantan dan Terengganu. Di peringkat parlimen pula sudah sering desakan dibuat supaya persidangannya disiarkan secara langsung melalui televisyen supaya rakyat boleh memerhati dan menilai kemampuan wakil mereka juga rakyat berpeluang berkongsi sama perkembangan yang berlaku di situ. Sehingga kini ia hanya dipandang sepi sahaja oleh kerajaan BN. Mungkin apabila 'kucing sudah bertanduk' atau 'gagak berbulu putih' ini semua akan dilakukan oleh kerajaan mereka. Sebenarnya ini bukan kali pertama peraturan dewan dilanggar begitu sahaja bahkan ia telah berlaku berulang kali. Walau pun perkara sebegini sering dibangkitkan dalam setiap persidangan ternyata sikap 'pekak badak' para pemimpin Umno yang kini memerintah Perlis menjadikan teguran itu seperti 'menjirus air ke daun keladi'. Antara yang pernah dibangkitkan ialah: 1. Dewan Undangan Negeri Perlis tiada 'hansard dewan'. 2. Dokumen dewan biasanya diserahkan dua hari atau sehari sahaja sebelum persidangan bahkan persidangan terbaru hanya lima minit sebelum dewan bermula. 3. Soalan-soalan lisan yang tidak sempat dijawab sepanjang persidangan diabaikan sahaja dan tidak dijawab secara bertulis selepas itu. 4. Jawapan kepada soalan-soalan bertulis biasanya diterima sebulan atau lebih selepas sesuatu persidangan dewan tamat. 5. Hanya satu sahaja soalan tambahan dibenarkan selepas jawapan soalan lisan bahkan kadang-kadang tidak dibenarkan langsung. Banyak lagi sebenarnya kepincangan yang dikenalpasti berlaku dalam pengurusan Dewan Undangan Negeri Perlis. Ada yang menyentuh secara langsung mengenai cara speaker mengendalikan persidangan yang dilihat sebagai tidak wajar berlaku atas sifat speaker sebagai 'orang tengah' atau 'fasilitator' yang mengendalikan persidangan. Dewan Undangan Negeri Perlis perlukan reformasi. Wibawanya perlu dipertahan bahkan dipertingkatkan. Kehormatan dan kemuliaannya hendaklah dipelihara. Ia adalah simbol kepada amalan demokrasi. Demokrasi bukan sekadar pilihanraya, tetapi ia juga adalah jaminan kepada kebertanggungjawaban. Mereka yang telah dipilih oleh rakyat untuk memerintah hendaklah memastikan semua agensi yang wujud dalam kerajaan yang ditadbir dan diurus dengan wang rakyat akan berfungsi untuk memelihara, menjamin dan mengembalikan hak rakyat kepada rakyat.
Zolkharnain bin Abidin,
Diterbitkan oleh : |