Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

ALI SHARIATI CONTOH PENSYARAH ISLAM

ALI SHARIATI merupakan salah seorang tokoh penting yang aktif merangsang perjuangan Imam Khomeini dalam menegakkan Revolusi Islam Iran. Intelektual sastera lulusan Universiti Sorbonne, Perancis ini yang di labelkan sebagai ikon revolusi, telah mencurahkan sepenuh kehidupannya kepada perjuangan bagi menumbangkan kerajaan diktator dan mengabdikan dirinya kepada pembangunan masyarakat Islam Iran dari belenggu kezaliman. Ini jelas dapat dilihat melalui corak pemikirannya yang dibuahkan dalam syarahan-syarahan kepada para mahasiswa Iran.

Ali Shariati, merupakan anak pertama Muhammad Taqi Shariati dan Zahraa' yang lahir pada 24 November 1933 di sebuah desa permai berdekatan Sabzavar di tepi gurun Kavir. Individu yang pertama kali mendidiknya ialah ayahadanya sendiri - salah seorang ulama' terkemuka Iran serta amat dihormati oleh masyarakat. Pada zaman kanak-kanaknya ketika teman-temannya asyik bermain, kegiatan harian Ali Shariati pula hanyalah bersama buku-buku sastera seperti Les Miserable karya Victor Hugo. Dan kegemaran ini berterusan ke zaman remajanya. Sejak tahun pertamanya di sekolah menengah, ia amat gemar menelaah buku-buku falsafah, sastera, syair, ilmu sosial dan agama di perpustakaan ayahnya yang mempunyai hampir 2000 buku. Kegemarannya inilah yang membuat beliau jarang sekali berpeluang untuk bermain bersama teman-teman sebayanya.

Pada 1955, Ali Shariati telah diterima masuk ke Fakulti Sastera Universiti Masyhad. Di sinilah bermula penyerlahannya perjuangan politik, sosial dan intelektualnya. Tahun-tahun yang menyusul dalam kehidupan beliau telah ditandai dengan episod pengulingan Perdana Menteri Musaddiq angkara tekanan politik regim Shah Iran. Ali Shariati sendiri terpaksa mendekam selama beberapa bulan dalam penjara kesan daripada kritikan tajamnya terhadap regim Shah Iran.

Pada tahun 1959 beliau membuat keputusan untuk meneruskan pengajiannya ke Paris dalam bidang sosiologi. Walaupun jauh daripada tanahairnya, beliau tetap prihatin terhadap gerakan politik di Iran serta turut memainkan peranannya. Dan beliau secara aktif telah bergabung dalam organisasi yang berorientasikan perjuangan Islam - menentang regim Shah Iran. Pada tahun 1964, sepulangnya ke Iran beliau telah ditangkap. Setelah enam bulan berlalu, di tambah pula dengan tekanan antarabangsa ke atas regim Shah Iran, beliau akhirnya dibebaskan kembali dan meneruskan kegiatannya sebagai pensyarah sosiologi di Universiti Masyhad. Tetapi kemudian beliau terpaksa meninggalkan universiti tersebut. Bertitik tolak dari keadaan ini, maka bermulalah episod paling klimaks dalam kehidupannya yang memaparkan karismanya sebagai intelektual yang berjiwa Islam, meskipun dalam tempoh waktu yang singkat! Dengan keilmuannya dalam bidang sosiologi, beliau menyampaikan syarahannya di Husainiyyah-i Irsyad, sebuah pusat Islam di Kota Teheran yang aktif menyelenggarakan perhimpunan-perhimpunan ataupun kuliah-kuliah Islam serta sentiasa mendapat reaksi positif daripada daripada para mahasiswa. Dalam syarahan-syarahannya di Husainiyyah-i Irsyad mahupun di pelbagai tempat-tempat lain, Ali Shariati akan memperkembangkan teori-teorinya mengenai sosiologi dan sejarah Islam. Maka adalah tidak menghairankanlah bilamana Husainiyyah-i Irsyad menerima arahan agar di tutup oleh regim Shah Iran kerana dikatakan mengugat kestabilan pemerintahan regim Shah Iran. Manakala Ali Shariati kembali meringkuk dan menderita dalam penjara sebagai tahanan politik! Kali ini selama 18 bulan. Setelah di bebaskan, pada 16 Mei 1977 beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Iran menuju ke London, England kemudian di susuli pula oleh Isteri dan anaknya, Ehsan. Namun, tidak berapa lama kemudian pada 19 Jun 1977 beliau ditemui terbujur di kediamannya. Sebab kematiannya cukup misteri sehingga banyak pihak yang mengaitkannya dengan kegiatan SAVAK regim Shah Iran. Beliau dimakamkan di Damsyik, besebelahan dengan makam hazrat Zaynab Rahimahullah.

Demikianlah natijah tragis yang di tonjolkan oleh seorang pensyarah berjiwa Islam yang sedia bergelumang dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran - dalam pentas akademik. Ia syahid kerana memperjuangkan apa yang dianggapnya sebagai kebenaran dan keadilan. Itulah Ali Shariati. Beliau telah menyusuri jejak langkah Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib yang amat dikaguminya serta Abu Dzar Al-Ghifarri - simbol perjuangan serta insan yang selalu di canangkannya. Mudah-mudahan momentum perjuangan Ali Shariati menerobos ke dalam dhamir dan minda pensyarah-pensyarah di Malaysia pula - untuk berbicara sambil bertindak. Bukan sekadar membentang kertas kerja dengan pelbagai teori-teori tetapi lupakan nasib mustadh'afin . Ayuh para pensyarah, mari kita menjiwai perjuangan Ali Shariati dan mengatur langkah bergerak memimpin masyarakat akademik - mahasiswa mahupun pensyarah - ke arah mengugat kestabilan kerajaan diktator. Diktator Mahathir! Namun gerangan manakah yang berani menjiwai perjuangan Ali Shariati itu? Ya, di Malaysia masih belum wujud lagi Ali Shariatinya.

ABU MUHAMMAD
abu_muhammad@hotmail.com






______________________
Terbitan : 11 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com