Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Apakah BA Selangor harapkan BPR untuk jatuhkan Khir?

Oleh DINSMAN

Menyambut ulangtahun – bukan ‘ulangtahun’, tetapi menyambut genap satu tahun aduan dibuat kepada BPR terhadap perlakuan-perlakuan rasuah oleh Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo, tanpa sebarang reaksi pihak BPR.

Satu demi satu aduan dibuat oleh aktivis media bebas, Ahmad Lutfi Othman, sejak 23 Oktober 2001, dan ia dihebohkan melalui pelbagai cara supaya ramai rakyat Malaysia mengetahui tentangnya, namun pihak BPR dan juga kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir terus membisu mengenainya.

Sepanjang satu tahun itu Lutfi pernah ditahan polis selama beberapa jam, wartawan-wartawan Penerbitan Pemuda di bawah Lutfi juga pernah ditahan polis, akhbar-akhbar dan VCD terbitannya dirampas – tetapi kes-kes rasuah Khir Toyo yang hampir 20 kes yang dilapor Lutfi itu senyap sepi.

Apakah maknanya ini? Di manakah silapnya? Mungkinkah Lutfi membuat kesilapan dalam tindak-tanduknya memerangi rasuah dan membuat aduan kepada BPR?

Kita masih ingat lagi waktu Lutfi mulai menyampaikan aduannya kepada ibupejabat BPR pada 23 Oktober 2001 dulu. Ada reaksi daripada BPR waktu itu. Memang ada reaksi. Mereka kata aduan yang dibuat Lutfi itu sebenarnya tidak boleh dianggap sebagai “aduan”, tetapi ia hanya suatu “makluman” saja. Jadi, BPR tidak perlulah memulakan siasatan.

Lutfi menerima baik teguran itu, dan dia lalu menyusuli dengan aduan yang dikatakan benar “aduan” – bukan lagi sekadar makluman. Tetapi… tiada juga sebarang tindakan yang diketahui telah diambil oleh pihak BPR.

Maka di manakah lagi silapnya? Dalam masa yang sama kita mendengar ada beberapa kes lain yang BPR begitu cepat sekali bertindak membuat siasatan walaupun tanpa ada aduan rasmi yang disertai dokumen-dokumen keterangan (bukti) yang “lengkap” seperti yang dibuat oleh Lutfi.

Dan dalam masa yang sama juga kita menyaksikan Ezam Mohd Noor (seorang aktivis politik yang lantang memerangi rasuah) telah dipenjarakan untuk selama dua tahun kerana ‘kesalahan’ mendedahkan ‘rahsia’ rasuah yang dilakukan oleh Menteri Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik.

Barangkali di situ terdapat makna yang kita cari. Antara “rasuah” yang hendak dicegah oleh BPR dan kerajaan BN Dr Mahathir dengan “rasuah” yang diperangi oleh Ezam dan Lutfi itu – tidak sama.

Yang Ezam dan Lutfi dan kita semua anggap rasuah itu, bagi BPR dan Dr Mahathir ia bukan rasuah. Rasuah bagi mereka dengan rasuah bagi kita tak sama. Eh, bukankah Anwar Ibrahim dihukum penjara 6 tahun pada 14 April 1999 dulu itu adalah atas kesalahan rasuah?

Apa rasuah yang Anwar Ibrahim buat? Siapa yang buat aduan terhadap rasuah Anwar Ibrahim kepada BPR? Ah, panjanglah ceritanya kalau kita nak bincang perkara itu. Jadi, mari kita balik kepada “ulangtahun” kes rasuah Khir Toyo ini.

Makna “rasuah” kita tak sama. Di situlah masalahnya. Jadi… janganlah kita berharap BPR akan bertindak menyiasat Khir Toyo disebabkan oleh aduan Lutfi itu, walau berapa banyak pun keterangan (dokumen) yang dikemukakan oleh Lutfi.

Makna mereka dengan makna kita tak sama. Perjuangan mereka dengan perjuangan kita tak sama. Memang tak sama. Antara BN dengan BA, memang tak sama. Walaupun Lutfi bukan tokoh politik BA, seperti Ezam, tetapi makna dan perjuangan Lutfi ada persamaan dengan makna dan perjuangan BA. Semestinya BN tak akan terima (aduan) Lutfi.

Jadi, apa yang perlu dibuat – setelah genap setahun kes rasuah MB Selangor ini dibongkar oleh Lutfi?

Memikirkan perkara ini saya teringat kepada Ezam. Saya terfikir – kalaulah Ezam masih ada di luar, tidak di penjara atau di kem tahanan Kamunting, tentu dia sudah menggemblengkan satu pergerakan yang besar untuk menyedarkan rakyat Selangor (dan rakyat Malaysia amnya) terhadap kemungkaran yang dilakukan Khir Toyo, dan terhadap munafiknya kepimpinan Umno/BN mengenai pencegahan rasuah (berdasarkan bahan yang disediakan Lutfi).

Barangkali Ezam dan Lutfi akan bergandingan dalam perjuangan ini.

Sebenarnya Lutfi telah menyediakan satu bahan yang cukup ampuh untuk diangkat oleh pimpinan politik BA, di Selangor khasnya, bukan sahaja untuk memerangi rasuah, tetapi untuk memerangi dan menjatuhkan kerajaan yang rasuah pimpinan Khir Toyo.

Sungguh menghairankan – BA Selangor yang bercakap hendak menawan Selangor 2003, tetapi isu yang seefektif isu rasuah Khir Toyo ini tidak dimanfaatkan oleh pimpinan BA Selangor.

Sepatutnya Lutfi membantu kerja-kerja yang diusahakan oleh pimpinan politik BA Selangor – yang hendak menawan Selangor itu. Bukannya Lutfi yang bersungguh-sungguh melakukan segala macam usaha “berperang” dengan Khir Toyo, manakala pimpinan politik BA Selangor hanya sesekali datang bertanya khabar dan turut serta untuk seketika sahaja.

Apakah pimpinan BA Selangor masih menaruh harapan kepada BPR untuk bertindak bagi pihak mereka bagi “menjatuhkan” Khir Toyo? Sungguh menghairankan






______________________
Terbitan : 18 Okt 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com